Salam kasih Kerana Allah

Salam kasih Kerana Allah
Assalamualaikum wbt - Sekadar Berkongsi Ilham dan Pengalaman

Thursday, June 29, 2017

TOLONG JAGAKAN HATI❤

بسم الله الر حمن الر حيم
اسلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Tak ada manusia pun, mahukan hatinya terluka.
Baik buruk peribadi dirinya, dia tetap mahu hatinya dijaga. Bagi hati yang baik, dia tidak mungkin juga berharap dirinya melukakan hati sesiapa.

Ketika seseorang telah memberikan kepercayaan kepada kita, itu bermakna, dia mahu kita menjaga hatinya.
Namun, hati ini sifatnya pelik. Ada saatnya, tiada sesiapa yang terniat melukakan hati kita tetapi kita pula sendiri yang sengaja merobek rasa di dalamnya. Menghirisnya dengan syak dan sangkaan yang kadang-kadang tidak hadir pada nyata.

Hati, jika kita perhatikan pada bentuk fizikalnya, ia bukanlah seperti seketul daging yang biasa. Ia adalah segumpal darah pejal yang lembut, yangmana jika kita pijak-pijakkan ia, mudah sahaja ia hancur.

Pun, begitu, Allah beri kelebihan kepada hati. Ia dapat menerima kesakitan walaupun sakit secara batin. Dalam pada masa yang sama, ia dapat memperkuatkannya dengan kesakitan tersebut. Itu kuasa Allah.
Namun, Allah tetap mewasiatkan kita agar menjaga hati kita. Rasulullah SAW pun pesan demikian jua. Jaga hati. Hati tempat pandangan Allah. Hati tempat tumbuh segala yang baik dan yang buruk. Hati tempat lahir kasih, sayang dan cinta. Begitu juga sebaliknya dengan hasad, dengki, cemburu, dan haloba. Hati tempat yang syaitan suka goda.
Pendek kata, hati itu amanah.
Amanah Allah yang perlu kita sendiri jaga, dan orang lain juga perlu jaga. Samada hati kita atau hati orang lain, seadilnya kita kena sama-sama jaga.

Seandainya, seseorang telah memberikan hatinya untuk dijaga, maka berusahalah menjaganya dengan baik seadanya. Jangan dipersenda. Jangan dipermainkan. Jangan juga dikecewakan. Jangan diabaikan. Jangan dilukai.

Kita manusia biasa. Benar. Kadang-kadang kita alpa. Tak sedar, ada hati yang sensitif. Sebab, apa yang terbentuk pada hati orang lain adalah ghaib. Urusan Allah. Hanya diketahui olehNya. Jadi jalannya untuk tidak melukakan sesiapa, banyakkan berdoa agar Allah jaga hati kita terlebih dahulu supaya kita dapat teguh dan menjaga hati orang lain juga.
Kadang-kadang, kita tersalah, tersilap yang tidak dapat diterima hati yang lain, makanya mohonlah maaf. Itu ubatnya. Jika dia masih terluka seperti tidak memaafkan dengan mudah, teruskanlah minta Allah berikan taufik kepada hati yang terluka tersebut, kerana setiap hati dipegang oleh Allah sekalipun ia diuruskan oleh manusia. Allah berkuasa melembutkannya. Insha-Allah.

Uruskanlah hati kita sebaik mungkin dan jangan kita bergurau soal hati. Kita tak pernah tahu berapa kali hati itu pernah hancur dan cuba untuk hidup. Berikanlah ia kepercayaan, keyakinan dan ketulusan.

Jika sayang, katakan sayang.
Andai cinta, uruskan cinta itu sebaik-baiknya. Urus ke jalan yang Allah cinta. Itu yang betul.
Jika sekadar suka, sederhanakan jangan terlalu beri signal yang menjurus ke arah kasih.
Kalau tidak suka, biasa-biasakan sahaja, usah terlalu terbawa dengan kebenciannya.

Selalulah ingat, apa sahaja yang kita buat ; Allah mencatat dan akan membalasnya.


Sekian, tulisan hatisaya, Raz, di Aidilfitri ke-5.
Jika saya pernah melukakan, bagi sesiapa yang mengenali, mohon dimaafkan. Saya mengerti betapa pahitnya hati apabila dilukai. Mungkin kesilapan yang terjadi adalah daripada kelemahan diri saya sendiri yang Allah uji. Astaghfirulah. Moga Allah ampunkan saya juga. Selamat Hari Raya Aidilfitri.
Taqobballah minna min kum. Moga Allah rahmati sekelian muslimin dan muslimat. Allahumma solli'ala sayyidina Muhammad. Amin..

P/s: ... dan jika saya berikan hati saya, tolong jagakan sebaik-baiknya kerana Allah ya? Hehehe... 😜🙈