Salam kasih Kerana Allah

Salam kasih Kerana Allah
Assalamualaikum wbt - Sekadar Berkongsi Ilham dan Pengalaman

Tuesday, May 31, 2011

Hadirnya dia




Assalamulaikum..
Semoga hari ini tercipta rasa kasih yang berterusan dengan sentuhan kasih sayang Allah SWT hendaknya. Amin. Moga sentiasa sihat dengan perlindungan-Nya setiap masa juga. Amin.

Entah mengapa. Hati Raz ini tetap ingin menulis tentang seseorang. Seseorang yang banyak mengajar kehidupan Raz ini dengan banyak perkara. Perkara positif dan perkara negatif. Antaranya..

*Hormat
*Kasih-sayang
*Tanggungjawab
*Perlindungan
*Keperihatinan
*Kesabaran
*Ketaatan
*Kesyukuran
*Kesetiaan
*Kesungguhan
-Penipuan
-Kekecewaan
-Hipokrit
-Penganiayaan
-Kelukaan
-Penderitaan
-Kekeliruan
-Pengorbanan

Panjang senarainya kan?. Namun itulah serba-serbi yang Raz terima daripada *seorang* sahaja insan. Seorang sahaja hamba Allah SWT yang telah mengubah hidup Raz penuh dengan pelbagai pengalaman yang bermacam-macam. Ada yang indah, unik, manis, pahit, masin, kelat, payau dan segalanya. Apabila difikirkan kembali, Allah hadirkan insan ini sebagai salah satu ujian bagi kehidupan Raz. MasyaAllah. Astghfirullah...

Dalam kebaikan ada ujian.
Dalam keburukan juga begitu ujiannya.

Telusnya, langsung ingatan Raz ini tidak lupus dari membayangkan kehadirannya dalam hidup Raz. Adakala Raz bertanya pada diri sendiri, "Apakah wajar dia dibenci?". Dan kadang-kadang pula Raz bertanya, "Adakah patut dia disayangi?."

Raz renungi alam Allah yang indah setiap hari. Raz terkesan dengan perubahan demi perubahan setiap hari. Dari bunga yang berputik berubah menjadi buah. Dari telur yang kecil berubah menjadi burung yang mampu terbang berkicau di angkasa. Dari pohon yang menghijau menjadi pohon yang kering. Segalanya di dalam pandangan mata Raz setiap hari berubah dengan sendirinya.

Namun, bila Raz pandang pada orang yang hadir mengubah pelbagai perkara dalam hidup Raz ini.. tetap tiada perubahan yang dia lakukan untuk dirinya. Mungkin Raz tertipu dengan andaian Raz sendiri. Wallahua'lam. Mungkin Raz mengharapkan dia berubah mengikut keinginan Raz. Ya! Raz tidak membiarkankan dia berubah mengikut kehendak Allah, sebagaimana makhluk lain yang Raz lihat, dengan kehendak Allah jua segalanya berubah dengan sendirinya. Raz terlalu berharap. Lalu, harapan Raz itu.. berkecai dan ranap! Astaghfirullahalazim.. menjadi pusara yang hanya meninggalkan batu tanda.

Walaubagaimanapun, dari jauh sebanyak-banyak doa Raz untaikan untuk dia. Tidak pernah lupus namanya dari doa-doa yang Raz panjatkan. Moga Allah menyalurkan hidayah-Nya pada Raz dan pada dia bagi kami mengenali hikmah sebenar disebalik apa yang pernah kami lalui.

Jikapun ada badai yang pernah melanda dan pusaran badai itu telah menenggelamkan setiap impian tulus Raz, harapan ini adalah besar. Semoga Raz tidak pernah menghitamkan kehadirannya untuk hidup Raz yang dulu menjadi sebuah permainan marah dan dendam dari hasutan syaitan yang direjam. Sesungguhnya, dia hanya hamba Tuhan yang memiliki pelbagai kelemahan.

"Kasihilah apa yang ada di muka bumi, nescaya kamu akan dikasihi oleh mereka yang berada di langit." [Rasulullah S.A.W]

Hanya sebuah luahan.
Agar lupus kesangsian.
Salam kasih setulus kasih.
MMuahks!

Wednesday, May 25, 2011

Muhasabah Dari Alam




Bismillahirrahmanirrahim..
Assalamualaikum..
Moga dikasihi Allah sentiasa.
Moga setiap impan dan doa kita diperkenankan Allah SWT.
Bersyukurlah bagi kita yang Allah telah makbulkan doanya juga. Moga tidak jauh dari mengingati Allah sentiasa.

Petang tadi, pulang dari pejabat, Raz terus mengusuri jalan terus ke suatu tempat. (Gambar di atas adalah tempatnya) Cuaca cukup baik. Langit kelihatan indah. Setelah berpenat lelah, memerah benak terhadap urusan seharian, terasa mahu melihat pesona alam ciptaan Tuhan.

Cantik sungguh alam Allah. Tidak ada seinci pun ruang ciptaannya itu nampak buruk atau sakit mata memandang. Lengkap. Pohon lenggok menghijau. Laut membiru menarikan ombak yang bersahaja. Bayu dingin melarik kulit tubuh dengan mesra. Dan, langit senja yang memekarkan cahaya jingganya. Cukup menggoda jiwa! MasyaAllah!

Bertanya Raz pada diri ini, "Apa lagi mahumu? Setelah Dia mengurniakan segalanya ini untukmu, kamu masih tetap mengingini sedikit keindahan yang tidak diizinkan-Nya untukmu?"

Kitalah itu, yang tidak pernah-pernah puas dengan pemberian-Nya. Sentiasa menagih-nagih terus mengharapkan segala kehendak diri dipuaskan. Kadangkala meragut keseimbangan akal untuk waras hanya kerana satu impian kecil yang tidak dipenuhi oleh-Nya, sedang DIA telahpun menyediakan banyak kebaikan lain yang tidak kita pandang dengan jiwa yang lega dan redha. Astaghfirullahalazim.. Kekalutan sungguh jiwa manusia. Terburu nafsu dengan kehangatan yang belum tentu berterusan panasnya, sedang kehangatan Allah itu sentiasa terbuka di ruang luas dunia ini untuk kita fikir-fikirkan hingga hujung nyawa.

Ya Allah, sentuhlah kami dengan hidayah-Mu. Izinkan kami terus memahami rahsia-Mu agar tidak kami hanyut dengan rahsia diri yang belum tentu nyata. Semuanya atas garis kemungkinan semata. Mungkin yang masih belum tercipta tetapi diburu-buru bagai nak gila.

Memperkuatkan keimanan disamping serangan syaitan yang bertubi-tubi bukanlah sesuatu yang mudah. Ada hari kita berada di dalam suasana yang cukup aman, tenang dan bermaya. Manakala, ada hari pula kita akan diusik oleh kegusaran yang tidak semena-mena kekacauannya.

Sama-samalah kita muhasabahkan diri kita melalui apa yang kita lihat pada alam, pada sekeliling kita. Tidak boleh sehari, tetapi perlu dilakukan setiap hari. Usah kita sangka bahawa hari ini kita mengalami hari yang cukup baik, esok kita masih akan tetap melalui hari yang sama baik. Setiap hari yang Allah peluangkan untuk kita dengan meminjamkan nafas adalah untuk tujuan tersebut. Muhasabah dan memperbaiki diri menjadi lebih baik dari hari yang sebelumnya. InsyaAllah..

Malam makin memanggil Raz untuk beristirehat seketika dan InsyaAllah, jika Raz diizinkan bangun keesokkannya, mudah-mudahan Allah sediakan haluan yang baik dan mudah untuk Raz terokai. Amin..

Salam kasih, salam muhasabah.
Selamat malam, moga dikasihi Allah selamanya. MMuuahks..! senyum selalu.

Sekadar Puisi : "JANJI"



Jika berjanji
jangan hanya bermanis kata
melukis ayat berbunga-bunga
hanya mengindahkan bicara
amanah janji usah didusta
antara diri, insan dan Allah Ta'ala
ringan sebutan tak seringan tanggungan

Jika berjanji
usah sekali mungkiri
janji persis sebuah bakti
tidak wajar dikhianati
telus bersih dan sejati

Jika mahu berjanji
kemampuan ditunai harus dikaji
agar tiada hati yang disakiti
tiada hidup yang dibebani
tiada peribadi akan dikeji
janji ibarat sumpah terpatri


Jika sudah berjanji
sambungkan dengan bisikan doa
agar Allah tunaikan segera
sesungguhnya DIAlah penentu segalanya
kerana janji-Nya tepat sentiasa


Dahulukan janji kita dengan Tuhan
InsyaAllah janji dengan insan dapat terus bertahan





Raz.R
03.07.2011
Seutas kasih secebis pesan. Moga Allah sentiasa bukakan jalan-jalan kebaikan. Amin..
Assalamulaikum

Tuesday, May 24, 2011

Bosan Seketika.


Ermmm... Cantiknya gambar ini.. Alangkah baiknya, jika kita boleh lari sebentar dan masuk ke alam yang indah ini kannn???... Kih! Kih! Kih!

Beberapa minit sebelum keluar makan tengahari dan urusan-urusan kerja Raz berlangsung. Astghfirullah.., entah kenapa kebosanan melanda. Ya Allah! Tolong jauhi hati ini dari berkeluh kesah dengan masa-Mu, Tuhanku.

Bagai ada sesuatu yang tidak kena. Seperti ada yang tidak lengkap. Entahlah! Sahabat.. mungkin Raz kurang berzikir. Mungkin Raz kurang melabuhkan rasa pasrah dan tawakkal Raz kepada Allah SWT. Mungkin Raz sedang kesepian. Ha? kesepian???!!! Kih!Kih!Kih!..

Bertenanglah wahai hati
sambutlah pencarian sejati
tetap terus kepada Ilahi
jangan sekali berbahagi
agar iman segar kembali
dan nurani tidakkan mati...

Okay, dah.. kita sambung luah rasa lain kali. Sekarang hampir jam satu tengahari. Perut Raz sedang menyanyi. Lagunya pun tidak enak didengari. Jumpa lagi.. Jangan lupa, senyum dan sebarkanlah ia sehingga terhimpun sepenuh pahala.

Salam kasih kerana Allah. Selamat menjamu selera.
MMmmuahks!!

Thursday, May 19, 2011

Berat Rasa




Wahai rasa yang berat,
tolong jangan melarat,
jadikan hatiku kuat,
agar aku terus semangat,
memupuk tabah nan hebat,
berdoa tanpa tergugat!


Untuk menahan diri menerima hakikat bahawa ada perkara yang amat penting di dalam hidup kita yang sepatutnya kita miliki tetapi tidak mampu dimiliki amatlah sakit. Ia terpaksa ditampankan dan ditegakkan dengan kesabaran yang berganda-ganda. Kekuatan jiwa diperlukan sebanyaknya.

Malahan kita perlu menyusun akal supaya ketat dengan bersangka baik terhadap kegagalan kita meraih impian tersebut. Terpaksa kita pandang segalanya sebagai suratan hidup yang telah ditentukan Ilahi, jikapun hati kita merintih dengan rasa 'mahu semahu-mahunya'. Kita tetap harus akur kepada apa yang telah Allah takdirkan kepada kita.

Kita berdoa, terus selalu berdoa tetapi kadang-kadang doa kita tidak pernah dimakbulkan. Itu lebih akan memilukan. Pelbagai jolokan syaitan akan berkumandang membuatkan kita mula marah kepada Allah. Kita mula terikut dengan rasa tidak puas hati, kenapa bukan kita yang memilikinya sedang kita amat memerlukan.Itulah ujian! Ujian bagi mereka yang sentiasa berdoa. Allah lambat memperkenankan doa kita bukan kerana DIA sengaja membuat kita kecewa, berdukacita atau menderita. Allah Maha Bijaksana mempunyai alasan yang luas menetapkan segala kemungkinan bagi hamba-Nya. Hamba yang dekat dan sentiasa berdoa kepada-Nya adalah hamba yang dikasihi-Nya. Dia amat suka memberikan takdir yang lebih molek kepada hamba-Nya yang sedemikian. Itu kerana Dia lebih tahu keperluan apakah yang hamba-Nya lebih perlu dan mana satu pula yang tidak diperlukan. InsyaAllah. Bercinta dengan Allah SWT menagih lekatan sabar, pengorbanan dan ketabahan yang menggunung bukan mendatar.

Bertahanlah wahai hati yang bergelora dengan cita-cita yang belum tersempurna. Berat rasa yang tersimpan itu pasti akan diringankan Ilahi pada waktu yang ditetapkan oleh-Nya nanti. Kita akan lebih merana andai terus memberatkan rasa kita dengan berburuk sangka kepada apa yang sedang Allah uruskan untuk kita. Carilah kebaikan yang terlindung pada setiap ujian yang Allah sediakan untuk kita.

Semakin kita menahan berat pemberian-Nya dengan usul ikhlas yang redha dan syukur, semakin dekatlah kita pada hidayah-Nya yang tidak terjangka luas keindahan pemberian-Nya. Amin..

Salam kasih dipagi Ahad untuk kita kumpulkan semangat mempercayai Allah dengan sebulat jiwa!

Seribu kali senyum Raz sampaikan dengan wanginya kasih yang mendalam. Moga kita diberkati Tuhan bermula di sini hingga ke akhirat nanti. Amin.. Wallhua'lam.
Assalamualaikum

Tuesday, May 17, 2011

Dialog luka seorang wanita.



"Awat Su tak pi jumpa dia? Terus terang apa yang Su rasa?"

Dia tersenyum hambar. Tawar. Ada sesuatu yang tidak tertelan dengan mudah. Raz tunggu jawapannya dengan sabar.

"Kak,tak tahulah Su nak terus terang macam mana lagi dengannya. Sampai saat ini, Su tak pernah tidak memperjelaskan apa yang Su rasa terhadap hubungan kami, Kak Raz. Su tidak pernah berahsia sikit pun dengan dia. Apa yang Su rasa, ingin dan impi, semuanya Su sudah habag kat dia. Tapi, Su tetap rasa derita, kak. Sakit sangat rasanya meneruskan hubungan yang macam ni. Payah nak faham dia, kak. Bila Su tanya dia faham ka apa yang Su rasa? Dia kata, dia faham. Tapi, dia tak pernah beri Su keputusan yang tepat."

Raz dapat nampak genangan air mata dalam kerdipan matanya. Berkaca. Tanda rasa kelat. Jiwa yang telah lama bertahan, namun makin hari kecundang. Raz dapat lihat kepasrahan dalam rasa tidak berdayanya. Raz lihat dia mengurut-ngurut telapak tangannya. Lidahnya terkumat-kumit. Berbisik, "Ya, Allah! Ya, Allah.". Sepertinya dia sedang menahan sebak. Mempertahankan takung air mata supaya tidak tumpah dan basah.

"Ni, maaflah Kak Raz nak tanya. Dia tu sayang kat hang betui-betui ka?. Ka, dia saja-saja dok bagi hang syiok sendiri ja. Maklumlah kan, mulut senang cakap maneh."

Tanya Raz bersahaja. Bukan niat hati Raz untuk mengguris atau mencungkil rahsia hatinya. Sekadar mahu dia luahkan apa yang berteleku di hatinya begitu lama. Biar ringan. Bunyi macam agak kejam. Tapi, itulah cara biasa Raz. Dia tertunduk.

"Beribu kali, beribu cara dia bagi tau Su yang dia benar-benar sayangkan Su, kak. Sumpahnya, janjinya dan usahanya supaya Su tidak tinggalkan dia. Hemmm..., kadang-kadang Su sangsi jugak. Tertanya jugak samada betui ka dia maksudkan apa yang dijanjikan. Tapi kan kak, Su dapat rasa nada benar bila dia nyatakan kasihnya pada Su. Su tak rasa dia berdusta."

"Dah.. habih tu, pasaipa hang cakap dia tak pedulikan hang. Tak ambik berat pasai apa yang hang rasa?.. Kak jumpa dia hari tu, dia nampak pelik ja. Dia kata lama dah, dia cuba 'contact' hang tapi, hang tak jawab..?"

Tiba-tiba dia mendongak ke langit. Airmatanya terjun jua akhirnya. Raz dapat rasa pedihnya kepedihan yang ditahan-tahan selama ini. Cepat-cepat dia menguis air itu dengan hujung jari. Menepisnya supaya terus jatuh ke bumi, tidak ke pipi.

"Kak, mungkin betui dia sayangkan Su. Tapi, dia ambil kesempatan terhadap kasih sayang Su. Dia tidak benar-benar tunjuk yang dia mahu ambil berat tentang Su. Dia biarkan su buat apa saja keputusan seorang diri. Dia tidak kisah walaupun Su menangis di hadapannya. Su rayu supaya dia fahamkan Su, apa yang dia inginkan dari Su. Su berlembut. Su pujuk sehabis kebaikan yang Su ada. Waktu Su ambil berat tentangnya, dia persalahkan cara Su. Apa yang Su usahakan, semuanya serba tak kena. Su sahaja yang salah atas segalanya. Dia mahu Su ikut semua caranya yang banyak menyakitkan hati Su. Tapi, tidak ada satu cara pun yang Su minta dia buat, diikutnya. Su beri, tapi Su tak pernah terima apa-apa pun!!! Bukan Su tak ikhlas, kak. Bukan Su nak salahkan dia. Su cuma nak dia hargai Su. Su cuma nak dia tahu, ikatan kami bukan sekadar sebelah pihak yang memberi. Sebelah lagi, lepas tangan. Seolahnya, apa yang Su beri adalah perkara remeh yang tidak wajar diungkit. Su, bukan nak ungkit, kak! Su, nak dia faham ke mana harus hubungan kami pergi."

Raz sentuh bahunya dengan tepukan lembut. Melihat dia teresak-esak, Raz hentikan sebarang soalan yang bersarang di hati Raz. Raz berhenti juga mengelirukan diri Raz sendiri. Diam, pandang dengan rasa menyayat pilu dan sayu dengan satu soalan di dalam benak...

"Hubungan kasih apakah ini yang hanya membangkitkan banyak derita?"

Nota :**Su, bukanlah watak sebenar, namun ceritanya adalah benar. Mudah-mudahan jika ada yang tidak bijak menghargai rasa kasih seorang wanita akan terus belajar memahami rahsia dialog mereka yang mungkin senasib dengan watak ini. Berdampinglah dengan wanita yang dikasihi dengan sebaik mungkin. Usah biarkan dialog luka berterusan. Betapa halusnya misteri yang tersimpan disebalik lembutnya seorang wanita.

Sekadar sebuah cerita..Wallhua'lam.

Salam kasih kerana Allah.

Saturday, May 14, 2011

Tulus kasih Selamanya..






A'uzubillahiminashaitonirrajim..
Bismillahirrahmanirrahim..

Assalamualaikum wbt sahabat yang masih ingatkan Raz. Terima kasih untuk kasih sayang yang tidak luak ditelan masa. Setinggi rasa sayang Raz buahkan untuk yang sudi membaca dan tidak muak dengan leteran hati kecil Raz yang tiada ghairahnya. Moga Allah sematkan seluruh cahaya ketenangan saat ini dan saat seterusnya dalam menjalani lembar-lembar hidup yang seringkali dihujani pelbagai dugaan dan cabaran. Moga kita semua tetap terus meraih kebaikan-kebaikan Allah SWT dari dunia hingga akhirat. Amin.. :-)

Dalam hidup Raz, telah Raz kenal ramai insan yang Raz nobatkan mereka ditakhta 'sahabat'. Yang rapat, sangat rapat, kurang rapat dan yang ikut suai tempat. Namun mereka semua tetap sahabat. Semestinya yang seagama akan terus bersaudara. Yang tidak, mereka tetap 'seinsan'. Harga kewujudan mereka mungkin tidak sama dari sudut bangsa, agama dan sebagainya, namun nilai sebuah persahabatan teguh tinggi dijulang hati Raz ini. Merekalah ilmu hidup Raz. Tidak disangkal, dari mereka Raz kenal sejumlah besar tentang kebaikan dan keburukan kehidupan. Dari mereka juga Raz rasa bagaimana rasa pertalian kasih yang benar mahupun yang tidak benar.

Ditambah pula arena maya multimedia yang menyemarakkan persahabatan seantero dunia. Persahabatan menjadi semakin unik. Ramai yang Raz tidak pernah kenal secara 'life', namun kehadiran mereka amat membahagiakan Raz. Malah dihujung kata-kata yang Raz terima melalui mesej maya, ada dari sahabat maya Raz ini amat ikhlas dan menghargai Raz sebagai sahabat mereka setulusnya. Besarnya Kuasa Ilahi yang Maha Pemberi. Dia Mampu memberi kita pelbagai kehebatan murni kasih sayang tanpa batasan.

Tulisan pagi ini semata-mata untuk mendedikasikan rasa terima kasih Raz kepada mereka itu. Disamping memanjatkan setinggi doa agar mereka dan kemuliaan hati mereka berterusan dikembangkan. Moga persahabatan ini diberkati Allah dengan rasa tulus kasih selamanya. Amin.

Kepada sahabat sangat rapat.
Sesungguhnya jauh di dalam hati Raz ini bersemi doa yang mendalam dengan harapan, moga keakraban berterusan kerana Tuhan. Moga kita terus menerus kukuh ketat dengan kasih sayang yang tidak retak dilambung badai kekalutan harian atau pincang dek kelemahan diri sendiri atau mungkin anasir lain yang cuba menjarakkan kerapatan tersebut. Moga kepercayaan dan keyakinan terus menebal, menghakis jauh segala kesangsian sangkaan.

Kepada sahabat rapat
Andai ada kesempurnaan yang diharap di dalam persahabatan ini, sama-samalah kita sedar bahawa persahabatan yang berpanjangan dan sangat rapat memerlukan banyak pengorbanan. Terutama di dalam kefahaman tentang persahabatan itu sendiri. Tidak mustahil suai kenal ini lama-kelamaan akan membungakan satu ikatan yang lebih erat. InsyaAllah..Sama-samalah kita himpunkan doa agar terus sejahtera ikatan kita.

Kepada sahabat biasa.
Kehadiran kalian juga turut berperanan besar dalam hidup Raz. Walau singgah, kemudian hilang, ia tetap memberikan keindahan untuk ruang longgar masa persahabatan yang dilalui. Sekurang-kurangnya Raz telah mengenali dan Raz belajar memahami. Tidak semua ikatan akan berakhir dengan persahabatan yang panjang. Anda juga telah menyempurnakan apa yang kurang lengkap pada hidup Raz selama ini. Silakan, jika ingin tetap kembali menyambung ikatan ini. Allah sentiasa membuka buana silatulrahim kita selagi hayat masih di jasad.

Kepada sahabat baru.
Datanglah, dekatlah.. Jika Allah mengizinkan perkenalan ini dibajai dengan kasih-sayang-Nya dan membuahkan sesuatu yang baik di antara kita, hulurkan tangan dengan keikhlasan. Usah malu, jangan segan. Sediakan nawaitu hati yang jujur, InsyaAllah, kita akan terus erat dengan senyum persahabatan yang amat berkat.

Terima kasih semua!
Sumbangan tulus hati yang diberi untuk persahabatan ini sungguh amat bererti.
Salam kasih kerana Allah.
Senyum seindah pagi menyemarakkan seluruh seri dengan 'extra' MMmmmmmuah!
Jaga diri, jaga peribadi, jaga iman.
Moga persahabatan bertemu kesejatian.

Tuesday, May 3, 2011

Kata-kata Orang.



Pulang dari bertugas. Senja telah hilang, maghrib mengundang. Keletihan lagi.

"Opss!!Jangan komplen.. sabar..sabar, Raz"

Ya! Sabar..
Jika sabar tiada, tentu Raz telah istiharkan perang dunia. Buka pencak silat, ramai-ramai melompat. Atau, mungkin masuk gelanggang, berlawan tarik rambut. Kih!Kih!Kih!
Semuanya kerana "KATA ORANG".

Salam, sahabat semua. Salam sayang. Salam kasih. Mohon dimaafkan emosi Raz tatkala mengetik bicara di sini. Seperti termaklum, Raz adalah insan biasa yang terhias dengan bukan kecantikan tetapi banyak kepincangan diri yang sentiasa perlu dikilatkan. Saat ini, Raz sedang rasa amat bosan. Astaghfirullahalazim.. Bosan dengan kata-kata orang. Iyalah! Hidup pun dengan orang, kan? Kemana mahu lari? Bumi ini memang diciptakan oleh Ilahi untuk hamba2-Nya yang bernama ORANG. (Sedang tersenyum)

Mulut- Allah berikan mulut bukan hanya untuk makan tetapi untuk berkata-kata. Bila makan, kita perlu perhatikan apa yang kita makan. Begitulah bila berkata, kita perlu sedar apa yang kita katakan. Allah Maha Mendengar. Disediakan kita mulut untuk Dia mendengar kita memuji-muji nama-Nya, kebesaran-Nya dan kehebatan-Nya. MasyaAllah! Dialah yang TERLAYAK untuk menerima segala pujian dari kita. Subhanallah!

Mulut kita- Raz terfikir-fikir, berapa banyak kata-kata yang Raz guna untuk memuji Allah SWT selama ini. Berapa kerap Raz guna kata-kata dari mulut Raz untuk dikuasai oleh apa yang Allah mahukan.Bilanglah jumlahnya dalam seharian. Wahai hati, jawablah dengan kejujuran. Astaghfirulahalazim...Mudah-mudahan kita sering mengingati tujuan hidup kita yang sebenarnya.

"Kerana mulut, badan binasa.."

Kata-kata mempengaruhi hampir seluruh kehidupan kita. Tanpa kata-kata, kita mungkin tidak dapat menjadi orang yang mengerti dan memahami. Tanpanya juga, kita tidak kenal yang kita ini manusia. Kita mungkin akan menjadi seorang manusia yang amat terbawah, jika tidak dihadirkan dengan kata-kata. Mungkin kita akan menjadi manusia pekak atau tidak tahu apa itu kata-kata.

Maaf,berdefinisi panjang pula Raz kali ini. Kita terus kepada maksud yang sebenar yang cuba Raz kongsi bersama di sini. Pengaruh kata manusia di dalam kehidupan kita tergaul dengan pelbagai jenis dan ragam tetapi tetap menjurus kepada dua bahagian. KATA POSITIF (Nasihat,atau pujian) dan KATA NEGATIF (Kritikan atau umpatan)

Penerimaan kita terhadap kedua ragam kata ini tetap terpulang kepada bagaimana pembawaan hati dan kekuatan jiwa.

Hampir 100% dari kita amat gemar kepada kata-kata positif dan sangat sedikit juga menggemari kata-kata negatif. Raz juga mengakui yang Raz adalah dikalangan mereka yang tidak menggemari kata negatif. Namun, Raz sedang berusaha mengitar semula kata-kata negatif menjadi bahan motivasi kepada diri sendiri. InsyaAllah, semoga ingatan ini terus menerus terpahat sebagai satu amalan.

Walaubagaimanapun, kita tetap perlu mengawal kata-kata agar tidak keterlaluan dan kemelampauan. Apa saja yang kita lakukan perlu mengikut TERTIB.Sebagaimana Allah meletakkan tertib sebagai salah satu rukun ibadah. Begitulah hendaknya kita mengambil tertib sebagai rukun hidup. Tanpa tertib pincanglah sikap. Susun mengikut keadaan dan keperluan. Akal perlu mendahului tindakkan. Jika kata-kata yang bakal kita keluarkan itu tidak memenuhi keperluan, eloklah kita simpan sehingga ia benar-benar diperlukan. Contohnya kejian dan umpatan. Kata-kata itu tergolong di dalam versi melampau. Jadi, simpan sahaja kata-kata itu daripada ia terbit dan berbuah menjadi dosa.

Andai, kita adalah penerima kata-kata orang yang sarat dengan umpatan dan kejian, bertenanglah. Yakinlah bahawa Allah sedang membalikkan kata-kata nista itu sebagai hadiah yang baik. Amin. Jika hati terasa pilu, sakit dan terguris dengan kata-kata orang itu, sabarlah dan cuba abaikannya. Kita tidak akan mampu mengikut dan menurut semua kata-kata orang. Kita tidak akan berdaya memenuhi semua kehendak orang. Dan, jarang sekali segala usaha kita akan dapat memberi kepuasan kepada orang lain. Sangat jarang!

Kata-kata tetap akan menjadi hanya kata-kata jika tidak bersama usaha.

Jadi, biarkan kata-kata yang buruk itu terbit dari hati yang tidak puas dan keji. Jika kita mahu mempertikaikan, membandingkan atau mengukur-ngukur kata orang,tidak akan ada hujungnya. Tidak bernoktah. Hidup kita hanya akan dibayangi kesakitan dan keletihan yang panjang kerana terlalu mahukan kesempurnaan untuk kepuasan mengikut apa sahaja yang dikata orang. Malah kita akan terus berada di dalam ketakutan dan tidak berdaya membuat keputusan yang terbaik di dalam sesuatu perkara semata-mata ingin mengimbangi apa kata orang.

Dengar, angguk.. namun tidak semestinya segala perkara perlu dilaksanakan. Dengarlah naluri hati yang sentiasa menyuruh kepada kebaikan dan buatlah ulasan dengan akal yang waras. Yang baik, ambillah sebagai hidayah. Yang buruk, jangan jadikan ia lebih payah.

Wallhua'lam..

Kata-kata yang buruk akan jadi bisa jika kita membenarkan racunnya menyerap. Moga kita tidak membiarkan diri kita terikut dengan kata-kata orang yang tidak memberi sebarang keuntungan kepada kita. Kiranya kata-kata itu benar mengajak kita ber-uzlah demi satu pembaharuan yang baik di dalam kehidupan pula, bersyukurlah dan tertibkanlah diri melaksanakannya dengan kesungguhan ke arah kebaikan. InsyaAllah, semuanya akan menjadi baik juga. Amin.

Salam sayang penuh senyuman.. MMuahhks..
Raz.R