Salam kasih Kerana Allah

Salam kasih Kerana Allah
Assalamualaikum wbt - Sekadar Berkongsi Ilham dan Pengalaman

Wednesday, June 30, 2010

SURAUKU




Assalamulaikum wahai semua sahabat Raz yang sudi-sudi merajinkan diri membaca luahan yang tidak seberapanya ini. Terlebih dahulu Raz mohon ampun dan maaf jika ada yang tertulis di ruangan Raz akan atau mungkin memberikan kesan kecewa, terguris dan sebagainya. Sesungguhnya Raz ini hanya hamba-Nya yang kerdil, lemah dan tak bisa bertegak sedikitpun tanpa kuasa-Nya.

Maaf juga sekali lagi, kerana melengah-lengahkan ruangan yang dibuka untuk diisi dengan sesuatu tetapi tiba-tiba seolah beku. Kelemahan Raz yang ada waktu tidak mampu diperbaiki. Terbengkok dengan sendiri kerana ujian-ujian yang terasa berat mahu digalas dan membuatkan segalanya terbatas.

Ini sedikit suara dari Raz, sebuah luahan ikhlas:-

Surau..
Waktu zohor..26 June 2010.
Mungkin hari ini hari terakhir aku bersolat di surau yg sudah bertahun-tahun menjadi sahabat peneman sepi. Sahabat yang sama-sama mendengar aku bertafakkur dan merintih. Sahabat yang mendengar dan menjadi saksi ketika aku menangisi kealpaanku dan kebodohanku. Surau yang menjadi teman ketika aku mahu berseorangan. Surau itu seolah mengerti sayunya hati. Surau itu seolah tahu aku akan pergi.

Aku berbual dengan surauku, sahabatku.. "Terima kasih, wahai surauku. Kamu telah menjadi sahabatku yang paling baik selama ini. Mendengar aku dengan bisu. Mengerti setiap luahan hatiku. Kamu menjadi penemanku tika aku bersama Yang Khalik. Moga Allah membalas segalanya yang kau kongsi bersamaku."

Surau kecil itu tidak pernah letih menanti kehadiranku. Tidak pernah jemu melihat karenah dan gelagatku. Setia menyimpan segala halimunan rahsiaku yang tertulis di situ. Sedih meninggalkanmu. Pilu berjauhan denganmu. Apa pun hakikatnya, tujuan kita sama. Pada Allah SWT sahaja kita meletakkan diri di mana saja kita berdiri.

Terima kasihku pada Tuan yg telah membinakan surau itu. Kali ini Tuan itu telah mengalih milik surau itu untuk dipegang yang lain. Tidak lagi aku menjadi temanmu. Namun, InsyaAllah kamu akan sentiasa bertemankan mereka-mereka yang mengingati Allah, wahai surauku. Aku doakan, sekalipun mereka yang memegangmu bukan lagi seperjuangan denganku, kamu akan dilindungi Allah. Kamu tetap di situ menanti setiap rakanmu yang lain bersahabat denganmu. Amin.
Untukmu Tuan, terima kasih kerana mengizinkan aku beteleku di surau binaanmu sepanjang perjalananku di sini. Moga pilihan Tuan menjadi pilihan yang terbaik.

Sampai waktu, andai usia masih terhulur panjang, kita bertemu lagi jika diizinkan Allah. Kamu tetap "sahabatku istimewaku" yang paling baik. Doakan aku sentiasa mengingati dan menyangimu, hingga akhir hayatku, hingga zaman menyinggah ke akhirat, surauku.

Wednesday, March 31, 2010

Untukmu Sahabat Sejatiku (Najah) Dengan Rahmat Dari Allah Selamanya



Aku Berlindung dengan nama-Mu Ya Allah daripada permainan syaitan yang direjam dan Bismillahirrahmanirrahim.. dengan Nama-Mu Allah, Yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih.
Assalamualaikum, wahai teman-teman Raz yang dikasihi dan dilindungi Allah SWT hingga hari ini. Hingga saat ini. Saat nafas belum terhenti. Semoga Allah masih akan dan terus melindungi kita sekeliannya di sini hingga ke akhirat nanti. Amin.

Lama benar rasanya Raz tidak mengemaskinikan cetusan pengalaman Raz disini ya?
Hemmm.. Kelalaian diri sendiri dan situasi sekeliling membuat akal Raz diseka oleh emosi dan kelam kabut kesibukkan dugaan dunia. Nauzubillah..
Tiba-tiba hari ini Raz rasa perasaan hiba ini tidak mampu terluah dengan suara. Tidak juga mampu dikongsi secara nada dengan mereka yang selalu di sisi Raz. Bukan sombong, bukan angkuh, bukan kuat.. cuma sekadar tidak ingin membebani mereka yang menyayangi Raz. Namun, Alhamdulillah, kias-kiasnya terlekat dipendengaran ibu dan ayah Raz dan mereka faham sekalipun Raz mendiamkan diri. Raz kagum MasyaAllah dengan kehebatan mereka mendalami bisikan yang tercetus disebalik riak, mimik wajah Raz.

Tarikh ini 31hb Mac 2010 (Rabu).. semenjak 21 tahun yang lalu Raz mengenali seorang sahabat dunia akhirat yang pada Raz cukup hebat hati nalurinya kepada persahabatan kami. Sebagai manusia zaman ini pada hati Raz ,beliau cukup mulia dan ikhlas dengan persahabatan kami. Jiwanya dan lidahnya sebati dengan nama Allah dan Rasulnya. Sekalipun kami berjauhan dalam dunia meterialisasi ini dan lokasi kami tidak bersentuhan, namun nilai persahabatan yang ada di antara kami tersentuh dengan kemurniaan yang tidak langsung terconteng hitam. Raz menyayanginya tidak sedikit pun kerana apa yang ada di dunia, tetapi kerana Ilahi semata. Dia saudara terdekat Raz selain keluarga sendiri. Keluarganya telah Raz anggap sebagai sebahagian dari diri Raz dan juga keluarga Raz.

Ya Allah, Sesungguhnya Engkau hadirkan dia sebagai sahabatku seolah aku mendapat permata dari syurga-Mu. Terima kasih Tuhanku. Tiadalah dapat kutandingkan sekelumitpun kurniaan-Mu dengan apa sahaja yang termaktub di dunia. Engkau Maha Pemberi Kurnia. Kurniaan-Mu amat Indah!!!!! Alhamdulillah.

Tarikh ini juga, dilingkungan Isya yang masih muda, Raz menerima panggilan telefon dari sahabat ini memberitahu yang dia kehilangan bonda tercinta. Bonda Raz juga. Innalillahiwainnailaihirajiun.. Sesungguhnya dari-Nya kita datang, kepada-Nya juga kita dikembalikan. Arwah bonda angkat Raz ini seorang yang berhati luhur. Hutang budi keluarga bonda sahabat Raz ini, biar tujuh lautan emas tergadai, tidak akan sama seperti nilai kebaikan bonda sahabat Raz.
Berita ini memeranjatkan Raz sekali gus membuatkan Raz tidak ada secuit kata-kata pun yang terlintas di akal untuk diberikan kepada sahabat Raz sebagai tanda Raz juga merasai apa yang dirasai. Tidak terhambur dan tidak terluah. Jika selalunya Raz akan pegang suatu kata-kata yang boleh membuatkan dia teguh dan kuat menghadapi ujian hariannya.., malam ini.. Raz seolah membujur mati. Tidak ada bahasa yang terukir dilentok lidah ini lagi. Seperti masa terhenti. Degup jantung pantas berlari.
Dikejauhan ini Raz amat mengharapkan, amat menagih pertolongan Allah untuk sahabat Raz agar jangan goyah, jangan takut, jangan cemas.. sedangkan Raz sendiri berada di dalam rasa yang teramat-amat cemas, amat takut. Allah! Allah! Allah! Allahuakhbar!
Bersimpang siur persoalan yang muncul di benak fikiran ini. Bagaimana begitu? Kenapa begitu? Sungguh banyak ujian yang dilaluinya Tuhanku, kenapa perlu ada ujian yang besar lagi? Kehilangan insan yang dikasihi?... Tidak!!! Aku tidak sanggup melaluinya Tuhanku. Aku tidak sanggup melihatnya di dalam keadaan itu.

Malam ini, di perantaraan yang jauh ini sahabatku yang ku kasihi..Sangat- sangat ku kasihi.. jika kamu membaca apa yang terluah di sini, tolong ketahui yang aku amat mendoakanmu. Mungkin kita tidak bersama, tetapi sahabatku, ingatlah aku sentiasa mendoakanmu. Kamu adalah dikalangan mereka yang terbaik, oleh itu Allah memberikanmu ujian itu. Sama-samalah kita usah takut terhadap apa yang Allah telah tentukan untuk kita wahai sahabat. Hilang tidak bererti bonda benar-benar hilang. Kita.. Kamu, sebagai anak yang solehah, sudah itu tanggungjawabmu. Doakanlah kesejahteraannya di sisi Ilahi di sana. Doakan agar dia sempurna disambut dengan penuh rahmat, zat dan kasih-Nya. Doakan dia di kalangan mereka yang dikurniakan keuntungan para solehin.

Sahabatku,
Sesungguhnya aku tahu kamu mampu melaluinya dan aku mungkin tidak akan terbentuk sehebat ketabahanmu. Jadi kamu, sahabatku sayang bersyukurlah, redhakanlah menerima kehendak Allah, Maha Pencipta, Maha Mengetahui, Maha Perkasa dalam segalanya.

Malam ini, mungkin adalah malam dukacita bagimu. Tidak mustahil dan sudah tentu tidak mustahil akan hadir giliranku pula, sahabatku. Aku ingin kamu mendoakanku setabah dan setega kamu melalui waktu-waktu seumpamamu.
Cekal dan bersabarlah sahabatku… sesungguhnya segala yang kita miliki tidak pernah pun kita miliki. Allah telah berjanji dan DIA ADALAH YANG MAHA DALAM MENEPATI JANJI-NYA.
Hanya Hak Milik Yang Hak semata-mata.


Berikan dia segala kebaikan-Mu, Ya Rabbi. Sungguh Ya Allah.. dia sahabatku yang baik. Amin.


Salam sayang wahai sahabat. Aku sentiasa bersamamu. Al-fatihah untuk bondamu. Moga dia ditempatkan dikalangan orang-orang yang soleh. Amin, Ya Robbal Alamin.
Wallahua’lam.