Salam kasih Kerana Allah

Salam kasih Kerana Allah
Assalamualaikum wbt - Sekadar Berkongsi Ilham dan Pengalaman

Sunday, December 23, 2012

Keistimewaan Solat Tahajjud

18 Keistimewaan solat Tahajjud


Malam.. meninggalkan aku bersama-Mu.
Selimutkanlah sendu dan kesalku,
dengan kasih dan cinta-Mu
Kekasih-Ku



Tanda cinta seorang hamba kepada Tuhannya adalah dengan pengorbanan. Allah mengurniakan kita masa, peluang hidup, rezeki, kesihatan dan sebagainya. Dilayani-Nya kita dengan anugerah-anugerah lain yang tidak dapat kita balas dengan apa sekalipun, kecuali dengan ketaatan dan kesetiaan kita kepada-Nya. Justeru, hinalah kita jika tidak memberikan sebahagian dari masa dan kurniaan tersebut untuk berterima kasih dan mendekati-Nya. Antara tanda cinta kita adalah dengan meluangkan sedikit masa 'sedap' kita kepada-Nya dengan bertahajjud.  
Solat Tahajjud adalah solat malam yang dilaksanakan setelah bangun tidur, afdalnya dibuat secara bersendirian waktu selepas tengah malam. Solat sunat ini amat dituntut dan sangat baik dilakukan sebagai ibadah tambahan. Rasulullah SAW dan para sahabat tidak meninggalkan solat ini sepanjang hayat mereka.


Orang-orang yang sentiasa melakukan sembahyang malam akan diberikan keistimewaan oleh Allah swt. dengan suatu keistimewaan yang tidak diperolehi oleh orang-orang yang tidak mengerjakannya. Ini ditegaskan oleh Allah SWT dalam firman-Nya seperti yang telah termaktub didalam al-Quran ertinya:


"Apakah kamu hai orang-orang musyrik yang lebih beruntung atau orang-orang yang beribadat diwaktu malam dengan sujud dan berdiri, dalam keadaan takut kepada (azab) akhirat dan mengharapkan rahmat Tuhannya? Katakanlah " Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui? Sesungguhnya hanya orng-orang ynang berakallah yang dapat menerima pelajaran."


Firman Allah SWT lagi :-

“Dan pada sebahagian malam hari bersolat Tahajjudlah kamu sebagai suatu ibadat tambahan bagimu; Mudah-mudahan Tuhan-mu mengangkat kamu ke tempat yang terpuji.”
(Surah Isra’; ayat 79)



Rasulullah SAW bersabda: “Kerjakanlah solat malam sebab itu adalah kebiasaan orang solehin sebelum kamu, juga suatu jalan untuk mendekatkan diri kepada Tuhanmu, juga sebagai penebus segala amalan buruk, pencegah dari perbuatan dosa dan dapat menghalangi penyakit dari badan.” (Riwayat Tirmizi dan Ahmad r.a.)



KEISTIMEWAAN SOLAT TAHAJJUD

1.Tahajjud adalah solat sunat yang paling afdal.

2.Doa dimakbulkan Allah.

3.Memperolehi ketenangan jiwa.

4.Merasai diri hampir kepada Allah SWT.

5.Diberikan keistimewaan oleh Allah SWT.

6.Memperolehi pertolongan dan rahmat Allah.

7.Menewaskan gangguan dan godaan syaitan.

8.Mencegah dosa dan menghindari penyakit.

9.Menjadi lebih berdisiplin dalam melakukan tugas.

10.Allah SWT memudahkan menerima ilmu yang dipelajari.

11.Terkeluar daripada catatan sebagai golongan yang lalai.

12.Dihormati masyarakat dan dijauhi daripada hasad dengki manusia.

13.Allah SWT memberikan kemudahan dan rezeki yang berpanjangan.

14.Orang bersolat Tahajud menjadi kesayangan Allah SWT.

15.Diberi keistimewaan yang orang lain tidak perolehi.

16.Mendapat kemuliaan Allah SWT di dunia dan akhirat.

17.Meninggikan martabat seorang hamba di sisi Allah Azza Wa Jalla.

18.Memudahkan hisab di akhirat dan melintasi Titian Siratal-Mustaqim.



Tata Tertib Sebelum Mengerjakan Solat Tahajjud


Yang dimaksudkan disini ialah adab-adab atau perkara-perkara yang sunat dilakukan sebelum mendirikan sembahyang tahajjud ialah :

1. Hendaklah kita berniat sebelum tidur bahawa kita ingin melakukan sembahyang tahajjud.
2. Berusaha untuk menghilangkan rasa mengantuk ketika bangun, kemudian bangkit dan bersugi sambil berdoa
3. Selanjutnya Rasulullah saw membaca sepuluh ayat yang terakhir dari surah Al-Imran
4. Sekiranya dirasakan terlalu mengantuk hendaklah kembali untuk tidur sehingga hilang rasa mengantuk.Kita tidak digalakkan untuk memaksa diri untuk melakukan sembahyang malam. Tetapi kita dianjurkan mengerjakan semampu kita dan apabila tubuh badan dalam keadaan segar.

Cara untuk mendirikan Solat Tahajjud

1. Terdapat berbagai cara untuk melakukan solat Tahajjud kesemuanya pernah dilakukan oleh Rasulullah saw.Namun jika dirasakan berat memadailah dilakukan dengan sedikit iaitu sekadar dua rakaat tetapi dilakukan secara berterusan setiap malam. Dalam hal ini Rasulullah saw telah bersabda yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim dari Aisyah, ketika Rasulullah ditanya oleh salah seorang sahabatnya:

"Apakah amalan yang disukai oleh Allah? Rasulullah menjawab : " Yang terus menerus (sentiasa dikerjakan) walaupun sedikit."

2. Lafaz dan niat untuk solat Tahajjud ialah:

"Ushalli sunnatan tahajjudi rak'ataini lillahi Ta'ala "
Ertinya:"Sahaja aku sembahyang sunat tahajjud dua rakaat kerana Allah Ta'ala"

3. Bacaan surah atau ayat Al-Quran selepas Al-Fatihah:

→Rakaat pertama: Ayat Al-Kursi (seeloknya 7 kali)

→Rakaat kedua: Surah Al-Ikhlas (seeloknya 11 kali)



4. Lakukanlah dua rakaat seperti sembahyang sunat yang lain,cuma selepas membaca tasbih biasa ketika sujud kedua pada rakaat terakhir, bacalah doa berikut:

"Rabbid khalniimud khala sidqin wa-akhrijnii mukhraja sidqin waj'allii mil ladunka sultaanaan nasiiraa."

Ertinya: " Tuhanku! masukkanlah aku kedalam pintu kebenaran dan keluarkanlah aku daripada pintu kebenaran dan kurniakanlah kepadaku daripadaMu pembantu"

5. Lakukan sembahyang sunat tahajjud ini mengikut kemampuan. Kalau terlalu mengantuk maka eloklah dipendekkan sahaja.

6. Selepas selesai mengerjakan sembahyang Tahajjud maka bacalah doa sepertimana yang pernah dibaca oleh Rasulullah saw ini:

"Allahummaj'al fii qalbii nuuran wafii lisaanii nuuran waj'al fii sam'ii nuuran waj'al fii basori nuuran waj'al fii khalqii nuuran wamin amaamii nuuran waj'al min fauqi nuuran waa man tahtii nuuraa. Allahumma a'tinii nuuraa.

Ertinya: Ya Allah! Jadikanlah didalam hatiku cahaya yang cemerlang, pada lidahku cahaya yang cemerlang dan jadikan pada pendengaranku cahaya yang cemerlang serta jadikan pada penglihatanku cahaya yang cemerlang jadikan dibelakangku cahaya yang cemerlang dan dihadapanku cahaya yang cemerlang dan dari bawahku cahaya yang cemerlnag. Ya Allah! Kurniakanlah kepadaku cahaya yang cemerlang!"

Wallahu'alam. Semoga ada kesungguhan dan manfaat kepada kita semua. Ameen.

Salam kasih kerana Allah.
~Raz.R~
23.12.2012
Se^__^nyum.