Salam kasih Kerana Allah

Salam kasih Kerana Allah
Assalamualaikum wbt - Sekadar Berkongsi Ilham dan Pengalaman

Tuesday, October 23, 2012

C I N T A Maya

Bissmillahirrahmanirrahim.. Moga segala apa yang tertulis mendapat redha-Nya. Ameen.
Jangan Putus Asa

"Dah 'ready' untuk bercerita, Su?"

Senyum Su ramah memenuhi wajah. Merah pipinya terukir segan-segan silu. Dia mengerling dengan tawa kecil yang manja.

"Cerita apa pulak, Kak Raz?"
"Hem, buat-buat lupalah tu? Kan Su yang cakap, nanti bila Su dah berhenti nangis, Su nak cerita pada pada Kak Raz?"

Benar. Raz melihat Su sudah mulai segar. Dia tidak lagi dirundung keliru, sedih dan pilu. Sudah tegal dengan suasana nampaknya. Sudah mampu mencari bias-bias punca ketawa, beragam lucu dalam kenakalannya. Alhamdulillah. Sesungguhnya Allah sentiasa memberikan ruang bagi hamba-Nya yang sentiasa menyediakan ruang untuk diri sendiri bermuhasabah mencari erti bagi setiap tragedi di dalam kehidupan ini. Hikmah dan hidayah telah dijanjikan kepada insan-insan yang bersabar.

"Macam mana Su boleh kenal dia?" Raz memecahkan suasana bisu. Sengaja soalan ditembak agar mudah untuk Su memulakan bicara. Su sedikit tercengang. Kemudian diliriknya senyuman lagi.

"Kat laman maya", katanya ringkas. Raz terdiam.

"Tak apalah kak, Su dah anggap semua tu pengalaman hidup yang ada baik dan buruknya. Kalau Su bodoh, mungkin daripada pengalaman itu, Su makin sedikit pandai, kan kak?" Sambungnya.

Raz menganggukkan kepala senyap mengakui. Menanti kisah disambung lagi, tetapi Su masih terdiam bagaikan menunggu sebarang soalan dari Raz.
"Maaf, Su cintakan dia? Pernah jumpakah?"
Dia menunduk perlahan. Menutupi mata, menyembunyikan rasa lara. 

"Hurm, tak pernah pun tapi entah macam mana boleh jatuh cinta. Su ni gila agaknya" Sambil ketawa dijawabnya soalan Raz namun riak wajahnya seolah menyesali apa yang terjadi.
Raz turut tersenyum hambar menyelit simpati di hati. 

Cinta! Sebenarnya ia tidak terlihat oleh mata yang celik tetapi dengan mata yang berada di hati. Ia tidak memerlukan rupa, tidak juga terhitung oleh usia, tetapi hanya perlu menghadirkan rasa kasih-sayang yang murni dan mulia. Dari situlah tercetusnya cinta. Jika ia ditambah dengan rasa kesyukuran kepada "al-Wadud", iaitu Maha Pencinta kepada cinta, memulakan dengan nama-Nya dan berakhir pun dengan nama-Nya jua, InsyaAllah akan wujud lazatnya rahsia cinta yang tidak mampu dibayangkan dek apa jua bahasa.

"Kami berkenalan. Su rasa dia cukup baik. Su mula mempercayai kata-katanya. Banyak perkara yang Su kongsi ketika mengenalinya yang buat Su fikir dan belajar. Yang paling Su suka tentangnya adalah sayangnya dia kepada Allah, kak. Setiap ayat yang disebut mengingatkan Su tentang kehebatan Allah. Samada ia hanya bermanis kata atau benar dia suka memuji Allah, itu Su tidak kisah sangat. Bila orang tu dah selalu mengingatkan kita kepada Allah, sudah tentulah kita sayang kepadanya. Tak gitu, kak?"

"Walaupun Su tak tahu latar belakangnya siapa?" Tanya Raz.

"Hurm, itulah kesilapan Su, kak Raz. Tak sangka pula semua tu hanya wayang untuk mengaburkan soal latar belakangnya. Kecil hati juga Su bila dia mempergunakan Allah sebagai muslihat memikat. Itulah yang Su tak faham dan tertanya-tanya sampai sekarang. Sekian lama Su letakkan harapan dan dia juga ada memberikan bayang-bayang harapannya kepada Su, tetiba sahaja hampir seluruhnya hanyalah mainan semata-mata. Terbongkar banyak rahsia yang Su tidak pernah terfikir sama sekali. Itupun semua itu tidak dari mulutnya sendiri tetapi dari isterinya yang selama ini tidak pernah Su tahu wujud!"

Raz mengerutkan dahi. Hati agak terperanjat kerana selama perkenalan mereka, Su selalu bercerita tentang 'Sahabat Hatinya' yang masih belum berpunya. Su mengkagumi lelaki itu. Pujian demi pujian bukan kepalang membertih di bibir Su. Pada sangkaan Raz, sudah tentu kali ini nasib Su tidak seperti kisahnya yang lepas. Terpedaya dengan janji. Berakhir dengan sendu. Raz mendoakan kebahagiaannya. Pun begitu, ujian masih menimpa. Allah sahaja yang lebih mengerti apa yang telah diberi-Nya.

"Isterinya tak marah, Su?"
"Mana boleh tak marah, kak! Mengamok gila. Tapi, lepas Su terangkan segalanya, dia faham yang Su cuma terpedaya dengan situasi. Alhamdulillah, malah kami boleh jadi kawan pun. Pelik jugak" Dia ketawa perlahan.

Di dalam fikiran Raz menduga pasti wanita yang dikenali Su itu adalah seorang yang baik kerana memahami situasi. Cuma, Raz kehairanan dan bertanyakan diri sendiri kenapa lelaki tersebut memilih untuk tidak jujur di dalam suatu ikatan silaturrahim. Kejujuran adalah benih awal kasih-sayang. Soal jodoh, ajal maut dan rezeki adalah di tangan Tuhan namun dengan kebenaranlah segala usaha dapat direstui Allah Ta'ala. Andai berpegang kepada suruhan Allah, sudah tentu segala persoalan dapat diuruskan dengan mudah.

"Banyak lagi hal-hal yang Su ketahui selepas tu, kak. Cerita yang terasa amat berat untuk Su terima.Keburukan demi keburukan. Su kecewa sangat. Su terhina sungguh. Keliru. Su jadi marah dan benci pada diri sendiri. Entahlah kak. Sakit rasanya. Bodoh sangat. Malu sungguh. Boleh kak bayangkan tak? Mudah sekali Su membuka hati Su kepada orang yang Su tidak kenali. Hanya angan-angan kosong, kak??! Ahh!! Penat! Letih! Astaghfirullahaladziem!"

Raz menghampiri Su. Menenangkannya dengan doa di jiwa. Semoga apa yang dilaluinya tidak lagi berulang semula. Tidak kepada Su atau tidak juga kepada mana-mana wanita yang lain. Ameen.

"Maafkan kak Raz, Su. Sudahlah. Ambil saja ikhtibar dari apa yang berlaku ini seperti yang Su kata tadi, pengalaman yang menjadikan Su lebih arif dalam hidup, kan? Apa yang telah berlaku tu, pastinya Allah tetapkan atas sebab dan alasan tertentu. Mungkin juga dia tidak bertujuan untuk melukakan Su. Mungkin dia sendiri menghadapi hidup yang celaru. Setiap orang sentiasa mencari-cari bahagia dalam hidupnya. Cuma tidak terbuka cara atau tersalah cara. Dia mungkin menyangka ada jalan yang lebih bahagia dengan berpura-pura. Sekurang-kurangnya Allah telah membuka kebenaran-Nya kepada Su lebih awal dan Su tidak terlalu jauh menderita berbanding orang lain. Mungkin juga dia sendiri menderita dan sedang mencari ubat untuk penderitaannya.Manusia yang degil terhadap Allah tetapi masih ingat kepada Allah itu sebenarnya sedang tersesat sementara. Dia tahu apa yang dilakukannya itu salah tetapi tidak berdaya untuk menghentikan salahnya, Su. Semua itu kerana keazaman dan keimanannya yang terlalu lemah. Dia mungkin belum nampak kelebihan dirinya sendiri di sisi Allah."

Su terdiam seketika.

"Iyalah kak. InsyaAllah. Su rasa begitu juga. Semuanya adalah takdir Allah untuk Su. Hurm, ada ikatan silaturrahim yang telah terjalin. Pelajaran yang membuatkan Su mengenal makna sabar yang sebenar."

Lega hati Raz dengan kata-kata Su. Kekuatan yang terbit dari hatinya. InsyaAllah. Moga dia terus tabah ,mengharungi hidup dan masa hadapannya selepas ini.

"Su menyayanginya kerana Allah, kan?"

Dia mengangguk lemah. Katanya, itulah yang selalu ditegaskan selama ini.

"Kalau macam tu, tak payah bimbang dan menyesal lagi. Doakan saja dia, semoga Allah lapangkan hatinya untuk memahami sebenar-benar nikmat Allah yang dia telah dapat. Doakan dia menerima taufik dan hidayah Allah. Doakan dia bahagia dengan jalan sebenar-benarnya. Doakan dia diampuni Allah. Seburuk mana pun dia, Su, selagi dia masih di dalam agama Allah, kita harus mendoakannya. Bersyukurlah kepada Allah dengan ujian yang Su dapat ini, Su masih kuat dan terus mendekati-Nya lagi. Kita sayang dia kerana Allah, jadi kita terus doakan kebahagiaannya kerana Allah jua. Dan, kebahagiaan kita pula? Jangan mengeluh lagi, Su. Allah pasti menyediakan kebahagiaan bagi kita yang mendoakan kebahagiaan yang lain. DIA Maha Pengasih dan Maha Bijaksana. InsyaAllah.Ameen."
"Apa yang terjadi mungkin tidak seperti yang diimpikan namun masih terselit hikmah Allah SWT disebalik segala kejadian. Usahlah biarkan diri dihasut kebimbangan yang panjang. Takut nanti syaitan bertepuk tangan."
 Kelihatan wajah Su masih disiram kusam dalam ketidakpuasan hati.

"Su rasa masih terkilan, kak Raz."

Hati yang berombak kecewa. Badainya lambat untuk surut. Raz amat faham perasaan Su. Sudah tentu dia wajar terkilan kerana Su amanah soal perasaannya tetapi dihampakan dengan ketidakperihatinan.Sebentar kemudian ada dengusan pada suaranya seperti menyedut dan membuang resah dengan segera.

"InsyaAllah. InsyaAllah! Tak apalah kak Raz. Untuk apa Su terkilan, kan kak? Lagipun pertemuan kami atas kehendak Allah. Bila dikenang yang menyakitkan tu, memang Su marah tapi dalam semua pengalaman Su tu ada juga yang indah, kak. Alhamdulillah, dia pernah buat Su gembira dan bahagia. Walaupun sedikit tetapi ada juga maknanya. Siapa pun dia, dimana pun dia atau bagaimana keadaannya, Su tetap mahukan dia bahagia. Untuk apa Su menyimpan rasa marah yang merosakkan hati Su sendiri, lebih baik Su doakan dia bahagia, kan kak? Ya! Allah lebih tahu apa yang terbaik untuk Su dan dia. Dia pernah menjadi sahabat Su. Dia pernah Su kasih kerana Allah. Dia juga adalah salah satu ujian atau hikmah Allah untuk hidup Su. Biarlah, mudah-mudahan Allah lindungi dia dan keluarganya ke jalan yang benar sentiasa. Ameen."

Raz tersenyum syukur dengan semangat dan kekuatan jiwa yang sedang kembali. Mudah-mudahan semuanya dapat kekal dan bertambah teguh lagi dengan ingatan keimanan di hati.

"Lepas ni, macamana? Kalau dia kembali cari Su?" Gurau Raz.
Su tersenyum lagi menggeleng-gelengkan kepalanya.

"Ha!Ha! Ada-ada ja kak Raz nih! Su tak rasa dia akan kembali tapi kuasa Ilahi kita tidak boleh teka sendiri, kan, kak? Hem, dia tetap sahabat Su. Allah mengampunkan hamba-Nya berkali-kali. Siapa Su untuk terus menghukum dia. Tapi, untuk bercinta lagi, tak, mungkin tidak. Su dah tua untuk itu semua. Cukuplah, kak. Kita cari cinta yang lebih pasti. Allah!"

"InsyaAllah, Su. Cuma, jangan kita ujub dengan diri sendiri. Biarlah segala niat kita bersama tawadduk agar Allah terima dengan redha. DIA-lah yang berhak ke atas kita. Tawakkal sajalah ya. 'Sure' nanti dah serik untuk bercinta maya lagi kan, Su?"

"Ha!Ha!Ha! Tolong, kak. Janganlah Su ulang lagi hendaknya. Cukup-cukup sudah!"

Kami ketawa kelucuan. Tiada niat untuk menolak takdir. Tidak juga mempersendakan kejadian. Ujian Allah akan tetap datang di dalam pelbagai bentuk dan rupa. Kita hamba-Nya, tidak akan mampu menolaknya. Cuma, sebagai manusia yang diberi akal waras seharusnya kita sentiasa menempatkan diri 'berjaga-jaga' di dalam apa jua situasi. Carilah iman agar kita tidak mudah goyah dengan kekecewaan.

Bersangka baiklah dengan ujian Allah tetapi perkasakanlah diri berhati-hati dengan manusia. Kita boleh kenal Allah dan Allah tidak pernah menipu kita, tetapi manusia yang mengikut nafsunya dan hasutan syaitan boleh saja menipu kita bila-bila masa demi kepentingan diri. Tujuan iblis dan syaitan adalah untuk meyesatkan manusia hingga ke hari qiamat, jadi tidaklah boleh kita bersangka baik dengan kumpulan yang dilaknat Allah itu. Topeng-topeng mereka tersangkut di mana-mana dan bila-bila masa mereka boleh memakainya!

Dalam hati kita ini ada kekacauan pecah yang tidak dapat disatukan melainkan dengan menghadap Allah. Akan ada pasang surut yang membawa gelisah yang tidak dapat dihilangkan melainkan dengan bermunajat kepada Allah. Di dalamnya ada kesedihan yang tidak dapat dibuang melainkan dengan bergembira mengenali Allah dan benar-benar berinteraksi dengan-Nya. Ada kegundahan juga yang tidak dapat ditenteramkan melainkan bersatu dan berhimpun di sisi-Nya. Malah ada kekesalan yang tidak dapat dihilangkan melainkan dengan keredhaan pada perintah, larangan, takdir dan bersabar menghadapi segala musibah. Di dalam hati juga ada kemelaratan yang tidak dapat dibendung dan membawa derita melainkan kita selalu mengingati-Nya dan ikhlas sejernihnya.

Kalaulah kita hanya suka untuk menipu dan memutarkan larangan Allah, adakah ia melambangkan kita mahu mencari ketenangan yang sebenar? Tidak! Semua itu hanya menjauhkan kita daripada-Nya. Semua itu hanya akan menebalkan penderitaan kita. Bila hati tertarik untuk kembali dan mencari ketenangan dan kebahagiaan hakiki, selalulah menilai kesibukkan diri kita di dunia ini. Ke arah mana sebenarnya kita sedang sibuk? Kembalilah dengan ilmu yang kita gunakan hanya ke arah kebenaran. Hanya dengan kebenaranlah nikmat Allah dapat kita raih.

Dalam dunia maya atau dunia nyata, kita sebenarnya sedang mencari cinta yang sama. Allah Ta'ala.
Wallahua'lam.


Setulus senyum dari Raz.R
23 Oktober 2012.
"Moga Allah memberi rahmah serta cinta-Nya sentiasa. Ameen."


 
"Sekerdil dia
Selemah dia
Sedhaif dia
Diungkap segala harap
dalam titis rintih
doa yang tak lumpuh
Lalu esok...
tangisnya tertinggal
di lembar sejadah
Dia pasrah
masih dicungkil senyum
yang tak kalah
Subhanallah!"





Saturday, October 20, 2012

Ajarkan C I N T A



 
 
Ingin..
Ingin ku ajarmu
C I N T A ♥
  yang kilaunya sebening nur
  Hangat tidak menikam
Silau tidak benderang
Dingin tidak kebekuan

Ingin..
Ingin ku bawamu ke taman
C I N T A ♥

Di huni makhluk berjiwa mulia
Riang menghirup bayu sentosa

Bila pintu terbuka
Dirimu disambut bahagia
Tanganmu dipimpin
Berhimpun senyum
Tulus, mulus, suci dan mesra.

Seketika engkau kan lupa
Dirimu siapa, mabuk
dirangkul C I N T A ♥ -Nya

Senyum...

Raz.R
20.10.2012
"~Bersendiri lebih membuahkan erti.
Warna-warnanya lebih ketara~"
 

Tuesday, October 16, 2012

Kecantikan "Bissmillah."

Bismmillahirrahmanirrahim.

1.Yang pertama ditulis Qalam adalah BISMILLAH. Maka apabila kamu menulis sesuatu, maka tulislah BISMILLAH pada awalnya kerana BISMILLAH tertulis pada setiap wahyu yang Allah turunkan kepada Jibrail.

2."BISMILLAH untukm...
u dan umahmu, suruhlah mereka apabila memohon sesuatu dengan BISMILLAH. Aku tidak akan meninggalkannya sekejap mata pun sejak BISMILLAH diturunkan kepada Adam." (Hadith Qudsi)

3.Tatkala BISMILLAH diturunkan ke dunia, maka semua awan berlari kearah barat, angin terdiam, air laut bergelora, mendengarkan seluruh binatang dan terlempar semua syaitan.

4.Demi Allah dan keagunganNya, tidaklah BISMILLAH itu dibacakan pada orang sakit melainkan menjadi ubat untuknya dan tidaklah BISMILLAH dibacakan di atas sesuatu melainkan Allah beri berkat ke atasnya.

5.Barangsiapa yang ingin hidup bahagia dan mati syahid, maka bacalah BISMILLAH setiap kali memulakan sesuatu perkara yang baik.

6.Jumlah huruf dalam BISMILLAH ada 19 huruf dan malaikat penjaga neraka ada 19 (QS.AL Muddatsir:30) .Ibnu Mas'ud berkata: "Sesiapa yang ingin Allah selamatkan dari 19 malaikat neraka maka bacalah BISMILLAH 19 kali setiap hari."

7.Tiap huruf BISMILLAH ada JUNNAH (penjaga/khadam) hingga tiap huruf berkata, "Siapa yang membaca BISMILLAH maka kamilah kekuatannya dan kamilah kehebatannya."

8.Barangsiapa yang memuliakan tulisan BISMILLAH nescaya Allah akan mengangkat namanya di syurga yang sangat tinggi dan diampunkan segala dosa kedua orang tuanya.

9.Barangsiapa yang membaca BISMILLAH maka akan bertasbihlah segala gunung kepadanya.

10.Barangsiapa yang membaca BISMILLAH sebanyak 21 kali ketika hendak tidur, maka akan terpelihara dari gangguan syaitan, kecurian dan kebakaran, maut mendadak dan bala.

11.Barangsiapa yang membaca BISMILLAH sebanyak 50 kali di hadapan orang yang zalim, hinalah dan masuk ketakutan dalam hati si zalim serta naiklah keberanian dan kehebatan kepada si pembaca.

Saturday, October 13, 2012

Lucu


Lucu
Bila jelas tentang waktu
yang pernah dikongsi dulu

Lucu
Indah jalan cerita
Tersusun bijaksana
Tidak nyata kisahnya
Alam memutarkan benar menjadi dusta

Lucu
Perlukah ada tangis?
Pada agenda yang sinis
Perlukah ada tawa?
Pada cerekarama

Lucu
Kecewa telah hilang ditelan ketawa


Raz. R
13.10.2012
"Hik.Hik.Hik! Macam tu pun boleh?"

Rindu Tanpa Jemu

Ya Allah! Buatkan aku melangkah dengan rinduku yang cantik hanya kepada-Mu

Bismillah..

Bersiul tentang rindu
Tiada titik jemu
Bergendang dan berlagu
Irama dan melodi bersatu
Senyum masih terbuku
Imbau tiap bisikan lalu
Manis dan merdu

Alhamdulillah..
Sekalipun terkorban dan kalah
Masih bermakna seluruh hikmah
Ilmu hidup kekayaan Allah
Nikmat-Nya segar terserlah

Subhanallahi wabihamdih.. Subhanallahil a'dzhiem..
Cantiknya rasa sehelai rindu


Raz.R
13.10.2012
12:06:00 Tengahari yang cantik

"Rindu ingin mentelaah di tepi pantai, di bawah rimbun rhu yang indah."