Salam kasih Kerana Allah

Salam kasih Kerana Allah
Assalamualaikum wbt - Sekadar Berkongsi Ilham dan Pengalaman

Sunday, February 24, 2013

Taman Hati Yang Subur


Bissmillahirrahmanirrahim...
Jadikanlah hati kita bagaikan taman yang tertanam di dalamnya pohon-pohon subur yang berbunga dengan warna-warni keikhlasan yang mengharumkan keteguhan dan kesabaran menghadapi segala kalut-malut rintangan di setiap sudut situasi.

Walau mungkin ada pengkhianatan, kecurangan atau kekecewaan yang terpaksa hati itu terima, izinkanlah hati itu bertahan dengan membuka denai lapang yang luas bagi meloloskan suluhan mentari tulus menyuburkan seluruh tanah rasa dan sangka dengan benih-benih kebaikan.

Binalah ruang duduk yang tenang dan santai di tamannya supaya hati itu dapat menerima 'pandangan' Allah yang telah menganugerahkan hati tersebut. Dia-Lah yang menciptakan hati itu. Seketul daging yang diciptakan untuk dijaga sebaiknya, bukan untuk dizalimi atau dirosakkan.


Elakkan daripada menyumbatkan ke dalam hati itu pohon-pohon kering berdurikan kebencian, hasad, kejahatan atau racun mazmumah yang tidak membuahkan apa-apa kemurnian baik kepada rendang akal dan peribadi. Pohon-pohon sedemikian hanya akan dijadikan bahan bakaran api. Habisnya hanya meninggalkan debu pilu yang merawankan.

Bilamana hati itu sakit, ubatkanlah ia dengan baja-baja ketaqwaan. Carilah kebenaran di dalam sentuhan "Din" yakni Agama Allah. Janganlah dicari dari bicara-bicara rosak lagi merosakkan. Sesungguhnya kata-kata yang meyakinkan dan dapat menyentuh hati hanya terdapat dari Al-Qur'an dan Sunnah Rasulullah s.a.w. Kerana apa yang keluar daripada kalam keduanya itu semuanya adalah kebenaran yang tidak tersangkal. Selidikilah dengan apa cara sekalipun untuk tidak membenarkannya, ia adalah kepercayaan yang sebenar-sebenarnya yang terang-terangan dapat mengubat hati. Manusia mudah saja menipu, tetapi tidak satupun terdapat penipuan di dalam bicara Al-Qur'an dan Sunnah.

Hati akan lebih sakit jika kita mencari yang lain selain daripada ALLAH. Percayalah!

Wallahua'lam.


~Raz.R~

Salam kasih setulus senyuman dari taman hati
Moga segalanya diredhai Ilahi. Ameen.
Jaga hati. Bila hati sihat, akhlak pun akan sihat.

Sunday, February 17, 2013

Yang Tampan itu "Prince Charming" ?


Bissmillahirrahmanirrahim. Semoga apa yang tertulis dan apa yang dibaca diredhai Allah Ta'ala. Insya Allah. Amin.

Ada yang bertanya kepada Raz, "Orang perempuan ni suka pilih lelaki yang kacak sajakah untuk menjadi teman hidupnya?"
Raz tersenyum. Dalam fikiran terbayang soalan Raz sendiri yang pernah Raz tanyakan kepada diri sendiri. Cuma ia terbalik sedikit. Raz selalu ingat yang orang lelaki hanya suka memilih wanita-wanita cantik di dalam hidup mereka. Maklumlah, sedap mata memandang hatipun terjaga senang, kan? Senyum lagi.

"Handsome is in the eye of the beholder." 
Pepatah Inggeris ini menggambarkan kacak itu adalah abstrak.

Cantik atau kacak itu anugerah Allah. Bagi Raz ia bukanlah pandangan mata, tetapi pandangan hati. Yang tampan macam Shah Rukh Khan atau Anuar Zain yang digilai ramai itu tidaklah menepati kehendak KACAK yang sesetengahnya menganggap 'Prince Charming'. Itu semua hanya sekilas mata memandang. Mungkin sudah tahu jantan atau betina tetapi masih belum kacak atau cantik yang sebenar-benarnya tau!

Bagi kebanyakan wanita (Macam Raz), kacak itu timbul setelah kita mengenali hati budi. Hati budilah yang membuatkan aura kacak itu bergelombang keluar ke wajah. Kacak bagi wanita ialah setelah hatinya jatuh sayang. Ketika itulah timbulnya kacak. Jika pada masa tersebut semua orang memandang lelaki itu seperti hero tamil tetapi tak mustahil bagi wanita tersebut dia adalah Cristiano Ronaldo Dos Santos Aveiro. (Siapa itu? Senyum. Entah! Raz pun tidak tahu siapa. Hantam saja.)

Jadi, para lelaki yang merasakan diri mereka tidak kacak, anda semua tidak seharusnya bimbang bagaimana kekacakkan anda sebab di mata seseorang yang menyayangi anda, anda adalah lelaki yang paling kacak. Yang paling perlu anda pastikan untuk orang yang anda minati atau sayangi adalah kebersihan diri dan hati. Insya Allah, ia akan membuatkan anda menjadi budiman. Akhlak dirilah yang paling mencerminkan kebudimanan dan kekacakkan seorang lelaki. Jagalah akhlak sebaiknya.

Sebenarnya, Insya Allah wanita pun sama juga. Terdidik akhlaknya maka tersimpanlah kecantikannya yang tiada tara. Cantik pada wajah dan fizikal tubuh hanya pinjaman sementara. Ia hanya menguji iman manusia.

Wallhua'lam.

Tulus senyum dari Raz.R
Jaga diri, ingat Allah selalu.

Monday, February 11, 2013

Di dalam Bisu Wanita

Bismillahirrahmanirrahim..

Tiada seorang pun wanita dewasa itu tidak mempunyai impian di dalam hidupnya.
Tiada juga dari wanita itu tidak mengharapkan hidupnya tidak terbela.

Tidak juga mereka menginginkan kehidupan mereka digugat tohmah dan fitnah.
Mereka miliki cita-cita yang terbuku tetapi senyap kerana malu
Mereka punya hasrat tetapi tersembunyi senyap kerana menjaga harga dan adab
Mereka tidak mampu bersuara memecah dunia kerana mereka masih dipandang tiada hak berkata.


~Raz.R~
11.02.2013
Senyum dan Senyap

Sunday, February 10, 2013

Kaedah CINTA

Cinta tidak salah, jika haram dan halalnya mampu diawasi.






Raz tertarik dengan tulisan yang Raz petik dari 'wall facebook' Ustaz Nazri.
Kita renung-renungkan bersama ya. Moga penulisnya dirahmati Allah dan yang membaca turut mendapat hidayah. Ameen. Sesungguhnya ilmu Allah itu Maha luas.
Katanya:



"Kalau ditanyakan tentang kaedah bercinta sebelum berkahwin yang tepat dan betul, jawapannya adalah tidak ada.

Sampai ke hari ini, saya sejujurnya belum menemui apa jua kaedah bercinta sebelum berkahwin yang benar-be
nar terperinci seperti kaedah solat, cara berpuasa dan lain-lain hukum ibadah.

Ianya tak akan dibolehkan sebelum termeterainya tempoh halal sebuah ikatan antara lelaki dan permepuan melainkan melaui jalan pernikahan.Itu barulah bercinta namanya.

Bercinta sebelum berkahwin, semuanya bergantung kepada perhitungan akal dan kewarasan empunya nafsu untuk bertindak.
Ada manusia yang bercinta cuba menghalalkan apa jua cara asalkan dia dapat merasai sebuah percintaan, sehingga ada yang sanggup berselindung di sebalik nama Islam seperti ukhwah-fillah, nasihat-menasihati, dan lain-lain cara.

Bukan begitu jalannya, jika mahu bercinta sekalipun, janganlah sampai ‘mempahalakan’ sebuah dosa yang tidak sepatutnya.

Saya tidak nampak apa yang ada pada sebuah percintaan itu melainkan ianya wujud dan lebih realiti praktikalnya hanya terdapat di dalam sebuah perkahwinan sahaja, bahkan saya boleh katakan ia sebagai ibadah yang berpahala.

Percintaan boleh menjadi pahala jika garis-pandunya adalah ibadah.

Percintaan boleh berganti dosa jika ia bertitik-tolak daripada adat yang salah.


Pendek kata, cinta adalah suatu yang serius dan bermatlamat, Ia bukan suatu keseronokkan, kelalaian atau khayalan semata-mata.

Cinta adalah komitmen, tanggungjawab dan Amanah.

Mana mungkin orang yang bercinta tidak bertentangan mata, bertutur, saling-membalas rasa sayang atau perasaan hati, berpegangan tangan, berutusan mesej dan sebagainya.

Jika inilah yang ditafsirkan sebagai sebuah perlakuan dalam bercinta, ianya hanya dibenarkan selepas adanya ikatan yang sah dan halal.

Maka telah terbuktilah, tiada wujudnya istilah halal bercinta sebelum berkahwin.

Orang yang belum lagi ‘berpangkat’ halal, jangankan mahu berpegangan tangan atau bercinta, memandang muka pun sudah dilarang oleh ALLAH taala.

Selepas saja ALLAH taala menyatakan haramnya mendekati zina, kemudian DIA sekali lagi menyatakan kaedah menjauhi zina dan yang seumpama dengannya, apa kata-Nya:

‘Katakanlah kepada orang lelaki yang beriman, hendaklah mereka menahan (menundukkan) pandangannya dan memelihara kemaluannya, yang demikian itu lebih suci bagi mereka. Sesungguhnya ALLAH Maha Mengetahui apa yang mereka lakukan.

Dan Katakanlah kepada orang perempuan yang beriman, hendaklah mereka menahan (menundukkan) pandangannya dan memelihara kemaluan mereka…’-(Surah an-Nur ayat 30 & 31)

Begitulah jelasnya agama yang ingin memelihara manusia daripada terjerumus kepada perlakuan yang haram termasuklah dalam hal bercinta.

ISLAM itu tidak pernah melarang manusia untuk melunaskan fitrah mereka bahkan menggalakkannya tetapi memerlukan kepada jalan dan cara yang lebih terpimpin, jalan alternatifnya adalah melalui perkahwinan.

Di sana terdapat segala macam keseronokkan dan kelebihan yang akhirnya akan membuahkan kebahagiaan yang sebenar-benarnya.

Cinta tidak salah, jika haram dan halalnya mampu diawasi.
Nota kehidupan:
→(1): Insan yang selayaknya anda cintai selepas ALLAH dan Rasul-Nya adalah Ibu bapa dan isteri tercinta. Percayal
→ (2): Jangan terlalu cinta dan jangan terlalu benci. Kerana benci boleh bertukar sayang, dan cinta boleh berubah benci.Itu kata Nabi saw bukan kata-kata saya."
 
Semoga bermanfaat.
Salam kasih dengan senyuman.
Jaga diri, ingat Allah selalu.
Raz.R

Monday, February 4, 2013

Seseorang Yang Mencintaimu, Mengasihimu


 

Bissmillahirrahmanirrahim..
Al-Fatihah untuk baginda Rasulullah s.a.w tercinta, keluarga baginda serta para seluruh para syuhadah yang telah memperjuangkan agama Allah di bumi-Nya.
Al-Fatihah juga kepada kedua ibu-bapa Raz terkasih dan adik-adik tersayang serta seluruh rakan-taulan.

Dalam hidup ini, kita akan temui pelbagai manusia dengan acuan sikap yang berbeza, tetapi percayalah diantara ramai mereka, pasti ada yang mengasihi kita setulus hatinya. Mereka ini adalah 'jarang' ditemui kerana ia adalah anugerah Allah yang kadang-kadang tersembunyi bagai mutiara di dasar laut, terlindung bagai berlian di batu gunung. Dipertemukan dengan mereka adalah satu rahmah dari sebuah anugerah Allah Ta'ala.

 
Seseorang yang mencintai kamu...
Tidak berupaya memberi alasan, mengapa dia mencintaimu ...
Dia hanya tahu, di mata, di hatinya, kamulah satu-satunya ...

Seseorang yang mencintai kamu ...
Sebenarnya selalu membuatmu marah, gila, geram, 'stress' ...
Tapi ia tidak pernah tahu hal bodoh apa yang sudah dia lakukan,kerana semua yang ia lakukan adalah demi kebaikanmu ..

Seseorang yang mencintai kamu ....
J
arang memujimu ...
Tetapi di dalam hatinya, kamu adalah yang terbaik ...
Hanya itu yang dia tahu ...

Seseorang yang mencintai kamu ....
Akan marah atau mengeluh, ..
jika kamu tidak membalas pesannya atau telefonnya ...
kerana dia peduli, dan tidak ingin sesuatu terjadi padamu ...

Seseorang yang mencintai kamu ....
Hanya menjatuhkan air matanya di hadapanmu ...
Dan, ketika kamu cuba menghapus air matanya,
kamu telah menyentuh hatinya ...
Di mana hatinya selalu berdegup, berdenyut, bergetar untukmu ...
Mengenangmu, mengingatimu adalah indah...

Seseorang yang mencintai kamu ....
Akan mengingat setiap kata yang kamu ucapkan ...
Yang sengaja terucap, malah yang tidak tersengaja ...
Dan ia akan selalu menggunakan kata-kata itu, tepat pada waktunya..
Baginya kata-katamu nadi semangatnya!

Seseorang yang mencintai kamu ....
Tidak akan memberikan janji apapun dengan mudah ...
Kerana dia tidak mau mengingkari janjinya ...
Dia ingin kamu mempercayainya,
dan dia ingin memberikan hidup yang paling bahagia dan aman untukmu selamanya ...

Seseorang yang mencintai kamu ....
Mungkin terlupa mengingat tarikh-tarikh istimewa yg dirasakan penting bagimu, tetapi dia selalu akan mengingatimu sebagai yang istimewa sentiasa tidak kira bila waktunya. Di hatinya kamu sentiasa istimewa..

Seseorang yg mencintai kamu..
Meski sesuatu yang terkorban bagi dirinya, tidak akan dia berkira kerana dia tahu apa saja yang membahagiakanmu juga membahagiakan hatinya..

Seseorang yg mencintai kamu..
Tidak pernah menghapuskan namamu di dalam setiap doa2nya kerana padanya kebahagiaanmu di sisi Allah adalah paling utama.

Sangat bertuahlah kamu seandainya punya dia yg mencintai kamu sedemikian hebatnya.
Begitulah bagi seorang sahabat yg menyayangi sahabatnya.
Kekuranganmu, kesalahanmu atau kelebihanmu tidak akan memudarkan rasa kasihnya
 
Tulisan di atas sering membuatkan air mata Raz membasahi pipi. Terkesan dengan sesuatu di hati yang tidak dapat Raz wacanakan dengan perkataan.
Salam kasih untuk semua dengan senyum yang tersimpul mesra dari jiwa.
Semoga Allah merahmati kita semua dengan perlindungan, keberkatan dan cinta-Nya. Ameen. InsyaAllahi Ta'ala.

~Raz.R~
29.01.2013
♥..Se^__^nyum..♥