Salam kasih Kerana Allah

Salam kasih Kerana Allah
Assalamualaikum wbt - Sekadar Berkongsi Ilham dan Pengalaman

Sunday, July 31, 2011

Tarawih Pertama



Kudus disujud tarawih pertama
dipaut gema rasa bahagia
indah tidak tersimbol dek kata
terbit sentuhan cinta nan berbeda
di sini... di dalam dada
getarnya... getarnya.. getarnya..
Sungguh mempersona!

Alhamdulillah..
Masih ramai hamba Allah
yang sudi menghampar sejadah
dengan rela, dengan mudah

Tahniah!
kerana terpilih menikmati
Ramadhan Al-Mubarakh lagi.
Moga ibadah beroleh rahmah..
Amin..




Salam kasih semurni hati
Raz.R
1 Ramadhan

TANPA DIA



Walau seluruh CINTA yang kita kejar
Walau seutuh KASIH yang kita tagih
Walau sefana RINDU yang kita rintih..

Tiada ertinya..
Jika tidak beserta DIA..
Tanpa-Nya tiap mutiara kata
terlafaz... Pudar warna tiada cahaya.

Raz.R
31/07/2011

Saturday, July 30, 2011

Dialog Luka Wanita : Hidup Perlu Diteruskan!



"Lamanya akak menderita??.. Sepuluh tahun tu! Macam mana kak Raz boleh lalui itu semua?" ..

Su terkejut bila Raz menceritakan pengalaman Raz padanya. Tidak terniat untuk Raz menjadikan cerita hidup Raz sebagai bahan simpati atau mengulang ingat kenangan yang meninggalkan batu tanda. Cuma Raz mahu Su tahu yang lebih ramai manusia menderita di dalam dunia Allah ini. Dan, Raz tidak dapat menceritakan tentang orang lain yang pengalamannya tidak diketahui Raz. Justeru, Raz ceritakan pengalaman hidup Raz sendiri untuk dijadikan sekelumit iktibar supaya dia mengerti, kesusahan itu adalah sebahagian dari hidup manusia yang bernyawa. Tidak terlepas dari melaluinya.

"Bukan mudah, Su. Semuanya dari keteguhan perasaan kita melawan keinginan diri dan menerima takdir yang Allah beri dengan setabah hati. Kak Raz masih belum dapat menerima hakikat itu sepenuhnya, tapi kak Raz tidak dapat menolak pilihan Allah. Dari kekecewaan, kesakitan, kelemahan.. kita belajar erti bersedia dengan redha, Su. InsyaAllah."

"Kak Raz tak tanam dendam?"

Tunduk hati Raz menerima pertanyaan tersebut.Menggelengkan kepala. Mengangguk pun ada.

"Dalam hati, mahu bermusuh juga. Terasa ingin menyakiti kembali. Tapi Su, apa faedahnya? Apakah dengan menyakiti orang lain yang pernah kita sayangi itu akan memberikan rasa gembira? Mungkin puas sementara, tapi hidup tidak akan rasa selesa. Biarlah Allah yang menentukan apa yang sepatutnya.."

Kami sama-sama menoleh ke arah lautan yang membiru. Menyedut udara yang menghembus agak kuat. Menari gerakkan selendang dikepala terbuai angin yang segarnya terasa. Mungkin cuaca bermusim memanggil hujan. Ada dingin dan ada awan kelabu di langit.

Su agak tenang kebelakangan ini. Sepertinya dia dapat menerima keadaan yang telah dilaluinya dan Raz cuba meneka..

"Su, hang dah okay ka sekarang nih?"

Dia menunduk perlahan, menguis pasir putih yang dipijaknya.

"Entahlah kak.. Kadang-kadang okay saja. Kadang-kadang tu sewel jugak. Hemmm.. Su sedang cuba terima keadaan Su walaupun agak sakit. Macam yang akak kata, terima takdir yang Allah beri."

"Yalah, Su.. selagi nyawa dan kudrat ada di badan, hidup perlu diteruskan. Mungkin kelmarin kita gagal, kita bodoh, kita dipersendakan.., esok lusa belum tahu lagi. Yang penting, kita selamatkan diri kita dengan berharap kepada Allah semata. Allah tidak zalim, Su. DIA cuma mahu, kita tidak terlalu leka dengan kelebihan-kelebihan dunia yang tidak mampu kita bawa ke akhirat-Nya. DIA mahu kita kenal kelebihan-Nya."

Kami sama-sama terdiam. Dibuai perasaan mendalam. Masing-masing mencari secebis keputusan tetap untuk diri sendiri. Walau dirundung kepayahan,YA! HIDUP PERLU DITERUSKAN!..

Puisi Pagi Mutiara Sakti


Sedikit puisi pagi.. dan sedikit mutiara sakti. Sekadar mengisi permulaan hari Sabtu ini dengan gamitan motivasi kepada diri.


Selamat pagi, sayang..
Assalamualaikum sayang..
Doaku moga engkau sentiasa tenang..
menghadapi hidup walau berjurang..
menempa akhlak yang berorak riang..
membina iman terus bercahaya terang..
terhadap Ilahi usah sekali engkau curang!!!

"Seburuk-buruk hamba adalah hamba yang diciptakan untuk beribadah; tetapi dia menuruti hawa syahwatnya lalu leka tidak beribadah. Dan juga seburuk-buruk hamba adalah hamba yang diciptakan untuk akhirat, namun dia tertipu dengan dunia.. sehingga dia menjadi tidak selamat di akhirat." [Tokoh terkenal : Syamith bin Ajalan]

Nauzubillah.. Moga dihindari dari kelekaan yang mengasyikkan.

Salam kasih dengan senyuman dari Raz.R dengan mmmuaahks!

Friday, July 29, 2011

Harapan Ramadhan 2011



Beberapa hari lagi Ramadhan akan kembali. Sukanya rasa hati. Mudah-mudahan usia ini dapat menjulur panjang sehingga ibadah dapat disempurnakan sebaiknya. Mohon Ya Allah! Mohon hamba dapat memiliki kehebatan-kehebatan-Mu yang Engkau sediakan untuk kami makhluk-Mu di bumi.Amin..

Raz amat berharap Ramadhan yang terima kali ini adalah Ramadhan yang terbaik. Raz amat bercita-cita agar istiqamah Raz pada ibadah akan berterusan, bertebalan dan berkekalan. Harapan ini telah lama Raz bina.Moga Allah memberikan kesempatan pada Raz untuk mengulanginya dan menyediakan diri secara yang PALING baik terhadap-Nya. InsyaAllah. Amin. Raz inginkan pengampunan-Nya. Raz inginkan cinta-Nya. Raz inginkan ketaqwaan penuh untuk-Nya. Raz ingin DIA menerima Raz di dunia-Nya juga di akhirat-Nya. Amin, Ya Robbal Alamin..

Namun, sebelum itu..
Sebelum singgahnya Ramadhan.. Sebelum bermulanya niat pertama puasa. Raz ingin melabuhkan tulus rasa rendah diri Raz memohon kepada hamba-hamba-Nya yang lain. Hamba-hamba yang bergelar sahabat, kawan, saudara, keluarga ataupun musuh jika ada. Mohon ampun dan maaf untuk segala keburukkan, kelemahan dan kesalahan yang terbit dari diri Raz sendiri. Tolong.. Tolong maafkan Raz sekiranya kewujudan Raz selama ini mungkin ada membawa kepada mudharatan atau membebankan mana-mana perasaan. Raz hanya insan yang tertakdir dengan pelbagai kelemahan.

Jernihkanlah kekeruhan yang mungin telah lama bertakung.
Ambillah kesempatan kemuliaan Ramadhan kali ini sebagai simbol dan langkah baru membuang segala kesan hitam yang bertapuk dan menjirusnya kembali dengan warna putih pertalian yang murni kerana Allah Taa'la selamanya. InsyaAllah kita mungkin bertemu 'di sana' sebagai sahabat istimewa. Amin...

Itu harapan Ramadhan Raz kali ini. Tahun ini.
Moga Allah perkenankan. Amin..

Jika Raz ini seorang insan dan sahabat yang tidak baik, ajarkanlah Raz tentang kebaikan dan maafkanlah kejahilan Raz.. Doakanlah Raz agar Allah memulihkan apa-apa jua yang tidak baik pada diri Raz. Dan Raz akan mendoakan yang sama kepada semua yang mengenali Raz. InsyaAllah.

Selamat menyambut Ramadhan Al-Mubarakh semua. Moga Allah mencurahkan kita limpah dan kurnia-Nya tanpa penghujung. Amin.

Salam kasih setulus sayang..Assalamualaikum.

~Raz.R~
29hb Julai 2011
Penghujung Sya'aban menanti Ramadhan.
"If there is a day, there must be a night
If there is a black, there must be a white
If there is a mistake, there must be forgiveness"


P/s: Sebelum terlupa..untuk seorang adik yang akan menyambut hari lahirnya pada 31 Julai 2011 ini.. Semoga usiamu barumu berpanjangan di dalam lindungan Allah hingga akhir hayat. Amin.. (Happy Birthday : Sopiah Binti Che Dan)

Monday, July 25, 2011

Pesan-pesan Sayang



"Jika kamu tari, akulah rentaknya!"

Ada pesan yang ingin Raz sampaikan dari hati kecil Raz.
Melalui pengalaman melihat dan meneliti kesinambungan manusia dan alam, Raz dirasuk gelora perasaan yang berkobar-kobar untuk memberi sedikit pesanan. Mungkin kata-kata Raz ini tidak akan memberi kesan apa-apa kepada kehidupan tetapi Raz masih juga merasakan peranan Raz sebagai insan dikalangan insan.

Soal hati lagi.
Kali ini lebih kepada "Pertalian Kasih-sayang"

Pertama sekali, usah kita sayangi seseorang bermula dengan kasih yang berpangkalkan pura-pura. Kepuraan adalah asal daripada cabang pembohongan. Pendek kata, jangan sekali kita menipu dalam kasih-sayang. Itu akan memberikan kesan yang buruk pada perjalanan sesuatu pertalian yang kita bina. Kalau sayang, maka penuhkan ia dengan keikhlasan sayang yang sebenar.Keikhlasan yang terus kerana Allah SWT. Biarkan kata sayang yang terbit dari lidah itu muncul dari gendang yang bunyinya dari hati. InsyaAllah, kasih yang kita miliki akan menjadi kasih yang sejati.

Keduanya, bila kita menyayangi seseorang, usah longgarkan rasa kasih kita dengan pengabaian. Kata lain, "Tidak peduli" atau "Tiada Perhatian." Perkara ini selalu berlaku dikalangan kita. Adakala kita memandang remeh perasaan orang lain. Biarpun hidup kita adakalanya dijejaskan dengan kesibukkan kita mengejar harta keduniaan, tetapi kita perlu selalu terapkan di dalam hati yang istiqamah bahawa insan yang kita cintai itu juga adalah harta yang tidak ternilai yang juga perlu kita anggap sebagai keutamaan. Perhatian, bukan bermakna kita perlu berada disisi yang dikasih sentiasa. Perhatian seringkali berkait rapat dengan penjelasan, kejujuran, kemaafan dan tolak-ansur. Kita perlu bijak menjaga hati orang yang kita kasih dengan perkara-perkara ini. Diam tanpa penjelasan apa-apa kadang-kadang akan mengundang banyak bencana dalam perhubungan.Jadi, biasakanlah diri kita bersabar, berterus terang dan memberi penjelasan yang jujur atas sebarang urusan hidup kita. InsyaAllah keutuhan cinta akan menyuburkan bunga-bunga dan buahnya.

Ketiganya, ALLAH!
Perkara ini yang paling penting.
Kasih yang berlandaskan kasih sayang Allah di dalam sesuatu perhubungan akan memberikan impak yang besar pada tiap perhubungan. Majorotinya, kita yang mengasihi pasangan kita kerana Allah akan rasa kebahagiaan yang cukup indah dan berkekalan.
Kasih sayang kerana Allah akan selalu buat kita bersyukur dengan apa yang kita miliki. Kasih sayang kerana Allah akan sentiasa buat kita tidak cepat melatah dan terburu dek sengketa sangsi di jiwa. Kasih sayang kerana Allah akan membuatkan kita redha diatas apa yang kita miliki, baik berlebihan atau di dalam ketiadaan. Yakin pada kasih Allah, maka keyakinan kasih sayang kita akan tetap bertahan walau sejuta ujian yang datang mencengkam kehidupan. InsyaAllah. Amin..


Wallahua'lam.

Pesan-pesan sayang dari Raz.R tulus dari hati. MMuuuahks! Assalamualaikum. Moga dibawa oleh naungan cinta Ilahi selamanya. Amin.

Sunday, July 24, 2011

Sekadar Puisi : Seikat Harapan

Dibuai muram kerana insan
melerai sunyi dalam kesepian
mengingati ikatan harapan
terberongkah dituil kehancuran

Wajarkah janjikan harapan
jika tiada kesungguhan?

Andai meragas jurang
kembali untuk pulihkan harapan
semata tinggal harapan
lebih baik jangan

Seikat harapan yang terlerai
sekalipun diikat kejab semula
tiada beza perit jerih rasanya..



Raz.R
25 Julai 2011

Saturday, July 23, 2011

Yang Perlu Dipelihara : Hati



Raz mulakan dengan senyuman dan....
Bismillahirrahmanirrahim..
Ya Allah, lindungi hati-hati kami daripada bisik-bisik syaitan yang menyesatkan. Peliharalah kami di dalam keteguhan menerima hidayah-Mu terus dan berterusan. Amin..
Raz ingin melekatkan 'posting' yang Raz kutip dari seorang sahabat untuk pedoman diri dan mudah-mudahan ia dapat dikongsikan bersama sebagai sebuah ilmu bagi memulihkan nurani kita daripada mencipta sengketa batin. Amin.. InsyaAllah.


♥Antara Hati Batiniah & Jasmaniah♥

Seorang Guru Sufi Menuturkan:
“Jika kata-kata berasal dari hati,
ia akan masuki kedalam hati,
jika ia keluar dari lisan,
maka ia hanya sekedar melewati pendengaran”

Hati Batiniah berfungsi hampir sama dengan hati jasmaniah.
Hati Jasmaniah terletak dititik pusat batang tubuh;
Hati Batiniah terletak diantara diri rendah dan jiwa.

Hati Jasmaniah mengatur fisik;
Hati Batiniah mengatur psikis.

Hati Jasmaniah memelihara tubuh dengan mengirimkan
darah segar dan beroksigen kepada tiap sel dan organ
di dalam tubuh, ia juga menerima darah kotor melalui
pembuluh darah;
Hati Batiniah memeliharah jiwa dengan memancarkan
kearifan dan cahaya, ia juga menyucikan keperibadian
dari sifat-sifat buruk, hati memiliki satu wajah yang
menghadap ke dunia spiritual, dan satu wajah lagi
menghadap ke dunia diri rendah dan sifat-sifat buruk
kita.

Jika Hati Jasmaniah terluka, maka kita menjadi sakit,
jika ia mengalami kerosakkan berat, maka kitapun
meninggal dunia.

Jika Hati Batiniah kita terjangkiti sifat-sifat buruk
dari nafs (atau diri rendah), maka kita akan sakit
secara spiritual, jika hati tersebut secara
keseluruhan didominasi oleh Nafsu, maka kehidupan
spiritual kita juga akan mati.

Hati janganlah disalahertikan sebagai emosi. Emosi,
seperti marah, rasa takut, dan keserakahan, berasal
dari nafsu, ketika manusia berbicara mengenai “hasrat
hati”, mereka biasanya merujuk pada hasrat nafsu.
Nafsu tertarik pada kenikmatan duniawi dan tidak peduli
akan Tuhan, sedangkan Hati tertarik kepada Tuhan dan
hanya mencari kenikmatan di dalam Tuhan.
Hati secara langsung beraksi atas setiap sikap
fikiran dan tindakan.

Setiap kata dan tindakan yang baik memperlembut hati,
dan Setiap kata dan tindakan yang buruk akan
memperkeras hati.

Nabi Muhammad, menyebutkan keutamaan hati saat
berkata,
“Sesungguhnya di dalam tubuh manusia terdapat segumpal
daging, jika ia sehat, maka seluruh tubuh pun sehat
jika ia sakit, maka seluruh tubuh pun akan sakit,
itulah HATI”

Penyair Rumi berujar:
Jadilah hamba hati
Atau setidaknya tunduk kepadanya
Sebab jika tidak, kau akan kehilangan daya
Bagaikan seekor keledai yang terjebak didalam lumpur
Jika seorang tak memiliki hati,
Seseorang tak akan memperoleh keberuntungan;
Dalam kemalangan, seseorang akan menjadi terkenal di dunia.


"Yang paling penting dipelihara adalah HATI dan ke arah mana NIAT kita apabila berkata-kata." - Raz.R ♥♥♥

Thursday, July 21, 2011

Cemburu itu ada Indahnya



Setiap perkara ada makna
Setiap kata ada rasa
Setiap bahasa tersulam cerita
Walau buruk dikata
namun..
sesekali...
ada baik datang melata...

Senyum..
Raz.R

Tuesday, July 19, 2011

Dialog Luka Wanita : "HIDUP DAN BERTAHAN"


Hidup kita sering dikejar dengan pelbagai rasa demi rasa. Semua rasa yang kita lalui buruk atau baik tetap membuatkan kita belajar tentang sesuatu yang InsyaAllah boleh digunapakai bagi masa depan.

Kehadiran perkongsian dialog Su dalam perjalanan hidup Raz mengajar Raz tentang banyak perkara. Kasih dan cinta, terutamanya. Harga dua rasa itu amat berharga bagi sesiapa yang tahu menilainya dengan adil dan bijaksana.

Su adalah seorang wanita yang mempunyai hati yang amat tulus apabila menyayangi. Pada Raz, amat rugi sekali bagi lelaki yang tidak menghargai kesetiaan Su dengan sewajarnya. Raz belajar mengenai perasaan Su. Dia banyak berkorban. Dia banyak menyediakan dirinya terhadap permainan manusia. Dia banyak menderita dengan kezaliman. Dia wanita biasa yang tidak terlepas dari seribu kelemahan. Namun, hatinya yang bercalar, berparut dan penuh dengan gurisan luka-luka yang berulang tetap "hidup dan bertahan". Dan yang paling istimewa Su di mata Raz.. KETABAHANNYA mengizinkan dia melepaskan orang yang paling disayanginya untuk bahagia walaupun hatinya terkulat-kulat dalam kepayahan yang teramat sangat.

Pesan Raz untuk Su...

"Tak perlu takut pada kehilangan. Su manusia yang sempurna dengan budi bicara wanita yang sebenar. Wanita yang mempunyai ketebalan cinta untuk diberikan pada insan yang patut dan selayaknya. Benar Su, hanya orang yang bertuah sahaja yang wajar menerima kasih yang ada pada diri Su. Sungguh buta manusia yang mengabaikan kasih sayang Su. Satu-satunya kasih yang tidak ada di mana-mana. Malang sekali jika orang yang menerima kasih sayang Su selama ini mengambil enteng dan mudah terhadap keindahan sifat yang ada pada Su. Sudah pasti 'manusia itu' nanti akan terjaga dari kealpaannya melalaikan kehadiran Su dalam hidupnya. Pepatah yang mengatakan saat kita menyayangi seseorang kita perlu sedia melepaskan, ada juga benarnya. Jika dia kembali bermakna, jelas dia yang ditakdirkan untuk kita dan jika dia hilang bermakna dia bukanlah sebahagian yang telah Allah janjikan pada kita. Daripada kita terus merana sepanjang hayat dengan mengenang-ngenang kembali kenangan yang berlalu yang tidak menghasilkan apa-apa kesan kepada hatinya, Su.. lebih baik kita teruskan lebihan hidup yang kita ada ini sebaik-baiknya tanpa menoleh dan tanpa kesal lagi. Daripada Su memegang kehidupannya agar menjadi sebahagian dari kehidupan Su tetapi penuh dengan badai duri yang menyakiti... ada baiknya Su lepaskanlah perasaan Su jauh dan binalah ketenangan hati sepertimana kebiruan langit yang menongkat dunia tanpa runtuh sekalipun cuaca berubah-ubah. Ketabahanmu menjadi inspirasi hati kak Raz. Moga Allah menyempurnakan hidup dunia dan akhiratmu dengan kecintaan yang lebih lengkap dan magis!!! Aamiin..."

Wallahua'lam.

Salam sayang dengan senyuman.


Raz.R

Sunday, July 17, 2011

Dialog Luka Wanita : Andai Itu takdir-Nya




Kedengaran suara Su teresak-esak di hujung talian. Raz tergamam suram. Kelat terasa hati di dalam. Terdiam.

"Kak, macamana ni, kak Raz? Tolongla Su.. Tak tahan dah senak dalam jiwa Su ni, kak. Sampai sekarang Su masih menanti agar dia kembali pada Su.. Tapi Su sendiri tak pasti ni, kak. Apakah Su sedang tunggu dia atau Su dah gila, kak? Kak... Su sakit kak. Tidak tahu nak gambarkan macam mana deritanya hati Su. Su ingin sangat mendengar suaranya, kak. Su rindu sangat padanya. Kenapa dia zalim pada Su, kak? Apa salah Su."

Sudah banyak kali Raz dengar rintihan pucat sebegitu dari lidah Su. Hinggakan Raz sendiri pun tidak tahu dengan apa cara yang perlu Raz dinginkan hati itu. Dalam hati Raz berdoa agar dia diberikan hidayah memahami rahsia penderitaan yang dilaluinya.

"Su.. dengar sini." Celah Raz dengan lembut bernadakan kasih sayang.

"Kak Raz faham apa yang Su rasa. Kak Raz tahu Su tersiksa kerana kehilangannya. Tapi Su.. cuba pikiag janji Allah pada kita. Jangan takut. Jangan sedih. Jangan lagi merintih, Su. Apalah gunanya mengharap kesudian daripada yang tidak sudi? Dah sampai masanya Su berhenti berusaha. Mungkin dah tiba saatnya Su percaya takdir Allah, Su. Sudah lama sangat Su membebankan hati Su mengingati, mempercayai janji manusia yang tidak pernah ada pastinya. Kalau dia mahu kembali pada Su, dia tidak akan diam begini lama, Su. Kalau dia yakin pada kejujuran dan kesetiaan Su selama ini, dia tidak akan mempersendakan hidup Su dengan main tarik tali macam ni. Bukan kak Raz nak api-apikan perhubungan Su dengannya, bukan juga kak Raz nak musnahkan kasih yang Su bina, tapi.. tidak wajar rasanya Su menghukum diri Su sendiri. Su perlu teruskan hidup. Su perlu banyakkan mohon pertolongan dan pengampunan dari Allah. Ujian ini dari-Nya. Kepada-Nya jugalah kita yakin dan percaya. Apa sahaja yang kita terima, adalah haknya. Walau kita rasa ia tidak adil bagi kita, tapi dia lebih tahu apa yang adil untuk hamba-Nya, Su. Kalau itu takdir Allah untuk kita, Su.. kita perlu berusaha untuk bertahan dan sabar menerimanya demi kebaikan-Nya di sini dan di 'sana' juga Su."

"Su tak tahan, kak."
Dia meraung tangis. Suara sengau ditalian itu membuatkan Raz sama turut menangis. Pilu dan sakit yang belum habis. Begitu manusia mudah mengecewakan manusia yang lain yang lemah daripadanya demi kerana kepentingan diri sendiri.

Ya Allah! Moga lekas sembuh luka yang terguris panjang dan luasnya. Moga ada sentosa yang Allah sediakan untuk kesabaran yang sedang dipegangnya. Terus kuat lagi Su!
Ada keindahan menanti. InsyaAllah.. Amin..


Wednesday, July 13, 2011

Senyum dikala ramai, Sendu Rintih dikala sendiri





Bismillahirrahmanirrahim...

Santun senyuman walau di saat mana sekalipun, kala dilemparkan kepada orang lain yang kita temui, akan ditemukan balas mesra senyum itu kembali. InsyaAllah. Kecuali jika seseorang itu sombong atau urat senyumnya telah terencat atau mungkin matanya rabun untuk membezakan antara senyum atau tidak.

Sekalipun di dalam hati ada gerigih luka mencalarkan, tetap teruslah ukirkan senyuman walaupun kita berada ditengah-tengah pelusuk ramai. Mungkin dengan senyuman tersebut, kita akan menemukan jawapan dari persoalan sulit yang kita cuba uraikan.
Bukankah senyum itu sedekah yang paling murah tetapi paling mudah diberi? Yang baik akan di balas baik. Tapi.. sediakanlah hati yang ikhlas terlebih dahulu. Tanpa keikhlasan, senyuman mungkin akan gagal menyerlahkan kemanisan. Niatlah : "Aku nak senyum nih, kerana Allah."

Sendu yang mengopak hati, walau berat sekali.. biarlah ia terpendam dan tersembunyi. Usah biarkan ia mencemari alam insan lain yang menemani hari kita. Sengsara yang menjadi makna BESAR di sisi Allah ialah bilamana seseorang itu hanya berkongsi tangisannya hanya bila bersama dengan Allah sendirian. Niatlah juga : "Ya Tuhan, biarlah tangisan ini kerana-Mu."

Kata sahabat Rasulullah..Sufyan At-Thauri Radiallahuanhu :-

"Jangan lupa, tebarkanlah senyumanmu kalau engkau berada di tengah-tengah orang yang banyak, namun cucurkanlah air matamu ketika engkau sedang menyendiri. Sesungguhnya Allah SWT telah memberitahu bahawa catatan kebaikan seorang mukmin di hari Qiamat kelak dipenuhi oleh tangis dan ratap kesedihan. Jauhilah ketaatan yang palsu, yakni menampakkan ketaatanmu pada zahir, tetapi tidak di dalam hati."

Salam kasih selembar sayang dengan sentuhan senyum terus dari hati tulus di dalam.
Moga malam ini mengiringi kita dengan keampunan demi keampunan. Amin..

Assalamulaikum..

~Raz.R~
MMuuuahks!

Friday, July 8, 2011

Dialog luka Wanita Terus Lagi..




"Dari tadi, kak tengok hang diam ja, Su? Hang OK ka?"

Raz menegur Su yang diam seribu kata. Sepertinya dia bermalasan untuk bercerita apa-apa hari ini. Tangan Raz memegang steering kereta, memandu secermat yang boleh. Agaknya dia bosan dengan cara pemanduan Raz yang sedikit berhemah.Lambat sampai, tetapi selamat diri, InsyaAllah. Raz tersenyum di dalam hati. Su masih terdiam. "Hemmm.. apakah yang sedang bermain di mindanya?" Getus hati Raz.

"Nampak gayanya, masih ada sisa-sisa yang hang dok pendam noh?" Tanya Raz berseloroh. Su tersenyum. Manis tapi,tiada rasa. Kasihan gadis itu. Apalah salahnya jika dia mahu bahagia. Kenapa dia dibiarkankan sengsara di dalam rempah setia yang tiada penghujungnya? Siapa perlu dipersalahkan?

"Kak.." Tiba-tiba Su bersuara. Raz tersenyum lega. Tidaklah terasa macam tiada sesiapa disebelah Raz.

"Nak tanya sikit boleh, kak?"
"Eh! Awat tak boleh pulak.. apadia?"
"Kak Raz tak pernah kecewa ka?"

Raz terkesima dengan soalannya. Alahai terkena batang hidung sendiri kali ini. Soalan biasa yang menjadi lumrah pada kehidupan Raz. Tiada apa-apa yang perlu dimahalkan dengan soalan sebegitu.

"Sapa kata tak pernah? Belambak kali dah lorhh.." sambil ketawa Raz menjawabnya. Su mengangkat keningnya. Mohon kepastian agaknya.

"Dalam cinta?" Tanyanya lagi.

"Uihhh...cinta ka? Macam-macam tonggeng dah kak Raz lalui dalam 'frust' nih. Yang meniarap pun ada, Su. Kuak lentang pun ada jugak!!" Raz ketawa lagi. Dia turut ketawa terkekek.

"Iya ka kak Raz??!! Dahsyat tu!"
"Hik! Hik!Hik!.. Dahsyat tak dahsyat sampai dapat penyakit lah, Su oii.."
"Dah tu.. sekarang macam mana kak lalui semua tu?"

Sebenarnya Raz sendiri sukar untuk menjawab jawapan Su. Bagaimana Raz telah melalui keperitan hidup Raz susah digambarkan dengan kata-kata biasa. Selalunya, gambaran rasa itu hanya dapat diberitahu dengan lelehan airmata untuk menggambarkan betapa sakitnya laluan yang dipijak sambil melangkah dengan penuh ketahanan mengisi hidup dengan meneruskan kehidupan yang seadanya.

"Kita bernasib baik, Su.. kerana lahir sebagai Mukmin. Mungkin itulah sebabnya kita dapat lalui semua perkara dengan sedaya-upaya kita"

Su terdiam seketika, kemudian menyambung dengan wajah yang agak kecewa.

"Betul la tu kak. Tapi.. iman kita ni tidaklah setebal mana. Macam Su ni ha.. kadang-kadang tu terfikir untuk memilih mati daripada meneruskan hidup dengan rasa siksa, kak."

"Aihh.. astaghfirullahalazim.. janganla cakap lagu tu..! Berdosa!!. Allah marah sangat kalau hamba-Nya, terima ujian dengan memohon segera dimatikan."

Dalam benak Raz, menasihati memang semudah kata. Namun, sebenarnya Raz pernah merasai apa yang dirasakan Su. Jika dulu Raz kembali kepada fitrah kita sebagai hamba-Nya, maka kali ini Raz mahu Su juga kembali untuk tidak menyesali siksaan yang dirasa di dalam kehidupannya. Raz mahu dia bersemangat semula.

"Entahlah kak.. Su, dah rasa tak kuat lagi. Kadang-kadang Su rasa, betapa tidak adilnya sikap manusia. Pentingkan apa yang mereka mahu dan rasa. Sedang kita, dibuat sesuka hati, kerana kita ini tak ada kuasa. Lemah. Senang diperbodohkan. Segalanya kerana kepentingan dan kehendak diri. Lalu kita dikorbankan tanpa rasa belas. Geram sungguh kan, kak?"

"Hemm.. Nak cari keadilan di dalam diri manusia ni, Su. Mana ada. Kalau ada pun payah nak jumpa. Dan kalau jumpa pun, adilnya belum tentu sepenuhnya."

Su membungkam diam. Raz tahu dia amat kecewa. Dia amat letih dengan perasaannya. Dia juga amat letih dengan keadaan yang menekan di sekelilingnya.

"Su.. mungkin ada kesimpulan yang Allah nak tunjukkan kepada kita dihayat yang ada. Mungkin itulah pelajaran Allah kepada kita. Dia mahu kita mengenali sifat-sifat manusia yang sebenag. Dia mahu kita bezakan sifat-Nya dengan sifat manusia yang kadang-kadang kita terlalu bergantung harap. Padahal, manusia itu.. sekuat manapun kita bergantung kepada mereka.. mereka cuma dahan-dahan yang boleh rapuh dan patah bila-bila masa sahaja, Su."

Su tunduk dan diam lagi. Doa Raz di hati, mudah-mudahan dia akan tabah menjulang hatinya sedaya mungkin untuk meneruskan kehidupan walau saujanamana besar pun keretakkan yang telah mencerobohi hatinya.

Seiring dengan menasihati diri Raz yang serba kerdil ini, agar terus kuat juga. Sekalipun tiada sesiapa yang menjadi penampan dan penyokong apa yang kita lalui di dalam hidup, kita tetap perlu meneruskan hidup.

Jika harapan kita terhadap manusia itu telah lumpuh. Usah lumpuhkan harapan yang kita gantungkan kepada Allah Ta'ala juga.


.."Dia adalah sebaik-baik Pelindung dan sebaik-baik Penolong.[Surah Al-Anfal:40]"


Salam kasih dan selamat malam.
Raz bingkiskan sulaman kata bersama senyuman yang penuh keletihan, namun InsyaAllah ikhlasnya tetap ketat! Assalamualaikum...

Raz.R
dihari yang penuh kekalutan.

Wednesday, July 6, 2011

Dia Hanya Wanita : Cintai Dia Seadanya


Pepatah ada menyebut, "Lebih baik disayangi daripada menyayangi".
Dulu Raz tidak berapa pasti kebenaran pepatah tersebut. Namun hari ini, Raz mula faham. Ada benarnya juga.

"Sayang" yang terungkap dari kata setiap insan itu berbeza. Walaupun tonansi nada katanya sama, namun aura rasanya mungkin berlainan.

Memang benar, jika kita memiliki "rasa sayang berbalas sayang" itu diibaratkan seperti mendapat seluruh syurga dunia namun sangat jarang dapat kita temuinya dengan benar sama-rata dan sekata. Sesungguhnya kita manusia yang dipenuhi ketidaksempurnaan yang perlu digilap setiap masa.

Raz terjemahkan sedikit tulisan buat hiasan ruangan ini malam ini. Mungkin ada sesuatu dari kata-kata ini boleh dibuat iktibar bagi kita mengenali sesuatu yang mungkin telah lama kita lupa.

"Cintai dia
Cintai dia- Bila dia menghirup sesudu kopi yang dibuat untukmu kerana dia mahu rasa kopi itu serasi dengan rasa lidahmu.
Cintai dia bila dia cemburu denganmu. Antara semua lelaki yang mampu dipilihnya, dia telah memilihmu sahaja.
Cintai dia, bila dia bersikap yang agak merimaskanmu kerana mungkin sikap itu ada padamu.
Cintai dia sekalipun masakannya tidak seenak pakar masakan, sekurangnya dia berusaha demi untukmu.
Cintai dia, walaupun dia nampak berserabut setiap kali terjaga dari tidur, tetapi dia masih terus berusaha berhias untukmu setiap hari
Cintai dia, walau dia mengajakmu menonton drama cinta ketika siaran gusti berlangsung, dia masih sudi berkongsi masa denganmu
Cintai dia, walaupun bentuk tubuhnya tidak seperti pragawati, katakan padanya dialah wanita yang paling jelita di matamu. Cukuplah itu.
Cintai dia, apabila dia berhias cantik, hargailah dia dengan sedikit pujian. Baginya, pujian darimu lebih berharga dari pujian raja dunia.
Cintai dia, walau dia mengambil masa bersolek yang lama untuk keluar bersamamu, dia mahu kemas dan dipandang cantik sebagai permaisuri di sisimu
Cintai dia, walau hadiah yang diberikan padamu tidak seberapa dan mungkin minatmu tiada pada hadiah itu, ucaplah terima kasih dan simpanlah sebaiknya.Kerana dia memberimu keikhlasan di hatinya.
Cintai dia, apabila kamu melihatnya menangis tidak semena-mena, dan kadang-kadang tiada makna, diamlah dan tumpukan perhatian pada tangisannya. Pujuklah, katakan padanya, walau apa terjadi kamu bersamanya.
Cintai dia, diwaktu letih dan sulitnya, berbual dengannya. Mungkin kamu boleh lakukan sesuatu agar menyegarkan hatinya seperti memberinya coklat atau mengurut-ngurut kakinya, pasti dia akan amat suka.
Cintai dia, walau dia banyak berbicara dan bercerita, sungguh bicaranya perlu untuk sebuah keluarga sambil menjadi guru pada anak-anakmu
Cintai dia walau ketika dia bertekak denganmu, sungguhnya pasti ada perkara yang dia mahu kamu sedar yang ada kesilapan yang perlu diperbetulkan.

Cintai dia seadanya.

Semua ini adalah sifat wanita yang biasa. Lumrahnya dia adalah jadian tulang rusuk yang bengkok. Jika dicuba untuk membetulkannya, pasti ia patah dan sukar dibaiki lagi. Terimalah dia seadanya dan hulurkan tanganmu lalu membimbingnya dengan kasihmu, InsyaAllah dia akan menjadi sebahagian dari penampan hatimu yang tiada banding cintanya.



Love Her
Love Her..when she sips on your coffee or tea. She only wants to make sure it tastes just right for you
Love Her...when she is jealous. Out of all the men she can have, she chose you
Love her…when she has annoying little habits that drives you nuts. You have them too.
Love her…when her cooking is bad. She tries.
Love her…when she looks scary in the morning. She always fixes herself up again.

Love her…
when she makes you watch corny love dramas while the sport is on.
She wants to share these moments with you.
Love her...when she asks if she looks fat. Your opinion counts, so tell her she’s beautiful.
Love her…when she looks beautiful. She’s yours so appreciate her.
Love her...when she spends hours to get ready. She only wants to look her best for you.
Love her…when she buys you gifts you don’t like. Smile and tell her its what you’ve always wanted.
Love her…when she cries for absolutely nothing. Don’t ask, tell her its going to be okay
Love her…when she suffers from PMS. Buy chocolate, rub her feet and just chat to her (trust me this works!)
Love her…when whatever you do is not pleasing. It happens and will pass
Love her…when she stains your clothes. You needed a new shirt anyway
Love her…when she argues. She only wants to make things right

All these things form part of a Woman’s Character.
Woman are part of your life and should be treated as the queen
Take time to make her feel Special in Every Way.

Moga dirahmati Allah bersama Cinta-Nya yang paling agong.
Bila mencintai Allah.. cintalah sekuatnya.

Salam kasih kerana Allah. Amin..

Tuesday, July 5, 2011

Jerit!

Ku ingin menjerit
melaungkan rasa sakit
meluahkan segalanya yang perit
menendang jauh yang tertelan pahit



Sabda Rasulullah SAW :
"Sesiapa yang cinta kepada Allah, marah kerana Allah, memberi kerana Allah,dan menahan kerana Allah, maka sesungguhnya telah sempurna imannya." [Hadis Riwayat Abu Daud dan At- Tarmizi]

Roda hidup ini, berpusing tanpa henti dengan pelbagai perkara yang menduga hati. Sesekali perasaan panas membuak ditawan rasa. Mahu menjerit, mahu menyergah. Sabarlah.. usah menyerah.

Bukankah sabar itu ibadah?
Menjerit, belum tentu memberi faedah.

"..Sesungguhnya hanya orang-orang yang bersabarlah yang dicukupkan pahala mereka tanpa batas." [Surah az-Zumar: 10]

Salam marah-marah sayang.. Ahaks!
~Raz.R~

Monday, July 4, 2011

Wahai Hati Yang Baik






Wahai hati yang baik,
Kenapa menangis sayang?
Sakit benarkah ujian yang diterimamu?
Sabarlah, bukankah ujian itu tanda kasih Tuhan-Mu?
Tahanlah, darjatmu akan dipelihara-Nya.

Wahai hati yang baik,
Kenapa mengeluh sayang?
Tepislah lekas, jangan keluh itu dibesar-besarkan
Bukankah keluhan itu tanda kita diusik syaitan?
Sabarlah lagi ya? Biar syaitan lari ketakutan
Tahanlah lagi ya? Itu tandanya tebal ketaqwaan

Wahai hati yang baik,
Kenapa ikut rasa sayang?
Kawallah cepat agar ia tidak melarat
Bukankah sekian kita terikut rasa, sekian itu kita binasa?
Sabarlah terus ya? Biar hati tidak mati, nurani terus perkasa.
Tahanlah terus ya? Emosi akan dewasa, iman akan sentosa.

Wahai hati yang baik,
Kenapa ikut nafsu sayang?
Lawanlah nafsu yang buruk, agar peribadi terpelihara
Bukankah nafsumu menjadikan kamu insan palsu?
Sabarlah sentiasa ya? Biar akhlak bersinar sempurna
Tahanlah sentiasa ya? Insan yang terbaik adalah yang terbaik dalam akhlaknya.

Wahai hati yang baik,
Teruslah mengamal perkara yang tetapnya baik
Walau di ajak ke jalan tidak baik
Bertugulah kukuh di situ, tanpa rasa pelik
Ingatlah.. yang baik akan tetap dikenang baik.

InsyaAllah.. Amin..


Salam kasih kerana Allah.
~Raz.R~
disenja yang indah.
04.07.2011

Sunday, July 3, 2011

Jemaah Kasih




Bissmillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum w.b.t.
Ya Allah.. Jika Engkau meluruskan kami dengan hidayah-Mu, mohon belas untuk Engkau menetapkan kami terus di situ dengan ketaqwaan yang mendalam dan kuat terhadap-Mu. Amin, Ya Robbal Alamin.


Masih terngiang-ngiang sebuah sembang malam yang menceriakan. Seorang sahabat telah mengajarkan Raz sesuatu yang membekalkan ilmu. Alhamdulillah, semuanya tertunjuk dari pesona hikmah Allah SWT. Raz menghargai apa yang diucapkannya dengan doa, semoga hidupnya dilindungi dan dibahagiakan di dunia ini, juga di akhirat nanti.

Untuk pedoman Raz dan untuk perkongsian semua. InsyaAllah, yang baik kita kongsi bersama.

Katanya, dalam hidup ini Rasulullah SAW menyuruh kita berjemaah bukan hanya di dalam solat semata. Jemaah adalah simbolik dari ikatan besar pautan insan. Jemaah adalah salah satu landas dari keindahan kasih sayang. Kasih sayang dari Tuhan kepada insan bersambung insan dan terus kepada alam.

Bila kita berjemaah, maknanya kita bermasyarakat malah kita bersaudara dan kita mengenali sesama kita. Perkenalan selalunya mencetuskan kasih, meluaskan hubungan silaturrahim. Kasih yang berantaian akan disukai oleh Allah dan Rasul-Nya.

Dalam kekeluargaan juga, kita amat perlu mempraktikkan jemaah sesama keluarga. Bagaimana caranya? Dengan solat bersama, bercerita bersama, makan bersama (bersuapan bersama) dan mungkin beriadah bersama. Apabila kita membiasakan diri, membahagikan masa untuk kita berjemaah bersama, sudah pasti kasih sayang akan menjadi mekar dan erat. InsyaAllah.

MasyaAllah. Keindahan Islam sudah lama terteguh tapi tidak sempurna tegaknya. Lewat ini, berapa banyak keluarga yang telah menjadikan jemaah sebagai asas dan landas kasih di dalam kehidupan mereka? Jelasnya, kita sekarang terlalu kalut dan sebok dengan hal masing-masing terutama kerjaya hingga terpencil dari ruang jemaah keluarga kita sendiri. Lama-lama kita mula pentingkan diri.
Lalu, siapakah yang perlu kita persalahkan jika kehidupan kita hambar dari kasih sayang? Kadang-kadang kita cari kasih-sayang itu merata-rata tanpa melingkungi hati kita dengan memperbaiki jemaah keluarga kita sendiri. Porak-peranda pun mempengaruhi kehidupan kita dalam diam. A'uzubillahiminashaitonirrajim..

Begitu juga di dalam persahabatan walau di mana kita berada. Samada di tempat kerja atau sebagainya. Berapa ramai dari kita berjemaah, bermesyuarah di dalam persahabatan. Minit-minit sebentar kita luangkan untuk solat dan berkongsi ilmu bersama dalam jemaah persahabatan. Sekalipun kecil sejumlah dua sahabat, sesekali kita berjemaah, sedikit pun kasih tersebar, tidak ada ruginya. Jemaah kita akan membuka muafakat, meluaskan pengalaman, menyerikan kemesraan. Namun, tidak ramai yang menganggap ini kebaikan. Ramai yang merasakan ia bagai bebanan yang membuang masa. Betapa kerdilnya nurani kita, kan? Suramnya jiwa kita dari pautan jemaah kasih.
Akhirnya, siapakah yang perlu kita persalahkan andai persahabatan bercakaran tanpa persefahaman?

Raz teringin.. sangat teringin untuk melihat kita umat Islam sama-sama memperkenalkan, mengamalkan jemaah kasih sesama kita. Membuang hasad dengki lalu bersatu padu kerana Allah semata. Namun, keinginan itu hanya secarik bayangan Raz sebagai sekecil insan yang penuh kelemahan. Wallhua'lam.

Berjuang dalam jemaah lebih gagah dari bermatian-matian sendirian. Ibarat seraut lidi dan seikat lidi. Bezanya nyata sekali.

Mudah-mudahan tulisan Raz ini tidak mengguriskan mana-mana pihak. Raz hanya berkongsi rasa, di ruangan yang tidak seberapa untuk difikirkan oleh diri sendiri dan sesiapa sahaja yang masih sudi memikirkannya. Mudah-mudahan kita semua diberikan haluan yang penuh kebersihan hati. Amin.

Salam kasih seluas sayang.
Raz.R

Dalam Sepi, Indahnya Ketara




Walau hati dirundung sepi
Usah dirundung sahutan mati
Sepi ada rahsianya tersendiri
Bagi kita yang mahu mengerti

Sepertiga malam, ketika sepi mencengkam alam
Ketika insan dan makhluk lain lena diam
Sepi itu menggamit besar peranan
Sepi itu mengajak kita BERCINTA…
Bercinta bersama segenap rasa indah
Rindu dendam hiba sayu kerana Allah
Sepi dan cinta Allah
Lazatnya menyuci jiwa yang lama bernoda!

Benar...
Dalam sepi, indahnya ketara.

Saturday, July 2, 2011

Setiap Saat , Beringat-ingat!



Saat kesusahan melanda
Masih ada yang susahnya melebihi kita

Saat derita menjerut jiwa
ingat, mungkin derita kita tidaklah seberapa

Saat tangisan tidak dapat diseka
tanyalah diri tangisan itu untuk apa?

Saat siksa diikat letih tidak terkata
ingatlah, gugurnya keringat segugur dosa

Saat kecewa ragam manusia
lihatlah manusia lain yang baik ragamnya

Saat hati dipukul hina
kuatlah kerana hina tanpa nyata itu pahala

Saat sepi datang menyapa
perhatikan kesepian itu ada indahnya

Saat diri rasa dianiaya
bangunlah kerana Tuhan akan membalasnya

Saat disisi tiada siapa
ingatlah bahawa Allah itu ada bersama

Setiap saat beringat-ingat
Setiap kejadian akan bersebab
Setiap saat ada hikmatnya
Setiap ujian ada nikmatnya.


Sejukkanlah hatimu.. ingatkan diri tentang sesuatu yang baik selalu. Biar bisu, kelu dalam memendam segala kepahitan, namun yang pahit itu usah dibiarkan menjadi racun yang mematikan semangat untuk meneruskan kehidupan.

Moga dikasihi Allah selamanya. Amin..
~Raz.R~
02.07.2011

Dialog Luka Wanita Lagi.



Su menyedut minumannya perlahan. Matanya memandang jauh pada pulau hijau di hadapan. Cahaya matanya memberitahu, bukan pulau itu yang dilihatnya. Rasa hati Raz tergerak tahu bahawa dia sedang melihat sesuatu yang lebih jauh. Jauh yang tidak terduga sesiapa, kecuali dirinya dan hatinya.

Raz memulakan sembang biasa. Bertanya khabar tentang keluarga. Dia cuma mengangguk-angguk sahaja. Semuanya di-iyakan dengan selamba. Tahulah Raz, bukan itu yang mahu dibualkan. Dia mahu Raz mendengar rasa di dalam jiwanya lagi.

"Awatnya Su?.. Masih terkenang "Orang tu" lagi ka?"

Dia terkejut. Matanya terus dijelingkan ke arah Raz. Wajahnya berubah tawar dan berselikan riak sakit. Raz memohon maaf padanya. Setelah itu, dia sedikit selesa. Rentaknya seperti mahu meneruskan bicara.

"Tak tahulah kak Raz.. Su sendiri tak faham. Kata putus telah dibuat. Hati dah tak larat nak hadapi semua kesedihan yang Su lalui seorang diri. Tapi Su...., Su masih rasa seperti sesuatu yang tidak kena. Su masih ingat segalanya tentang dia, kak!"

"Hemmmm... tak apalah Su. Nak buat lagu mana. Tempat jatuh lagikan dikenang. Inikan tempat hati jatuh. Kan??"

Raz tersenyum. Dia juga tersenyum. Dalam senyumnya Raz lihat wajah yang penuh tekanan. Susut badan Su juga dah mula nampak lebih ringan dari dahulu ketika Raz menemuinya. Pasti, dia tetap membawa dirinya melayan kegundahan dan rasa derita.

"Dia dok call hang lagi ka, Su?"

Raz sengaja mahu dia menyambung cerita berat agar ringan apa yang tersimpan di dalam jiwa sahabat Raz itu. Raz kasihankan dia. Dia banyak berubah. Lebih diam dan tidak ceria. Su menggelengkan kepalanya lemah. Pasti hatinya teramat sayu.

"Tak kak Raz.. mungkin dia tengah bahagia dengan hidupnya sekarang. Mungkin dia telah memiliki apa yang sangat diinginkan dulu. Tapi Su sakit, kak. Dia langsung tidak mempedulikan Su. Ya lah! Memang Su ingin dia bahagia.. tapi.. patutkah dia buat Su menderita macam ni, kak? Zalim sangat rasanya sikap tu. Su rasa tidak berharga. Setelah Su korbankan segalanya. Su di layan sebegini rupa, kak.."

Raz pandang matanya. Ada sesuatu yang telah meragut sinar dari matanya. Air yang bergenang. Hati yang meruntun pilu.

"Ishh.. bukan ka hang cakap, hang nak jauhkan diri dari hidupnya?.. Awat pikiag macam tu? Biarkanlah.. yang berlalu, takyah dok ingat lagi dah. Kalau dah hang nak dia bahagia.., kak rasa, elok hang lepas dia dengan seikhlasnya. Biag la dia dengan hidupnya. Jangan pulak hang dok moyok macam ni. Tak baik tu.. Depa dok bahagia, hang dok macam ayam berak kapog sorang-sorang.. apa cerita tu?"

Dia tunduk mengangguk perlahan. Seperti mengakui yang dia harus pasrah pada takdir yang telah dipilih Allah untuknya. Namun, Raz faham, untuk menerima sebuah takdir yang bertentangan dari sebuah impian yang telah dicita-citakan sekian lama, bukan semudah kata. Dia ketakutan untuk menerima kehidupan yang akan mengubah segalanya.

"Su.. Su cuma tak mampu menerima orang lain dalam hidup Su, kak. Su takut. Su rasa tidak percaya lagi. Kemungkinan-kemungkinan penipuan, rasa terluka dan dilukai itu akan berulang lagi. Malas dan letih untuk melalui semua tu lagi, kak".

Raz faham. Sangat faham. Hati wanita ini persis sebuah kristal yang nampak teguh namun rapuh. Sekali hancur, masakan bercantum semula menjadi seperti biasa. Raz sekadar menasihatinya supaya yakin bahawa, tidak semua insan itu sama sifatnya. Tidak semua orang suka melukakan hati orang lain. Tapi, di dalam hati Raz ini..,

"Aku pastikah?, sedang aku sendiri pernah melalui perit luka pelbagai manusia?"

Astaghfirullahalazim..
Dari Allah kita datang, lalu berteguhlah hati bahawa kepada Allah jualah kita serahkan segalanya.






Pagi yang tenang..
wahai hati yang malang..
teruslah tenang..
Allah akan makbulkan segala doamu..
InsyaAllah.

02 julai 2011
~Raz.R~