Salam kasih Kerana Allah

Salam kasih Kerana Allah
Assalamualaikum wbt - Sekadar Berkongsi Ilham dan Pengalaman

Monday, April 30, 2012

Dimana ketenanganmu?

~" Apa yang dicari di dalam hati?
T E N A N G..??
Tidak ia akan muncul jika kamu jauh dari-Nya.
Carilah tenangmu di mana-mana.. ia cuma sementara.
Kecuali ... dengan mengingati Allah Ta'ala
Tenangmu mengharum, walau dalam derita.
Bercahaya di buana, tersimpan bekal di syurga
Terpulanglah kepadamu, kerana kamu sahaja pemilihnya"~

Ketenangan hidup itu boleh diperolehi dengan sentiasa mengingati Allah dan Allah akan menyertai orang-orang yang sentiasa membersihkan hatinya. Beristighfarlah selalu, InsyaAllah, kamu akan memiliki setasik ketenangan yang jernih. Ameen...

Tenanglah dengan Allah.
Dia menanti-nanti sembahmu

Bukti Sebuah Perasaan

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum.
Kasih-sayang Allah itu di mana-mana. Mudah-mudahan kita semua sentiasa dinaungi cinta dan kasih-Nya. Ameen.
Hari ini adalah hari terakhir bagi bulan April di tahun 2012. Tidak ada entri yang menarik untuk Raz memotivasikan diri.
Janggal pula bila ia dibiarkan sepi. Jadi Raz selitkan sekeping puisi tulisan hati sambil tersenyum berseri.

 
Puisi ini mempunyai cerita hidup seseorang. Berkisar tentang harapan di dalam membuktikan perasaan sejati sebuah cinta. Ramai yang memiliki cinta. Benar, dua jiwa mungkin telah bersatu menjadi satu namun untuk membuktikan perasaan itu sesamanya masih tetap akan diusik pelbagai ujian terhadap ketahanan hati.

 
Oleh kerana kita tidak dapat membaca perasaan manusia dan bagaimana kukuhnya sesuatu perasaan itu, kita tidak dapat membuktikan sesuatu perasaan apa pun di dalam satu perhubungan seandainya tiada keyakinan, kepercayaan dan usaha.
Kekadang, dek kerana terlalu berusaha untuk membuktikan rasa kita itu benar, kita mula dihantui pelbagai getaran sangka. Situasi begitu akan mempengaruhi jiwa kita untuk diikat rasa getir dan tersiksa.

 
Akhirnya, kita akan dirosakkan oleh rasa hampa, rendah diri dan kerdil.
Jadi, bagaimana caranya untuk kita mengembalikan cinta itu agar tertegak di atas landas ketenangannya, tanpa takut ditunjah kecewa??

 
  1. Semangat - Jadikan diri seperti akar kayu yang kuat. Boleh dibengkokkan tetapi tidak dapat dipatahkan.
  2. Ikhlas- Jika kita benar-benar ikhlas dalam memberikan apa jua pun, baik memberikan cinta.. keikhlasan itu akan terpantul kembali jua. Kebaikan akan dibalas dengan kebaikan. InsyaAllah.
  3. Kembalikan segala rasa itu kepada ALLAH-  Kita tidak memiliki sebarang kuasa untuk mengubah sesuatu. Allah jualah yang memiliki segalanya. Yakin akan doa kita. Yakin pada ketetapan Allah. Yakin bahawa bilamana kita mendahulukan cinta Allah maka Allah akan memberikan apa saja cinta yang kita perlukan.
  4. Sabar, Solat, usaha dan berdoa - Jujurkan diri terhadap kesabaran, solat dan doa setelah berusaha. Tawakkal dan sujudlah tanpa jemu kepada-Nya. Sesungguhnya kita ini bukan sesiapa tanpa Allah SWT.

 
Tulisan ini sekadar pendapat Raz. Selebihnya hanya kepada Allah sahaja diserahkan kebenarannya. Tidak ada apa-apa yang dapat menghakimkan kebenaran sebuah perasaan hati kecuali ia diperhatikan oleh Allah Ta'ala. Tiada kebenaran dapat dibuktikan tanpa setulus kejujuran, kepercayaan dan keikhlasan kerana Allah.

 
Wallhua'lam..
Salam kasih Seluas Sayang.

 
~"Dengan apa..
Harus kubuktikan rasa
Kasih yang meruntun di jiwa
Rindu yang sentiasa berbunga
Hanya dengan kuasa doa-Nya
Yang tidak kucicir dari jiwa
Aku, hanya sekerdil insan
dan Dialah segala Kebesaran
Semoga cinta ini diizin berterusan
dengan satu kesatuan
Yang bertahan dengan tebal cinta-Nya
Bersama kekal dalam redha-Nya
Ameen, Ya Robbal Alamin"~

 

Monday, April 16, 2012

42 Kelebihan Bersolawat ke atas Nabi Muhammad SAW


Al-Sheikh Abdul Kadir Al-Jelani Al-Hasani,Quddisa sirruhu menyatakan tentang kelebihan berselawat ke atas Nabi Muhammad s.a.w. di dalam kitabnya al-Safinah al-Qadiriyyah. Beliau meriwayatkan daripada Ibnu Farhun berkata: Berselawat kepada Nabi Muhammad s.a.w. itu mempunyai empat puluh dua kelebihan.Hal ini tertulis di dalam kitabnya ‘Hadaiq al-Anwar’:-


1 -Perintah Allah yang kita laksanakan.

2 -Bersamaan dengan selawat Allah kepada Rasulullah s.a.w.

3- Bersamaan dengan selawat para malaikat.

4 -Mendapat ganjaran sepuluh kali selawat daripada Allah atas setiap kali selawat yang diucapkan (selawat daripada Allah bererti rahmat).

5 -Dikurniakan oleh Allah sepuluh darjat atas tiap-tiap satu selawat.

6- Dituliskan oleh malaikat sepuluh kebaikan atas setiap selawat.

7 -Dihapuskan oleh Allah sepuluh kejahatan atas setiap selawat

8 -Segala doa akan diperkenankan oleh Allah.

9 -Mendapat syafaat daripada Rasulullah s.a.w.

10 -Mendapat keampunan Allah serta akan ditutup segala keaiban.

11- Allah akan menutupi segala dukacita.

12 -Dikurniakan maqam hampir kepada Rasulullah s.a.w.

13 -Mendapat darjat al-Sidq.

14 -Ditunaikan segala hajat.

15- Salam sejahtera pada hari kiamat.

16 -Allah dan para malaikat akan berselawat ke atas individu yang berselawat.

17- Mendapat khabar gembira daripada Allah dengan balasan syurga.

18 -Salam sejahtera pada huru-hara hari kiamat.

19 -Rasulullah s..a.w. akan menjawab secara langsung ke atas setiap selawat yang dibacakan.

20- Mudah mengingat semula perkara-perkara yang lupa.

21 -Mendapat kedudukan yang baik pada hari kiamat serta tidak akan kecewa pada hari itu.

22 -Tidak akan merasai fakir.

23 -Terpelihara daripada dihinggapi sifat bakhil.

24- Mendapat kesejahteraan daripada doa rasulullah s.a.w. kepada yang berselawat.

25 -Selawat akan menjemput setiap pengucapanya ke jalan syurga.

26 -Menjauhkan seseorang itu daripada terlibat dalam majlis-majlis yang tidak disebut padanya nama Allah dan Rasul-Nya atau daripada majlis-majlis lagha.

27 -Berselawat menyempurnakan kalam pujian Allah apabila disebut (di dalam doa), maka akan disambut selepas itu dengan kalimah selawat ke atas Nabu Muhammad s.a.w.

28 -Selamat melintasi titian Sirat al-Mustaqim pada hari kiamat.

29 -Disambut oleh Allah pada hari kiamat dengan kata-kata pujian yang lunak.

30 -Mendapat balasan rahmat yang luas daripada Allah.

31 -Mendapat keberkatan daripada Allah.

32 -Mendapat kesempurnaan iman.

33 -Kasih dan cinta kepada Rasulullah s.a.w.

34 -Mendapat hidayah Allah dan dikurniakan hati yang sentiasa hidup mengingati Allah.

35- Setiap selawat yang dibaca akan dibentangkan dihadapan Rasulullah s.a.w. secara langsung.

36 -Teguh pendirian dengan kebenaran.

37 -Berselawat bererti kita menggunakan sebahagian hak-hak Rasulullah s.a.w. ke atas diri kita. Disamping itu ianya dianggap sebagai mensyukuri nikmat Allah yang mengurniakan dan mengutuskan Rasulullah s.a.w. kepada kita.

38- Berselawat juga bererti zikrullah, bersyukur serta mengikut segala nikmat yang dikurniakan oleh Allah.

39 -Berselawat bererti melengkapkan pengertian berdoa dan memohon kepada Allah, ke atas Rasulullah s.a.w. dan kepada diri sendiri.

40 -Antara kelebihan yang paling hebat kepada setiap individu ialah akan terjelma gambaran Rasulullah s.a.w. di dalam jiwanya.

41- Dikurniakan oleh Allah maqam seorang Syeikh dan Murabbi.

42 -Mendapat kebahagiaan, ketenangan hidup didunia dan akhirat.

Sunday, April 15, 2012

"Facebook"



"Facebook" atau "Muka buku" adalah sumber wacana hangat dunia yang berjaya memancing pelbagai aktiviti di dalamnya. Bagus sekali akal si pereka dan pencipta muka buku ini. Hebat sekali Allah SWT yang telah mengurniakan akal kepada manusia yang mampu memperhebatkan kehidupan manusia. Subhanallah. Alhamdulillah, walau mungkin kita hanya meminjam idea baik ini untuk diguna-pakai bagi apa-apa tujuan yang kita inginkan, bilamana kebaikan yang kita pilih, maka kebaikanlah yang kita kecapi.

Ramai ahli perniagaan yang berjaya dengan muka buku.
Pencetus silaturrahim yang berangkai-tali juga melalui itu.
Ilmu, ilham dan idea-idea yang cantik, kemas dan baik juga cepat kita perolehi melalui muka buku.

Apa jua teknologi yang melewati kita sebagai peluang untuk kita melahirkan kebaikan, tidak salah kita gapai dan guna. Asal saja ia tidak melanggar syariat. Tidak kiralah ia daripada siapa, bagaimana ia direka dan kenapa ia dicipta, keperluan pertama yang kita perlu hadapankan adalah minda, niat, sikap dan cara kita menerima sebarang perkara.

Jangan sampai..
Masa terabai
Keluarga dilalai
Diri menjadi cuai
Hidup tergadai
Hati berderai
Jiwa berkecai
Agama lunyai

Di dalam apa jua hal di dalam kehidupan kita, ilmu adalah keperluan UTAMA. Menggunakan muka buku juga memerlukan ilmu. Keburukan akan berlaku kepada tiap perkara yang kita guna apabila kita tidak berilmu. Kerana itu, golongan remaja perlu dipantau kerana mereka masih belum bersedia menangkis kebangkitan teknologi tanpa kematangan dan ilmu. Kebanyakan dari keterlanjuran khilaf dan salah berpunca dari cangkat ilmu dan lebih banyak menggunakan perasaan yang bergelora dengan rasa ingin tahu dan ingin 'bahagia' dengan serta-merta sahaja

Bukan sahaja remaja, malah kadang-kadang insan dewasa seperti kita juga gagal mengawal perasaan kita sendiri. Ketahanan jiwa manusia ada pasang surutnya. Kekadang jatuh ke lembah kerana kalah dengan tekanan. Keseimbangan jiwa yang lemah mewujudkan banyak perkara yang lemah. Terutama di dalam pencapaian fikiran. Fikiran kita sering kali salah menyangkal maksud sesuatu keadaan. Perlu kita ingatkan diri selalu bahawa tidak semua perkara berlaku mengikut apa yang kita rasa. Tidak semua perkara yang kita sangka benar itu adalah benar.

Berhati-hatilah, namun janganlah membawa hati sehingga usaha kita menjadi terhenti dan mati.
Wallahua'lam..

Salam kasih kerana Allah.
Senyumlah..

~"Bijak belum tentu beriman ; Alim belum tentu ulamak."~

~" Satu kata yang di bawa, sepuluh makna yang dicipta. Itulah sangka."~

Kepercayaan


Kepercayaan
Tidak mudah dimiliki
Tidak senang untuk di cari

Kepercayaan
Datang dengan iman
Utuh dengan hati

Kepercayaan
Di hulur dengan ikhlas
Di terima tanpa kilas

Kepercayaan
Tanpa izin ia bertapak
Tak mungkin jelas ia ternampak


Secawan Kopi


Bissmillahirrahmanirrahim..Assalamulaikum..
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.
Dengan kasih Rasulullah SAW yang memberikan Nur sepanjang zaman. Alhamdulillah..

Selamat pagi dengan senyuman. Semoga hari ini terbina satu lagi titik awal ke arah mentarbiahkan diri menjadi sesempurna insan yang dikehendaki Ilahi. InsyaAllah. Ameen.. Ameen.. Ameen Ya Robbal a'lamin.

Sekadar menjamah halaman dengan sedikit tulisan pagi. Walau sedikit atau sekecil tulisan, namun mungkin yang sedikit itulah dapat menjanakan kehangatan semangat di hati sendiri atau di hati yang lain. Jalan kerahmatan Allah terdapat di dalam banyak perkara yang tidak pernah kita jangka.

Pagi ini, indah. Raz meneguk secawan kopi. Belumpun sisipan itu habis ditelan, Raz merenung cawan tersebut. Memerhati dengan diam dan tenang.

Secawan kopi yang mengajarkan Raz bahawa kehidupan kita ini ibarat secawan kopi. Di dalamnya adalah kemanisan hidup kita yang sedikit cuma. Kita kacau, sebatikan gula mengikut rasa yang kita ingin, lalu kita minum dan ia pun habis! Ya begitulah.. Kehidupan kita seharian akan habis dan bermula lagi.
Jika Allah mengizinkan nafas kita kembali.

Raz tersenyum.. Buatkan diri sendiri secawan kopi yang paling baik dan enak untuk hari ini. Jangan terlalu manis na..

Salam kasih kerana Allah.
Moga setiap usaha dirahmati-Nya sentiasa. Ameen.

Saturday, April 14, 2012

Cintakah Dia Padaku?



Insan yang di cintai Allah ialah...

Dia...
Yang hatinya disalut taqwa kepada Allah
Yang jiwanya penuh penghayatan terhadap Islam
Yang sentiasa haus dengan ilmu pengetahuan
Yang sentiasa mencari kebaikan dan pahala untuk akhirat
Yang solatnya maruah dirinya
Yang tidak pernah takut untuk berkata benar
Yang tidak pernah gentar untuk melawan nafsu
Yang sentiasa bersama kumpulan orang orang berjuang di jalan Allah

Dia...
Yang menjaga tutur katanya
Yang tidak bermegah dengan ilmu yang dimilikinya
Yang sentiasa berbuat kebajikan kerana sifatnya yang penyayang
Yang mempunyai ramai kawan
dan tidak mempunyai musuh yang bersifat jembalang

Dia..
Insan yang menghormati ibu bapanya
Yang sentiasa berbakti kepada kedua orang tuanya dan keluarga
Yang bakal menjaga kerukunan rumahtangganya
Yang akan mendidik isteri/suami dan anak-anak mendalami islam
Yang mengamalkan hidup penuh sederhana
kerana dunia baginya adalah rumah sementara menuju akhirat

Dia...
Yang sentiasa bersedia untuk menjadi insan yang penuh bertaqwa
Yang hidup dibawah naungan Al Quran dan mencontohi sahabiyyat…
Yang boleh diajak berbincang dan berbicara
Yang menjaga matanya dari berbelanja yang sia-sia
Yang sujudnya penuh kesyukuran dengan rahmat Allah keatasnya

Dia..
Dia tidak pernah membazirkan masa
Matanya kepenatan kerana penat membaca sirah serta kalam Allah
Suaranya lesu kerana penat menghafal serta mengaji dan berzikir
Tidurnya lena dengan cahaya keimanan yang menenangkan
Bangunnya subuh penuh kecergasan serta keazaman
Kerana sehari lagi usianya bertambah penuh kematangan

Dia...
Dia sentiasa mengingati mati
Yang baginya hidup di dunia adalah ladang akhirat semata
Yang mana buah kehidupan itu perlu dibaja dan dijaga
Agar berputik tunas yang bakal menjadi baka yang baik
Meneruskan perjuangan Islam sebelum hari kemudian

Dia...
Yang tidak terpesona dengan buaian dunia
Kerana dia mengimpikan syurga
Di situlah rumah idamannya
Dan dia ingin membawa keluarga dan sahabatnya bersama
Dialah Insan yang di pimpin oleh Allah agar dia lebih dekat dengan-Nya

Thursday, April 12, 2012

Tetapkanlah Hati, Teruslah Jernih



Bissmillahirrahmanirrahim..
Assalamulaikum..

Di dalam keadaan apabila kita cuba berbuat kebaikan dengan niat yang jujur, tulus dan ikhlas pastinya kebaikan kita itu akan ditimbang dengan dugaan. Itulah panahan syaitan yang mencemburui usaha kita ke arah Allah Subhanahuwata'ala.

Ketika melalui kegetiran usikkan syaitan itu, bersabarlah.. jangan takut. Kukuhkanlah ketebalan hati mendukung kekuatan iman itu tanpa menyerah kalah. Sebutlah Allah!Allah!Allah! Usirlah bisikan syaitan itu dengan memohon perlindungan Ilahi. Segerakanlah ucapan A'uzubillahiminashaitonirrajiim di hati lalu bertahanlah.

Walau kebaikan yang ingin kita lakukan diuji dengan runcingnya penderitaan, makin rebah di lembah kehancuran, tetapkanlah keyakinan kepada Allah dan berdoalah tanpa putus,

"Ya Robb, tolonglah aku hamba kerdil-Mu. Aku tidak berdaya tanpa kasih dan bantuan-Mu.."

Sesungguhnya kekuatan Allah akan menghancurkan segala kekuatan yang lain seandainya kita istiqamah, percaya dan membulatkan hati bertawakkal di atas segala usaha baik yang kita lakukan tanpa menoleh lagi. Bertongkatlah di atas mimbar jiwa yang waja. Peganglah dengan jemari-jemari besi yang kuat dan tamparlah jauh semua kelemahan yang menjerut diri ke kancah kemusnahan. Tetapkanlah hati itu, bersihkanlah ia jernih mengharap hanya kepada Ilahi. Tiada rugi.

Bilamana kita berjaya melalui segalanya, Subhanallah.. Subhanallah.. Subhanallah.. Mungkin ganjaran Allah itu tidak terlihat dek mata kasar kita ini, namun nikmat dan kebahagiaan yang kita kecapi pesonanya mencecah ukhrawi. Ameen Ya Robbal 'alamin.

Biar setinggi mana ombak DUGAAN melanda
Biar seganas mana badai MASALAH menghempas
Tanamkanlah sauh KETETAPAN IMAN Agar tidak berganjak HALUAN...
"Laa ilaha illallah, Muhammadar Rasulullah, fi kulli lamhatin, wa nafasin, 'adadama wasii 'ahu ilmullah".

Salam kasih kerana Allah.

"Disepanjang tapak-tapak bertatih
Menggagahi hidup yang jerih
Terkadang onak dan duri terpaksa dipilih
Merangkak di jalan guris dan letih
Menelan walau racun mendidih
Melawan hentakkan ujian yang bertindih
Setia, jujur, ikhlas, kasih tidak beralih
Sekalipun segalanya diusik pedih
Allah menguji kerana kasih
Siapakah diri untuk berdalih
Tetapkanlah hati, teruslah jernih"

Sunday, April 8, 2012

Disukai atau Dibenci


Tidak lagi
ku simpan memori
Sarat kisah beban dan luka
yang silam hanya kenangan
mengajarkan aku mengelat dusta dan dendam
Disukai atau dibenci
Dipujuk atau dikeji
Kubatukan hati
Keras menjadi permata
Pejam dan diam
Si pemberi hidupku adalah Tuhan
Aku hanya hamba penerima
Hidup didukung Lillahita'ala..

La hawlawala quwwataillabillah...
Kepada-Nya aku berserah



"Apabila menusia itu meninggalkan suruhan-suruhan Allah, suramlah cahaya iman daripada hati mereka. Demikianlah juga apabila mereka memilih jalan-jalan kesesatan, maka Allah sesatkan hati-hati mereka." (Imam an-Nasafi)

"Segala Rahsia Tentang Wanita"



Seorang lelaki terlalu penat dengan tingkah isterinya. Dia letih dengan kerenah yang pelbagai. Sudah lama mereka berumah-tangga, namun semakin hari semakin dia tidak faham dengan sikap isterinya yang asyik berubah-ubah. Dia jadi pening. Kadang-kadang, dia cukup malas untuk melayani. Fikirnya, ia cukup membosankan. Apatah lagi ketika isterinya merajuk. Susah benar untuk dipujuk. Bila dipujuk pula, semakin menjadi-jadi rajuknya. Semakin mengada-ngada pula dirasakannya. Sehingga pada suatu hari, dia menemui seorang sahabat.

"Raz (bukan watak sebenar), kau mesti lebih tahu tentang diri wanita, kan? Kenapa susah sangat nak faham karektor deorang na? Aku peningla dengan orang perempuan ni kan. Susah betul nak faham perangai dia tau! Kau ada tips tak macam mana nak kenal dengan perangai perempuan nih?"

Sahabat tadi terdiam seketika. Seperti memikirkan sesuatu. Kemudian, dia tersenyum dan menjawab,

"Aku faham, bertenang dan bersabarlah, ya. Aku ada sebuah nota tentang Segala Rahsia Wanita. Kalau engkau mahu, bolehlah aku berikannya esok?"

"Owhh?!! Iya ka? Bolehlah. Kau bagilah pada aku. Mana tahu boleh tolong selesaikan masalah aku ni."

Keesokkan harinya mereka berjumpa. Sahabat itu memberikan dia sebuah nota kecil yang berbalut cantik. Dibukanya mukasurat pertama. Ada tertulis, "Segala Rahsia Tentang Wanita". Tulisan berseni Italic yang cantik. Kemudian, diselaknya helaian kedua. "Kosong!". Tiada lagi apa-apa yang tertulis. Dia kehairanan. Terus diselak-selak helaian yang seterusnya. Juga tiada apa-apa yang tertulis, melainkan kosong juga. Sehingga ke helaian terakhir, tercatat sebuah kata-kata yang membuatkan hatinya terkedu...

"Wahai lelaki yang budiman, tidak perlulah cuba memahami wanita. Cukuplah sekadar terus mencintainya seikhlas rasa di jiwa. Terimalah wanitamu seadanya. Bimbing mereka sedaya upaya. Ikutlah panduan Rasulullah SAW. Selagi dia merasai cintamu, selagi itulah dia akan setia mentaatimu"


Fikir-fikirlah ya..Wallhua'lam.
Salam kasih kerana Allah Ta'ala.

Saturday, April 7, 2012

Rindukah Dia Padaku?



"Aku rindu padanya, adakah dia rindu padaku?"

Raz percaya, semua orang mempunyai perasaan sebegini dan pernah bertanya soalan ini pada diri sendiri. Jangan menipu diri ya? Tak baik.. Perasaan kita adalah milik kita. Tidak perlu kita berpura-pura. Kononnya kita tidak pernah rindu sesiapa. Rindu adalah anugerah-Nya juga. Jika rindu itu tidak tertakdir oleh-Nya sebagai satu perkara yang baik, kenapa Allah SWT hadirkan ia di dalam perasaan manusia?

Allah jadikan ia salah satu naluri insan. Ia adalah fitrah. Ia adalah keperluan. Kita tidak pernah meminta rindu. Namun kita diberi. Rindu adalah pemberian Ilahi. Sentuhan bahasa hati yang murni.

Cuma, setiap apa jua pemberian Ilahi yang diberi kepada kita perlu diguna dengan cara yang tidak melampau. Bijak dan bersederhana. Sepertimana apabila kita sakit, dan kita makan berlebihan ubat, itu akan membawa mudarat. Begitulah rindu. Rindu juga perlu berada di dalam kawalan agar tidak keterlaluan.

Allah rindu hamba-Nya untuk merindui-Nya. Namun Allah tidak menyuruh hamba-Nya terperuk dan termenung tanpa melakukan usaha-usaha lain di dunia ini hanya kerana kita mahu merindukan-Nya. Allah lebih mencintai kita yang bijak menyeimbangkan segala pemberian-Nya. Tidak di dalam ketaksuban dan melalaikan. Samalah apabila kita merindui sesama kita. Rindu adalah salah satu sentuhan 'silaturrahim'. Rindu adalah salam hati dari batin.

Allah ciptakan segala-Nya bersama-sama landas-landasnya. Allah sertakan pada manusia itu hati, akal dan jiwa. Allah uji kita melalui hati, akal dan jiwa juga. Allah selalu sebut, "Bagi mereka yang mahu memikirkannya". Jadi, fikirkanlah..

Andai rindu menghiris kalbu
Usah terbawa pedih dan sakit
Tadahkan tangan, serahkan perasaan
Bukan kepada insan, namun kepada Tuhan
Berdoalah.. selitkan rindumu di situ
Allah mendengar rasa hatimu
Allah tahu kelemahanmu
Allah mengerti desah resahmu
Sampaikan kepada-Nya setiap rasa
Gendang hati akan diketuk, irama akan bersambut
InsyaAllah, dua jiwa akan bertaut
"Ya Robbana, sungguh hati ini ada rindu padanya. Ampunkan aku jika murka yang kubawa. Aku kerdil dan lemah. Kuserahkan rasa ini kepada-Mu. Izinkanlah ia disentuh dengan keredhaan dan keberkatan-Mu. Ameen Ya Robbal Alamin."

"Sabar dan solatlah!"
Inilah kunci yang mampu membuka banyak pintu.
Subhanallah
Alhamdulillah
Lailahaillallah Muhammadurrasulullah...
Allhuakhbar !

Pedapkan hati, lidah dan akal. Ingatlah kepada Allah selalu dan Allah akan membuatkan seluruh makhluk mengingatimu, merinduimu. InsyaAllah. Ameen.

Salam kasih Lillahita'ala.


"RaZzie RazZmatazz"

Friday, April 6, 2012

Warna itu Adalah Warnamu



Malam yang sepi dan harum.
Sabtu, tujuh April di tahun dua ribu dua belas.
Apa khabarmu hari ini? Moga sihat dan terus di bawah payung perlindungan dan kasih sayang Allah SWT. Ameen.

Kehidupan adalah gumpalan-gumpalan pengalaman yang indah. Walaupun pengalaman sering diselang-selikan kepahitan dan penderitaan, sebenarnya itulah yang membina kemanusiaan dan kehidupan. Pejam mata, tariklah nafas perlahan-lahan, hentikan ia seketika. Kosongkan minda lalu hembuslah nafas sepanjang-panjangnya. Kembalikan akal pada logikanya dan satukanlah dengan hati yang hidup. InsyaAllah, bagi kita yang benar-benar berfikir dan menyelami dengan hati.. kita akan merasakan warna-warna hidup kita yang sebenar.

Jika hari ini, kita merasakan hidup kita tidak berwarna.. tunggu apa lagi? Silakanlah warnakan ia mengikut pilihan yang kita rasa kita mahu dan mampu. Namun ingat, pilihlah warna-warna yang paling baik dan cantik yang dapat bertahan lama tanpa dimamah cuaca dan masa. Jangan memilih warna yang cepat pudarnya lalu lusuh meniti usia.

Alhamdulillah...Warna itu adalah warnamu.

Selamat malam, salam kasih kerana Allah dengan senyuman yang berwarna-warni.

"Razzie Razzmatazz."

Bertahanlah





~"Bismillahirrahmanirrahim
Seandainya ada kekuatan yang patah,bertongkatlah kerana Allah
DIA Mengerti bagaimana mahu merawatmu
Seandainya ada kecewa dan gundah,kembalikan ia kepada Allah
Dia Memahami bagaimana hatimu
Bukankah DIA yang selama ini bersamamu?"~


~"Walau mungkin sekilas cuma
Doa itu sejernih permata
Semakin diulang semakin bercahaya
Bersayapkan tebaran kasih
dari qalbu yang suci bersih
Jikapun jalan ditambuni sembilu
bertandang ujian beribu liku
Berdoalah selalu, senjatamu di situ
Jika benar kasihmu sejati
tidak hanya salutan ilusi
Sudah tentu ia akan terus diuji"~