Salam kasih Kerana Allah

Salam kasih Kerana Allah
Assalamualaikum wbt - Sekadar Berkongsi Ilham dan Pengalaman

Friday, December 7, 2012

Orang Yang Cerdik


Orang yang bodoh itu adalah orang yang hidup dengan seluruh nikmat Allah tetapi tidak mahu mengenali Allah
Kejayaan dan kemewahan hidup dengan meterial di dunia ini tidak akan menjadikan kita manusia yang bijak dan cerdik selagi mana kita tidak menggunakan masa dan usia kita dengan EMPAT PERKARA ini:-

1• Bermunajat kepada Allah Subhanahuwata'ala
→ Kita bukanlah manusia yang cerdik dan bijak seandainya kita masih belum memperkayakan diri kita dengan bermunajat kepada Allah. Iaitu mendekatkan diri atau mendampingi Allah dengan mentaati suruhan-Nya, berzikir, berdoa dan sebagainya. Sesungguhnya bermunajat kepada Allah adalah tanda kita menghargai nikmat masa, nikmat umur dan nikmat segala kurnia Allah kepada kita di bumi-Nya ini.

2• Muhasabah atau memeriksa diri kita sendiri.
→ Keseronokkan kita menunding dan menilai diri orang lain sebelum menilai kelemahan diri kita bukanlah menunjukkan diri kita itu cerdik. Seharusnya kita sentiasa sedar bahawa sekiranya orang lain memiliki banyak kekurangan, kita juga tidak akan lekang daripada kekurangan-kekurangan tersebut. Bukankah kita manusia yang sama sebagaimana yang selainnya? Boleh jadi pada hari ini segala apa yang kita miliki dapat mengatasi orang lain, namun tidak mustahil kemudian hari kita akan hilang segalanya.

3• Memikir, mengkaji dan merenung rahsia dan ilmu kebesaran Allah
→ Segala apa jua yang Allah ciptakan di langit dan di bumi adalah untuk manusia memikirkan tentang ke-Esaan-Nya. Baik hal atau perkara yang sebesar biji sawi sentiasa menjuruskan kepada kewujudan Allah dan kebenaran-Nya. Bodohlah kita jika diberi akal tetapi tidak berusaha untuk menjiwai kebesaran Pencipta kita sendiri.

4• Mencari kemuliaan dunia dan akhirat kerana Allah
→ Selepas kita mengenali Allah melalui kewujudan diri kita dan kewujudan alam ini adalah kerana-Nya maka seterusnya berusahalah kita di dunia dengan mencari rezeki, berkahwin, bersaudara dan sebagainya di atas tujuan yang diamanahkan Allah melalui lidah Rasulullah SAW.

Keempat-empat perkara ini akan dapat mengasah dan menebalkan keimanan yang telah kita ada lalu dapat menjadikan kita hamba Allah yang benar-benar bijak dan berjaya. Walaupun begitu kita tetap akan diasak oleh musuh-musuh yang tidak mahu melihat kita 'cerdik iman'.

Justeru kita perlu sentiasa menyediakan iman kita dengan kubu pertahanan hati dan jiwa terhadap LIMA MUSUH ketat kita iaitu :-

1► Orang-orang Islam yang sentiasa berdengki dengan kita.
2► Orang munafiq yang sentiasa benci kepada usaha kita kepada kebaikan
3► Orang kafir yang sememangnya tidak pernah menyukai Islam dan mahu 'menghilangkan' kita
4► Syaitan yang sentiasa bersumpah akan menyesatkan kita
5► Hawa nafsu kita sendiri yang sentiasa membuatkan kita terpesona dengan khayalan dunia

Mudah-mudahan kita semua dapat memperbaiki diri dengan kecerdikan dan perjuangan yang sebenar. Ameen.


~Raz.R~
07.12.2012
Se^__^nyum
"Ingat Allah selalu kerana mengingati Allah itu umpama bateri yang meningkatkan iman kita."