Salam kasih Kerana Allah

Salam kasih Kerana Allah
Assalamualaikum wbt - Sekadar Berkongsi Ilham dan Pengalaman

Friday, March 29, 2013

Hati Yang Sederhana



Bissmillahirrahmanirrahim
      Menyusup sepi di dada malam dengan sedikit rasa kegundahan. Dia mengenang kembali perasaan dan hasratnya sendiri. Telah lama impiannya tertutup kerana memperjudikan kudratnya bagi memenuhi impian mereka yang disayanginya. Tiada matlamat yang tertumpu pada persoalan apa atau bagaimana keperluan hidupnya seharian atau bagaimana kisah masa hadapannya nanti. Segalanya telah lama dikorbankan demi untuk membuka ruang impian orang lain tercapai.

    Sedikit kegagalan dari gumpalan pengorbanannya malam ini membuatkan air matanya melerai jatuh. Rabak, sayu dan pilu. Sisa-sisa hidup yang berbaki terasa lelah dan tidak keruan ketika hasrat untuk melihat kejayaan orang yang disayanginya lumpuh di tengah jalan. Dia mula mengira titis-titis peluhnya yang jatuh namun tidak ada harganya. Dia mula terasa usia dan  masa hidup yang pernah dikorbankannya bertukar menjadi sia-sia.
Dia mula bertanya di dalam dirinya sendiri, "Sampai bilakah harus aku begini?" dan yang lebih sedih di sanubarinya sendiri,"Apakah tidak layak diriku mengecapi bahagia, teruji sepanjang masa?"

Kecilnya hati. Terkilannya jiwa. Harapan yang menggunung runtuh bagai digegar gempa. Ranap ditimbus kecewa. Parah melayani usikan lara. "Allahu Robbi! Kenapa keterlaluan wahai hati?" Jemarinya menyentuh lembut dada yang sesak. 

 “…Dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu sedangkan sesuatu itu merosakkan kamu. Dan Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak tahu.” (Surah Al Baqarah : 216).

Bila saja dia merenung Firman Allah tersebut, dia mendoakan pengertian untuk hikmah yang terlindung. Dia memaksa dirinya bertafakkur. Dia memaksa hatinya kembali sederhana. Diucapnya kalimah "Aku berlindung daripada syaitan yang direjam" berkali-kali.

Kita banyak meredah pelbagai kesulitan semata-mata untuk memenuhkan ruang kosong yang kita sangka dapat kita isi dengan bahagia yang ingin kita ukir dengan segenap angan-angan yang indah-indah belaka tetapi sebenarnya makin cuba kita isi, makin ia terasa hanyut di dalam lautan tandus dan gersang.

Sedang 'BAHAGIA' itu yang kita harapkan itu ada dalam 'KESEDERHANAAN'. Hati kita sangat sederhana. Tidak ia dapat menerima yang terlalu berat. Tidak juga dapat ia menimbang hal yang amat ringan.

Apabila kita bersedia dan berupaya menerima segala hal yang diberikan kehidupan kita ini dengan ikhlas dan bertindak ikhlas dalam segala urusan, itulah bahagia yang sejati. Tidak perlu kita terlalu menekan kehendak diri. Sederhanakan hati. Jujurlah dalam kesederhanaan dan redha akan bertunas dengan subur. Insya Allah, selepas itu kita akan 'terbiasa' dengan 'ALHAMDULILLAH, ALLAH!'



~Raz.R~
♥ Sederhanakan Hati
Maaf.  Izinkan diri untuk Se^__^nyum dan Senyap seketika.