Salam kasih Kerana Allah
Saturday, July 30, 2011
Dialog Luka Wanita : Hidup Perlu Diteruskan!
"Lamanya akak menderita??.. Sepuluh tahun tu! Macam mana kak Raz boleh lalui itu semua?" ..
Su terkejut bila Raz menceritakan pengalaman Raz padanya. Tidak terniat untuk Raz menjadikan cerita hidup Raz sebagai bahan simpati atau mengulang ingat kenangan yang meninggalkan batu tanda. Cuma Raz mahu Su tahu yang lebih ramai manusia menderita di dalam dunia Allah ini. Dan, Raz tidak dapat menceritakan tentang orang lain yang pengalamannya tidak diketahui Raz. Justeru, Raz ceritakan pengalaman hidup Raz sendiri untuk dijadikan sekelumit iktibar supaya dia mengerti, kesusahan itu adalah sebahagian dari hidup manusia yang bernyawa. Tidak terlepas dari melaluinya.
"Bukan mudah, Su. Semuanya dari keteguhan perasaan kita melawan keinginan diri dan menerima takdir yang Allah beri dengan setabah hati. Kak Raz masih belum dapat menerima hakikat itu sepenuhnya, tapi kak Raz tidak dapat menolak pilihan Allah. Dari kekecewaan, kesakitan, kelemahan.. kita belajar erti bersedia dengan redha, Su. InsyaAllah."
"Kak Raz tak tanam dendam?"
Tunduk hati Raz menerima pertanyaan tersebut.Menggelengkan kepala. Mengangguk pun ada.
"Dalam hati, mahu bermusuh juga. Terasa ingin menyakiti kembali. Tapi Su, apa faedahnya? Apakah dengan menyakiti orang lain yang pernah kita sayangi itu akan memberikan rasa gembira? Mungkin puas sementara, tapi hidup tidak akan rasa selesa. Biarlah Allah yang menentukan apa yang sepatutnya.."
Kami sama-sama menoleh ke arah lautan yang membiru. Menyedut udara yang menghembus agak kuat. Menari gerakkan selendang dikepala terbuai angin yang segarnya terasa. Mungkin cuaca bermusim memanggil hujan. Ada dingin dan ada awan kelabu di langit.
Su agak tenang kebelakangan ini. Sepertinya dia dapat menerima keadaan yang telah dilaluinya dan Raz cuba meneka..
"Su, hang dah okay ka sekarang nih?"
Dia menunduk perlahan, menguis pasir putih yang dipijaknya.
"Entahlah kak.. Kadang-kadang okay saja. Kadang-kadang tu sewel jugak. Hemmm.. Su sedang cuba terima keadaan Su walaupun agak sakit. Macam yang akak kata, terima takdir yang Allah beri."
"Yalah, Su.. selagi nyawa dan kudrat ada di badan, hidup perlu diteruskan. Mungkin kelmarin kita gagal, kita bodoh, kita dipersendakan.., esok lusa belum tahu lagi. Yang penting, kita selamatkan diri kita dengan berharap kepada Allah semata. Allah tidak zalim, Su. DIA cuma mahu, kita tidak terlalu leka dengan kelebihan-kelebihan dunia yang tidak mampu kita bawa ke akhirat-Nya. DIA mahu kita kenal kelebihan-Nya."
Kami sama-sama terdiam. Dibuai perasaan mendalam. Masing-masing mencari secebis keputusan tetap untuk diri sendiri. Walau dirundung kepayahan,YA! HIDUP PERLU DITERUSKAN!..