Salam kasih Kerana Allah

Salam kasih Kerana Allah
Assalamualaikum wbt - Sekadar Berkongsi Ilham dan Pengalaman

Friday, December 27, 2013

Subhanallah.Semurni Hati Sesuci Jiwa



Bissmillah hirraahma nirrahim...

Salam Jumaat di tarikh 24 Safar bersamaan 27 Disember 2013.

Solawat serta salam ke atas junjungan besar kekasih Allah Rasulullah s.a.w.
Semoga kerahmatan atau kasih-sayang Allah berlimpahan memayungi, melindungi seluruh insan dekat dan jauh yang kita semua kasihi. Terutama kepada pejuang-pujuang agama Allah tidak kira dimana sahaja baik yang hidup atau yang telah tiada. Ameen.

Subhanallah, walhamdulillah, wala ila ha illallah, wallahuakhbar.
Semoga agama kita sentiasa terpelihara dan dimenangkan Allah Ta'ala di dalam segenap sudut dan kita juga turut di kalangan yang teguh iman memeliharanya. Ameen Ya Robbal 'alamin.



Pagi ini sangat indah.

Alhamdulillah.
Izinkan Raz men'diari'kan sedikit pengalaman Raz pagi ini.
Menjengah ke masjid ketika dhuha pada Jumaat yang mulia diselikan pemandangan mata ke arah batu-batu nisan di luar tingkap masjid, hati mendesah sayu dan pilu. Mengingat dan mengimbas semula tujuan hidup ke mana arahnya. Bersalah dan berdosa, di situlah tempatnya kita nanti, dipusara yang hanya berdinding dan berlantaikan tanah. Astaghfirullah. Wallahu'alam.



Persoalannya, hal itu adalah hakikat. Setiap kita akan melalui mati, tapi bukan itu yg ingin Raz ceritakan. Di masjid tadi, Raz terlihat anak gadis lingkungan usia seawal 20-an. Si hitam manis sedang terbongkok-bongkok sendirian membersihkan lantai dan kolah wuduk di perkarangan masjid. Subhanallah. Betapa hati Raz kagum. Alhamdulillah. Masih ada lagi remaja yang sedemikian cantik akhlaknya. Terkesan di hati, betapa Raz juga ingin melakukan hal yang sama. Kerdilnya diri kerana dikalutkan dengan hal-hal keduniaan hingga terasa tidak menggerakkan hati ini bertindak sepertimana anak muda tersebut. Malu dan sedih.



Walaubagaimanapun, Raz bersyukur, setidak-tidaknya rumah Allah tetap dilindungi dengan cara-Nya. Doa Raz juga mudah-mudahan, makin ramai anak-anak kita memiliki nilai hati semurni gadis muda yang Raz lihat pagi ini. Semoga Allah sentiasa mendekatkan kita ke jalan dan ruang besar hidayah-Nya. Ameen.


Sekian, salam hormat, salam kasih dan salam doa tulus dari hati Raz kepada semua yang membaca ruangan ini. Terima kasih yang berjuta..♥




Monday, December 23, 2013

'Ada Cinta; Ada Rindu'

Jemari bersuara
Terjemahan kata hati
Mengakui
Menjujuri rasa
Ada cinta 
berkalam di dada
Ada rindu
berbuai di jiwa

Bukan senang membuang cinta
Bukan mudah menipu rindu

Dengan cinta dan rindu, beribu bahasa membintangi doa-doaku 







Nota jiwa
: "Kadang-kadang kita ditemukan oleh Allah dengan SEORANG teman. Daripadanya kita belajar erti seluruh  kehidupan. Darinya kita kenal erti marah, sayang dan kasih. Darinya kita mendalami maksud rindu, rajuk, senyum dan ketawa. Darinya juga kita sesekali dihinggapi dingin, resah, gelisah, pening, bosan, letih dan serabut. Malahan darinya terbit tiap nikmat indahnya gurau, seloka-mesra dan cinta.




SEORANG teman yang TIDAK PERNAH SAMA dengan yang selainnya.  SEORANG teman yang singgah di sudut hati dengan pukauan sentuhan rasa ISTIMEWA."


Bijak pandai ada menyebut,"Tidak ada kenikmatan seorang hamba yang lebih baik setelah nikmat mendalami Islam daripada kenikmatan memperolehi seorang teman yang soleh, apabila lupa, dia mengingatkan dan apabila ingat dia membantunya."


Ingat, apalah yang paling baik selain dipertemukan kerana Allah?

Saturday, December 21, 2013

Biarlah Apa Kata Orang- ALLAH ADA



Semangat kata untuk memaniskan jiwa

1)Sabarlah.

“Terimalah kepedihan itu sebagai ubat. Yang sedih itu penawar. Siapalah kita ini… kita hanya hamba, bukan tuan, bukan Tuhan.  Sebagai hamba kita layak diuji. Tidak ada pilihan, kekadang ada perkara berlaku tidak seperti yang kita mahu. Ujian ini termaktub. Sama ada kita terima atau tidak, ia tetap berlaku. Pilihan yang masih tinggal buat kita ialah, untuk sabar atau tidak. Jika sabar, ada kebaikan dan manfaatnya. Jika tidak sabar, banyak keburukan dan mudaratnya.”

2)Sabarlah

"Saat kita melalui rintangan yang hebat dan seseorang melakukan sesuatu yang menyakiti hati kita, berjanjilah pada diri sendiri dan pada ALLAH, yang kita takkan melakukan perkara yang sama pada orang lain...

Dengan sesiapapun kita berinteraksi, dengan teman-teman, rakan sekerja, dengan sanak-saudara, dengan ibu ayah, dengan bos atau sesiapa saja - ada saja hal-hal yang buat kita panas hati dan kita rasa, kalau orang boleh sakitkan hati kita - kenapa kita tak boleh kan?????

Lindungilah diri dengan 'Auzubillah, sesungguhnya kita hidup untuk ALLAH. Moga ALLAH memelihara kita dari perilaku jahat yang dibisikkan syaitan. ALLAH ajar kita untuk tolak keburukan dengan kebaikan. Rasul SAW ajar kita untuk memaafkan dan berlapang dada serta bersabar.


Biar orang lain yang jahat, kita pilihlah untuk tetap baik, untuk syurga ALLAH. Untuk redha ALLAH. Kita nak Rasullullah SAW bangga dengan akhlak kita.

3)Sabarlah

Kehidupan ini adalah perjuangan dan tarbiyah yang mengingatkan diri untuk kembali ke jalan Allah sentiasa.

Friday, December 20, 2013

Lama Benar

"Lama benar...
kita bersuara,
hingga hilang jenaka,
pudar selingan ketawa.

Lama benar...
kita bersangka,
hingga hilang mesra,
luntur penyeri suka.

Lama benar...
kita berpura-pura,
hingga kita lupa,
asal kita sebenarnya."


Monday, December 16, 2013

Sikap Kita; Sikap Orang



Kita tengok, kita rasa...
Semua orang silap belaka
Kita silap tidak kita rasa
Itulah kita...
Sedar keburukan di depan mata
Tak sedar kepincangan diri sendiri

Sikap kita,
Buruk pun tak apa
Jika baik, lagi-lagi tak apa
Kononnya buruk kita bersebab
Walau kita salah, tidak kita bersalah
Tidak ingin mengalah

Sikap orang,
Bila buruk, mudah dibesarkan
Cerita sehasta jadi sekajang
Mengumpat mencela tersangat senang
Makin manis yang nista diulang-ulang
Yang busuk semakin hanyir
Yang baik hilang bagai diusir

Sikap kita,
Bila ditegur mata menjeling
Apa yang baik tak ambil pusing
Semakin marah semakin bising
Berbaik tak mahu, bermusuh jadi penting

Sikap orang, 
Kita menegur tidak dipatuh, kita yang runsing
Kononnya degil, tak ingin dicermin
Mulalah mencuka wajah berhati dingin

Sikap orang; Sikap Kita
Tanpa iman di dada
Tiada ikhlas di jiwa
Sama saja...


Raz.R
→ Muhasabah : "Menunding jari, benang basah masakan berdiri."
 
 




Monday, December 2, 2013

Siapa Yang Kita Takut?



Perjalanan hidup kita ini banyak disogokkan dengan rasa takut. Mata kita sentiasa melingkari di hujung jelingan semesta dengan rasa takut. Tiap kali kita mahu memulakan sesuatu langkah, perkara mula yang kita terap pada hati kita adalah takut. Takut gagal. Takut bersalah. Takut sakit. Takut malu. Takut kecewa. Takut menderita. Takut bersuara benar.Takut dimarahi. 'Takut! Takut! Takut!'

Tekanan dalam rasa takut inilah yang menyekat kita berbuat sesuatu keputusan sekalipun ia adalah hal yang baik dan terbaik untuk diri kita.

Tidak dinafikan perasaan takut itu perlu ada di dalam jiwa kita. Dunia ini dipenuhi pelbagai syaitan yang bertopengkan manusia. Kita sedang hidup di dalam dunia yang menyebabkan diri kita takut dan hati-hati terhadap sekeliling melebihi daripada takut kita kepada Allah Subhanahuwata'ala.

 Firman Allah Swt :
iaitu) orang-orang yang menyampaikan risalah-risalah Allah, mereka takut kepada-Nya dan mereka tiada merasa takut kepada seorang(pun) selain kepada Allah. Dan cukuplah Allah sebagai Pembuat Perhitungan”(QS. 33:39).
dan
  Firman Allah  Swt lagi:
Dan barang siapa yang taat kepada Allah dan rasul-Nya dan takut kepada Allah dan bertakwa kepada-Nya, maka mereka adalah orang- orang yang mendapat kemenangan” (QS. 24:52).



Cuba kita tafakkur dan nilai ke arah mana takut kita yang kita pegang sehingga kini. Siapa yang kita takut? Hitunglah peratus ketakutan kita dimana. Timbangkanlah beratnya di sebelah mana. Samada ia menjunam kepada takutkan Allah seluruhnya atau takutkan apa pandangan manusia semata-mata.

Tanyalah diri sendiri.

Bilamana kita takutkan Allah, kita akan berani berbuat keputusan yang benar. Apabila kita takutkan apa yang bakal manusia pandang mengenai kita, keputusan yang benar kekadang bertukar salah.

Wallhua'lam bissowab.

Moga Allah melindungi iman kita. Ameen....
♥"Apabila seorang manusia itu hanya takutkan Allah, maka tidak ada sesuatu yang mampu menyakitinya."(Ibn Umar)♥





Sunday, December 1, 2013

Asas Solat Yang Berilmu


Bissmillahirrahmaanirrohim...
Raz suka untuk merantaikan perkongsian ini di halaman Raz untuk sama-sama terus kita ingat kepentingan bersolat dengan ilmu bagi mencapai keberkatan dan keberkesanan kasih-sayang Allah swt  dalam setiap ibadah kita. 
Ibadah yang pertama sebelum memulakan ibadah yang lain agar ia benar-benar bererti adalah 'SOLAT'. Andaikata baik solat yang kita kerjakan maka baiklah amalan-amalan kita yang lain, In-sya-Allah.

Tulisan ini diambil dari laman seorang sahabat untuk pembacaan dan amalan bersama. Semoga mendapat keredhaan Allah Ta'ala. Ameen.

Belajar dan menuntut ilmu tentang ibadah yang akan kita kerjakan, supaya nanti ibadah yang kita laksanakan itu molek dan sempurna.
Kerana jika tidak dipelajari, besar kemungkinan ibadah yang kita lakukan itu tidak sah atau rosak. Paling tidak pun, rendah mutunya. 
Justeru pentingnya ilmu sebelum beribadah ini maka Nabi Muhammad s.a.w bersabda yang bermaksud:
"Ilmu itu merupakan imam kepada amal, sedangkan amal itu pula menjadi pengikutnya (sebagai makmum)"

Hadith Riwayat Abu Nu’aim.
Sabdanya lagi yang bermaksud:
"Bahawasanya tidur dalam keadaan berilmu adalah terlebih baik dari solat dalam keadaan jahil"

Hadith Riwayat Abu Nu’aim.
Selain itu, dengan ilmu yang kita pelajari ini, akan membuatkan seseorang itu berasa benar-benar takut kepada ALlah s.w.t. 
Firman Allah dalam surah Al-Fatir ayat 28 yang bermaksud:
"Sesungguhnya yang takut kepada Allah daripada segala hamba-Nya ialah para ilmuan (yang beriman)."
Perasaan takut kepada Allah akan menimbulkan rasa kehebatan, keagungan, kebesaran, ketinggian, kemuliaan, dan kekudusan Allah s.w.t.
Dari perasaan takut itulah yang akan menghasilkan khusyuk yang merupakan perkara yang amat penting sekali dalam ibadah solat seseorang hamba Allah yang mahukan kemenangan dunia dan akhirat.
Firman Allah s.w.t dalam surah Al-Mukminun
ayat 1 - 2 yang bermaksud:
"Sesungguhnya telah beruntunglah orang-orang yang beriman, (iaitu) orang-orang yang khusyuk dalam solatnya."

Rukun Qauli dalam solat, WAJIB berlafaz sampai didengari oleh telinga sendiri , tak kira lelaki atau wanita. Berbisik, tak sah. suara angin, tak sah. Baca dalam hati, lagi tak sah. Satu huruf tidak terdengar pun al- fatihah tu tak sah. Kecuali kita berada di tempat bising atau speaker masjid kuat sangat.
Rukun qauli tu apa? Takbiratul ihram, Al-Fatihah, tahiyyat akhir, selawat dan salam pertama. ada 5 sahaja . yang lain rukun fi'li. niat rukun qalbi.

Rukun solat terbahagi kepada tiga kategori:
 

1. Qalbi (diingat dalam hati)
2. Qauli (diucap dengan lidah)
3. Fi'li (perbuatan)

Rukun solat ada 13 perkara iaitu:


1. Berdiri bagi yang mampu. [Fi'li]
2. Niat.[Qalbi]
3. Takbiratul Ihram (Allahu Akhbar yang
pertama). [Qauli]
4. Membaca surah Al-Fatihah. [Qauli]
5. Rukuk dengan tama'ninah .[Fi'li]
6. Iktidal dengan tama'ninah. [Fi'li]
7. Sujud dengan tama'ninah. [Fi'li]
8. Duduk di antara dua sujud, dengan
tama'ninah. [Fi'li]
9. Duduk Tasyahhud akhir. [Fi'li]
10. Membaca bacaan Tasyahhud Akhir.[Qauli]
11. Selawat kepada Nabi Muhammad s.a.w.
dalam Tasyahhud Akhir. [Qauli]
12. Mengucapkan salam yang pertama.[Qauli]
13. Tertib [Qalbi]
 
Katakanlah (wahai Muhammad): "Serulah nama " Allah" atau nama "Ar-Rahman",yang mana sahaja kamu serukan (dari kedua-dua nama itu adalah baik belaka);kerana Allah mempunyai banyak nama- nama yang baik serta mulia". Dan janganlah engkau nyaringkan bacaan doa atau sembahyangmu, juga janganlah engkau perlahankannya, dan gunakanlah sahaja satu cara yang sederhana antara
itu. (Surah Al-`Isra' ayat 110)

Terima kasih.

Saturday, November 30, 2013

Pelita Kalbu


Desir hati berombak lagi...

Kala aku ingin kuat,
Ada saja yang melemahkan.
Kala aku ingin bangun,
Ada yang merebahkan.
Kala aku ingin tersenyum,
Ada yang memuramkan.
Kala aku ingin ketawa,
Ada yang menyedihkan.
Kala aku ingin berjaya,
Ada yang merebahkan.


Kencangnya pusaran taufan...
Sesekali bersembunyi di dalam kelam
Diam menanti, pelita kalbu bercahaya lagi.




Raz.R
30/11/2013 @ 14:00:00 PM

Kifarah


Hakikatnya, kita selalu menangis dan kekadang kita tanyakan apakah sebabnya tangisan tersebut, kan?

Percayalah, semua tangisan itu juga kehendak Allah Ta'ala. Mudah-mudahan walau sedikit, lalu dosa-dosa silam kita terampun oleh DIA Yang Maha Pengampun dan Pengasih.

Rasa sakit, gelisah, hampa, gagal, kecewa atau yang lain-lain melibat sesak yang meruntun jiwa, In-sya-Allah, semua itu adalah hasil dari kesilapan atau dosa-dosa silam yang sedang ditayangkan pada kita di dunia. Apabila kita faham bahawa unsur tidak sihat yang kita alami di dunia ini adalah kifarah untuk menyucikan hati kita daripada dosa dan petunjuk yang membawa kita kembali ke jalan yang sebenar, maka iman kita dipulihkan Allah SWT secara perlahan.

Tiap kali kita menerima kesedihan, anggap saja Allah sedang menunjukkan kepada kita jalan 'KOREKSI DIRI' awal sebelum kita menemui-Nya nanti.

Mudah-mudahan kita digolongkan bersama mereka yang diampuni dosa. Ameen Ya Robbal 'Alamin.

Monday, September 23, 2013

Dulu...


Dulu...
Dia ambil berat tentang awak..., awak buat tak tahu.
Dulu...
Dia selalu tanya khabar awak.., awak buat tak tahu.
Dulu...
Dia gembirakan hati awak..., awak buat tak tahu.
Dulu...
Awak marahkan dia, awak tak pujuk.., awak buat tak tahu.
Dulu...
Dia sabar dan setia dgn awak, awak tak kisah.., awak buat tak tahu.
Dulu...
Dia tolong awak, ringankan susah awak.., awak buat tak tahu.
Dulu...
Dia doakan awak, tenangkan awak..., awak buat tak tahu.
Dulu...
Dia sakit, dia beritahu awak.., awak buat tak tahu.
Dulu...
Dia nasihatkan awak, sokong awak.., awak buat tak tahu.
Dulu...
Dia kata, dia sayang awak... awak buat tak tahu.
Dulu...
Dia diam, sepi, mengalah..., awak buat tak tahu.

Sekarang...
Bila semua tentang awak dia tahu, tetapi dia sudah tidak lagi mahu tahu, barulah awak tahu, banyak hal yang awak ingin tahu tentangnya sudah terlambat utk diambil tahu.

Samada dulu atau sekarang ada kesimpulan.



Thursday, September 12, 2013

Puncak Harapan Saat Sendirian




Bissmillahirrahmanirrahim....

Meletakkan segunung harapan bagi 'Happy Ending Forever', amatlah indah, namun mengecapinya terlalu jarang ditemukan dan jika ada tidaklah ia ditemukan dengan mudah. Semua orang pernah membina angan-angan untuk bahagia dengan  mereka yang dikasihi. Sudah tentu tiada yg menolak bahagia. Cuma, kadang-kadang harapan tidak berkesudahan sepertimana yang diimpikan.



Segala yang bersifat 'baharu' sentiasa berubah-ubah. Sebagaimana awan kekadang hitam membawa mendung; kekadang putih mengiring mentari.



Boleh jadi...,

Kekasih yang dipuja-puja sekian tahun lamanya, memohon diri dan katanya, “Cukuplah setakat ini ikatan kita, aku pergi dulu. Kita tidak serasi...”

Suami yang dihormati tiba-tiba curang- “Bukan abang tak sayang, tapi mungkin hanya sekadar ini jodoh kita.”

Isteri yang bertahun-tahun disangka jujur dan setia tiba-tiba memohon cerai kerana terlanjur mencemar suci bersama lelaki lain- “Lepaskan saya daripada saya terus berdosa dengan abang.”



Episod menyedihkan ini tidak sekadar kata; berlaku dimana-mana. Ia adalah sumbangan kepada kedukaan emosi, mental, fizikal menjadi lemah dan hati menjadi sakit.

Untuk apa semua itu? Natijah dari harapan yang kita gantungkan kepada manusia dengan sebulatnya mengundang spritual kita menjunam ke titik yang terlalu bawah. Hilang punca, gelap arah.



Secara jujur, penggantungan yang kita cari untuk mengecap bahagia tidak sepenuhnya daripada manusia. Bergantunglah pada tali yang lebih kukuh yg sekali-kali tidak akan putus. Melakar rasa bahagia tidak semestinya hanya dari kasih mesra sesama manusia. Rasa cinta kepada alam dan kehidupan juga sudah cukup indah, yang memang tidak dapat disangkal lagi.
Hiduplah kita di dalam belaian kasih-sayang Allah, disitulah sebenarnya hakikat kebahagiaan yang sejati. Memang fitrah kita manusia, semangat keakraban, setiakawan, mencintai dan dicintai itu keperluan, namun seandainya suatu ketika kita terpaksa bersendiri menempuh segalanya tanpa sesiapa, tanpa tempat bergantung; janganlah kita putus-asa dan kecewa. Pasti, ada kebahagiaan yang lain yang akan Allah gantikan utk memujuk nurani kita menjadi lebih bahagia, walau tanpa seorang pun yang sudi menemani.

Berharaplah kepada Ilahi. DIA-lah Maha di atas segala Maharaja yang mempunyai segala-galanya. Pintalah kepada-Nya dengan rendah jiwa penuh rasa tawadduk cinta. Insya Allah, dari-Nya kita beroleh segala harapan yang kita sangka sedang diri kita dicicirkan.



Katakanlah segala keperluan hati, keinganan kita, rindu kita, kasih kita, cinta-sayang kita, justeru hanya kepada-Nya. Insya Allah, kita akan bahagia di jiwa. Ameen Ya Robbal ‘Alamin…
Moga berbahagia hendaknya.

Tulus Senyum Ikhlas,

Raz.R

Friday, August 2, 2013

Hati Tetap Berkilau Indah

Bissmillahirrahmanirrahim...
Jumaat yang penuh kasih-sayang Allah. 


Sedikit kata-kata hati ingin Raz hamparkan di sini.


Apa pun kedamaian yang kita dapat dari lukisan alam yang di situ kita rasa membawa ketenangan, kesedapan mata, kelapangan jiwa...., itu hanyalah sedikit dari cebisan cinta daripada Allah Ta'ala.

Ketenangan, kedamaian dan ketenangan yang paling membawa nikmat yang tidak ternilai adalah bilamana kita tetap terasa tidak ada apa-apa yang menggoyahkan keimanan kita sekalipun kita berada di tengah rimba kehidupan yang penuh duri dan onak keserabutan dan hiruk-pikuk tekanan samada dari alam atau manusia.
Kita tetap berlapang dada. Kita masih mampu tersenyum selesa. Kita masih diisi dengan luasnya kebahagiaan nurani walaupun di saat itu di kiri kanan kita adalah tombak tajam yang sedang menikam-nikam. Biarpun sejenak terhiris luka, berdarah dan air mata pernah tercurah melerai derita, kita masih berupaya melihat dan menyelami segalanya dengan kelazatan 'senyuman jiwa' yang tidak dapat dipandang sesiapa melainkan Allah Ta'ala.

Subhanallah, sesungguhnya setiap kesulitan dijanjikan Dia bahagia jiwa.

Sollallahu 'ala Muhammad, Sollallahu 'alaihiwasallam..

Semoga Allah terus memberikan kita semua ketetapan hati dan petunjuk ke arah bagaimana untuk gagah menampan usaha meng'istiqamah'kan segala tujuan hidup itu hanya kepada keredhaan Allah semata-mata.Ameen Ya Robbal 'Alamin.

Senyum.. Biarkan dunia berserabut, namun hati tetap berkilau indah.
Salam kasih kerana Allah. Moga apa yang tertulis memberi manfaat. Ameen.




Jumaat di Ramadhan yang indah

Sunday, July 28, 2013

Indah Hati Indahlah Kata

"Indah hati, indahlah kata".
Tersirat maksudnya.


Hati bila dijaga sebaiknya, sudah tentu akan lahir banyak kebaikan. Itu sudah pasti.

Namun, itu tidak melabelkan bahawa orang yang berkata buruk itu, hatinya tidak indah. Sebab kita kita tidak dapat menilai hati orang. Baik-buruk yang ada di dalam hati hanya Allah dan empunya diri saja yang kenal. Insya Allah.  Kekadang yang empunya diri pun masih belum kenal  dirinya sendiri.

Kadang-kadang, orang yang lidahnya agak pedas dan runcing itu tidak juga  sepatutnya digelar 'jahat'. Mungkin dia cuma tidak suka melihat kejahatan. Justeru itulah lidahnya sedikit beracun. Dia lebih telus bersuara. Lebih jernih dan lantang. Kitalah yang perlu bijak menilainya dari persepsi hati yang baik agar hal yang kita nampak buruk itu menjadi kebaikan secara logika.

Namun, yang tetap baik dan nampak santun dan berhemah itu adalah dari sikap dan kata-kata yg baik. Ia merupakan latihan dan amalan untuk diri berusaha menjadi baik.

'Alah bisa, tegal biasa.' Kita, apabila membiasakan sesuatu yang baik, lama kelamaan kebaikan itu akan menjadi peribadi. Apabila menjadi peribadi, maka beratlah kita untuk mengubahnya menjadi yang sebaliknya. Spontan kita akan menjadi 'tidak pandai' lagi untuk menjurus ke arah yang tidak baik. Insya Allah, ameen.

Kadang-kadang pula, orang yang lidahnya manis, memuji dan memuja belum tentu memiliki hati yang baik. Sebabnya, dia menutup kejahatan hatinya. Padahal niat sebenar adalah menagih populariti atau menyindir atau juga punya kepentingan diri yang lain.

Apa-apa pun kesimpulan bagi setiap perkara adalah, yang dapat mengimbangkan diri seseorang manusia itu tetap pada niat, keikhlasan hatinya bila menilai sesuatu hal dan akalnya yang mencorakkan segalanya yang dilihat, didengar, disentuh menjadi acuan yang bagaimana.

Jika tidak menjadi kesilapan(Betulkan jika Raz salah), Rasulullah SAW pernah menyuruh sahabatnya berpura-pura yang maksudnya.."Menangislah kalian dari rasa takut kepada Allah, kalau kalian tidak bisa menangis maka berpura-puralah kalian menangis!”

Baginda menyuruh kita berpura-pura menangis ketika membaca al-Qur'an. Kenapa? Untuk menimbulkan kebaikan dan kesungguhan kepada hati agar menjadi baik. Bersikap baik itu amat perlu sekalipun kita harus menggunakannya secara berpura-pura. Tetapi janganlah pula digunakan sikap pura-pura itu kepada orang lain dengan tujuan yang zalim. Ya, itu sudah menjadi amalan syaitan. Berpura-puralah menjadi baik itu untuk diri sendiri.

Kita manusia biasa yang hanya sekadar hamba-Nya dan sebagai hamba yang ingin membuktikan ketaatan kepada-Nya, memang wajarnya terus berusaha menyempurnakan diri ke arah yang lebih baik dari sebelumnya walau apa cara untuk mengindahkan hati sebagaimana kata.


Wallahu'alam. Salam kasih kerana Allah. Moga berbahagia selalu. Ameen.
Senyum..Terima kasih kerana sudi membaca catatan yang tidak seindahnya.



Wednesday, July 10, 2013

♪♫..Ku Sulam Selasih..♫♪


"Ku jahit sulaman kasih

dengan indah ke rawang cinta

ku lilit benang-benang rindu

erat ditangkai hati

ku sulam harapan berbenang emas

ku tatah berlian

satu demi satu

ku atur dengan seindah mungkin

ku lekat bunga bunga sabar

ku hias manik-manik doa

ku ikat kemas jalur-jalur

tawakal

moga suatu hari nanti

baju kasih bertatah bahgia

milikku jua"

 
 
 
 
Nukilan Jui Al-Rawi
Sebuah puisi yang segar yang Raz amat sukai
Moga dirahmati Allah semua dan selamat berpuasa.
 
Raz.R
01 Ramadhan 1434

Wednesday, July 3, 2013

Kembara Kasih

Bissmillahirrahmanirrahim..
Senyum Semanis Halwa Mata

Senyum...
Semoga kesejahteraan dan kasih sayang Allah bersama kita seluruhnya. Solawat serta salam kepada baginda junjungan yang tercinta Rasulullah SAW dan umat muslimin dan muslimat semuanya. Ameen.
Jangan terkejut untuk paparan foto di atas ya? Manis-manis mereka semua, kan? Sengaja Raz ingin berkongsi kembara Raz baru-baru ini. Oh, ya! Semua yang tersenyum ayu di atas ini adalah adik-adik kesayangan Raz. Generasi baru yang bakal mewarisi baik-buruk bumi di masa hadapan. Insya Allah. Semoga mereka menjadi manusia dewasa yang mencerminkan insan beragama. Ameen.


Nilai persahabatan akan dapat berfungsi dengan baik jika menggunakan ketetapan jiwa yang bersih.
Beberapa hari yang lalu, Raz meluangkan masa bersama adik- adik tersayang. Kenangan yang terhimpun di dalam diari kembara itu amat indah. Masih terbingkai memori tersebut di mata dan di hati. Indah sekali. 

Alhamdulillah, di asrama di pusat di salah satu pusat pendidikan yang nampak biasa tetapi mengacarakan budi pekerti sebagai haluan pertama di dalam kesinambungan ilmu yang mereka tuntut. Terima kasih kepada pengasas pusat pendidikan tersebut. Semoga rahmah dan kasih sayang Allah memayungi setiap budi yang telah ditabur kepada anak-anak didik beliau. Ameen. 

Kemesraan, budi bahasa, tutur bicara daripada silaturahim anak-anak muda ini menggemburkan kasih-sayang saujana birunya langit dan lautan. Unik dan menghiburkan.

Jelas, usia muda tidak selalunya menyelongkar hanya tunas hijau perasaan remaja. Ada di kalangan mereka Raz membaca kematangan yang ketara. Malahan mereka lebih hebat dari sesetengah manusia dewasa seperti Raz. Raz amat kagum.

Berdikari, bersatu, menghormati dan saling menyokong membuatkan mereka menjadi insan yang berhemah dan mempersonakan. Syabas kepada mereka semua! Doa Raz agar suatu hari kumpulan ini dapat membina kehidupan yang penuh dengan kesejatian ukhwah lalu berjaya, tidak sekadar di dunia tetapi di akhirat jua. Ameen Ya Robaal 'Alamin. Perkenankanlah Ya, Rahman...




Raz khaskan penulisan ini untuk mereka dengan pesanan semoga mereka dapat giat berusaha. Semoga mereka sentiasa bersemangat. Semoga mereka sentiasa mengerti bahawa apa yang mereka ciptakan hari ini akan memberi impak yang besar kepada masa hadapan bumi Allah SWT. 

Jaga diri baik-baik ya. Ingat Allah selalu. 

"Sesungguhnya keindahan hati dengan ilmu adalah cerminan peribadi yang mulia."

Salam kasih dari kakakmu.
Raz.R
Kembara Kasih Seremban Dua.

"Ingat Allah Selalu, Jangan Sekali Jemu"


Bissmillahirrahmanirrahim..
Sentuhlah setiap rasamu dengan hati, dengan ingatan, dengan kejituan jiwa dengan belaian kasih Allah Ta'ala sentiasa, selamanya. 

"Sesungguhnya pada pertukaran (penggantian) malam dan siang itu, terdapat tanda-tanda (kudrat dan kebesaran Allah) bagi orang-orang yang memiliki mata hati. Iaitu mereka yang mengingati Allah dalam keadaan berdiri, duduk dan berbaring..."

Ingat Allah Selalu, Jangan Sekali Jemu.

Salam kasih dari Raz. R untuk semua. Semoga rahmah dan keberkatan dari Allah SWT mengiringi hidup kita hingga hujung masa. Ameen.

Tuesday, June 25, 2013

Berdoalah




Bissmillahirrahmanirrahim...
Secara umumnya doa adalah kekuatan yang mendorong. Justeru itu, ia mesti difahami. Doa juga boleh dianggap perisai pertahanan daripada rasa kekecewaan. Sayangnya ramai diantara kita yang berdoa tapi tidak memahami yang didoakan. Doa juga dapat menyalakan semangat. Ketika kita lemah kita berdoa memohon kepada Allah supaya kita dapat bangkit kembali. Oleh itu berdoalah dan fahamilah apa yang kita doakan itu.

Ketika berdoa kita menceritakan kelemahan diri kita. Kita mengakui akan hukum sebab-musababnya. Kelebihan doa adalah hubungan terus dengan Allah tanpa ada orang tengah. Hubungan inilah merupakan hubungan secara langsung yang membolehkan kita mencurahkan apa sahaja perasaan bagi membuang segala keserabutan di dalam diri kita.

Doa yang benar-benar difahami akan merubah hidup sesorang menjadi lebih berazam, cergas dan lebih jujur. Jadi, doa bukan sekadar kata-kata tetapi interaksi yang boleh merawat diri kerana ia lebih merupakan gambaran perasaan dan jiwa.

Oleh itu, berdoalah dengan bahasa apa sekali pun yang kita fahami kerana Allah itu memahami segala bahasa.

Semoga, dengan keikhlasan serta kesungguhan yang telah kita titipkan di dalam sembahan doa-doa kita itu termakbullah segala harapan atau Allah lah yang Maha mengetahui kesesuaian apa yang diperlukan oleh hamba-Nya. Justeru, jika harapan tidak seperti yang didoakan, mengertilah bahawa Allah sedang merancang atau telah menciptakan sesuatu hal yang lebih baik daripada apa yang kita harapkan. Insya Allah. Ameen..Wallahu'alam...

Sunday, June 23, 2013

"Awak Nampak Saya Tak?"




Ketika awak menangis...
air mata turun sealir rintik hujan...
saya cuba hadir,
payungkan awak dari kebasahan dan kesedihan...
Awak nampak saya tak?
 

Ketika awak marah...
hati menjadi panas bak mentari...
saya cuba hadir,
payungkan awak dari kepanasan dan kebencian...
Awak nampak saya tak?
 

Ketika awak senyum ketawa ria...
setiap kata menjadi puisi indah...
saya cuba hadir,
payungkan awak bersama kasih sayang dan kegembiraan...
Awak nampak saya tak?
 

Ketika awak bahagia...
setulus doa menjadi pepohon harapan...
saya cuba hadir,
payungkan awak bersama cinta Dia agar beroleh kerahmatan
Awak nampak saya tak?
 
 
Tidak mengapa jika awak tak nampak saya
Cukuplah diizinkan Allah untuk saya melihat awak dalam hati saya...

Saturday, June 22, 2013

Kita Tidak Sentiasa Kuat



Bissmillahirrahmanirrahim..

Hakikat..

Adakalanya kita menulis sesuatu, bermotivasi tentang kekuatan, pun sebenarnya kita tidaklah sekuat kata yang tergambar di rangkapan indah perkataan dan susunan ayat. Sebabnya kita hanya manusia biasa. Tiada kuasa. Kita hanya mengharapkan kekuatan Allah Ta'ala. Kekuatan dari Allah itu juga tidak sepenuhnya dapat menembusi dan mengekang jiwa kita dari terasa goyah dan lemah. Kita manusia yang lemah dengan janji-janji iblis yang sentiasa cuba menghalang kebaikan. Kita manusia yang sering berdosa.

Kalau tidak memupuk iman, mencari jalan menguatkan jati diri daripada ibadah, doa dan ketaqwaan, longlailah kita dihanyutkan surut dan kontangnya iman

Benar, gembira tidak selamanya menemani. Seronok dan suka tidak juga sentiasa serasi. Sedih hiba tidak datang menetap lama. Pekerti yang baik tidak selalunya lama bertahan. Jahat diri juga belum tentu selamanya bertapak. Semangat tidak selamanya bangkit. Kasih tidak selamanya segar. Benci tidak selamanya menghiris. Cinta tidak selamanya indah. Gagah kuat tidak selamanya berdiri tegak. Kitalah itu, manusia. Serba serbi tentang diri kita bercampur aduk ibarat rojak.

Tidak wajar kita meneka bahawa orang yang nampak hebat, tabah dan kuat itu tidak pernah lemah. Hati telah Allah jadikan berbolak-balik. Iman tidak menetap di graf atas dan sekata. Wajah yang manis belum tentu tidak pernah muram mencuka.

Semuanya itu hakikat (fitrah) kejadian manusia.
Cuma, kita bertuah menjadi manusia Islam kerana keyakinan, kepercayaan dan kebenaran yang di bawa oleh ajaran-Nya dari lidah dan peribadi manusia ulung Rasulullah s.a.w tentang Mega Gagah ke-Esaan Allah Subhanahuwa Ta'ala dapat membimbing jiwa kita perlahan-lahan kembali ke jalan yang UTAMA. Taqarrub kepada Allah apabila sedar betapa kita begitu lemah. Kepada DIA-lah kita kembalikan segala kelemahan tersebut. Dari-Nya jugalah dapat kita suntik kembali kekuatan berlandaskan  KEHEBATAN-NYA!

Kita tidak sentiasa kuat di jiwa raga. Namun kita tetap akan kembali kuat jua!
Rojak, nampak sahaja hitam pekat. Rasanya masin, masam, lemak manis, masin dan sedikit kelat tetapi bagi sesetengah orang, itulah yang sangat sedap.

Senyum. Moga dikasihi Allah Ta'ala sepanjang masa. Ameen.