Salam kasih Kerana Allah
Sunday, April 15, 2012
"Facebook"
"Facebook" atau "Muka buku" adalah sumber wacana hangat dunia yang berjaya memancing pelbagai aktiviti di dalamnya. Bagus sekali akal si pereka dan pencipta muka buku ini. Hebat sekali Allah SWT yang telah mengurniakan akal kepada manusia yang mampu memperhebatkan kehidupan manusia. Subhanallah. Alhamdulillah, walau mungkin kita hanya meminjam idea baik ini untuk diguna-pakai bagi apa-apa tujuan yang kita inginkan, bilamana kebaikan yang kita pilih, maka kebaikanlah yang kita kecapi.
Ramai ahli perniagaan yang berjaya dengan muka buku.
Pencetus silaturrahim yang berangkai-tali juga melalui itu.
Ilmu, ilham dan idea-idea yang cantik, kemas dan baik juga cepat kita perolehi melalui muka buku.
Apa jua teknologi yang melewati kita sebagai peluang untuk kita melahirkan kebaikan, tidak salah kita gapai dan guna. Asal saja ia tidak melanggar syariat. Tidak kiralah ia daripada siapa, bagaimana ia direka dan kenapa ia dicipta, keperluan pertama yang kita perlu hadapankan adalah minda, niat, sikap dan cara kita menerima sebarang perkara.
Jangan sampai..
Masa terabai
Keluarga dilalai
Diri menjadi cuai
Hidup tergadai
Hati berderai
Jiwa berkecai
Agama lunyai
Di dalam apa jua hal di dalam kehidupan kita, ilmu adalah keperluan UTAMA. Menggunakan muka buku juga memerlukan ilmu. Keburukan akan berlaku kepada tiap perkara yang kita guna apabila kita tidak berilmu. Kerana itu, golongan remaja perlu dipantau kerana mereka masih belum bersedia menangkis kebangkitan teknologi tanpa kematangan dan ilmu. Kebanyakan dari keterlanjuran khilaf dan salah berpunca dari cangkat ilmu dan lebih banyak menggunakan perasaan yang bergelora dengan rasa ingin tahu dan ingin 'bahagia' dengan serta-merta sahaja
Bukan sahaja remaja, malah kadang-kadang insan dewasa seperti kita juga gagal mengawal perasaan kita sendiri. Ketahanan jiwa manusia ada pasang surutnya. Kekadang jatuh ke lembah kerana kalah dengan tekanan. Keseimbangan jiwa yang lemah mewujudkan banyak perkara yang lemah. Terutama di dalam pencapaian fikiran. Fikiran kita sering kali salah menyangkal maksud sesuatu keadaan. Perlu kita ingatkan diri selalu bahawa tidak semua perkara berlaku mengikut apa yang kita rasa. Tidak semua perkara yang kita sangka benar itu adalah benar.
Berhati-hatilah, namun janganlah membawa hati sehingga usaha kita menjadi terhenti dan mati.
Wallahua'lam..
Salam kasih kerana Allah.
Senyumlah..
~"Bijak belum tentu beriman ; Alim belum tentu ulamak."~
~" Satu kata yang di bawa, sepuluh makna yang dicipta. Itulah sangka."~