Salam kasih Kerana Allah

Salam kasih Kerana Allah
Assalamualaikum wbt - Sekadar Berkongsi Ilham dan Pengalaman

Saturday, March 5, 2011

TIDAK KESAL


Bersua kita kembali dengan kesejahteraan yang diberikan Allah SWT, dengan lafaz Alhamdulillah dan Assalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh...

Lama benar Raz.R sunyi meninggalkan ruang ini sepi seolah rumah tanpa penghuni. Entahkan ada yang mengunjungi, entahkan ada yang telah melupakan Raz.R yang bukan sesiapa. Namun tak mengapa, Raz.R sendiri pun insan biasa yang sering melupakan banyak perkara. Astaghfirullahalazim... Ampunkan aku Ya Allah, dan maafkan Raz, sahabat.

Banyak sungguh ujian. Banyak sungguh dugaan. Itu yang Raz rasa semenjak kebelakangan ini. Atau mungkin tidak sebanyak dugaan yang orang lain terima, namun kelemahan Raz yang kadang-kadang sejurus sebagai insan yang tidak berdaya mencetuskan dugaan itu sebagai bebanan yang tidak terpikul beratnya.

Hingga saat ini Raz melalui tahun yang makin berganjak dan usia yang terus berubah, semakin terasa begitu tipis iman Raz. Masih ada harapan untuk menebalkan iman yang kandas setiap hari, masih pula menimbun lapisan dosa yang mengusik hidup. Hahh.. itulah manusia..! Selagi hidup, tetap meniti segalanya ibarat bahtera yang terumbang ambing dipukul alun laut yang ada waktunya kencang, dan setengah waktu lagi tenang.

Bukanlah Raz ingin bangkitkan riak di dalam diri dalam menulis dan meletakkan jumlah penilaian di mata pembaca yang membaca penulisan Raz yang tidak seberapa ini. Namun, penulisanlah yang sering membangkitkan kekuatan hati pada Raz untuk lebih kental dalam bara semangat. Agar Raz muhasabah, bangun dan teruskan hidup ini. Mengingatkan diri. Menasihati diri. Mudah-mudahan, jika Raz mampu bangkit dan menapak lagi, yang lain akan turut memperolehi aura kebangkitan itu. Lalu, kita sama-sama bangkit menghadapi apa sahaja keperitan hidup ini demi dunia yang menjadi cabang ke mana pintu yang akan Allah letakkan nanti untuk kita di akhirat kelak.

Raz tidak ingin takut dengan kesilapan masa silam.
Raz tidak sekali mahu menyesali atas kegagalan terdahulu.
Raz tidak ingin goyah dengan keaiban yang meruntunkan kejatuhan harga diri.
Raz tidak ingin mengungkit-ungkit impian yang gagal Raz kecapi.

Yang Raz inginkan ialah...KEKUATAN, KESABARAN dan KETAHANAN bagi melepasi setiap pengalaman compang hidup yang lalu dengan MEMBINA perubahan ke arah kebaikan hidup yang berterusan bagi dunia dan akhirat. Kalaupun Raz masih lagi akan menerima kejatuhan..., moga kekuatan doa untuk diberi masa dan nyawa bagi sebuah peluang dari Allah SWT itu sentiasa tercipta untuk Raz sehingga Raz menjadi Raz yang dikehendaki oleh Allah.

Sungguh, Raz tidak ingin kesal menjadi diri Raz yang sebenar. Dan, Raz mendoakan bagi sahabat-sahabat yang membaca coretan Raz juga tidak akan pernah menyesal untuk menghijrahkan diri ke arah Allah sentiasa. Hingga akhir hayat hendaknya. Amin..

Sehina dan seburuk mana pun kita.. kita ini hamba-Nya dan DIA maha memahami apa yang telah dicipta-Nya.

Jangan putus asa, Raz!

Moga dikasihi Allah semuanya. Amin.