Salam kasih Kerana Allah

Salam kasih Kerana Allah
Assalamualaikum wbt - Sekadar Berkongsi Ilham dan Pengalaman

Monday, April 30, 2012

Bukti Sebuah Perasaan

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum.
Kasih-sayang Allah itu di mana-mana. Mudah-mudahan kita semua sentiasa dinaungi cinta dan kasih-Nya. Ameen.
Hari ini adalah hari terakhir bagi bulan April di tahun 2012. Tidak ada entri yang menarik untuk Raz memotivasikan diri.
Janggal pula bila ia dibiarkan sepi. Jadi Raz selitkan sekeping puisi tulisan hati sambil tersenyum berseri.

 
Puisi ini mempunyai cerita hidup seseorang. Berkisar tentang harapan di dalam membuktikan perasaan sejati sebuah cinta. Ramai yang memiliki cinta. Benar, dua jiwa mungkin telah bersatu menjadi satu namun untuk membuktikan perasaan itu sesamanya masih tetap akan diusik pelbagai ujian terhadap ketahanan hati.

 
Oleh kerana kita tidak dapat membaca perasaan manusia dan bagaimana kukuhnya sesuatu perasaan itu, kita tidak dapat membuktikan sesuatu perasaan apa pun di dalam satu perhubungan seandainya tiada keyakinan, kepercayaan dan usaha.
Kekadang, dek kerana terlalu berusaha untuk membuktikan rasa kita itu benar, kita mula dihantui pelbagai getaran sangka. Situasi begitu akan mempengaruhi jiwa kita untuk diikat rasa getir dan tersiksa.

 
Akhirnya, kita akan dirosakkan oleh rasa hampa, rendah diri dan kerdil.
Jadi, bagaimana caranya untuk kita mengembalikan cinta itu agar tertegak di atas landas ketenangannya, tanpa takut ditunjah kecewa??

 
  1. Semangat - Jadikan diri seperti akar kayu yang kuat. Boleh dibengkokkan tetapi tidak dapat dipatahkan.
  2. Ikhlas- Jika kita benar-benar ikhlas dalam memberikan apa jua pun, baik memberikan cinta.. keikhlasan itu akan terpantul kembali jua. Kebaikan akan dibalas dengan kebaikan. InsyaAllah.
  3. Kembalikan segala rasa itu kepada ALLAH-  Kita tidak memiliki sebarang kuasa untuk mengubah sesuatu. Allah jualah yang memiliki segalanya. Yakin akan doa kita. Yakin pada ketetapan Allah. Yakin bahawa bilamana kita mendahulukan cinta Allah maka Allah akan memberikan apa saja cinta yang kita perlukan.
  4. Sabar, Solat, usaha dan berdoa - Jujurkan diri terhadap kesabaran, solat dan doa setelah berusaha. Tawakkal dan sujudlah tanpa jemu kepada-Nya. Sesungguhnya kita ini bukan sesiapa tanpa Allah SWT.

 
Tulisan ini sekadar pendapat Raz. Selebihnya hanya kepada Allah sahaja diserahkan kebenarannya. Tidak ada apa-apa yang dapat menghakimkan kebenaran sebuah perasaan hati kecuali ia diperhatikan oleh Allah Ta'ala. Tiada kebenaran dapat dibuktikan tanpa setulus kejujuran, kepercayaan dan keikhlasan kerana Allah.

 
Wallhua'lam..
Salam kasih Seluas Sayang.

 
~"Dengan apa..
Harus kubuktikan rasa
Kasih yang meruntun di jiwa
Rindu yang sentiasa berbunga
Hanya dengan kuasa doa-Nya
Yang tidak kucicir dari jiwa
Aku, hanya sekerdil insan
dan Dialah segala Kebesaran
Semoga cinta ini diizin berterusan
dengan satu kesatuan
Yang bertahan dengan tebal cinta-Nya
Bersama kekal dalam redha-Nya
Ameen, Ya Robbal Alamin"~