Satu hal yang sangat susah untuk dijaga adalah 'Hati'. Astaghfirullah, cukup payah! Sekalipun menjaga hati sendiri. Apatahan lagi untuk menjaga hati orang lain agar boleh dianggap seperti 'Menarik rambut di dalam tepung.'
Apa-apapun, dalam segala hal kita sekadar boleh berikhtiar sebaik mungkin kerana sudah fitrah bahawa sifat hati manusia itu tidak pernah puas. Sesuatu perkara walau kadang sudah lengkap, sudah cukup baik, sudah molek, namun nafsu mengajak hati untuk menampakkan ada-ada saja kepincangan.
Akar hati kita perlu teguh, perlu subur, perlu bertunjangkan kesabaran yang waja sentiasa. Selalunya hati kita mengharap sesuatu yang 'baik-baik' sahaja. Ketika itu kita mula menyangka hal yang tidak baik itu hanyalah sketsa sedangkan cerita di belakang tabir tidak pernah kita fikir dan tidak juga pernah kita fahami. Janganlah hati kita begitu. Latihlah agar ia tidak dicampur adukkan dengan sangkaan yang liar. Apabila sesuatu hal yang kita harapkan itu tidak seperti yang kita hasratkan, jangan kita menunding dan membebankan situasi. Bila kita berbuat demikian, kita sedang mempersilakan syaitan membonekakan hati kita. Astaghfirullah .. Astaghfirullah.. Astaghfirullah.. Kembalikan segalanya kepada Allah Ta'ala.
Ingatkan diri kita, semua orang memiliki ujiannya yang tersendiri. Semua orang melalui masalah-masalah yang terpaksa mereka meletakkan tumpuan penuh yang kadang-kadang terpaksa melepaskan hal yang lain yang juga menagih tumpuan. Seimbangkan fikiran, hati, nafsu dan iman. Bawalah semua itu kepada satu arah yang tidak terpecah kemana-mana lagi yakni, ALLAH. Berdoa, berfikir ke arah yang baik dan tawakkallah. Insya Allah, tiada yang indah daripada memiliki hati yang indah. Maafkan masa lalu, berbaiklah dengan hari ini.
Senyum..
Jaga hati ya.