Salam kasih Kerana Allah

Salam kasih Kerana Allah
Assalamualaikum wbt - Sekadar Berkongsi Ilham dan Pengalaman

Thursday, April 18, 2013

Kayu api, Kicap dan Nasi Putih


Bissmillahirrohmanirrahim.
Saat Raz menatap laman ini, sesuatu tiba-tiba mendakap hati kecil Raz mengingat kembali kenangan yang sehingga kini masih belum Raz lupakan. Raz tersenyum bila saja ingatan melayang menayangkan kisah silam. Seribu kenangan melintasi hidup, pasti ada beberapa yang penting yang tidak pernah terlucut dari benak kita. Raz yakin, semua orang punya 'Lagenda diri' yang melingkar di hati. Mungkin juga terbawa hingga ke akhir usia nanti. Wallahu'alam. Insya Allah.

Masih Raz ingat ranting-ranting kecil terbakar sambil dihembus corongan buluh supaya dapat  menyemarakkan api untuk menanak nasi. Masih terhidu bau harum didihan beras yang dimasak oleh bakaran kayu api. Masih terasa lelah mendaki bukit, menjejak denai, meredah hutan getah, merentas belukar untuk mengutip keratan-keratan kayu kering untuk di jual. Ketika itu seberkas ikatan kayu sebesar sepemeluk menghasilkan harga tiga puluh sen. Hasil daripada jualan beberapa berkas kayu api tersebut dapatlah dibuat membeli secupak dua beras sebagai pengalas perut harian.

Di usia remaja dahulu, airmata rendah diri selalu menitis apabila melihat betapa mudahnya kehidupan orang lain. Raz selalu sahaja membandingkan kehidupan diri dengan keberuntungan orang lain. Melangkau ranjau sehingga bergelar dewasa, kenangan menjadi pengalaman yang amat berharga terhadap cerminan peribadi Raz. Masih tidak sehebat dan sebaik orang lain, tetapi Subhanallah dan Alhamdulillah, yang sulit itu indah. Masih indah dan wangi sampai saat ini.

Mengimbas ketika ibu terlantar sakit dan ayah jauh di perantauan mencari rezeki. Kami adik-beradik menikmati hidangan nasi putih berlaukkan hanya titis-titis gaulan kicap. Menjamah dengan kasih-sayang. Saling suap-menyuap. Tersenyum di dalam keperitan. Ketawa di dalam kepayahan. Seputih panas suamnya nasi, seputih itulah perasaan redha dan syukur di hati. Alhamdulillah. Harmoni, mengandung ertikata yang tidak mungkin dapat dirangkapkan dengan apa jua bahasa di dunia. Mencukupi walau terlingkung ketiadaan.

Bila saja Raz menyegarkan ingatan Raz di halaman silam, benarlah bahawa kekadang apa yang membebankan kita hari ini sebenarnya mengecas kekuatan kita untuk menghadapi masa hadapan yang belum tentu kita tahu. Semuanya ada kaitan, ada kesinambungan. Kembalikan hati kita ke arah hal-hal yang pernah mententeramkan dan Raz sedar hal yang banyak memberi kelapangan hati tidak selalu hadir dari kemewahan atau sesuatu yang memudahkan hidup tetapi keperitanlah yang mengajar kita merasai sebesar-besar nikmat Allah Ta'ala. Kekadang kelapangan dari apa yang kita rasa mudah, gembira dan bahagia banyak menjerumuskan kita ke arah jurang yang mendekatkan pelbagai bibit dosa.

Sebagaimana  sabda baginda Rasulullah SAW:  “Dan dari Wabishah bin Ma’bad RA, ia berkata : “Aku telah datang kepada Rasulullah SAW, lalu beliau bersabda : ‘Apakah engkau datang untuk bertanya tentang kebajikan?’ Aku menjawab : ‘Benar’.
Baginda bersabda : "Mintalah fatwa dari hati mu. Kebajikan itu adalah apa-apa yang menenteramkan jiwa dan menenangkan hati dan dosa itu adalah apa-apa yang meragukan jiwa dan meresahkan hati, walaupun orang-orang memberikan fatwa kepada mu dan mereka membenarkannya”-(HR. Ahmad)

Sesungguhnya kita ini, seluruh diri adalah milik Allah. Allah berhak menguji kita dan siapalah kita untuk menolak kerahmatan daripada segala keberkatan ujian-Nya. Kita hanya manusia hamba. Innalillah wa inna ilahihi rajiun, yang ertinya, “Kami ini milik Allah, kepadaNya kami akan dikembalikan.”

Senyum simpul dengan doa. Yang baik, yang buruk semoga dilimpahi kebaikan Allah jua. Ameen Ya Robbal 'alamin.



 






Wednesday, April 10, 2013

Aku terlalu Rindu


Rona-rona rindu berhujah di pengkalan jiwa
Menyelak helai karangan hidup
Yang teguh kebal lumpuh di lembah tewas
Subuh yang bangkit...
Menyembah untaian rasa...
"Ya Allah! Ampuni aku. Aku terlalu rindu!"









Tuesday, April 2, 2013

Jaga Hati

Satu hal yang sangat susah untuk dijaga adalah 'Hati'. Astaghfirullah, cukup payah! Sekalipun menjaga hati sendiri. Apatahan lagi untuk menjaga hati orang lain agar boleh dianggap seperti 'Menarik rambut di dalam tepung.'

Apa-apapun, dalam segala hal kita sekadar boleh berikhtiar sebaik mungkin kerana sudah fitrah bahawa sifat hati manusia itu tidak pernah puas. Sesuatu perkara walau kadang sudah lengkap, sudah cukup baik, sudah molek, namun nafsu mengajak hati untuk menampakkan ada-ada saja kepincangan. 

Akar hati kita perlu teguh, perlu subur, perlu bertunjangkan kesabaran yang waja sentiasa. Selalunya hati kita mengharap sesuatu yang 'baik-baik' sahaja. Ketika itu kita mula menyangka hal yang tidak baik itu hanyalah sketsa sedangkan cerita di belakang tabir tidak pernah kita fikir dan tidak juga pernah kita fahami. Janganlah hati kita begitu. Latihlah agar ia tidak dicampur adukkan dengan sangkaan yang liar. Apabila sesuatu hal yang kita harapkan itu tidak seperti yang kita hasratkan, jangan kita menunding dan membebankan situasi. Bila kita berbuat demikian, kita sedang mempersilakan syaitan membonekakan hati kita. Astaghfirullah .. Astaghfirullah.. Astaghfirullah.. Kembalikan segalanya kepada Allah Ta'ala. 

Ingatkan diri kita, semua orang memiliki ujiannya yang tersendiri. Semua orang melalui masalah-masalah yang terpaksa mereka meletakkan tumpuan penuh yang kadang-kadang terpaksa melepaskan hal yang lain yang juga menagih tumpuan. Seimbangkan fikiran, hati, nafsu dan iman. Bawalah semua itu kepada satu arah yang tidak terpecah kemana-mana lagi yakni, ALLAH. Berdoa, berfikir ke arah yang baik dan tawakkallah. Insya Allah, tiada yang indah daripada memiliki hati yang indah. Maafkan masa lalu, berbaiklah dengan hari ini.

Senyum..
Jaga hati ya.