Salam kasih Kerana Allah

Salam kasih Kerana Allah
Assalamualaikum wbt - Sekadar Berkongsi Ilham dan Pengalaman

Monday, October 12, 2009

Sabarlah.. Sabarlah & Sabarlah..



Sabarlah…
“Isk.. sampai bila nak sabar? Semua perkara ada hadnya? Tak larat dah nak sabar tau!!”
Tup-tap; tup-tap, air mata menitis mengorak keluar yang di dlm hati dicengkam dek emosi duka.. He,he,he…

Hermmm…
Jangan begitu wahai diri yang lemah. Kelemahan kita itu adakalanya penuh dengan keistimewaan yang kita tidak sangka sama sekali.

Orang Mukmin sejati, bila Allah SWT susahkan dia, dia berfikir, tentu Allah mahu memberikan kita pahala sabar. Pahala sabar itu “bighairi hisab”(tanpa dihitung-hitung)
Jika kebaikan biasa yg kita buat diberi pahala 1/10 atau paling tinggi 1 hingga 700, tapi pahala sabar itu mungkin dibalas dengan 7juta atau seisi langit dan bumi. Terpulanglah pada Ilahi untuk memberinya.
Tengok tu?.. Hebat sungguh pahala sabar. Patutlah di dalam Al-Quran banyak disebut-sebut tentang sabar. Rupa-rupanya Allah telah berikan sabar itu taraf yg istimewa.

Kita org Mukmin dicemburui orang lain. Kita patut bangga bila ada yang cemburu pada kita berkenaan ini. Kekuatan kita selalu dengan sabar. Biar ditembak, dicemuh, dianiaya dan sebagainya…. Kita masih sabar. Dapat pahala tu.. Bila kita dapat sesuatu yang baik pula, seperti dapat duit, dapat suami, dapat isteri, anak dsbgnya, kita akan sedar bahawa nikmat itu dari Allah SWT lalu kita bersyukur pula. Dah, dapat pahala lagi…

Namun, hakikatnya kebanyakkan dari kita, bila diberi nikmat, ia menjadi bala dan bila nikmat menjadi bala maka muncullah dosa. Bila diuji pun, terasa dihempuk bala. Bila tengah senang pun kekadang menjadi dua kali bala. Begitulah kealpaaan kita. Hingga kita memandang kecil terhadap apa saja yg Allah kurniakan kepada kita lalu samarlah ingatan kita terhadap-Nya. Lupa dan Allah pun lupakan kita. Sedihnya…

Telusnya makna kesenangan itu belum tentu akan mendekatkan kita kepada Allah SWT. Kesusahan adalah lebih baik jika diperhatikan sedalamnya. Kita akan sedar bahawa kita ini cuma hamba. Yalah.., cuba kita tengok waktu kita sakit gigi, kita sudah tidak tahan. Selama ini kita ingat kita gagah sejahtera. Bila diuji barulah kita rasa terpelengok dan sedar.. alahai, rupa2nya aku hanya hamba yang kecil & Allah SWT itulah yang Maha Besar.

Jadi, wahai kita semua.. jangan takut untuk bersabar. Teruskanlah bersabar. Sabar itu ubat. Sabar itu jalan kemenangan. Sabar itu juga kekuatan. Sabar itu cantik dalam hodoh. Sabar itu istimewa!!!

Moga kita selalu diberikan KESABARAN menghadapi segala kesulitan oleh Allah SWT. Amin.
Assalamualaikum semua.

Friday, October 9, 2009

Bila Hati Itu Tulus.


Assalamualaikum wbt wahai hamba Allah yang dikasihi.
Alhamdulillah, kita masih bernafas hari ini dan bersyukur juga kerana kita sentiasa dikelilingi oleh insan-insan yang kita sayangi. Semoga mereka yang sentiasa mengambil berat tentang kita sentiasa bahagia. Tanpa mereka, tiada keindahan hidup di bumi yang bermakna yang boleh kita sampaikan ertinya dengan rasa amat bahagia.

Saya kutip petikan sebuah cerita yang telah berjaya mencuri keluar air mata mahal saya ini.. huhuhu.. Buat tatapan kita bersama... hayatilah ya..

Untuk adik-adik saya yang tersayang, jika kalian membacanya.. Cerita ini seperti cerita kita.. Jangan kita lupa, kita lahir dari perut yang sama. Kakak sentiasa menyayangi kalian sepenuh hati.


~*Secebis Kasih Sayang*~

Aku cuma ada seorang adik. Usianya tiga tahun lebih muda daripada aku.Suatu hari,untuk mendapatkan sehelai sapu tangan yang menjadi keperluan anak gadis ketika itu, aku ambil 50 sen dari poket seluar ayah.Petang itu, pulang saja dari sekolah, ayah memanggil kami berdua.Dia meminta aku dan adik berdiri di tepi dinding. Aku menggeletar melihat rotan panjang sedepa di tangan ayah.

“Siapa ambil duit ayah?” tanya ayah bagai singa lapar.

Aku langsung tidak berdaya menentang renungan tajam mata ayah.
Kedua-dua kami membisu,cuma tunduk memandang lantai.

“Baik,kalau tak mengaku,dua-dua ayah rotan!” sambung ayah sambil mengangkat tangan untuk melepaskan pukulan sulungnya ke belakang aku.Tiba-tiba, adik menangkap tangan ayah dengan kedua-dua belah tangannya sambil berkata, “Saya yang ambil!”

Belum sempat adik menarik nafas selepas mengungkapkan kata-kata itu,hayunan dan balunan silih berganti menghentam tubuh adik.Aku tergamam,lidah kelu untuk bersuara.
Walau perit menahan sakit,setitis pun airmata adik tak tumpah. Setelah puas melihat adik terjelepok di lantai, ayah merungut.

“Kamu sudah mula belajar mencuri di rumah sendiri. Apakah lagi perbuatan kamu yang akan memalukan ayah di luar kelak?”

Malam itu, emak dan aku tak lepas-lepas mendakap adik.Belakangnya yang berbirat dipenuhi calar-balar cuba kami ubati.Namun adik cukup tabah.

Setitis pun air matanya tidak mengiringi kesakitan yang mencucuk-cucuk.Melihat keadaan itu, aku meraung sekuat hati, kesal dengan sikap aku yang takut berkata benar.Adik segera menutup mulutku dengan kedua-dua belah tangannya lalu berkata,”Jangan menangis kak,semuanya dah berlalu!”
Aku mengutuk diri sendiri kerana tidak mampu membela adik.

Tahun bersilih ganti, peristiwa adik dibelasah kerana mempertahankan aku bagaikan baru semalam berlaku. Adik mendapat tawaran belajar ke sekolah berasrama penuh dan aku pula ditawarkan menyambung pelajaran ke peringkat pra-universiti.Malam itu ayah duduk di bawah cahaya lampu minyak tanah bersama ibu di ruang tamu.

Aku terdengar ayah berkata,
“Zah, kedua-dua anak kita cemerlang dalam pelajaran. Abang bangga sekali!”
“Tapi apalah maknanya bang…!” aku terdengar ibu teresak-esak.
“Dimana kita nak cari duit membiayai mereka?”Ketika itulah adik keluar dari biliknya.Dia berdiri di depan ayah dan ibu.“Ayah,saya tak mahu ke sekolah lagi!”

Perlahan-lahan ayah bangun, membetulkan ikatan kain pelekatnya dan merenung wajah emak,kemudian wajah adik dalam-dalam."Panggggg…!"Sebuah penampar singgah di pipi adik.
Seperti biasa yang mampu aku lakukan ialah menutup muka dan menangis.“Kenapa kamu ni? Tahu tak,kalau ayah terpaksa mengemis kerana persekolahan kamu, ayah akan lakukan!”“Orang lelaki kena bersekolah. Kalau tak, dia takkan dapat membawa keluarganya keluar daripada kemiskinan,” aku memujuk adik tatkala menyapu minyak pada pipinya yang bengkak.

“Kakak perempuan…biarlah kakak yang berhenti.”

Tiada siapa yang menyangka, dinihari itu adik tiada dibiliknya.Dia membawa bersamanya beberapa helai baju lusuh yang dia ada.Di atas pangkin tempat dia lelapkan mata, terdapat sehelai kertas yang tercatat…
“Kak…untuk dapat peluang ke universiti bukannya mudah. Saya cari kerja dan akan
kirim wang buat akak.”Apa lagi yang saya tahu selain meraung.Ayah termenung,jelas
dia cukup kecewa.Begitu juga emak yang menggunakan air matanya memujuk ayah.

Suatu petang ketika berehat di asrama, teman sebilik menerpa,"Ada pemuda kampung tunggu kau kat luar!”
“Pemuda kampung?” bisikku.“Siapa?”
Tergesa-gesa aku keluar bilik. Dari jauh aku nampak adik berdiri dengan pakaian
comotnya yang dipenuhi lumpur dan simen. “Kenapa sebut orang kampung, sebutlah adik
yang datang!” Sambil tersenyum dia menjawab,“Akak lihatlah pakaian adik ni.
Apa yang akan kawan-kawan akak kata kalau mereka tahu saya adik kakak?”Jantungku
terasa berhenti berdenyut mendengarkan jawapannya.Aku cukup tersentuh.Tanpa sedar,
air jernih mengalir di pipi.Aku kibas-kibas bebutir pasir dan tompokan simen pada pakaian adik.Dalam suara antara dengar dan tidak, aku bersuara,“Akak tak peduli apa
orang lain kata.”Dari kocek seluarnya, adik keluarkan sepit rambut berbentuk kupu-kupu. Dia mengenakan pada rambutku sambil berkata, “Kak, saya tengok ramai gadis
pakai sepit macam ni, saya beli satu untuk akak.”
Aku kaku. Sepatah kata pun tak terucap.Aku rangkul adik dan dadanya dibasahi air mataku yang tak dapat ditahan-tahan.

Tamat semester, aku pulang ke kampung sementara menunggu konvokesyen.
Aku lihat tingkap dan dinding rumah bersih, tak seperti selalu.
“Emak,tak payahlah kerja teruk-teruk bersihkan rumah sambut saya balik.”
“Adik kamu yang bersihkan. Dia pulang kelmarin. Habis tangannya luka-luka.”
Aku menerpa ke biliknya. Cantik senyum adik. Kami berdakapan.
“Sakit ke?” aku bertanya tatkala memeriksa luka pada tangannya.
“Tak….Kak tahu, semasa bekerja sebagai buruh kontrak, kerikil dan serpihan
simen jatuh seperti hujan menimpa tubuh saya sepanjang masa.
Kesakitan yang dirasa tidak dapat menghentikan usaha saya untuk bekerja
keras.” Apalagi…aku menangis seperti selalu.

Aku berkahwin pada usia menginjak 27 tahun.Suamiku seorang usahawan menawarkan jawatan pengurus kepada adik.
“Kalau adik terima jawatan tu, apa kata orang lain?” kata adik.
“Adik takde pelajaran. Biarlah adik bekerja dengan kelulusan yang adik
ada.”“Adik tak ke sekolah pun kerana akak.” kata ku memujuk.
“Kenapa sebut kisah lama, kak?” katanya ringkas, cuba menyembunyikan
kesedihannya.Adik terus tinggal di kampung dan bekerja sebagai petani setelah ayah
tiada.Pada majlis perkahwinannya dengan seorang gadis sekampung, juruacara majlis
bertanya, “Siapakah orang yang paling anda sayangi?”
Spontan adik menjawab, “Selain emak, kakak saya….”katanya lantas
menceritakan suatu kisah yang langsung tidak ku ingati.
“Semasa sama-sama bersekolah rendah, setiap hari kami berjalan kaki ke sekolah.Suatu hari tapak kasut saya tertanggal.Melihat saya hanya memakai kasut sebelah, kakak membuka kasutnya dan memberikannya pada saya.Dia berjalan dengan sebelah kasut. Sampai di rumah saya lihat kakinya berdarah sebab tertikam tunggul dan calar-balar.”“Sejak itulah saya berjanji pada diri sendiri.Saya akan lakukan apa saja demi kebahagiaan kakak saya itu.Saya berjanji akan menjaganya sampai bila-bila.”

Sebaik adik tamat bercerita, aku meluru ke pelamin, mendakap adik sungguh-sungguh sambil meraung bagaikan diserang histeria.


“Jika tak dapat apa yang kita suka, belajarlah menyukai apa yg kita dapat…dan bersyukurlah dengan apa yang kita ada..”

Tuesday, October 6, 2009

Sekadar Puisi : Nanti Ternanti



Bismillahirrahmanirrahim..
Assalamualaikum wbt..
Semoga kita semua dikunjungi oleh keberkatan dan kasih sayang Allah selalu. Semoga kita semua sentiasa mengingati Allah swt dan Rasul-Nya walau di dalam apa keadaan. Baik suka, duka atau biasa-biasa. InsyaAllah, pasti Allah akan mengingati kita juga.

Ermm.. Tiba-tiba terasa ingin memaparkan sebuah puisi di atas. Tak terfikir pula tajuknya. Apa ek?


Di matamu ada duka melara
Di jiwamu ada sengsara rengsa

Di hatimu ada bait-bait rintih

Tangis dalam suramnya kecewa

Resah titian penantian tanpa berhujung

Berteleku barisan doa yang berjuta

Merayu impian yang tak kunjung

Tidak hampir dan tidak tiba

Seolah esok tiada sinar

Seperti kelmarin yang berlarut samar

Dihimpit harapan tanpa mekar

Tiada harum Tiada indah

Mungkin yang mendatang tak kunjung

Mungkin yang diimpi sekadar mimpi

Matamu masih mengalir sangsi

Yang kian hari kian basi

Rengsanya kalbu, KAMU yang tahu.


Saturday, October 3, 2009

Sedih ya?






Assalamualaikum semua. Moga dikasihi dan dirahmati Allah selalu hendaknya. Amin..

Sedih ya?
Kenapa tu?
Ada orang menyakiti hati kah? Hilang sesuatu? Atau terasa seperti tidak dihargai?
Hermmm.. Memang sakit kan? Memang sedih? Sayu pilu terasa dijiwa. Ada kalanya terasa seperti orang bodoh, kan? Kita mengharapkan balasan yang baik di atas perbuatan kita yang baik tetapi lain pula yang kita terima?.. Aduh, aduh, aduh, duh.. Mana tahan..?
Sabar? Sampai bila kita nak sabar?.. Yang tebal, mula menipis, yang tinggi mula menurun, yang banyak mula mengurang. Tak gitu?

Mata mula bergenang air, jantung mula berdegup kencang, hati tidak keruan, cuping telinga terbakar. Runsing! Rungsing! Rungsing!

Perlukah sedih itu di bawa hingga keterlaluan? Menangislah kalau perlu, meraunglah kalau ingin tetapi singkatkan masa sedih itu daripada berlarutan. Cukuplah sekadar melonggarkan rasa ketat di dada. Usah diulit rasa yang terlalu lama. Bahaya! Sungguh, syaitan suka kita alpa. Biarpun ia dalam bentuk kesedihan.
Pandang wajah kita dicermin sewaktu berada ditabir sedih. Cantikkah? Handsome kah kita pada waktu itu? Kemudian, senyumlah seketika. Lihatlah perbezaan senyum tika kecewa. Buatlah pilihan. Antara sedih dan gembira. Timbanglah kekuatan diri dengan menasihati hati sendiri. Bisikkanlah sesuatu yang manis di jiwa sendiri. Tak perlu orang lain. Cuma diri sendiri. Katakanlah : “ Cukuplah.. semuanya itu adalah hak Allah”
Istiqamahlah.. bergantunglah kepada Allah sepenuhnya. Kasihankan diri sendiri. Kumpulkanlah keyakinan dan kepercayaan terhadap diri sendiri. Jangan biarkan kita dijangkiti penyakit hati yang parah.

Percayalah kepada LA ILAHAILLALLAH!!!! MUHAMMADURRASULULLAH!!!

Firman Allah SWT :
“Barangsiapa yang berpaling dariKu (Tidak mengingati Allah), maka mereka akan hidup dalam kesempitan.”

Sabda Rasulullah S.A.W :

“Apakah kamu mahu! Aku ceritakan kepadamu berkenaan amal perbuatanmu yang terbaik dan yang paling bersih dalam pandangan Allah SWT, serta orang yang tertinggi darjatnya diantara kamu, yang lebih baik dari bersedekah emas dan perak serta lebih baik dari memerangi musuh-musuh kamu semua dan memotong leher mereka, dan mereka memotong lehermu?” Kemudian para sahabat bertanya : “Apakah itu wahai Rasul?”
Beliau menjawab : “Zikir kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala.” (HR. Al-Baihaqi)

Bersederhanalah walau ketika di dalam kesedihan. Wallahua’lam.

Friday, October 2, 2009

KENAPA HARUS MALU UNTUK BERTAUBAT?









Astagfirullahalazim… Sesungguhnya angkatan tentera nafsu begitu hebat menyerang jiwa kerdil yang sedang berusaha menjiwai ibadahnya. Bukan senang, bukan mudah untuk menangkis serangan-serangan tersebut. Sekalipun dalam syahdu air mata penyesalan, dalam sendu rayu doa memohon perlindungan-Nya, tagih pada keampunan-Nya, masih kita dikocak-kocak untuk membelok ke arah keinginan nafsu itu dan nafsu ini. Adus! Bukan senang, tidak juga mudah. Menghayati taubah dalam keadaan goyah itu, sungguh sulit tanpa rasa pasrah, bersungguh, qanaah, redha, kecil, hina, dhaif dan ketajaman usaha yang setiap minit tidak terluput dari memohon pengampunan.

Itulah kita manusia ini, bukan senang untuk melazimkan perbuatan baik dan tidak susah untuk menjemput perbuatan buruk.Ia memerlukan usaha yang amat jitu, amat kukuh.

Anda melaluinya? Saya juga pernah dan saya akui kelemahan diri melaluinya dengan kepayahan yang teramat. Penuh dugaan. Penuh cabaran. Penuh godaan. Nauzubillah!
Ya, saya sedang mempersoalkan tentang TAUBAT. Apabila kita menyesali sesuatu perbuatan dosa kita, sejauh mana kita menghayati taubat itu? Pernah tak kita lalui kes dimana hari ini kita taubat, esok pula kita sambung buat?. Tak mustahil kan? Sebab itulah, kadangkala yang bertaubat itu “malas” nak bertaubat, kerana taubatnya di dalam kondisi “Tahu buat”. Alahai.. dia bukan tidak mahu, tetapi tak mampu bertaubat. Itulah alasan kita selama ini. Benar! Magnet untuk kembali ke jalan yang benar kalau dibiarkan berterusan, makin lama, makin ia akan hilang kuasa tarikkannya. Ia bukan magnet biasa. Ia adalah magnet luar biasa yang perlu selalu dichargekan, diperhangatkan selalu dengan azam, dengan kemahuan yang bersungguh tanpa jemu dan tanpa noktah.

Bukan taubat namanya jika seorang pesakit ketagihan arak yang berhenti minum arak kerana takutkan penyakit kronik. Bukan taubat juga jika kasanova berhenti menyentuh bunga-bunga peleseran hanya kerana mengidap menyakit AIDS. Bukan taubat juga jika pengedar dadah berhenti menjalankan operasi pengedaran dadahnya kerana takutkan hukuman gantung. Berhenti menderhaka ibu bapa kerana takut tidak diwariskan harta pusaka juga bukan taubat namanya. Bukan! Bukan begitu sayang. Semua itu hanya berhenti untuk motif keduniaan.

Habis? Bagaimana ya?
Dambaan, Rindu pada Ilahi. Mahu dan terus mahu agar bersih. Hati yang nekad dan bersungguh. Jiwa yang takutkan balasan Allah. Usaha yang amat teguh dan bersungguh.
Terus melempar jauh niat, cinta dan rindu kepada pengalaman-pengalaman ulit yang lalu. Keji melihat diri yang terdahulu. Mendalami penyesalan itu dengan tusukan iman, gerakkan ibadat dan halus mulusnya doa. Bersungguh, besungguh dan bersungguh kerana kerendahan hati dan keredhaan diri kepada Allah. Itulah nafas taubat! Bukan untuk kelmarin, tidak juga untuk hari ini, tetapi setiap waktu nafas taubat itu perlu ada, seperti degup jantung yang tidak letih untuk berhenti.

Pun begitu, kiranya semua musibah, penderitaan dan kerugian dunia ini dilihat sebagai pendorong keimanan di dalam hati dan menjadikan diri kita rajin memeriksa, memperbetulkan, membuat koreksi diri, lalu terus bertaubat kerana takutkan kemurkaan Allah, InsyaAllah, kita akan tergolong dikalangan orang-orang yg Allah terima taubat-Nya. Wallahua’lam.

Memadam sifat-sifat mazmumah dalam diri, tidak mudah tetapi mudah-mudahan kita tidak malas untuk menimba kehebatan Allah dan ilmu-Nya yang Maha luas. Jangan rasa putus asa sekalipun kita sering diserang hendap oleh iblis dan syaitan laknatullah.

Ramadhan tahun ini baru saja berlalu dan Alhamdulillah bagi kita yang telah melaluinya dengan penuh rasa taubah dan mengisinya dengan ibadah suci kepada Allah SWT. Doakan kepada Allah supaya kita terus dapat menebalkan ingatan dan haluan taubat kita.
Doakan agar Allah sentiasa menutup pintu-pintu yang membawa kita ke bilik-bilik kemusnahan diri. Doakan agar Allah sentiasa membuka pintu-pintu yang menjurus ke bilik ketenangan kerana-Nya. Doakan agar niat suci taubat kita dipagari dengan keinsafan yang sebenar, yang sejati.

Allah swt itu Maha Penyayang, Maha Pengasih dan Maha Pengampun. Sesungguhnya sifat Allah itu tidak sama seperti manusia, mengejek-ngejek apabila seorang dari pesalah mahu membersihkan hidupnya dengan taubat. Allah tidak pernah menghina hamba-Nya yang mahu bertaubat. Kenapa harus malu untuk bertaubat? Tak perlu, tak perlu menyatakan kepada manusia lain apabila kita ingin bertaubat. Cukuplah menyatakannya kepada Allah. Dia tidak sekali memandang hina kepada usaha kita ke arahnya. Malah, dengan rasa cinta-Nya, dia memanggil-manggil untuk kita hamba-Nya kembali di landasan yang benar dan bijaksana.USAH BERPUTUS ASA UNTUK CINTA KEPADA ALLAH.

Mudah-mudahan kita selalu disayangi Allah. Amin.
Wallahua’lam.