Salam kasih Kerana Allah

Salam kasih Kerana Allah
Assalamualaikum wbt - Sekadar Berkongsi Ilham dan Pengalaman

Wednesday, September 28, 2022

Engkau Orang Besar.

 Untuk titipan manusia yang menganggap dirinya besar, bagus dan hebat! 

Aku sering dihantui rasa hairan dengan keterlaluan  keyakinan besar yang kalian pegang ketika ini.

Bagaikan mengagungkan diri sendiri sehingga tiada yang kerdil dan lemah tentangmu. Segala kemegahan besar pada kalian dikaut sehingga kalian merasai tiada yang lebih hebat ketika ini melainkan kalian yang mempunyai semua yang gah kononnya tiada tandingan.

Aku kagum dengan keberanian kalian mengakui bahawa kalianlah yang menjadi pemilik segala yang besar yang kalian dapati ketika ini dan tiada siapapun yang dapat meragutnya daripada tangan kalian.

Aku begitu terpana dengan kalian yang mudah sungguh membina kecerunan diantara kehebatan kalian dan mereka yang engkau nakhodai.

Begitu gerunnya aku dengan kalian yang ternyata berani melebihi kedurhakaan syaitan.

Kenapakah kalian tidak menoleh ke tanah yang kalian pijak saat ini. Adakah kalian tidak akan tertimbus di dalamnya?





Monday, September 26, 2022

Semuanya Allah!

اَللَّهُمَّ صَلِّ َعلى سيدنا مُحَمَّدٍ وَ عَلَى آِل سيدنا مُحَمَّدٍ

 Ada hari, ada waktu, Allah hadirkan ujian yang kita sendiri tidak tertahan untuk melaluinya sekalipun kita sedar bahawa Allah tidak akan membebani kita tanpa mengetahui kadar kemampuan kita. Hanya akan dikurniakan ujian mengikut kemampuan kita.

Cuma..., kita selalu terbawa dengan rasa tidak yakin bahawa kita dapat melaluinya lantaran terdapat terlalu banyak usikkan yang mengganggu harapan kita terhadap sesuatu. Kita terasa amat lemah. Kita hanyut di bawah keadaan ketabahan yang kurang. Kita tidak dapat menyeimbangkan kekuatan Allah di dalam diri kita. Kita tidak terdaya. Itulah kelemahan kita sebagai manusia yang nyatanya tiada daya upaya.

Masih, kita berharap agar ada makhluk (manusia) yang hadir memberikan semangat untuk kita memapah diri kita ini. Mengharap kepada insan-insan yang mengakui menyayangi kita, mahu sentiasa bersama-sama kita ketika senang atau derita. 

Ternyata, adakalanya tiada. Tiada siapa! Melainkan Allah Ta'ala sahaja.

Itulah, kelemahan kita. Mengharap kepada manusia,  pengakhirannya hanya kekecewaaan. 

Astaghfirullah.

Betapa saat ini kita menadah kepada Allah, agar kita merasai kekuatan yang Allah salurkan ke dalam diri. Agar diri mendapat kekuatan iman daripada Allah sepenuhnya. Agar dapat diri merasai kenikmatan hanya bergantung kepada Allah semata. 

Betapa hati mendambakan jati jiwa yang sepenuhnya dilingkari cinta kasih Allah semata. Rindu akan rasa mesra yang membara sepenuhnya terus daripada Allah. Ingin memahami bahawa tiada apa-apa pada jasad, roh sendiri ini melainkan semuanya rentak Allah, tajali Allah, asbab dan af''al Allah. Semuanya Allah! 




Thursday, September 22, 2022

Gunting Berlipat



Kita berkawan, berteman, bersahabat, perlu kita amati dengan sebenar-benarnya. 

Ada kawan, kita sangka kita mengenalinya, kita faham hati budinya namun, kadang-kadang, kita tersalah. 

Ada pelbagai sikap manusia yang kita tak akan faham sebenarnya.

Ada yang sukakan kita dengan ikhlas. Ada yang bencikan kita dalam senyap.

Ada masa kita tidak mengerti mengapa demikian manusia yang perwatakannya nampak mulus, baik, suka ambil berat, dalam pada waktu yang sama diam-diam menghasut sekeliling supaya memusuhi kita. Malah mereka suka melihat kita jatuh. Mereka menilai kita pada tempat yang sangat bawah.

ITULAH GUNTING DALAM LIPATAN.

Pelbagai kemungkinan mengenai hati yang hasad. Mereka mungkin berasa rimas dengan kelebihan kita yang mereka merasakan kita tidak seharusnya berapa di tempat yang kita duduk saat ini.

Pada saat kita tahu, sewajarnya kita cuba untuk tidak terlalu rapat dengan jenis yang demikian coraknya. 

Kita perlu sedar bahawa perasaan hasadnya akan membuatkan kita lemah dan tidak bersemangat.  Lebih baik kita berhati-hati dan usah lagi banyak berkongsi pendapat dengan orang yang sudah tidak menghormati pendirian kita.

ORANG YANG TIDAK MENGHORMATI PERASAAN KITA adalah orang yang hanya pentingkan dirinya sendiri.

Berwaspada. 

Kita boleh berbaik dengan mereka namun jangan sekali-kali percaya bahawa kita boleh percaya mereka sepenuhnya. Kerana setiap kebaikan yang kita hulurkan kepada mereka, tidak mereka ambil sebagai rahmat tetapi hanya sebagai batu tangga yang boleh mereka pijak untuk kepentingan diri mereka.


Pada akhirnya mereka akan meninggalkan kita dibaham singa apabila mereka perlu.

Wallahu'alam

Wednesday, September 14, 2022

Apa Makna Diammu?

 

Apa makna diammu?

اَللَّهُمَّ صَلِّ َعلى سيدنا مُحَمَّدٍ وَ عَلَى آِل سيدنا مُحَمَّدٍ

Seharusnya bilamana kita mahu mengelak dari mengeruhkan air persengketaan maka, kita berdiam diri. Kita menjauhkan diri sementara tanpa sebarang kata, agar kendur halaman yang tegang.
Kemudian kita kembali dengan memulihkan kegusaran dengan baik, penuh tolak-ansur dengan akal yang waras dan hati yang inginkan kedamaian. Demikain caranya.

Terus, kita juga bertindak diam, apakala kita tidak mahu melibatkan diri dari gelojak dan desas-desus yang hujungnya berbaukan fitnah. Maka mengelak lebih baik agar rantai fitnah tersebut tidak  merebak menjadi barah yang merosakkan apapun hubungan diantara manusia.
Lalu, demikian ia setidaknya menyekat kerosakkan.

Kita juga akan diam, sekiranya suatu persoalan tidak mahu kita jawab, ya, menipu barangkali, tidak ikhlas mungkin juga. kerana tiada keputusan di dalam soalan yang ditanya. Kadang-kadang, diam kita menjadi tanda-tanya orang lain yang menanti. Diam kita juga menumbuhkan benih pra-sangka. Demikian, ini menjadi dua cabang. Kebaikannya berpihak kepada kita kerana kita tidak perlu berpanjang-lebar menjelaskan tujuan di sebalik apa yang kita diamkan. Bahaya bagi orang yang mengharapkan jawapan yang pasti daripada kita. Kekecewaan sudah pasti akan timbul. Lantaran membawa kepada pengkahiran yang tidak baik. 
Soal ini, diam tanpa penjelasan adalah satu bibit penganiayaan. Apapun, sebolehnya kejujuran adalah  jalan yang indah sekalipun ia tidak mudah.

Jadi, apa makna diammu?

Thursday, September 8, 2022

Ingin Tenang?


"Ketenangan hanya dapat diraih apabila zahir dan batin dibersihkan daripada kemungkaran"

Terngiang kata-kata seorang ustaz. Benar sangat. Selagi zahir kita masih terus menerus membuat tindakkan yang berhubung dengan kemaksiatan, selagi itu batin kita dihantui resah-gelisah. Jiwa terasa sempit dan laluan yang kita harungi terasa perih dengan keletihan yang panjang. Tidakkan habis selama mana tidak kita hentikan.

Segala amalan baik kita menjadi rabak dan compang kerana kemungkaran yang beterusan. 
Semoga kita semua didorongi taufiq dan hidayah untuk koreksi diri. Dapatlah kita meraih ketenangan yang asli. Tidak sementara, tapi selamanya sehingga beroleh tempat di mata Ilahi. 

Amin.
اَللَّهُمَّ صَلِّ َعلى سيدنا مُحَمَّدٍ وَ عَلَى آِل سيدنا مُحَمَّدٍ


Bagaimana kiranya kita tidak berdaya untuk menepis segala kemaksiatan asbab dari persekitaraan dan hati kita yang tersangat lemah?
Allah tidak zalim. Dia Maha Melihat dan Maha Mendengar. Berusahalah walau sekecil hama. Hari ini tidak berjaya, esok teruskan ikhtiar dan nekad. Allah tahu dimana kekurangan kita. 

Tenang, tidak dapat dibeli dengan kata-kata manis atau wang, harta dan kuasa. Ia diberi oleh Allah sebagai balasan daripada  jiwa yang perlakuannya baik atau buruk.

Itu sahaja.

[ Ps: Bagaimana ada penulis, jika tiada pembaca? Terima kasih ♥]

Wednesday, September 7, 2022

Sabarlah Dengan Leteran Wanita

 اَللَّهُمَّ صَلِّ َعلى سيدنا مُحَمَّدٍ وَ عَلَى آِل سيدنا مُحَمَّدٍ ْ


Begitulah wanita. Sudah fitrahnya dinaungi. Sedari lahir sehingga hayat akhir. Dia lemah. Sifatnya jarang dapat berdiam. Dia perlu ada pendengar untuk melapangkan hatinya.
Jangan marah kiranya ibu, adik, kakak, teman atau isterimu tidak putus-putus berleter. Itu caranya untuk menjalani hidup. Mengimbangi diri agar tenang dengan meluahkan.

Bila dia berdiam, bagimu memang terasa lapang dada. Baginya, bungkam diamnya membahayakan dirinya sendiri. Dia menjerit di dalam. Itu akan lebih mengganggu emosinya. Apabila emosinya terganggu, maka mentalnya turut dijangkiti gangguan.

Wanita perlukan teman berbincang. Dia tidak boleh sendirian menghadapi hari-hari hidupnya. Namun tidak bermakna dia tidak boleh melaluinya. Ada saja yang kuat mengharungi hidup dengan berdiam tanpa kata, tapi kita tidak tahu betapa setiap malam rintihan tangisannya, keluh-kesahnya mengganggu tidur.  Kita tidak tahu, saat sendirinya dia banyak berbicara dengan Allah menanyakan soalan yang pelbagai tentang apa jua yang direntas sepanjang hayatnya.

Lebih merbahaya kiranya dia terus menerus kesal akan keperitan hidup yang dilalui dan mendapat satu penyakit "anxiety disorder." 

Jangan marah dengan leterannya. Sabar dan biarkan dia luahkan apa yang dirasai di dalam hati. Dengar dan cuba fahami dengan reaksi wajah, walaupun tersirat rasa tidak dapat memahami.

Itulah sebabnya kita lihat ramai wanita yang meluahkan rasanya di media sosial, di perkarangan ruang yang dirasakan dia boleh bersuara. Boleh jadi bukan perhatian yang ditagih, namun dia sedang mencari kelapangan hati sendiri. Wanita sentiasa perlu dinasihati. Wanita adalah makhluk yang complex yang dicipta penuh dengan bermacam-macam bukti yang kekuatannya perlu disandangkan agar tidak rebah.

Wanita perlu sentiasa dibimbing.
Jika tidak, mereka akan menjadi perosak yang dahsyat.

Sabarlah dengan leteran wanita.

Friday, September 2, 2022

Jarang Sedar

 


Jangan bercerita kepadaku tentang diriku sendiri yang tidak pernah kau kenali.
Jangan mencari-cari dimana keikhlasanku ketika engkau rasa ada sesuatu yang tidak tepat di hatimu sendiri. Kerana sudah tentu, itu bukanlah aku melainkan dirimu sendiri.
Jangan mencungkil-cungkil perasaan jujurku, jika sudah terlanjur kejujuranmu sendiri telah pincang dengan kehancuran kepercayaan yang engkau sendiri tidak kukuhkan.

Jangan memuji-muji aku jika engkau sendiri tidak tahu selama manakah rasa kagummu akan bertahan.
Kerana pujian yang asyik hanyalah kemaruk  kata yang akan lusuh bila rasa hatimu berubah.
Sampai waktu ketika engkau dijulang jemu, pasti ketika itu kau saluti matamu dengan rasa muak yang berbulu.

Jangan bangkitkan salahku ketika engkau sendiri tidak menyedari salahmu yang jarang sekali engkau baiki.

Jangan.


Friday, August 26, 2022

Membuak Rindu

 


Indah.

Rindu ayah.

Setiap kali tidak sihat, atau ada masalah, membuak-buak hadir perasaan rindu itu. Dan setiap kali jumaat, terdetik ingatan ini pada saat-saat indah ketika masih ada di hadapan mata. 

SAYU.

Hanya doa yang berirama di hati.

Senyumnya. Guraunya. Mengalir di dalam denyutan nadi yang terasa saat ini. Sunyi.

Allahu Allah. 

Tidak sama walaupun hati cuba menghadirkan orang lain sebagai penawar. Tiada yang lebih indah daripada tangannya menyentuh dengan roh kasih-sayang dari hatinya yang putih.


Allahuma solliala sayyidina Muhammad.

End here. Could not stop my dropping eyes.

Monday, August 8, 2022

Memaafkan

 Allahumma solli'ala sayyidina Muhammad.



Subhanallah. Lahawlawala quwwata illa billah.

Hari ini, saya dihantui perasaan yang sangat sedih dan saya berdoa kepada Allah, ampunkan saya selama mana saya berdosa dan kurniakan ehsan belasNya untuk saya lalui dengan ketahanan dari kekuatan-Nya.

Lama saya tidak menjengah dan menulis di sini. 
Alhamdulillah, rupa-rupanya apa yang saya tulis terdahulu berkitar kembali menyentuh situasi harian saya sekarang. Sekurang-kurangnya membaca kembali apa yang saya tulis mengecas kembali kekuatan hati saya. Bagaikan menasihati diri.

Apa yang saya sedihkan?
Ya, acapkali perhubungan dengan sesama manusialah yang banyak memberi kesan terhadap pusingan hidup kita. Saya rasa inilah ketetapan Allah yang mengajar saya bagaimana saya perlu memaafkan dan teruskan hidup atas nama kembali kepada apa yang Allah telah susun.

Baiknya hati yang rasa sakit dan baiknya Allah memberikan cara merawatnya kembali.

Allah mengetuk hati saya sedikit untuk menilai segala apa yang Allah buatkan saya rasa itu adalah daripada kesilapan saya sendiri. Mungkin. 
Apa yang kita harungi hari-hari, ada masanya pengakhirannya untuk ditebus dengan pengampunan Allah. Ya. Begitulah.

Jadi, saya merawatnya dengan, "INI JALAN ALLAH".
Saya merawatnya dengan mencari hal-hal yang perlu saya syukuri.
Meneliti dengan mendalami tujuan hidup saya hanya Allah yang lebih mengetahui.
Maka rasa sakit hati, terkilan saya itu saya mandikan ia dengan rasa serah diri sebulatnya kepada Allah dan saya maafkan apa sahaja yang berlaku dalam hidup saya. Tidak kiralah dengan makhluk ataupun dengan emosi diri saya sendiri. Saya lemah dan saya pergi kepada yang Maha Kuat. Allah Maha Pengampun. Dan Allah Maha Penyayang. Dia tidak akan biarkan saya terkontang- kanting dengan menyiksa diri saya. Tidak! Saya perlu tahan dengan kesabaran!

Andai makhluk tidak mempunyai kepercayaan kepada saya, itu tidak lagi saya kisah. Saya kena percaya kepada Allah. Dia Yang Mencipta saya. 
Saya bina rasa memaafkan dengan ikhlas dan saya indahkan perasaan maaf itu dengan wangian yang bakal saya terima daripada Allah kelak.

Ya Allah! Insha-Allah!
Semoga semua kesulitan menjadikan saya manusia yang lebih dipandang di mata-Nya. 
Amin... Solli'ala Muhammad.