Salam kasih Kerana Allah

Salam kasih Kerana Allah
Assalamualaikum wbt - Sekadar Berkongsi Ilham dan Pengalaman

Tuesday, May 5, 2009

Orang Tua Kita



Bismillahirrahmanirrahim..
Segala puji-pujian bagi Allah Yang Maha Esa dan Rasulnya. Selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad s.a.w, para rasul dan para anbia”.

Lima hari berlalu dan saya masih dihujani rasa sayu yang teramat. Urusan hidup saya tidak langsung teratur seperti hari-hari biasa sebelumnya. Jantung saya sentiasa kecut dan kencang debarannya. Lena saya hilang nyenyaknya. Sering diganggu dan dibangkitkan oleh rasa gundah gulana. Akal saya tidak menentu. Saya tidak memikirkan apa pun yang lain kecuali ‘ayah’ dan Allah. Saya mengharapkan keajaiban dari doa. Saya menantikan jaya dari usaha gigih pihak hospital. Saya mengharapkan secebis kasih dari-Nya. Saya tahu, seorang hamba yang serba serbi kurang amalannya seperti saya tidak layak untuk meminta-minta yang lebih dari-Nya. Namun, untuk ayah tercinta… sesungguhnya ayah layak menerima keajaiban itu, InsyaAllah. Hanya Dia yang Maha Berkuasa dan Maha Tahu.

Hari ini adalah hari ke-enam ayah saya terlantar di sebuah hospital. Kata emak, ayah diberi pakej percutian hebat. Dia perlu berehat sambil dilayani para jururawat yang kecil molek dan comel belaka. Untuk menyejukkan hati kami sekeluarga. Entahlah…! Sekuat-kuat hati saya selama ini, inilah pertama kali saya mulai lemah. Saya mula goyah. Begitu dugaan yang saya terima sepanjang hidup saya, tidak terbanding dengan dugaan ini.
Melihat ayah yang lemah terlantar di katil putih dengan peralatan-peralatan perubatan buat saya rasa tidak berdaya. Keteguhan saya hangus bagai disambar kilat.
Melihatkan halaman rumah tanpa ayah berkebun membuatkan mata ini sepi berkaca. Mendengar suara yang garuk berceloteh tentang hebat-Nya agama Allah kini diam, membuatkan saya merasa teramat sunyi. Demi Allah, sesungguhnya selama ini saya amat beruntung kerana membesar bersama seorang ayah yang perkasa jiwanya. Satu-satunya hadiah yang amat sempurna dari Allah untuk saya dan keluarga. Hidup saya yang serba sederhana selama ini terasa amat lengkap dan sempurna dengan seorang ayah yang amat baik dan mulia sepertinya. Ya Allah! Ya Rahman ! Ya Rahim… ku merayu untuk terus melihat ayahku terus sihat dan dipanjangkan usia. Ya Rabb.. ku mohon untuk ayah terus disisiku sehingga aku mampu berdiri dengan ilmu-Mu. Sesungguhnya ayahlah pendorong aku untuk terus kuat dengan kekuatan-Mu.

“Eh.. Macamla saya seorang jer ada ayah ya?.. Hebat sangatkah ayah saya tu, kan?”

Mesti ada yang bersangka begitu apabila membaca coretan saya. Mungkin ada juga yang menganggap tulisan saya ini tidak perlu diwacanakan disini. Seolah sayalah yang mempunyai ayah yang terbaik. Orang lain tidak ada?.. He!He!He..
Bukanlah niat hati saya begitu. Tolaklah sangkaan itu jauh ke tepi. Niat saya sebenarnya hanya ingin memberitahu tentang kelemahan saya sebagai seorang anak. Mudah-mudahan cerita saya menjadi pengajaran bagi semua sahabat.

Di dalam kekalutan hidup seharian, saya sendiri kadang-kadang lupa tentang pengorbanan orang tua saya. Kadangkala, terlalu asyik dengan pengalaman harian yang membabitkan makhluk baharu yang lain. Justeru lupa makhluk dekat yang sedarah sedaging yang paling dekat dengan kita. Kita sering bertanya khabar tentang orang lain. Kita juga gembira bersenda-senda dengan orang lain. Sehingga di dalam keasyikan kita itu, kita alpa bahawa ada yang memerlukan mereka ditanya khabarnya dan mereka juga mahu ketawa dan tangis bersama kita. IBU BAPA.
Makhluk lain biasa datang dan pergi, patah dan tumbuh kembali. Berkelanalah di hati kerana ibu bapa, jika pergi, tumbuh dan patahnya tidak berganti walaupun kita mempunyai kuasa sakti.

Hari inilah, saya terasa sayu dan sedih lagi dengan kealpaan sendiri. Saya mahu mengajak “kita-kita” yang masih mempunyai orang tua agar menyambut mereka dengan kesabaran dan rela serta redha yang lapang dan besar. Biar buruk di mata, biar hati terasa kecewa dan luka, mereka MASIH dan TETAP orang tua kita. Sekalipun mereka telah tiada tetaplah memanjatkan doa dan menghargai kewujudan mereka. Hanya kerana adanya mereka maka kita ini berada di sini. Saya berdoa agar kita semua tidak memandang ringan dan terus dikurniakan kekuatan menghadapi sebarang dugaan terutama dari ibu bapa kita.
Jangan ganjakkan kesabaran itu jauh apabila terasa letih dengan sikap mereka sebab mereka dan kita adalah makhluk yang sama iaitu hamba Allah yang diselaputi dengan kesalahan dan dosa. Hamba Allah yang akan menjalani kiratan kehidupan yang InsyaAllah seakan dengan mereka.

Hari ini saya juga ingin memberikan setulus dan sebesar-besar terima kasih kepada mereka yang sentiasa bersama saya di saat kesusahan melanda. Terima kasih juga kepada mereka yang berkongsi keceriaan saya. Hadiah yang paling besar adalah doa yang ikhlas.
Sudilah menerima doa ikhlas saya ini, semoga Allah memberikan kebahagiaan yang sebenar-benarnya kepada kalian semua, sahabatku. Dan andai saya mempunyai musuh, ampunkanlah saya kiranya keadaan itu bermula dari sikap lemah saya dan moga Allah memberikan kita semua petunjuk-Nya bersama. Amin.

Waalahua’lam.

Ditulis dengan hati,
Raz.R