Salam kasih Kerana Allah

Salam kasih Kerana Allah
Assalamualaikum wbt - Sekadar Berkongsi Ilham dan Pengalaman

Sunday, September 23, 2012

Berserah dia redha



Allah sentiasa menilai air mata hamba-Nya yang menguatkan diri dengan kesabaran penuh taat dan keikhlasan. Allahuakhbar!

Bissmillahirrahmanirrahim...
Tiada manusia yang beriman itu tidak dihimpit payah.
Dia sentiasa terduga dengan tombak tajam
Menikam seluruh perasaan, berkecai lumat
Dihumban dirinya menyedut kehampaan
Terketar bangkit dengan rangkak calar kesakitan
Tangisnya tidak kedengaran
Dengan secebis keluhan menampung sedikit ketabahan
Dia terus berjalan dgn satu harapan... Tuhan! Tuhan! Tuhan!

Saat dirinya dipagari jerat kekecewaan
Duduknya sendirian.. dibuka lapisan demi lapisan
Sesuci Kalam Ilahi, di situ ketenangan dicari
Belas insan diketepi, bantuan Robbnya dinanti
Sebak dan rabak tangisan.. Ribuan doa dihujankan

"Ya Allah.. Ya Robbi.. Jangan aku lumpuh sendiri."

Terlena dihamparan hijau... sayup mendakap kitab..
Kering linangan basah mata mengharap
Dingin tubuh diselimuti senyap
Lemah hibanya dia.. Lelah meniti usia.. Berserah  dia redha...


Raz.R
Hanya Kerana Allah

Friday, September 21, 2012

Kuntum Bahagia

Bismillahirrahmanirrahim..
21hb September 2012. Alhamdulillah. Jumaat yang amat baik. Raz mendoakan hidup kita semua di dalam keadaan baik, penuh kerahmatan dan kasih-sayang Allah selalu. Ameen.

Raz ingin kongsikan sebuah sketsa ringkas yang bermakna kepada diri Raz malam ini. Raz harap ia akan menjadi bermakna kepada sesiapa yang tumpang membacanya. Mudah-mudahan ia membuka rasa ke arah yang mendamaikan sesiapa sahaja. Ameen Ya Robbal Alamin. Subhanallah.

Dikisahkan ada seorang suami sangat marah kepada isterinya dengan kebengisan dan memberikan amaran dengan angkuh sekali.
"Aku akan pastikan engkau hidup dalam keadaan sengsara!"
Mendengarkan kata-kata suaminya yang pedih itu, si isteri dengan sopan dan tenang  menjawab,

"Maafkan saya bang. Abang pasti tidak akan mampu membuatkan saya sengsara, sepertimana abang juga tidak ada kuasa membahagiakan saya."

Suaminya semakin berang lalu menempelaknya dengan garang sekali, " Siapa cakap? Aku pasti dapat melakukan apa sahaja yang aku mahu untuk menyiksamu."

Dengan yakin seolah ada kekuatan terselindung membantunya, dia menjawab lagi,

"Seandainya kebahagiaan itu terletak pada gaji, pasti abang berupaya memotongnya dari saya. Jika kebahagiaan itu terletak pada perhiasan dan gaun yang indah, sudah tentu abang dapat melarang saya daripada memakainya. Tapi bang, kebahagiaan itu terletak pada sesuatu yang tidak dapat abang kuasai. Tidak pada abang atau sesiapa sahaja."

Suaminya mencebik namun bernada kehairanan, "Alah! Apa yang engkau merepek ini? Aku lelaki. Sudah tentu aku berkuasa ke atasmu. Engkau tak akan bahagia! Aku boleh buat engkau tidak bahagia!"

Bersama kesabaran dan keyakinan, isterinya terus berkata,
"Maafkan saya, bang. Saya mendapatkan kebahagiaan dalam iman, dan iman itu ada di hati saya dan hati saya ini tidak dikuasai sesiapa pun melainkan Allah."

Subhanallah, dengan hati yang teguh mencintai Allah, sesungguhnya dialah bunga yang teramat indah. Kuntumnya bukan sahaja mewangi, malahan bahagia sekali.

Salam kasih kerana Allah.
Tulus senyum dari Raz.R

Dekatilah orang-orang yang bahagia dan mahu membahagiakan hatinya, nescaya engkau turut bahagia. InsyaAllah. Ameen.




Saturday, September 15, 2012

Selamat Malam Dunia

Bismillahirrahmanirrahim.....
Hati yang menjelajah malam
Membisik suara lunaknya
Mencari damai balutan nurani
Pejamkan mata dengan nama Ilahi
Andai terjaga..
Sambunglah berkah-Nya
Andai pergi..
Bawalah rahmah-Nya

"Selamat Malam Dunia"


Sabda Rasulullah SAW : "Jika seseorang dari kalian tidur, maka syaitan membuat 3 ikatan pada lehernya yang dilakukan padamu sepanjang tidurmu. Maka tidurlah, dan jika kamu terbangun, sebutlah (ingatlah) Allah, maka satu ikatan akan terlepas. Kemudian, jika kamu berwuduk, maka akan terlepas satu ikatan, dan kemudian jika kamu melaksanakan solat, maka akan terlepas satu ikatan lagi hingga dia dia memulakan paginya dengan semangat dan jiwa yang bersih. Jika tidak, jiwanya akan kotor dan dalam keadaan malas." (Riwayat Bukhari dan Muslim)


Lidah Dan Hati

Bissmillahirrahmanirrahim..
Raz ingin menemani laman ini dengan seringkas nota bersama kasih Raz yang penuh di jiwa membahasakan rasa dan pengalaman untuk ingatan diri juga pembaca yang ingin turut memahami. Senyum. Semoga tulisan Raz diiringi kasih-sayang dan keberkatan dari Ilahi yang PALING Menyayangi. Ameen Ya Robbal Alamin. Subhanallah wabihamdih; Subhanallahiladziem.. Maafkanlah Raz seandainya apa yang dikongsi mungkin tidak menepati atau tersalah erti. Astaghfirullahaladziem.

Suatu hari, Raz ada berbual dengan seorang sahabat. Katanya, dia tidak suka bercakap banyak. Biarlah jika dia dianggap sombong atau bodoh asalkan lidahnya tidak bertikam kata yang menjejaskan perhubungan atau berbicara yang tidak baik. Alhamdulillah, syukur. Raz hormati sikap sedemikian. Alangkah bagusnya jika ramai diantara kita (termasuk Raz, yang tidak pernah maksum ini) memiliki niat hati yang sebegitu. Apatah lagi bagi kita yang mengakui diri kita ini ummat Rasulullah SAW.

Sejurus dari perbualan Raz tersebut, Raz temui pula sebuah kalimat daripada seorang ulamak tersohor yang Raz baca berbunyi :

"Wahai hamba! Apabila engkau berkata-kata, maka berkata-katalah engkau dengan niat yang baik, benar dan jujur. Sebaliknya jika engkau hendak diam, maka diamlah engkau dengan niat yang baik, benar dan jujur juga. Setiap orang yang tidak mendahulukan NIAT SEBELUM BERAMAL, maka TIADALAH  AMAL baginya. Adapun engkau, jika engkau berkata-kata atau diam, maka engkau selalu berada di dalam dosa, kerana engkau tidak berniat dengan benar sebelum melakukannya."
( Sheikh Abdul Qadir Al-Jailani)

Terkesima hati Raz!
Sungguh benar!
Kita perlu ingat bahawa sekalipun kita berdiam, diam kita itu biarlah selari dengan niat yang jernih di dalam hati. Diam yang benar (As-siddiq). Diam yang tidak membawa dendam di hati. Apalah ertinya bila berdiam tetapi hati di dalam berniat untuk menyakiti atau menghukum orang lain atas sebab-sebab yang telah 'tersakiti'. Berdiam, namun hati dipenuhi hasad, khianat atau membuatkan orang lain menderita apalah ertinya kerana ia juga hanya membuahkan kemurkaan Allah.

Apatah lagi bila kita berkata-kata, yang ternyata bila ia dapat menghiriskan dan mendustakan sesuatu situasi. Sudah tentunya ia melambangkan hati yang buruk sekali. Na'uzubillahiminzalik! Betapa kita mengatakan kita takut kepada Allah, padahal kita tidak takut kepada-Nya lalu tidak malu mendustakan Allah malah diri sendiri juga. Aduhai... sama-samalah kita muhasabahkan diri kita.

Jadikan niat kita sebagai permulaan bagi membetulkan hati, lidah dan perbuatan. Mudah-mudahan kita dapat mengasah ketajaman peribadi agar bercahaya menjadi khalif dan hamba yang mengikuti sunnah dan kalam Allah. Selarikan lidah dan hati saat kita berdiam atau berkata-kata dengan niat yang baik-baik sahaja. Berkatalah kita kebenaran supaya hidup kita ini dapat disusuli dengan kebenaran sehingga Allah meredhai kita. Adalah lebih baik berkata benar daripada mendiamkan sesuatu yang buruk dan merosakkan kehidupan kita dan kemungkinan hidup orang lain juga, atau berdiam menyembunyikan kebaikan sehingga hidup kita dan orang lain tidak menerima kebaikan Allah. Berdiamlah kita dengan doa yang baik-baik hanya jika kita tidak berdaya membetulkan sesuatu nista setelah kita berusaha.

Wallahu'alam.
Salam kasih dari Raz kerana Ilahi. Ameen.


"Keimanan dan kekufuran seseorang tiada terang dan jelas, selain dengan kesaksian lidah."-Imam Ghazali.
 Lidah mempunyai ketaatan yang besar dan mempunyai dosa yang besar juga. Anggota tubuh yang paling besar dosanya ialah lidah. Ia adalah perangkap syaitan yang paling jitu untuk merosakkan manusia dan sesamanya.


Monday, September 10, 2012

Ketika Ini



Segalanya akan baik-baik sahaja, InsyaAllah.. Terus bersabarlah!
Ketika ini..
Mungkin ada yang menanggung musibah
Beban yang ditanggung terasa payah
Gelap bertandang ditimpa kalah

Ketika ini..
Mungkin ada yang berkeluh kesah
Derita terpaut hantaman parah
Jiwa tertekan semangat rebah

Ketika ini..
Mungkin ada yang terdiam susah
Berat di galas dalam gelisah
Terduga iman meniti goyah

Ketika ini..
Dimana kita Muslimin Muslimah
Menyediakan hati, tangan menadah
Tuangkan doa agar melimpah
Semoga Allah memacu arah
Tenang dan lapangkanlah, Ya Allah
Moga yang pahit beroleh rahmah

Ketika ini..
Wahai engkau yang sedang lemah
Ingatkanlah diri tentang kuasa Allah
Dialah Pemberi Seluruh Hikmah
Tutuplah pintu resah lalu bersabarlah!


Tulisan hati Raz.R
Kata Ayah :-"Sungguh, tempat yang paling tinggi di sisi Allah itu tidak dimenangi si kaya, tetapi si hamba. Jadilah Hamba-Nya setiap ketika"

"Ya Allah, Wahai Al-Haq, Yang Maha Berhak ke atas hamba-hambaMu, berikanlah kekuatan-Mu kepada mereka-mereka yang menghadapi sebarang musibah, datangkanlah mereka segala hikmah-Mu, lapangkanlah perjalanan hidup mereka sebagaimana yang telah Engkau lapangkanlah bagi mereka-mereka yang telah Engkau lapangkan. Ameen Ya Robb."

Doa, doa dan doa...

Bissmillah..
Gerimis menghujani  alam
Berteleku dalam samar
Doa, doa dan doa
Dengan jiwa, hati dan air mata
Mengharap kurnia
Mendambakan redha-Nya
Tidak dipinta apa-apa
Hanya keampunan dosa
Bersama bening cinta-Nya
Bersatu, bertemu, merayu
Agar cahaya menyuluh qalbu
Menyinar bashirah,
Diberi taufik hidayah..
Ameen Ya Allah!! Perkenankanlah.
 
Senyum-Raz.R- Senyum
Selagi boleh.


Hujan menyembunyikan tangisan..





Sunday, September 9, 2012

PERGI



Bismillah. Singgah lagi di halaman "Diari Lompat" Raz. He-He-He! Yalah, kan? Kalau diari akan ditulis hari-hari tetapi sebab Raz hanya menulis bila Raz rasa ingin dan perlu sahaja, maka moleklah kiranya ia digelar sedemikian rupa. Wah! Macam ahli bangsawan bunyi kata-kata Raz. Senyum... Alhamdulillah, semua perbuatan kita sebenarnya atas gerak dan keizinan dari Allah SWT semata.


Raz mulakan tulisan dengan SENYUM dari hati. Hari ini Ahad dan tarikhnya adalah 09.09.2012.. Buat julung kalinya Raz memecahkan rekod ruangan maya "Indah Hati-Indahlah Kata" dengan berkongsi lagu. Kih!Kih!Kih. Sebenarnya Raz bukanlah seorang yang suka mendengar lagu. Tidaklah maksud Raz tidak menyukainya seratus persen, cuma Raz sangat jarang melayan mana-mana lagu tanpa ada sebarang sebab.

Entah kenapa tiba-tiba hari ini setelah siap urusan "Rumah-tangga" (Ehem! Rumah jerrrsss, tangga belom lagi. Senyum.. Ahaks!), Raz terasa ingin sangat mendengar lagu. Adik Aizat terpilih. Bertuah hang Aizat! Akak pilih suara hang! Hari ini dalam sejarah. Jom kita layan liriknya yang menarik di bawah ini. Raz terpikat dengan bahasa 'hiperbola' yang terselindung di sebalik liriknya. Agak bagus! Suaranya pun serak-serak sayu menusuk kalbu. Bolehlah dilayan Raz yang tidak suka melayan nih. Senyum lagi.

"Sayu terpisah
Hikayat indah kini hanya tinggal sejarah
Berhembus angin rindu
Begitu nyamannya terhidu wangian kasihmu
Hujan lebat mencurah kini
Bagaikan tiada henti
Kaulah laguku kau irama terindah
Tak lagi kudengari
Kau pergi.. pergi.
Sepi tanpa kata
Terdiam dan kaku tak daya kau kulupa
Apa pun kata mereka
Biarkan kenangan berbunga di ranting usia"



Bahagian yang menyebut "Hujan lebat mencurah kini.." itu, Raz suka sangat!. Manis di dengar. Mungkin sebab Raz menyukai keindahan hujan atau mungkin yang tersirat di sebalik liriknya yang mempunyai kisah menyentuh hati. Segalanya "mungkin" sahaja..

Hakikatnya di dalam hidup kita, samada rela, terpaksa atau sengaja, ada sahaja insan atau memori yang datang dan pergi. Itulah namanya takdir Ilahi. Bagaimana indah pun suatu kenangan yang tersimpan atau bagaimana dalam jua kasihnya kita kepada seseorang, sampai suatu saat Allah akan membuatkan kita melalui situasi "Pergi" seperti yang terlirik. Benar! Persediaan awal hati untuk tabah menghadapi keadaan ini perlu diadakan walaupun kita tidak meminta ia berlaku dan tidak ingin ia berlaku.
Apa jua yang kita lalui di dalam hal yang berkaitan dengan ketentuan Allah ini kita wajib hadapinya dengan keadaan yang sederhana, yakni jika gembira, usah terlalu gembira dan jika sedih jangan terlalu derita. Benarlah sepertimana firman-Nya dalam surah Al-An'am ayat 44 yang bermaksud :-

"Tatkala mereka melupakan peringatan yang telah diberikan kepada mereka, Kami pun membukakan semua pintu (kesenangan) buat mereka, sehingga mereka bergembira dengan apa yang diberikan kepada mereka. Kami akan menariknya daripada mereka secara tiba-tiba, maka ketika itu mereka terdiam berputus asa."

Mahu tidak mahu, itulah rencah hidup bagi kehidupan dunia yang hanya jelasnya sementara cuma dan kita semua adalah makhluk baharu yang dicipta Allah tidak akan kekal menongkat dunia. Berpisah 'hidup' atau berpisah 'mati', pasti ia terjadi.

Walaubagaimanapun takdir yang Allah Subhanahuwataala sediakan untuk kita, Dia-lah yang Maha Mengetahui hikmah dan kebaikan di sebalik aturan-Nya tersebut. Jika usia kita panjang, "Biarkanlah kenangan tersebut berbunga di ranting usia." Ya, jadikan ia pengalaman yang mengajar kita menjadi insan sejati. Insan yang kuat dan tabah melalui masa hadapan dan InsyaAllah juga insan yang redha dan sentiasa memupuk keimanan kerana belajar memahami cinta Tuhan hingga akhir hayat diri.

Jika kenangan itu buruk, jangan jadikan ia dendam. Harumkanlah ia sebagai pengajaran yang buruk adalah untuk diperbetulkan. Manakala jika kenangan itu baik, jangan terlalu asyik. Bersyukurlah, kebaikan itu mengajar kita mengenal maksud kebaikan Allah yang mendalam. Ameen Ya Robbal Alamin. Subhanallah.

Teruskan hidup. Berjuanglah sehingga nafas di hujung halkum dan pastikan kembalinya kita kepada Allah nanti adalah "Pergi" yang bersih dan diampuni Ilahi. "Pergi" yang diredhai dan pergi yang putih suci!
Wallhua'lam.

Salam cinta hablumminannas dari Raz.R kerana Allah.
Jaga diri baik-baik na? Ingat Allah selalu, jangan jemu.
Senyum yang tidak henti dan senyum ini kekal diingatan. InsyaAllah. Ameen.

Thursday, September 6, 2012

Memahami?

Sebuah bingkisan yang Raz kutip daripada halaman "Facebook" dan ditampalkan di sini untuk perkongsian dan difikirkan bersama. Raz tersenyum bila membacanya. Tersirat kisah hanya bagi mereka yang pernah melaluinya. Agak pening dan keliru namun hakikatnya maksudnya hanya satu..
Semuanya terkandung di dalam persepsi fikiran masing-masing... "Bagaimana mahumu?"
 
 
Bila saya selalu call, awak tak jawab,
awak suruh saya memahami.
Bila saya selalu SMS, awak tak jawab,
awak suruh saya memahami.
Saya buat semua itu untuk memahami awak,
tapi akhirnya awak kata pula saya tak nak memahami awak.

Bagaimana saya hendak memahami awak,
sedangkan saya tak tahu tentang masalah awak?
dan awak pun tak pernah hendak bercerita tentang masalah awak.
Tapi akhirnya awak kata lagi saya tak nak memahami awak.

Tapi bila saya tak jawab call awak,
bila saya tak jawab SMS awak,
bila saya hilang pergi jauh daripada awak,
saya berharap awak pula yang akan memahami saya.
 


Wednesday, September 5, 2012

You Are A Beautiful Gift

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh..

Sincerely from Raz.R with Love and Smile

Saturday, September 1, 2012

Berubah





Bismillahirrahmanirrahim.
Dengan nama Allah, Raz menulis lagi. Biarlah, sekalipun tulisan Raz tiada seri, tiada erti tetapi ia adalah tulisan hati. Bukan kerana sesiapa tetapi kerana hati ingin menulis memecahkan rasa yang terbuku di dalamnya. Ehem.. Senyum. Jiwang karat maya la pulak bunyinya!

Tidaklah banyak sangat yang ingin dikatakan. Sekadar singgah mengisi sesuatu yang Raz anggap sebagai "Penghangat Jiwa.". Oleh kerana Raz selalu singgah di sini, mengulang baca apa yang Raz tulis sendiri, halaman ini Raz telah anggap sebagai diari. Hari ini kita menegur diri, esok mungkin kita leka. Dengan mengingat semula teguran tersebut sahajalah yang boleh menggerakkan kita daripada lupa siapa diri kita dan bagaimana yang harus kita ubah diri dan tetap pada pendirian tersebut. Untuk membaiki diri, kita perlu selalu menasihati diri (Muhasabah).

Pengalaman mengajar kita banyak perkara yang pelbagai asam garamnya. Alam semesta dan manusia sekeliling mengajarkan kita ilmu hidup. Sesekali, kita terjatuh untuk belajar bangun. Kita rebah untuk belajar berdiri dan berjalan. Semua itu adalah perubahan-perubahan yang mendidik kita sesuatu. Benarlah bahawa segala perubahan itu tidak pernah memburukkan. Sekalipun mungkin ia rumit untuk kita terima, sakit untuk kita redha namun hakikatnya ia adalah sesuatu yang tetap baik! MasyaAllah. Subhanallah. Segalanya adalah rahsia Allah yang akan kita nampak jika kita tidak menutup dan membutakan mata hati kita sendiri. Bukan untuk sesiapa. Segalanya untuk kebaikan diri sendiri.

Kekadang, kita menilai orang lain untuk berubah. Kita pandang dunia semakin serong dengan perkara-perkara yang tidak mahu diubah manusia. Tetapi kita silap. Perubahan yang kita perlukan itu sebenarnya tidak bermula daripada orang lain. Ia sepatutnya bermula daripada diri kita sendiri. Jika dunia meminta perubahan dan tiada siapa yang 'mahu' memulakan, maka tiada apa pun yang akan berubah!

Janganlah kita marah dan mengharapkan orang lain berubah sepertimana yang kita inginkan sedangkan kita sendiri tidak pernah berubah sepertimana yang kita inginkan. Kadang-kadang, banyak kali kita berazam membuak-buak kononnya untuk menjadi lebih baik daripada semalam, tetapi kita sendiri memungkirinya? Sinisnya diri kita. Plastiknya kita. Jadi, jika orang lain tidak berubah, janganlah kita kecewa, usahlah kita marah seperti mana kita tidak harus marah dan kecewa dengan usaha untuk mengubah diri kita sendiri. Berilah peluang pada diri sendiri perlahan-lahan dan sewajarnya jugalah kita lapangkan peluang kepada orang lain juga. Maafkan sahaja setiap kejadian yang tidak kita sangka dan dorongkan diri kita secara positif untuk berusaha berubah disamping mendoakan dengan istiqamah. Doakan orang lain juga. InsyaAllah, apa yang kita beri, akan Allah kembalikan kepada kita dengan cara-Nya. Ameen. "What you give, you will get back, rite?"

Jangan kita mendesak dan menyalahkan orang lain atas kegagalan suatu perubahan. Itu bermakna kita adalah di kalangan orang yang ego dan penting diri. Orang yang ego ini, tidak suka untuk memberi dengan tulus hati, hanya mahu menerima dan hanya mahu dirinya dilayan dan diakui benar semata.

Seandainya, kita mahu sesuatu yang baik berlaku terhadap diri kita, percayalah, kitalah yang terlebih dahulu memulakan sesuatu dengan baik. "Orang yang memulakan sebarang pemberian yang baik adalah manusia yang di hatinya penuh cinta". Untuk menerima cinta, kitalah yang mula memberikan cinta. Tidak perlu menanti orang lain memberi, barulah kita cuba memberi. Mulakan terlebih dahulu!

Kita mulakan perubahan diri kita dengan satu prinsip yang jangan sekali kita lekangkan dari hati.Berikanlah senyuman berselikan doa setiap masa dan Raz sedang melakukan perkara yang sama kepada sesiapa sahaja. InsyaAllah.Ameen.

Tulus dari hati, jangan ada benci walau sebesar biji cili.
Raz.R
Senyum.