Salam kasih Kerana Allah

Salam kasih Kerana Allah
Assalamualaikum wbt - Sekadar Berkongsi Ilham dan Pengalaman

Sunday, January 29, 2012

Barat Telah Lama Mengkagumi Muslimah



Pengakuan pengkaji Barat tentang wanita bertudung.
Penulis Toronto Star bertarikh 23 Januari,2002. Beliau bernama R. Steven telah memberi pendapat yang menarik berhubung dengan etika pemakaian wanita Islam.

"Semasa saya dan rakan-rakan sedang makan malam di sebuah restoran, kami duduk bersebelahan dengan tiga orang wanita muda. Tiba-tiba masuklah dua orang wanita Islam dengan pakaian yang konservatif dan duduk bersebelahan dengan mereka.

Kami dapat mendengar ketiga-tiga wanita tadi berbisik-bisik sesama sendiri berhubung dengan kedua-dua wanita Islam tersebut, "Mengapa mereka berpakaian seperti itu? Saya bersimpati dengan mereka."

Ketiga-tiga wanita (Barat) itu akhirnya membayar bil dan terus beredar. Mereka memakai seluar ketat, skirt yang singkat, kasut bertumit tinggi, gincu yang tebal dan bahagian dada mereka didedahkan secara yang mengghairahkan.

Kami alihkan pandangan kami kepada kedua-dua wanita Islam tadi. Tudung mereka yang hitam menzahirkan peribadi mereka yang bersopan santun. Gaya mereka nampak asli. Pakaian mereka, walaupun konservatif, menampakkan sifat kewanitaan yang indah. Berpakian yang sopan menakutkan wanita Barat? Kenapa? Adakah mereka tidak mahu kehilangan hak menunjuk-nunjuk?

Selepas kami berbincang berkenaan isu ini, kami dapati wanita-wanita Islam berjaya membebaskan diri mereka daripada perangkap fesyen tanpa perlu menunjuk-nunjuk, bersaing dan berdiet bagi menarik perhatian kaum lelaki ataupun wanita. Kami dapati kedua-dua wanita Islam itu lebih menarik dibandingkan dengan ketiga-tiga wanita barat tadi.

Penonjolan seks di dalam masyarakat kita menjadi suatu budaya arus perdana sehingga kita menganggap adap dan sopan santun suatu kemunduran. Dalam konteks jangka panjang, apabila kaum lelaki melihat secara lebuh jauh, mengelak daripada memakai seluar ketat dan tumit tinggi, mereka dapati bukannya keyakinan diri sebaliknya perasaan terdesak mendapat perhatian (yang menyebabkan wanita Barat begitu gharah dengan fesyen).

Wanita yang mementingkan adap dan kesopanan tidak terperangkap dengan suasana yang memperdayakan ini. Mereka berbangga dengan apa yang mereka miliki. Ingatlah ini, apabila anda bersimpati dengan wanita-wanita Islam."

Subhanallah. Betapa Islam mengangkat martabat wanitanya ke tahap yang tinggi.


Raz.R
Senyumlah wanita Islam
29. Januari 2012

Monday, January 23, 2012

Dialog Luka Wanita : Jiwa Yang Takut




"Orang yang berjaya, tidak pernah mempunyai perasaan takut pada kegagalan. Bahkan kegagalan merupakan pelajaran terbaik baginya. Mereka tanamkan keyakinan yang bersifat positif. Mereka tidak mungkin berjaya seandainya perasaan takut pada kegagalan dibiarkan membayangi diri."

Su membaca madah kata yang tersusun menarik. Lafaznya boleh didengari telinga Raz. Cantik kata madah tersebut. Lalu dia renungi mata Raz dengan soalan...

"Kak Raz pernah rasa takut tak?"

Terbeliak anak mata Raz. Dia ketawa terkekeh. Nakal. Kemudian dia menyambung kata. Nadanya agak memilukan. Raz diam mendengar setiap tutur ceritanya.

"Su pernah sangat takut kak. Pengalaman membuatkan Su sangat terasa ngeri untuk meneruskan hidup ini. Kita boleh cakaplah, kita berani. Segalanya tidak akan apa-apa. Akan baik-baik sahaja. Bukankah kita sedang menipu diri sendiri tu, kak?

Macam Su ni, kan? Orang tidak tahu yang Su pernah dianggap seperti sampah. Dibiarkan menghadapi segalanya sendirian. Su diberi janji dan harapan tetapi ditinggalkan. Su diminta menanti, tetapi akhirnya terpaksa mengalah dengan keadaan. Su membantu orang lain dan Su ikhlas tetapi dibalas dengan celaan dan penghinaan. Su menyayangi, sejujur hati dan tidak menuntut apa-apa, kecuali hanya sedikit rasa belas menghargai Su seadanya.. tapi.. Su tak dapat semua tu, kak. Malah Su dihina dan difitnah secukup-cukupnya. Su dibohongi oleh semua orang. Bahkan orang yang Su percayai, Su kasihi juga mencurangi perasaan Su. Tidak menyebelahi Su. Tiada yang tahu kesakitan yang Su lalui. Semua itu membuatkan Su dalam tekanan dan ketakutan. Semua pengalaman itu membuatkan Su sangsi pada semua orang. Mana mungkin kita dapat berani lagi, kak?"

Terkesima Raz mendengar luahannya tiba-tiba. Perasaan yang tersimpan lama, diluahkannya bagai peluru menembak sukmanya sendiri. Raz tunduk melihat pada rumput di kaki. Menguis perlahan. Berharap agar Su terus meluahkan rasanya. Biar habis yang terbeku di dada. Kelihatan nafasnya berombak kencang. Seolah mahu dipecahkan gelodak yang selama ini dipagar, dikepung, dicengkam di dalam diam. Tetapi Su terus terdiam. Mungkin menahan permata mahalnya daripada basah dan tumpah.

"Su berdendamkah dengan semua kejadian tu?" Raz mahu dia terus melepaskan apa yang terbuku di dadanya. Dia menggeleng lemah.

"Tidak,kak. Su tidak pernah membalas kejadian tu dengan keburukan. Tidak sedikit pun berdendam. Tidak ada menyimpan benci di hati. Su masih menganggapnya ujian. Takdir. Hak Allah ke atas hamba-Nya. Tapi, tak seorang pun berada di sisi Su ketika itu. Kawan-kawan juga menyalahkan Su. Menyepikan diri dari Su. Su terlalu mengalah, tapi bagi Su, untuk apa menang, kalau ada orang lain susah kerana kemenangan itu. Cuma, semua tu membuatkan Su serik dan takut tersangat-sangat takut, kak."

Raz memanjangkan keluhan dan menggangguk faham. Perasaan takut itu menimbulkan rasa bersalah yang lama di dalam diri manusia menjadikan ia pengaruh yang tidak baik. Mempengaruhi kehidupan sehingga keyakinan hilang. Emosi jiwa yang berubah-ubah disebabkan perkara-perkara hidup yang tidak dapat tercungkil keluar. Keyakinan diri yang mula luntur mengikut imbasan kenangan. Su perlukan semangat yang kuat. Su perlukan sejarah yang baru yang mampu membangunkan kekuatan emosinya. Tidak dapat disangkal, sesekali dia masih dihantui silam yang berduri.

Raz mengharapkan agar Su tidak terlalu pasrah dengan rasa takutnya. Su tidak akan mampu mengembangkan kemampuan dirinya jika dia berterusan begitu.

"Sudahlah Su, jangan dikenang lagi. Itu semua kenangan yang lepas. Yang tidak mungkin hampir kepada Su lagi. Su perlu serius dengan ketabahan Su. Hidup Su adalah untuk apa yang Su terima sekarang, bukan untuk yang lepas. Kegagalan, kesakitan yang lepas adalah ilmu untuk kita. Proses kita belajar mengenali hidup. Kalau tidak kerana semua itu, Su tidak akan kuat bertahan sehingga hari ini, kan? Redhalah, Su.. Yakinlah pada kehendak Allah Ta'ala. Kalau diikutkan semua tu, kita tidak akan mampu ke mana-mana Su. Kita akan terus mengurungkan diri dari dunia luar yang mengkin banyak memberi erti yang lebih indah lagi."

"Tapi.. kalau ia berulang lagi? Macam mana kak?"

"Hemmm... kak Raz percaya, Su tetap perlu menghadapinya dan boleh menghadapi segalanya seperti dulu dan seperti sekarang juga, kan? Jangan berdoa agar ia berulang, Su. Doakanlah agar ia menambahkan kekuatan iman. Jangan lupa Allah walau dalam keadaan marah dan kecewa. Dia beri semua ujian itu kepada kita untuk kita menilai hikmah-hikmah-Nya. Bertahanlah Su! Jangan terlalu bimbang. Tenang Su. Sederhanakan emosi takut itu. Su boleh terus berhati-hati tetapi jangan berterusan dalam ketakutan. Cari keuntungan di sebalik pengalaman yang Su lalui itu. InsyaAllah, Allah akan membantu Su. Setiap apa yang Allah beri itu tidak diberinya sia-sia. Dinamakan-Nya segala yang ada di dunia yang dicipta-Nya ini untuk kita ambil pengajaran darinya, Su. Kuatlah!"


Ya, KUATLAH LAGI!!!!

Raz,R
23.01.2012
Salam kasih dengan senyum tulus kemesraan.

Thursday, January 19, 2012

Sabar Itu Indah




Salam kasih penuh rahmat Allah Ta'ala Raz doakan untuk semua. Ketika ini Raz sedang dirundung hiba. Raz mencari kekuatan diri dan Raz terbaca petikan di bawah ini. Ingin Raz kongsi bersama agar kita semua dapat berkongsi manfaatnya. InsyaAllah, sesungguhnya, Allah selalu menyediakan jalan bagi meleraikan kekusutan hamba-Nya yang selalu mengingati-Nya dengan pelbagai sentuhan.

Ketika hati dirundung sunyi..
Solusinya : Innallaha ma'ana(Sesungguhnya Allah bersama kita)

Ketika hati mengimpikan sesuatu…
Solusinya : Man jadda wa jadda(Siapa yang berusaha,dia akan berjaya)

Ketika perasaan diluapkan rindu kepada seseorang…
Solusinya : Ma fi qalbi ghairullah(Tiada dalam hatiku melainkan Allah)

Ketika syaitan dan iblis datang mengganggu…
Solusinya : Inni akhafullah(Sesungguhnya aku takutkan Allah)


Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud :

“Dan sesiapa yang bersabar, maka Allah akan menjadikan dirinya penyabar, dan tiada pemberian yang (Allah) berikan kepada seseorang yang lebih baik dan lebih luas (manfaatnya) daripada kesabaran.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Pengajaran :

1.Sabar adalah sifat mulia (mahmudah) yang mesti dimiliki oleh setiap umat Islam.

2.Untuk memiliki sifat sabar, perlulah ada latihan yang berterusan.

3.Orang yang berusaha melatih dirinya bersabar dan terus bersabar adalah orang dikasihi serta dekat dengan Allah s.w t. Allah memandangnya dengan pandangan rahmat.

4.Orang yang banyak bersabar dalam membentuk dirinya untuk menjadi seorang penyabar (as-Sobirun), tidak akan disia-siakan Allah. Akhirnya, ia akan ditulis di sisi Allah sebagai hamba yang penyabar.

5. Apabila seseorang memiliki sifat sabar, maka ia telah memiliki kebaikan dan keuntungan yang banyak.

6. Apabila seseorang dianugerahkan sifat sabar, maka ketahuilah bahawa Allah taala mahu memberikan kepadanya manfaat yang besar lagi luas, berpanjangan dari dunia sampai akhirat.

7. Antara keutamaan sifat sabar ialah:
a. masuk syurga tanpa hisab (perhitungan)
b. diampunkan dosa-dosa yang lalu
c. memilliki iman yang sejati.

Hadis Abu Said Al-Khudriy r.a:
“Orang ramai dari golongan Ansar meminta-minta daripada Rasulullah s.a.w. Lalu baginda memberi permintaan mereka. Kemudian mereka meminta lagi. Baginda memberi lagi permintaan mereka, sehinggalah habis apa yang ada pada baginda.

Baginda bersabda:


"Apa pun kebaikan yang ada padaku, maka aku tidak akan menyembunyikannya dari kamu sekalian. Sesiapa yang menjaga kehormatan diri, maka Allah akan menjaga kehormatan dirinya. Sesiapa yang berpada iaitu berpuas hati dengan apa yang ada maka Allah mencukupkannya. Sesiapa yang bersabar, maka Allah akan menganugerahkannya kesabaran. Seseorang itu tidak dikurniakan sesuatu pemberian yang lebih baik dan lebih luas selain daripada sabar.”

MasyaAllah.. Subhanallah.. Sesungguhnya SABAR ITU INDAH..




Salam dengan penuh senyuman kesabaran.




Raz.R


19.01.2012

Wednesday, January 18, 2012

Sakit Itu Ubatnya Hanya Kamu



SOALAN

Bertali syahdu
Berbenang rindu
Berkait sayu
Bersulam sendu
Bersalut rindu
Merintih rayu
Di sepi diam
Rebana hati bertari pilu

Gema itu
Menyanyikan irama tentangmu
Walau lidah terikat kelu
Tak bermelodi tidak juga berlagu
Resah gelisah tiada yang tahu
Sakit itu
Ubatnya hanya kamu


JAWAPAN

Hanya Kamu yang mampu segalanya
Izinkan aku bersyukur atas semua pemberianMu,
Izinkan aku mendekati dan mencintaiMu,
Izinkan aku merasakan anugerahMu,
Izinkan aku MemujaMu dan berbakti padaMu.
Semua goresan takdir yang dilalui,
Semoga hati ini akan selalu memujiMu,
Kini ku yakin Kau selalu ada untuku.
dan seluruh jiwaku hanya KAMU yg tahu


Raz.R
18.01.2012
Mengulang kata mengenang senyuman

Tuesday, January 10, 2012

Hati Mampu Melihat



Bukan membohongi
Namun membaluti
Tidak bermuslihat
Hati mampu melihat
Rasa yang tersemat
Fikiran pun berhemat
Begitu hati dijaga sekali
Harga yang dimengerti
Amat bernilai sekali

Raz.R
10.01.2012
Terima kasih
Senyum..

Saturday, January 7, 2012

Bila hati Melamar Kata


(Takdir-Nya)
Kadang-kadang..
Segalanya seperti dekat di mata
Sepertinya kita akan sampai ke destinasi
Wah! Kita gembira sekali, berkobar tak terperi
Dalam akal mencipta seribu angan
disangkakan sebentar lagi kesampaian
Kita senyum puas kegirangan...
Tiba-tiba, kenderaan terhenti di pertengahan
Ada sesuatu yang menghentikan perjalanan
Dan kita terpaksa fikir tentang kerosakan yang berlaku
Lalu.. haluan kita juga terpaksa diubah..
Haluan pertama, yang tadinya kita sangka akan disinggah
mahu tak mahu terpaksa berubah..
Sesungguhnya, kita TIDAK PERNAH TAHU, Allah Yang Maha Tahu..
Kita mungkin hanya boleh menjangka,
namun kita tidak dapat halang perkara yg datang dgn tidak disangka-sangka..
itulah TAKDIR-NYA...
Walau seratus tahun, kita menangis dan mengemis..
ada waktu, kita perlu redha... ada FATAMORGANA di dunia kita!

Secangkir rasa,
~Raz.R~
07.01.2012
11:06:35 AM






(Simpan Pesanku)
Simpan pesanku di hatimu..
Bergembiralah di kala perlu
Sihatkan jiwamu
Sejahterakan seluruh tubuhmu
Aku mahu engkau begitu

Semat pesanku di hatimu..
Bersedihlah jika kau mahu
Hadapkan air matamu
Jiruskan resah gelisahmu
di hadapan-Nya itu perlu
Membasuh contengan noda
ketika sedar atau tidakmu..
Aku ingin DIA bersamamu
selalu dalam ingatanmu..

Sulam pesanku di hatimu
Jelajahilah ke mana mahumu
dengan semangat yang satu
KERANANYA-LAH segalanya berlaku..
Berdoa.. jangan jemu.. Itu senjatamu!
Simpan pesanku... di hatimu..
walau hayatku dan hayatmu, terhenti di sini.
Simpan pesanku.. di hatimu
Aku tetap sahabatmu...

Salam sayang
~Raz.R~
06.01.2012
11:36:00 PM




(Dia Wanitamu)
Dia tidak cantik
tetapi dia ingin cantik untukmu
Dia tidak cerdik
tetapi dia mahu cerdik untukmu
Dia tidaklah baik
tetapi dia ingin baik untukmu
Dia..
yang perlu kamu kenal dan tahu..
Dialah tuahmu..
Dialah wanitamu

~Raz.R~
06.01.2012 at 05:00 PM



















(Dampingi Aku)
Temankan daku
duduklah disebelahku...
bercerita bagai dulu
tentang kisahmu, kisahku
tersenyum kita
ketawa juga
menangis bersama
kenangkan hidup
yang biasa-biasa saja
tapi masih istimewa
kita redah suka dan duka
halamannya pelbagai warna
berbunga-bunga berbeza harumnya
kita tempuh bersama
tanpa dendam yang bersisa...
masih mesra..
Marilah... dampingi aku lagi..

Raz.R
06.01.2012
05:30:00 PM



(Musuh)


Dia memusuhimu..
Perlukah aku juga begitu?
T I D A K !!
Aku dimusuhinya..
Perlukah engkau begitu jua?
T I D A K !!
Dia menyayangimu..
Perlukah aku juga begitu?
Y A !!
Aku disayanginya..
Perlukah engkau begitu jua?
T E R P U L A N G L A H ...!!
Senyum saja...

~Raz.R~
03.01.2012






(
Syukur)
Syuruk melamar dunia
Jendela terbuka mesra
Halaman kontang direnjis hujan
Walau sedikit, syukur dihampar
Hidup tetap bermula
Senyum masih dilempar
Kalaupun ditujah hambar
Buangkan semua gentar
Katakan ... "ALLAHUAKHBAR!!!"

~Raz.R~
31.12.2011

Tuesday, January 3, 2012

Dialog Luka Wanita : HAID


"Kenapa ni Su? Murung semacam ja, Kak Raz tengok?"
Menggelisah benar keadaan Su hari ini. Tidak seperti selalu, walau dilanda masalah dia tetap tabah mengatasi segalanya senyumnya walau terpaksa.
"ABC la, kak Raz.. Rasa macam nak marah, bengang semacam saja. Tidak tahulah apa yang tengah Su bengangkan sekarang"
Raz tersenyum. Sebab itu rupanya, sebut Raz di dalam hati. Kekeliruan hormon dalam diri yang mengganggu wanita di kala "Allah Beri Cuti". Raz senyum lagi.
"Sabarlah,kan Allah bagi rehat tu?"
"Yalah kak, tapi tak tenang rasa. Asyik tak tenteram dan rimas. Jiwa Su serabut, sudahlah takleh bersujud. Semakla, kak!"
Raz faham apa yang Su rasa. Wanita dengan keistimewaannya. Sebenarnya ada kelebihan dan ada kekurangan yang perlu dihadapi apabila berada di dalam situasi sebegitu.
Sesetengah wanita akan melalui keadaan emosi yang tidak mampu dikawal di dalam keadaan tersebut. Marah, geram, menyampah, letih, sakit kepala, muntah adalah antara kejadian yang kadang-kadang mempengaruhi wanita di kala itu. Kekadang, wanita akan mengamuk tanpa sebarang alasan.

Kebanyakan wanita mampu mengatasinya dengan baik dan ada juga hari-hari tertentu emosi wanita di dalam keadaan itu tidak dapat dibantu sesiapa. Kami akan tewas dengan ketidakseimbangan. Ketika itu rasa sensititif akan berlebihan. Malah, kadang-kadang, kami kaum wanita akan menangis tanpa semena-mena. Perubahan pada tubuh dalaman yang sihat, InsyaAllah.

Raz faham situasi Su. Benar, apabila kita telah biasa dengan sesuatu yang kita biasakan seperti bersolat dan berdoa contohnya, apabila ia terhenti kerana "ABC", naluri kita jadi buntu. Sesekali terasa kerugian. Seolah jauh dari Allah. Tidak dapat menadah dan mengadu kepada-Nya bersama sembah dan sujud.

"Bertenang Su, jangan bimbang, beristighfarlah banyak-banyak."
"Tapi, tak sama, kak Raz. Tak sama macam bila kita bertimpuh di hadapan-Nya."

Raz tersenyum lagi. Melihat keletah Su yang mundar-mandir seperti tidak ketentuan arah.

"Siapa cakap tak sama? Bukankah Allah bagi tu? Dia Maha Bijaksana. Siapa kita untuk mempertikaikan kebijaksanaan-Nya? Jika Allah sentiasa di hati, di dalam keadaan apa jua pun, kita masih bersama-Nya. Tidak boleh bersolat, tidak bermakna kita jauh dari-Nya, Su. Ada pelbagai cara amalan yang mampu kita buat untuk terus menghambakan diri kita kepada-Nya. Yang penting sekali hati kita yang sentiasa mahu melakukannya. Setiap usaha yang baik yang kita lakukan di dalam hidup kita dengan niat kerana Allah SWT itu adalah ibadah, Su.. Berzikir, berdoa, menulis, membaca sesuatu yang baik, menuntut ilmu, membuat kerja rumah dan mengisi masa kita dengan segala yang kita rasa berfaedah kerana Allah, semua itu ibadah, Su.. Jadi, fikirkan sesuatu yang baik dan lakukan sesuatu yang baik. Barangkali antara amalan-amalan kita tersebut akan lebih memberikan keberkatan daripada sewaktu kita dalam keadaan suci. Siapa tahu, kan? Allah Lebih tahu apa yang telah ditakdirkan untuk kita, Su"

Su mengangguk dan tersenyum.. " Hemm.. agaknya Su terlalu mengikut rasa kak Raz."
Raz membalas senyumannya kerana kadang-kadang Raz juga melalui perkara yang sama.



Sedikit petikan Raz petik untuk tampalan ilmu kita bersama...
1. Telah ijmak (sepakat) para ulamak bahawa wanita yang dalam haid dan nifas diharamkan mengerjakan solat dan juga puasa (termasuk puasa Ramadhan). Puasa Ramadhan wajib diqadha, adapun solat tidak perlu diqadha. Dalil larangan solat dan puasa tersebut ialah hadis Dari Abu Sa’id al-Khudri r.a. yang menceritakan; Nabi s.a.w. telah bertanya kaum wanita; “Bukankah kesaksian seorang wanita sama seperti separuh kesaksian seorang lelaki?”. Mereka menjawab; “Ya”. Baginda lalu berkata; “Itu tanda kurangnya akal wanita”. Baginda bertanya lagi; “Bukankah jika kamu kedatangan haid, kamu tidak boleh mengerjakan solat dan berpuasa?”. Mereka menjawab; “Ya”. Baginda lantas berkata; “Itu tanda kurangnya agama wanita” (HR Imam al-Bukhari dari Abu Sa’id al-Khudri r.a.).

2. Adapun hukum membaca al-Quran, terdapat khilaf di kalangan ulamak seperti berikut;

A) Menurut Jumhur ulamak (yakni pandangan teramai ulamak termasuk Imam-Imam mazhab empat); Diharamkan ke atas orang yang berhadas besar membaca al-Quran dengan lidahnya sekalipun satu ayat. Mereka berdalilkan hadis dari Ibnu Umar yang menceritakan Rasulullah bersabda;”Janganlah wanita dalam haid dan orang yang berjunub membaca sesuatupun dari al-Quran” (HR Imam at-Tirmizi dan Ibnu Majah). Berdalilkan hadis ini, jumhur ulamak memutuskan; orang-orang yang berada dalam haid dan junub dilarang membaca al-Quran dengan lidah. Adapun membaca dengan hati (tanpa menggerakkan lidah), diharuskan.

B) Imam Malik berpandangan; Diharuskan wanita dalam haid dan nifas membaca al-Quran dari ayat-ayat yang dihafalnya jika dibimbangi takut hilang dari ingatannya jika tidak dibaca sepanjang tempoh haid atau nifasnya. Namun, orang berjunub dilarang sama sekali membaca al-Quran.

C) Terdapat ulamak-ulamak yang menganggahi pandangan jumhur ulamak di atas iaitulah Imam Daud az-Dzahiri, Imam Ibnu Hazm, Imam Ibnu Taimiyyah dan beberapa lagi. Menurut mereka; harus bagi orang berjunub dan begitu juga wanita yang kedatangan haid membaca al-Quran keseluruhannya. Di kalangan Salaf, pendapat ini ada diriwayatkan dari Ibnu ‘Abbas dan juga Ibnu al-Musayyab. Dalil mereka ialah hadis dari Saidatina ‘Aisyah r.a. yang menceritakan; “Sesungguhnya Nabi s.a.w. sentiasa berzikir kepada Allah pada setiap ketika/masanya” (HR Imam Muslim) dan membaca al-Quran termasuk di dalam pengertian zikir. Adapun hadis yang dijadikan dalil oleh jumhur tadi, hadis tersebut adalah dhaif mengikut penilaian ulamak-ulamak hadis.

3. Mengenai zikir dan doa, tidak ada nas (dalil dari al-Quran atau as-Sunah) yang melarang wanita yang kedatangan haid dan nifas dari melakukannya. Oleh itu, ia kekal sebagai harus (tidak dilarang). Dalam kaedah Fiqh ada dinyatakan “Sesuatu itu kekal dalam hukum asalnya selagi tidak ada dalil yang mengubahnya atau mengecualikannya dari hukum asal”.

Dari keterangan di atas, kita dapat melihat bahawa ruang untuk wanita dalam haid dan nifas beribadah adalah luas seluas ruang doa dan zikir itu sendiri walaupun mereka tidak dibolehkan solat, puasa dan membaca al-Quran (mengikut pandangan jumhur tadi). Berikut kita senaraikan dengan terperinci ibadah-ibadah yang boleh dilakukan oleh wanita-wanita yang berada dalam haid dan nifas;

1. Berdoa dengan apa sahaja doa termasuk dari al-Quran

2. Beristighfar; termasuk istighfar dari al-Quran

3. Berzikir; sama ada bertahlil, bertahmid, bertasbih dan sebagainya.

4. Berselawat kepada Nabi

5. Mendengar bacaan al-Quran

6. Menghadiri/mendengar majlis ilmu (yang diadakan di tempat lain selain masjid)

7. Mengulang hafalan al-Quran (mengikut pandangan Imam Malik tadi)

8. Membaca buku-buku agama termasuk kitab-kitab hadis

9. Bersedekah

10. Membuat kebajikan kepada orang lain

Bagi doa, istighfar dan zikir yang diambil dari al-Quran hendaklah dibaca dengan niat untuk berdoa, berzikir dan beristighfar, bukan dengan niat membaca al-Quran.

Wallahu a’lam.







SOLAT SELEPAS HAID : PERKARA YG DIPANDANG RINGAN..

Untuk pengatahuan wanita bersama.

Kebanyakkan perempuan/wanita/ muslimah (wanita Islam) tak berapa perasan ATAU lebih malang lagi jika memang tak tahu menahu akan perkara ini... Ilmu Fekah, khususnya BAB HAID yang berkaitan dengan diri wanita itu sendiri amat kurang dikuasai atau difahami secara menyeluruh oleh kebanyakkan wanita Islam...kenapa hal ini boleh terjadi?? Amat susah untuk mencari seorang guru/ustazah/ ...yang betul-betul pakar dalam bab 'Orang-orang Perempuan ini' kecuali terpaksa@mesti dirujuk kepada lelaki/ustaz- ustaz yang bernama LELAKI jugak...(saya rasa ramai yang bersetuju dengan pandangan saya )

Contohnya yang paling simple ; bila ditanya kepada kebanyakkan wanita Islam ; "adakah wajib bagi seorang wanita Islam menqhada'kan solat mereka yang ditinggalkan ketika haid?" pastinya kita akan mendengar jawapan daripada kebanyakkan mereka mengatakan: "alaa...itu soalan mudah jee..bila 'datang period' maka solat tuu tak perlu qadha, yang perlu qadha hanya puasa jee..itulah yang kami belajar sejak mula-mula 'bergelar wanita' dulu"

Jika dibuat pantauan nescaya jawapan seperti di ataslah yang akan kita jumpa... Sebenarnya TAK SEBEGITU MUDAH bagi seorang muslimah nak meninggalkan solat mereka walaupun dirinya didatangi haid!!! sekalipun. Hal ini boleh dirujuk di dalam kitab Ihya' Ulumuddin karangan Hujjatul Islam Imam Al-Ghazali yang mashur.

Kitab yang padanya ada ilmu yang berkaitan Tasauf dan padanya juga perbahasan Fekah yang luas, inilah bukti kehebatan ulama' terdahulu..

Dalam BAB TIGA :
" Fi adab Mua'sharah Wama Yujzi Fi Dawamun Nikah..." perkara YANG KETUJUH disebut dengan jelas dalam kitab tersebut : PERKARA YANG BERKAITAN DENGAN HAID: Penjelasan (bayan) terhadap solat yang perlu diqadha bagi perempuan yang didatangi haid :

1. Jika perempuan dalam keadaan haid mendapati darah haid itu berhenti (dengan melihatnya) sebelum masuknya waktu Maghrib, kira-kira sempat dia solat asar sebanyak satu rakaat, maka baginya wajib qadha solat zohor dan asar.

2. Jika perempuan mendapati darah haidnya kering sebelum masuknya waktu subuh, kira-kira sempat baginya solat Isya' sebanyak satu rakaat, maka wajib baginya qadha solat maghrib dan Isya'. " Dan hal ini (qadha solat yang ditinggalkan semasa haid) adalah sekurang-kurang perkara yang wajib diketahui oleh setiap wanita Islam" (Imam Al-Ghazali)

HURAIAN MASALAH :
1. Kenapa perlu diqadha solat Asar dan Zohor?

- Kerana perempuan itu hanya menyedari keringnya haid masih dalam waktu Asar, maka baginya wajib solat asar (selepas mandi hadas)

2. Kenapa pula solat Zohor juga perlu diqadha sama?

- Kerana di dalam hukum menjama' (menghimpun solat bagi orang musafir) solat Asar boleh dijama' dan diqosarkan bersama solat Zohor.

- Kerana kecuaian wanita itu sendiri (dari melihat haidnya kering atau tidak), boleh jadi haidnya sudah kering dalam waktu Zohor lagi, langkah Ihtiyat ( menjaga hukum) maka perempuan itu juga perlu mengqhada solat Zohor.

3. Dalam perkara solat subuh pun sama : -perempuan itu hanya menyedari darah haidnya kering, sebelum masuk waktu subuh, kira-kira sempat solat Isyak satu rakaat (selepas mandi hadas) maka wajib baginya solat Isya' sebab darahnya kering masih dalam waktu Isya'.

-Solat Isya' juga boleh dijama' (bagi musafir) dengan solat Maghrib, maka baginya juga perlu diqadha solat maghrib.

-Di atas kecuainnya (tidak betul-betul melihat darahnya kering atau tidak dalam setiap waktu solat) maka boleh jadi darahnya sudah kering dalam waktu maghrib lagi (sebab proses keringnya darah itu berlaku secara perlahan-lahan, mungkin perempuan itu hanya menyedarinya dalam waktu subuh, hakikatnya proses pengeringan itu sudah lama berlaku)

-maka langkah ihtiyat (menjaga hukum) maka adalah bagi perempuan itu perlu di qadha juga solat maghribnya.



~Raz.R~
Senyumlah, walau dalam keadaan payah.. Kita ada Allah walau bagaimanapun keadaan kita.

Sunday, January 1, 2012

Kepercayaan



"Kepercayaan"
Bernilai zaman berzaman
Genggam kuat, dilepaskan jangan
Biar ia berkilau terang
Diikut generasi akan datang

"Kepercayaan"
Harta pegangan insan
Antara kita dan Tuhan
Antara kita dan insan
Tanda sebenar sayang
Belas cinta berpautan
Berderai diharap jangan
Luntur pun diminta jangan

"Kepercayaan"
Bukan permainan
Jangan dibiar patah
Kerana tumbuhnya nanti
Tunas kesakitan
Rimbun penderitaan
Bagai lalang tidak bertuan
Hanyut ditarikan kesangsian
Rantingnya cabang kesalahan
Merosak subur dahan keimanan

"Kepercayaan"
Usah dikuatkan benteng muslihat
Kelak roboh diserang musuh
Hati insan bukanlah ampuh
Bagai danau yang tidak kukuh
Ditunjal selalu pastinya runtuh


Raz.R
01.01.2012
Percayalah,senyum itu indah.
Usah biar ia digoyah
Kepercayaan itu kekuatan.