Salam kasih Kerana Allah

Salam kasih Kerana Allah
Assalamualaikum wbt - Sekadar Berkongsi Ilham dan Pengalaman

Saturday, December 29, 2012

Berulang Hancur



"Biarkan hati itu tenang, tenggelamkan segala gusar. Kembalikan diri kepada Yang Haq"

Sesekali mata ingin menangis
Suara lirih ingin kuat meraung
Adakah yang mampu menolong?

Di sini, pada alam yang diperhati
Gumpalan sesak ku kumpul dan ku bebaskan
Mengharap belas, moga ia ditelan dalam
Tenggelamlah ke dasar, jangan lagi ditimbulkan
Cukuplah batu terhempap menindih
Pecah seluruh hamparan cita
Meleset titis- titis percaya yang dipegang sekian lama

Kata lidah,
'Jangan lagi datang, aku ingin tenang'
Kata hati,
'Ketenangan itu di celah kehadiranmu'

Kalut sungguh!
Keliru sungguh!
Mimpi masih hangat menyambut
Secebis kesempurnaan rangkap bicara dulu
Engkarnya tayangan janji
Menjauhi sekudus hati
Berulang hancur lagi..

Hanya keabadian doa
Istikharahkan takdirku
Walau gelombang taufan berganti
Gantungkan diri di rencana Ilahi


~Raz.R~
(11:31 malam)
Salam kasih dengan senyuman
→Cuba layan lagu di bawah ya.. cantik melodinya.







Sunday, December 23, 2012

Keistimewaan Solat Tahajjud

18 Keistimewaan solat Tahajjud


Malam.. meninggalkan aku bersama-Mu.
Selimutkanlah sendu dan kesalku,
dengan kasih dan cinta-Mu
Kekasih-Ku



Tanda cinta seorang hamba kepada Tuhannya adalah dengan pengorbanan. Allah mengurniakan kita masa, peluang hidup, rezeki, kesihatan dan sebagainya. Dilayani-Nya kita dengan anugerah-anugerah lain yang tidak dapat kita balas dengan apa sekalipun, kecuali dengan ketaatan dan kesetiaan kita kepada-Nya. Justeru, hinalah kita jika tidak memberikan sebahagian dari masa dan kurniaan tersebut untuk berterima kasih dan mendekati-Nya. Antara tanda cinta kita adalah dengan meluangkan sedikit masa 'sedap' kita kepada-Nya dengan bertahajjud.  
Solat Tahajjud adalah solat malam yang dilaksanakan setelah bangun tidur, afdalnya dibuat secara bersendirian waktu selepas tengah malam. Solat sunat ini amat dituntut dan sangat baik dilakukan sebagai ibadah tambahan. Rasulullah SAW dan para sahabat tidak meninggalkan solat ini sepanjang hayat mereka.


Orang-orang yang sentiasa melakukan sembahyang malam akan diberikan keistimewaan oleh Allah swt. dengan suatu keistimewaan yang tidak diperolehi oleh orang-orang yang tidak mengerjakannya. Ini ditegaskan oleh Allah SWT dalam firman-Nya seperti yang telah termaktub didalam al-Quran ertinya:


"Apakah kamu hai orang-orang musyrik yang lebih beruntung atau orang-orang yang beribadat diwaktu malam dengan sujud dan berdiri, dalam keadaan takut kepada (azab) akhirat dan mengharapkan rahmat Tuhannya? Katakanlah " Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui? Sesungguhnya hanya orng-orang ynang berakallah yang dapat menerima pelajaran."


Firman Allah SWT lagi :-

“Dan pada sebahagian malam hari bersolat Tahajjudlah kamu sebagai suatu ibadat tambahan bagimu; Mudah-mudahan Tuhan-mu mengangkat kamu ke tempat yang terpuji.”
(Surah Isra’; ayat 79)



Rasulullah SAW bersabda: “Kerjakanlah solat malam sebab itu adalah kebiasaan orang solehin sebelum kamu, juga suatu jalan untuk mendekatkan diri kepada Tuhanmu, juga sebagai penebus segala amalan buruk, pencegah dari perbuatan dosa dan dapat menghalangi penyakit dari badan.” (Riwayat Tirmizi dan Ahmad r.a.)



KEISTIMEWAAN SOLAT TAHAJJUD

1.Tahajjud adalah solat sunat yang paling afdal.

2.Doa dimakbulkan Allah.

3.Memperolehi ketenangan jiwa.

4.Merasai diri hampir kepada Allah SWT.

5.Diberikan keistimewaan oleh Allah SWT.

6.Memperolehi pertolongan dan rahmat Allah.

7.Menewaskan gangguan dan godaan syaitan.

8.Mencegah dosa dan menghindari penyakit.

9.Menjadi lebih berdisiplin dalam melakukan tugas.

10.Allah SWT memudahkan menerima ilmu yang dipelajari.

11.Terkeluar daripada catatan sebagai golongan yang lalai.

12.Dihormati masyarakat dan dijauhi daripada hasad dengki manusia.

13.Allah SWT memberikan kemudahan dan rezeki yang berpanjangan.

14.Orang bersolat Tahajud menjadi kesayangan Allah SWT.

15.Diberi keistimewaan yang orang lain tidak perolehi.

16.Mendapat kemuliaan Allah SWT di dunia dan akhirat.

17.Meninggikan martabat seorang hamba di sisi Allah Azza Wa Jalla.

18.Memudahkan hisab di akhirat dan melintasi Titian Siratal-Mustaqim.



Tata Tertib Sebelum Mengerjakan Solat Tahajjud


Yang dimaksudkan disini ialah adab-adab atau perkara-perkara yang sunat dilakukan sebelum mendirikan sembahyang tahajjud ialah :

1. Hendaklah kita berniat sebelum tidur bahawa kita ingin melakukan sembahyang tahajjud.
2. Berusaha untuk menghilangkan rasa mengantuk ketika bangun, kemudian bangkit dan bersugi sambil berdoa
3. Selanjutnya Rasulullah saw membaca sepuluh ayat yang terakhir dari surah Al-Imran
4. Sekiranya dirasakan terlalu mengantuk hendaklah kembali untuk tidur sehingga hilang rasa mengantuk.Kita tidak digalakkan untuk memaksa diri untuk melakukan sembahyang malam. Tetapi kita dianjurkan mengerjakan semampu kita dan apabila tubuh badan dalam keadaan segar.

Cara untuk mendirikan Solat Tahajjud

1. Terdapat berbagai cara untuk melakukan solat Tahajjud kesemuanya pernah dilakukan oleh Rasulullah saw.Namun jika dirasakan berat memadailah dilakukan dengan sedikit iaitu sekadar dua rakaat tetapi dilakukan secara berterusan setiap malam. Dalam hal ini Rasulullah saw telah bersabda yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim dari Aisyah, ketika Rasulullah ditanya oleh salah seorang sahabatnya:

"Apakah amalan yang disukai oleh Allah? Rasulullah menjawab : " Yang terus menerus (sentiasa dikerjakan) walaupun sedikit."

2. Lafaz dan niat untuk solat Tahajjud ialah:

"Ushalli sunnatan tahajjudi rak'ataini lillahi Ta'ala "
Ertinya:"Sahaja aku sembahyang sunat tahajjud dua rakaat kerana Allah Ta'ala"

3. Bacaan surah atau ayat Al-Quran selepas Al-Fatihah:

→Rakaat pertama: Ayat Al-Kursi (seeloknya 7 kali)

→Rakaat kedua: Surah Al-Ikhlas (seeloknya 11 kali)



4. Lakukanlah dua rakaat seperti sembahyang sunat yang lain,cuma selepas membaca tasbih biasa ketika sujud kedua pada rakaat terakhir, bacalah doa berikut:

"Rabbid khalniimud khala sidqin wa-akhrijnii mukhraja sidqin waj'allii mil ladunka sultaanaan nasiiraa."

Ertinya: " Tuhanku! masukkanlah aku kedalam pintu kebenaran dan keluarkanlah aku daripada pintu kebenaran dan kurniakanlah kepadaku daripadaMu pembantu"

5. Lakukan sembahyang sunat tahajjud ini mengikut kemampuan. Kalau terlalu mengantuk maka eloklah dipendekkan sahaja.

6. Selepas selesai mengerjakan sembahyang Tahajjud maka bacalah doa sepertimana yang pernah dibaca oleh Rasulullah saw ini:

"Allahummaj'al fii qalbii nuuran wafii lisaanii nuuran waj'al fii sam'ii nuuran waj'al fii basori nuuran waj'al fii khalqii nuuran wamin amaamii nuuran waj'al min fauqi nuuran waa man tahtii nuuraa. Allahumma a'tinii nuuraa.

Ertinya: Ya Allah! Jadikanlah didalam hatiku cahaya yang cemerlang, pada lidahku cahaya yang cemerlang dan jadikan pada pendengaranku cahaya yang cemerlang serta jadikan pada penglihatanku cahaya yang cemerlang jadikan dibelakangku cahaya yang cemerlang dan dihadapanku cahaya yang cemerlang dan dari bawahku cahaya yang cemerlnag. Ya Allah! Kurniakanlah kepadaku cahaya yang cemerlang!"

Wallahu'alam. Semoga ada kesungguhan dan manfaat kepada kita semua. Ameen.

Salam kasih kerana Allah.
~Raz.R~
23.12.2012
Se^__^nyum.












Tuesday, December 11, 2012

Sejernih Cinta

Bissmillahirrahmanirrahim...
~"Sehingga cinta itu ku nanti
Memenuhi ruang hati
Tidak ingin yang lain lagi
Batin yang bersujud
Jasad yang patuh
Tiada selingkuh"~


Sejurai kata-kata yang menawan perasaan Raz malam ini. Sementara menanti azan Isya' berkumandang, ingin Raz tempelkan kalimah-kalimah tersebut buat ingatan diri Raz dan yang sudi membaca.

"Sesiapa yang mencintai Allah Subhanahuwata'ala, tetapi dalam masa yang sama, dia meminta kepada yang selain-Nya, mengharap kepada yang selain-Nya dan percaya kepada yang selain-Nya, maka jelas dia berdusta di dalam cinta yang dikatakan kepada-Nya itu. Apabila dia menjadi sebenar-benar kekasih Allah, telah menjadi tetamu-Nya yang terdekat, maka akan terdengarlah dia di batinnya sendiri  kata-kata yang tidak asing lagi :

"Mintalah dan katakanlah apa yang engkau inginkan, nescaya semuanya itu akan dikabulkan."

Orang yang mencintai untuk dilindungi sementara yang dicintai akan diberi kebebasan. Halangan, ujian atau dugaan adalah untuk orang yang mencintai Allah, sedangkan pemberian-Nya adalah untuk orang yang dicintai-NYA. Selama mana seorang hamba mesih mencintai Allah, maka dia akan sentiasa berusaha mendapatkan rezeki. Apabila putaran berubah sehingga dia menjadi orang yang dicintai Allah Taala, maka segalanya akan berubah.

Dia akan merasakan ketenangan, kelapangan rezeki dan makhluk akan menjadi tunduk kepadanya. Semuanya ini akan terjadi kepadanya, berkat kesabarannya dan keteguhannya ketika memperkuatkan seluruh dirinya mencintai Allah. Tidaklah akan sama antara perbuatan yang dilakukan oleh hamba dalam menemani Tuhannya dan tindakkan Tuhan dalam mencintai hamba-Nya, dan cinta seorang makhluk kepada makhluk yang lain. Allah berfirman dalam surah-Nya, al-Syura di ayat 11 yang bermaksud :

"Tiada sesuatu pun yang menyerupai-Nya dan Dia Maha Mendengar Lagi Maha Melihat."

Mintalah kita kefahaman tentang DIA kepada Allah.
Mintalah kita kesucian hati bersama-Nya kepada Allah.
Dia akan memberi kesucian hati kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dan DIA juga akan mengurniakan rezeki-Nya yang banyak kepada hati sesiapa yang dikehendaki-Nya. Mohonlah supaya DIA memilih kita untuk dicintai-Nya. Ameen."


~Raz.R~
11.12.2012
8:15 malam
"Ruang cinta yang tulus dan jernih hanya dapat dimonopoli oleh hati yang tulus dan jernih jua."

Ameen...
Se^__^nyum dengan nyawa.

Pertemuan Bukan Kebetulan Tetapi Suratan



Pertemuan yang salah itu bukanlah sijil untuk membolehkan kita obses kepada kesalahan tersebut lalu menganggapnya satu tragedi yang wajib dibenci dan tidak diterima dunia keinsanan. Kita hanya manusia biasa. Diri kita, hati kita sentiasa dinaungi perasaan dan kemahuan demi kemahuan. Nafsu adalah anugerah Allah yang amat baik tetapi sering salah digunakan.

Astaghfirullah minal qhotoya. Mohon Allah ampunkan segala dosa kita.
Kita mengaku beriman kepada Agama Allah. Namun, seringkali dilekakan dengan godaan syaitan membuatkan iman kita lumpuh dan melanjutkan kesilapan ke jurang yang lebih besar dan syaitan pun ketawa terbahak-bahak melihatkan kebodohan kita.

Mungkin sahaja ada pertemuan yang pada awalnya melahirkan rasa yang cukup indah tetapi akhirnya disambar tragedi yang mengecewakan dan terus menghitamkan keindahan tersebut dengan kekeliruan, kebencian, kemarahan atau kekecewaan. Semua itu adalah suratan bagi kita yang mahu berfikir dengan hati yang ikhlas dan tenang.

Semua yang datang dalam kehidupan adalah latihan dan pengalaman yang menulis sejarah dan memperkenalkan ilmu yang baru. Ilmu memperkuatkan jiwa. Ilmu mengenali hati!

Kuatkan hati dengan mengasah iman agar terus berkilauan.
Kuatkan jiwa dengan rohani yang sentiasa mengambil Allah menjadi teman.
Sebarang kebaikan, keindahan, kemanisan yang muncul dalam hidup sebagai pengalaman tidak boleh kita sandarkan kepada khayalan dan kesoronokkan tetapi perlu sentiasa berhati-hati agar tidak terjebak dalam usikan syaitan yang sentiasa menyesatkan.

Allah menyayangi kita yang mengambil iktibar dari segala rahsia-Nya. Ameen.

Wallahu'alam.

~Raz.R~
11.12.2012→ Hari Lahir adik kesayangan.
"Jangan menganiaya hati sendiri."
Se^__^nyum

Sunday, December 9, 2012

Malam Itu Indah



Menempel wajah di dada malam
Langit yang tiada gemawan awan
Di bawah hamparan sinar sang bulan
Memeluk mata dingin berselimutan
Bintang-bintang berkenyitan

Wahai malam...
Kata orang, malam itu jahat
Kelam melenggokkan maksiat
Dosa-dosa terlindung bergunung dipahat
Tak terlihat apa sahaja tingkah dibuat

Jauh sekali bagi jauhari
Gemar menyendiri, dibungkus sunyi
Malam, bagai teman sejati
Tidak terlucut bisikan hati
Setia malam menemani
Bisik-bisik rindu kepada Ilahi
Malamlah menjadi saksi
Taqwa cinta tumbuh berpaksi
Berkarangan debunga nan mewangi

Ilahi Robbi..
Subhanallahi wabihamdih, Subhanallahiladziem

~Raz.R~
08.12.2012 (01:00 pagi)
Se^__^nyum

~"Rehatlah, izinkan malam merawat lelah, dengan Bismillah."~


Saturday, December 8, 2012

Tertanya


Kerdilnya diri
Sendiri menyusur waktu
Tertanya tentang sesuatu...
 
Tertanya...
Musim hatinya
Masihkah berbunga
Ataukah telah berganti
Dari taman ke taman lagi
 
Tertanya...
Masihkah akar rindu
Subur menjalar
di dimensi suara, cerita dan tawa
pada jenaka dan senda
 
Tertanya...
Debar di dadanya
Masihkah membuka jendela rasa
Bergelodak dibuai gelora
Hayunan rindu di jiwa
 
Tertanya...
Tika menyelongkar bahagia
Sekian lama diteroka
Ketemukah dia haluan
Atau masih kecelaruan
 
Tertanya...
Ingatkah dia akan Tuhan
Atau masih mabuk ketandusan
Mencari jawapan di tapak kepalsuan
 
 
Raz.R
08.12.2012
Se^__^nyum
"Seribu persoalan dalam kebisuan. Pabila doa dan rindu bersatu"

Friday, December 7, 2012

Orang Yang Cerdik


Orang yang bodoh itu adalah orang yang hidup dengan seluruh nikmat Allah tetapi tidak mahu mengenali Allah
Kejayaan dan kemewahan hidup dengan meterial di dunia ini tidak akan menjadikan kita manusia yang bijak dan cerdik selagi mana kita tidak menggunakan masa dan usia kita dengan EMPAT PERKARA ini:-

1• Bermunajat kepada Allah Subhanahuwata'ala
→ Kita bukanlah manusia yang cerdik dan bijak seandainya kita masih belum memperkayakan diri kita dengan bermunajat kepada Allah. Iaitu mendekatkan diri atau mendampingi Allah dengan mentaati suruhan-Nya, berzikir, berdoa dan sebagainya. Sesungguhnya bermunajat kepada Allah adalah tanda kita menghargai nikmat masa, nikmat umur dan nikmat segala kurnia Allah kepada kita di bumi-Nya ini.

2• Muhasabah atau memeriksa diri kita sendiri.
→ Keseronokkan kita menunding dan menilai diri orang lain sebelum menilai kelemahan diri kita bukanlah menunjukkan diri kita itu cerdik. Seharusnya kita sentiasa sedar bahawa sekiranya orang lain memiliki banyak kekurangan, kita juga tidak akan lekang daripada kekurangan-kekurangan tersebut. Bukankah kita manusia yang sama sebagaimana yang selainnya? Boleh jadi pada hari ini segala apa yang kita miliki dapat mengatasi orang lain, namun tidak mustahil kemudian hari kita akan hilang segalanya.

3• Memikir, mengkaji dan merenung rahsia dan ilmu kebesaran Allah
→ Segala apa jua yang Allah ciptakan di langit dan di bumi adalah untuk manusia memikirkan tentang ke-Esaan-Nya. Baik hal atau perkara yang sebesar biji sawi sentiasa menjuruskan kepada kewujudan Allah dan kebenaran-Nya. Bodohlah kita jika diberi akal tetapi tidak berusaha untuk menjiwai kebesaran Pencipta kita sendiri.

4• Mencari kemuliaan dunia dan akhirat kerana Allah
→ Selepas kita mengenali Allah melalui kewujudan diri kita dan kewujudan alam ini adalah kerana-Nya maka seterusnya berusahalah kita di dunia dengan mencari rezeki, berkahwin, bersaudara dan sebagainya di atas tujuan yang diamanahkan Allah melalui lidah Rasulullah SAW.

Keempat-empat perkara ini akan dapat mengasah dan menebalkan keimanan yang telah kita ada lalu dapat menjadikan kita hamba Allah yang benar-benar bijak dan berjaya. Walaupun begitu kita tetap akan diasak oleh musuh-musuh yang tidak mahu melihat kita 'cerdik iman'.

Justeru kita perlu sentiasa menyediakan iman kita dengan kubu pertahanan hati dan jiwa terhadap LIMA MUSUH ketat kita iaitu :-

1► Orang-orang Islam yang sentiasa berdengki dengan kita.
2► Orang munafiq yang sentiasa benci kepada usaha kita kepada kebaikan
3► Orang kafir yang sememangnya tidak pernah menyukai Islam dan mahu 'menghilangkan' kita
4► Syaitan yang sentiasa bersumpah akan menyesatkan kita
5► Hawa nafsu kita sendiri yang sentiasa membuatkan kita terpesona dengan khayalan dunia

Mudah-mudahan kita semua dapat memperbaiki diri dengan kecerdikan dan perjuangan yang sebenar. Ameen.


~Raz.R~
07.12.2012
Se^__^nyum
"Ingat Allah selalu kerana mengingati Allah itu umpama bateri yang meningkatkan iman kita."

Isteri kedua?


Bissmillahirrahmanirrahim...Jumaat yang indah.. Alhamdulillah..

Tersenyum Raz mengingatkan satu soalan daripada seorang sahabat. Nak tahu apa soalannya?

"Raz, awak taknak jadi isteri kedua saya kah?"

Awalnya Raz terkedu bila soalan sedemikian di tanya olehnya. Kemudian Raz melorekkan senyum dan ketawa mesra. Kelucuan. Sebabnya, dia tidak pernah bergurau dengan Raz sedemikian. Mungkin sengaja Raz diusiknya. Dia memang sahabat yang Raz kenal nakal. He!He!He! Raz pun bukannya baik sangat. Nakal juga. Senyum..

Sudah banyak kali soalan yang sama diajukan sebelum ini. Kekadang kehairanan. Kekadang pula Raz kegerunan. Orang cakap, sesuatu perkataan yang disebut kadang-kadang menjadi doa. Ya, Allah! Mohon dilindungkanlah dari ujian serupa itu. Ameen.

Kata Raz kepadanya dan kepada yang lain yang bertanya juga,

"Raz belum cukup baik dan bertaqwa untuk menerima tawaran tersebut. Raz tidak mampu untuk mengawal emosi wanita Raz. Bila kita tahu kelemahan kita dan kita tahu ia akan memberi kesan kepada ibadah kita, lebih baik kita menjauhi hal-hal yang merosakkannya."

Lalu dijawabnya,
"Belum cuba belum tahu. Semua perkara harus berlangsung dengan usaha, doa dan tawakkal, kan? Mungkin jalan inilah yang lebih membawa Raz ke jalan yang diredhai Allah. Bagus tau! Bakal dapat payung emas di syurga!"

Dia ketawa. Raz juga ketawa.

"Ini bukan soal syurga atau payung emas lah, kawan! Jika Raz boleh, sudah tentu Allah berikan itu. Kalau Raz tidak boleh, mungkin juga Raz bawa diri Raz dan orang lain ke neraka! Na'uzubillah! Kita ini, kena selalu tahu dan siasat kelemahan diri. Bila kita dah tahu dimana kelemahan kita, sebaiknya kita jangan melibatkan orang lain dalam kelemahan tersebut. Katakanlah Raz bermadu, bukan hati bakal suami Raz saja perlu Raz jaga tau! Hati isteri-isteri yang lain, anak-anak tiri, kaum kerabat, masyarakat dan masyaAllah, ia adalah satu amanah yang amat berat! Menjaga hati adalah ibadah. Kita tidak boleh pentingkan diri sendiri langsung. Kita sentiasa akan ditonton sekeliling. Sedang orang mengumpat pada Raz pun, kekadang berdarah telinga mendengarnya, inikan pula hal sebegini? Hanya orang 'pilihan' Allah sahaja yang mampu menghadapinya.."

"Kalau Allah 'pilih' Raz juga?" Dia tersenyum sipu.

"Wallahua'lambissowab. Setinggi mana pun kemampuan diri Raz yang Raz tahu, Allah lebih Maha Tahu tentang diri Raz. Tetapi, sesungguhnya DIA dah beritahu, DIA tidak akan mengubah nasib seseorang hamba-Nya itu melainkan hamba-Nya lah sendiri yang berusaha mengubahnya."

Cukuplah setakat ini cerita Raz ya? Kisah selebihnya tak sanggup Raz nak sambung. Nanti ramai kawan-kawan seangkatan Raz marah.. Senyum..


~Raz.R~
Jumaat → 07.12.2012
Se^__^nyum
"Allah beri ujian kepada seseorang hamba itu mengikut kemampuannya. Jangan sekali kita pertikaikan kehidupan orang lain mengikut pandangan mata kita, sebab kita tidak pernah tahu apa yang mampu mereka lalui."

 

Wednesday, December 5, 2012

Yang Sebenarnya...


Yang sebenarnya..
Ku tak pernah tahu bagaimana lunaknya jiwa
Sehingga engkau hadir menyapa
Ku tak pernah mengerti badai gelora
Sehingga engkau menawarkan rindu
Ku tak pernah terlintas gelisah
Sehingga engkau mengusik qalbu
 
Yang sebenarnya..
Aku tidak pernah mengenal cinta
Sehingga aku akur mempercayaimu
Ku sangka gula itu manis
Manis lagi kata-katamu!
 
Yang sebenarnya..
Ku tak pernah ingin ia datang
Pun, ia masih degil menyerah diri
Lalu?
Adakah aku yang bersalah?
 
 
~Raz. R~
05.12.2012
"Kebanyakan ujian seringkali melibatkan perasaan. Se^__^nyum.."
 


"Cinta adalah perasaan yang telah dikurniakan Allah
kepada setiap manusia. Kita tidak boleh halang
seseorang jatuh cinta, tapi kita cuma boleh
bimbing cinta itu ke arah kebaikan (Ustaz Kazim)"


Sunday, December 2, 2012

Kosong


Bagai tinta menulis cerita
Pena, berdakwatkan air mata
Rangkap tersusun kemas
Mengarang iman di suhuf hati
Berkeping-keping hikayat
Tergulung di ruang kedap
Warkah di lantunkan jauh
Semesta luas lautan biru

Berlabuh di putih pantai
Bertemu penglipur lara
Letai lemah matanya
Membaca yang tiada
Kosong bagai rahsia
Tiada mungkin dipasak
Tanpa mohor si empunya


~Raz.R~
02.12.2012
Malam di jam 10:30
Se^__^nyum
~"KOSONG : Jangan cuba bercerita dari kisah yang tiada bahasa."~

Azan dan Iqamah

Untuk sama-sama mengingati dan berkongsi..

Hukum menjawab azan adalah SUNAT, BUKAN wajib. Menjawab azan ini disuruh oleh Rasulullah s.a.w berdasarkan beberapa hadis yang diriwayatkan dari baginda, antaranya adalah berdasarkan hadis daripada Abi Said al-Khudriy, bahawasanya Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud :


"Apabila kamu semua mendengar seruan azan, maka jawablah seperti yang dilaungkan oleh muazzin itu." (Hadith riwayat al-Bukhari)


Hukum harus menjawab azan pula diambil antaranya dari tindakkan sahabat Rasulullah s.a.w, sayyidina 'Umar r.a. Ini berdasarkan perbuatan daripada Tha'labah bin Abi Malik katanya yang bermaksud :

"Adalah mereka (para tabi'ien) berkata-kata pada hari Jumaat, sedang 'Umar (al-Khattab) sedang duduk di atas mimbar (dan muazzin sedang melaungkan azan), apabila muazzin (tukang azan) berhenti (daripada azan), lalu 'Umarpun berdiri (untuk berkhutbah), lalu (apabila 'Umar berdiri untuk berkhutbah) seorangpun tidak berkata-kata lagi." (Perbuatan ini dinilai sahih oleh al-Nawawi di dalam al-Majmu', demikian juga al-Albani di dalam Tamam al-Minnah)

Manakala al-Syeikh Muhammad Nasiruddin al-Albani (seorang ulama hadith mutaakkhir) di dalam kitabnya Tamam al-Minnah berkata :

  "Perkara yang diperlakukan oleh sahabat Rasulullah s.a.w ini menjadi dalil atas TIDAK WAJIBnya menjawab azan, kerana berlakunya perbualan ketika azan di zaman 'Umar, dan 'Umar diam (tidak menegur) perbuatan tersebut, dan banyak aku (al-Albani) ditanya tentang dalil yang mengubah arahan menjawab azan itu kepada bukan wajib, maka aku (al-Albani) menjawab soalan-soalan itu dengan tindakkan ini, wallahu a'lam." (Sila lihat Tamam al-Minnah (340), Dar al-Rayah, Riyadh)

Justeru hukum menjawab azan yang sunat ini menunjukkan tidak benarnya dakwaan yang menjanjikan azab yang pedih atau tidak dapat mengucapkan syahadah ketika hampir mati jika tidak menjawab azan.

Salah satu tanda sesuatu dakwaan itu palsu dan tidak benar apabila ia menjanjikan azab yang pedih atau akibat yang amat buruk terhadap kesalahan kecil yang dilakukan. Bahkan dalam bab tidak menjawab azan ini bukanlah satu kesalahan, kerana meninggalkan perkara yag sunat bukanlah suatu dosa.


Cara Azan Yang Betul


1. Berwuduk, makruh azan tanpa wuduk
2. Berdiri
3. Meletakkan Jari Telunjuk ke Telinga
4. Menghadap Kiblat



Perhatian : Sebelum melaungkan kalimah di bawah dengan kuat, adalah disunatkan menyebutnya secara perlahan terlebih dahulu. (Sunat Tarji')



→Cara bacaan tarji' sama seperti bacaan di dalam azan : "Ash hadu alla ilahaillallah ; Ashaduanna MuhammadarRasulullah "

Di dalam azan subuh mestilah ditambah kalimah ini "Assola tu khaiyrumminannaum"



yakni selepas mengalunkan kalimah "Haiyya alal falahh"


Apabila mendengar azan, cantiklah kita agar dapat menjawabnya dengan betul dan sempurna secara nada yang perlahan mengikut lafaz yang dilaungkan oleh Muadzin kecuali pada kalimah di bawah ini



Dan akhirnya setelah tamat laungan azan di jawab maka bacalah doa di bawah ini : " Allahumma rabbaha zihidda' watitaaammah, wassolatil qaaaimah, aaatisayyidina Muhammadanil wasilatawal qadilah, wab'as hu ma qa man mahmudanilazi awa'ddah."
Begitu juga apabila selesai iqamah, perlulah dibaca jua doa yang sama.



Iqamah (Qommat) dan caranya :→
1. Berdiri dan menghadap kiblat
2. Menyebut lafaz iqamah

Perlulah lafaz iqamah itu dijawab dengan perlahan-lahan sepertimana yang telah dilafazkan Muadzzin kecuali kalimah di bawah :-


~Raz.R~
02.12.2012
~"Moga Azan yang dilaung dapat melembutkan hati kita untuk cinta kepada solat dan kalimahnya yang dijawab dapat membuatkankan kita istiqamah dalam setiap ibadah. Ameen. Se ^__^nyum."~






 
 


Engkau Tahu?


Sesekali, sepi itu mengilhamkamkan keindahan yang sukar digambarkan.

Engkau tahu?
Jauh aku dibuangmu
Tak ku tanya dimana khilafnya
Mudahnya kau titip lakonan
Tak ku hirau kenapa ia tiba

         Engkau tahu?
         Bila terjal mengingatmu
         Masih hatiku dihampar luka
         Entah mengapa, ditindas hampa
         Dungu kerana manusia
        
                Engkau tahu?
                Masih
                Doaku tersimpul untukmu
                Moga terbentang sejelas jalan
                Asalkan takdirmu diredhai Tuhan
                  
                         Engkau tahu?
                         Kekurangan yang dipegang
                         Hanyalah serangkai khayalan
                         Engkaulah sendiri melakarkan
                         Tak perlu meniti pertanyaan
                         Telah engkau keberuntungan
                         Janganlah disindir kehidupan
                         Janganlah lagi mendukacitakan
                        

Dan, entah mengapa ku masih menulis tentangmu...
Mungkin.., kerana aku tidak pernah sepertimu..


~Raz.R~
02.12.2012
Se^__^nyum
~"Semoga kita menjadi manusia yang berguna kepada manusia lain."~

•KalamNya dari surah al-Ana'am ayat 4:
→ "Sesungguhnya mereka telah mendustakan kebenaran (Al-Quran) ketika ia sampai kepada mereka. Oleh itu, akan datanglah kepada mereka berita (yang membuktikan kebenaran) apa yang mereka selalu ejek-ejek itu (iaitu mereka akan ditimpa bala bencana)".

                  

Friday, November 30, 2012

Kifarat



Cebisan koyak yang terbuku ini
Terperlus dalam sekali
Tak mengharap dimengerti
Terbungkus tebal di hati

Walau rindu kian melusuh
Semarak kasih tak lulur jatuh

Hemm..., sejukkanlah jiwa
Mungkin ini calitan kifarat
Laluan kisah di denai-denai lama


Raz.R
01.12.2012
(12:30:00 AM)
Se^__^nyum

• Dari kalam-Nya:
→"Sesungguhnya penolong kamu hanyalah Allah, Rasul-Nya, dan orang-orang yang beriman, yang mendirikan solat dan menunaikan zakat, seraya mereka tunduk (kepada Allah).Dan barangsiapa mengambil Allah, Rasul-Nya dan orang-orang yang beriman menjadi penolongnya, Maka sesungguhnya pengikut (agama) Allah itulah yang pasti menang"(Surah Al-Maedah :55-56)
 

Tuesday, November 27, 2012

Pengorbanan Yang Dilupa



Wanita itu kurniaan Allah yang  terindah dan terpenting di dunia, tapi banyak perjuangan dan pengorbanan wanita kadang-kadang tidak di ketahui kebanyakan lelaki.

Justeru kerana mereka itu lelaki, tidak sama emosi dan nurani seperti wanita. Menjelaskan perasaan dengan kata sama sekali tidak akan sama dengan mengalami sesuatu perasaan. Semua orang bijak bercerita, tentang ini dan itu, begini dan begitu tetapi memahami dengan hati, mengerti dengan iman dan keikhlasan yang tulus, banyak yang gagal.

Antara pengorbanan wanita yang selalu dilupai lelaki:→

1. Ketika suami bernikah lagi, dan wanita sedaya upaya  berusaha menerima (di atas alasan kemampuan ekonomi, agama atau apa jua alasan pun), dia akan duduk bersendirian di setiap malam dalam gelap kamar saat suaminya tengah mendakap dan bercumbu mesra dengan seorang wanita lain di ranjang lain yang ternyata bukan dia. Dia mungkin saja akan menangis kerana terluka walaupun redha, tapi demi kasihnya kepada suami atau kebaikan anak-anak ia akan berusaha menerimanya dengan sabar.

Sedangkan lelaki, belum tentu akan dapat menerima kenyataan ketika keadaan yang sama melalui dirinya yakni membayangkan andai isterinya juga dicumbui lelaki yang lain selain dia. Pasti, si suami tidak tega menerimanya. Dan isteri memiliki kekuatan menghadapi kesakitan dengan pengorbanan yang sedemikian rupa.

2.Sebagai isteri adakalanya dia memendam segala impian dan rela mengorbankan impian-impiannya demi mengurus suami (yang kadang-kadang bersifat keanak-anakkan dan minta diurus) disamping anak-anak yang kian membesar dengan pelbagai karenah. Dia bersabar demi keduanya.

3.Ketika suami mengutuk tentang masakannya, dia akan bersusah payah belajar masak dari siapapun supaya dapat menghidangkan makanan dengan rasa terbaik pada suami dan anak-anaknya.

4. Dia bekerja 24 jam sehari, 7 hari seminggu. Waktu kerjanya tidak berbatas. ia bangun ketika siapapun di rumah belum bangun, mulai bekerja, memasak,membersihkan rumah, mencuci pakaian, lalu mengurus suami sebelum pergi kerja, mengurus anak-anak untuk ke sekolah, ketika pakaian kering di jemuran ia akan mengangkatnya, dan menseterika dengan rapi.

5. Kemudian setelah begitu letih mengurus rumah tangga, malam giliran memenuhi segala hasrat suaminya. Mulianya seorang isteri adalah: tukang masak, tukang cuci, tukang jahit, babu, kilang anak dan wanita penghibur digabung jadi satu.

6. Bilamana suaminya ingin memiliki anak 4,5,6 atau 9 orang,  dia sebagai isteri  harus bersedia menderita mengandung anak dan bertarung nyawa melahirkan anak-anak suaminya. Suami mungkin tidak terlalu faham penderitaan dan kesakitan sebegini kerana mereka tidak mengalaminya.

7. Walaupun lelaki jarang memahami akan hal yang dirasai wanita , tapi Allah Maha Pencipta Maha Mengerti, sebab itulah DIA menyediakan ganjaran pada pengorbanan wanita. Bagi yang meninggal kerana melahirkan anak, Allah terus sahaja memberinya syurga tanpa dihisab. Bagi isteri yang setia bekerja mengurus rumah tangganya, dengan sabar dan ikhlas, maka Allah mempersilakan dia memasuki syurga dari mana-mana saja pintu yang dia suka.

Dan Allah juga Maha Tahu bahawa tidak ramai lelaki yang mampu memahami wanita sebaik-baiknya kerana itu Allah juga memberi ganjaran kepada mana-mana lelaki yang berjaya menjadikan dirinya berlemah-lembut dan bersikap yang paling baik kepada isteri dan keluarganya.

Renung-renungkanlah. Terlalu berkira akan kepentingan diri akan banyak mencacatkan keindahan hidup rumah-tangga yang sebenarnya. Sepakat dan muzakarah antara keluarga, masyarakat, teman atau juga di tempat kerja. Itulah yang mampu membina keteguhan ummah yang sebenar-benarnya.
Wallhua'lam.


~Raz.R~
27.11.2012
Hanya berkongsi
Ilmu adalah hak milik semesta yang perlu diterokai bersama,
bukan untuk individu yang menggunakan ilmu demi kepentingan nama, kepuasan dan harta.
Se ^__^nyum.





Saturday, November 17, 2012

Rindu Itu Tarbiah



Acapkali hati diuji rindu
Tertanya kenapalah ia begitu
 
Sangat benar rupanya
Bila kasih bercambah
Memori menjadi harta terindah
 
Di mata sering berulang-tayang
Di hati doa melayang-layang
Berjauhan bukan alasan
Walau tidak tertulis suratan
Segalanya takdir Tuhan
 
Diantara diri dan Ilahi
Rindu meluruh lagi
Panas, dingin dan hujan
Bagai musim berganti
Datang dan pergi
Fitrah azali insani
 
Rindu itu juga wasilah
Tarbiah dari ujian Allah
 

Raz.R
Se ^__^nyum
17.11.2012

~" Saat terjadi hal-hal yang tidak diduga, tidak disangka, tidak dipinta, jangan kecewa, marah apalagi mencemuh pada kejadian. Tetapi tanyakanlah diri, apakah maksud baik Allah di sebalik semua itu. Dengarlah ‘bisikan’ tarbiah Allah di sebalik segala ujian. Allah tidak pernah menzalimi kita. Ujian itu penting, tetapi bagaimana kita menghadapinya jauh lebih penting."~