Salam kasih Kerana Allah

Salam kasih Kerana Allah
Assalamualaikum wbt - Sekadar Berkongsi Ilham dan Pengalaman

Friday, August 29, 2014

Tunduk Kepada Allah SWT


بسم الله الر حمن الر حيم
اسلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Semoga di dalam rahmat dan perlindungan Allah Ta'ala hendaknya. Amin(Moga Allah perkenankan)
 

Sedikit ingatan untuk pedoman diri Raz yang kerdil yang sentiasa teruji oleh kekerdilan diri. Sesekali dilanggar ancaman emosi sendiri dan kekadang juga dari anasir kehidupan yang penuh fitnah-fitnah syaitan.
 

Sebagai manusia yang tandus dan tipis iman tentunya, pegangan diri acapkali luruh dihimpit kecaman pancaroba makhluk-makhluk yang datang mengajar hidup kita pelbagai perkara. Deruan bayu hiba dan takut sesekali menerpa.

Akhirnya, tiada kekuatan dan perlindungan lain yang dapat ditemui melainkan daripada DIA YANG MAHA KUAT DAN BERKUASA.
 

Raz selalu tanyakan diri, "Siapa sebenarnya yang perlu aku takuti?"


Kata Imam Ibn Taimiyyah rahimahullah ;
“Apa yang dapat diperbuat oleh musuhku kepada diriku? Sesungguhnya syurgaku dan tamanku ada di dalam dadaku. Ke mana aku pergi pun maka ia bersama denganku dan tidak berpisah denganku. Jika aku dipenjara maka ia menjadi tempat aku bersendiri dengan Tuhanku dan jika mereka membunuhku maka aku beroleh syahid, dan jika mereka mengusirku keluar dari negeri maka ia adalah pelancongan bagiku."

Mana-mana wanita yang menjadi hamba Allah yang bertaqwa, maka mereka pasti akan dipelihara oleh Allah seperti Maryam dan Asiah yang dipelihara daripada kejahatan manusia pada zaman mereka.

Daripada Utsman bin ‘Affan RA mengatakan, ‘Saya mendengar Rasulullah salallahualaihiwassalam bersabda, ‘Barang siapa yang mengatakan;


“Dengan menyebut nama Allah yang dengan sebab nama-Nya tidak ada sesuatu pun di bumi maupun di langit yang dapat membahayakan (mendatangkan mudharat). Dan Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui) sebanyak tiga kali, nescaya tidak akan ada sesuatu pun yang akan dapat memudharatkannya” [Riwayat Abu Daud dan al-Tirmidzi]




Terjawab akhirnya.

Moga sama-sama kita mendapat manfaat dari kelemahan pengalaman yang Raz kongsi ini ya? 


"Allahumma- Solli-'Ala-Muhammad; Wa-'Ala- Alisaiyyidina- Muhammad."
 


[Jumaat, 29.08.2014]
Jum'ah Mubarakh, semua!

Thursday, August 28, 2014

Ingatan Untuk Wanita




بسم الله الر حمن الر حيم
اسلام عليكم ورحمة الله وبركاته


Ruang ini hari ini ingin Raz kongsikan sebuah atrikel yang boleh dijadikan tauladan dan ingatan kepada kita semua untuk masa hadapan dunia dan akhirat, Insha-Allah. Ameen.





Subhanallah! 
Maha KUASA-Mu ya ALLAH.....
Ya ALLAH ya Tuhanku....Engkau menurunkan bala dan memperlihatkan di atas kejahilan hamba-Mu. Inikah cara Engkau memalingkan muka-Mu kerana kekufuran kami...Semuanya diperlihatkan aibnya semasa kematian hamba-Mu yang melakukan dosa SYIRIK dan Ingkar menurut perintah-Mu.

Suatu hari aku di beritahu seorang jiran wanita berumur 41 tahun sedang nazak selama seminggu, seolah-olah susah jalan sakaratul mautnya. Terus aku bergegas ke rumah jiranku itu kerana sifat makcik itu yang sangat baik terhadap jiran-jirannya. 

Kami pun membaca surah yasin, Al Mulk dan As Sajadah beramai-ramai, tiba-tiba lidahnya menjelir-jelir dan meronta-ronta menolak tangan salah seorang sahabat kami dan berkata:
"AKU BELUM NAK MATI LAGI",
dia memanggil-manggil nama moyangnya minta tolong.. MasyaAllah...terkejut kami...!!! tapi kami terus membaca sehingga habis.
Allahuakbar...! Begitu perit rupa dan sakitnya siksa sakaratul maut itu.

Esoknya mendengar khabar bahawa makcik itu meninggal dunia. Suasana menjadi huru hara, apabila kami sedang memandikannya keluar najis besar tak henti-henti, setahu kami makcik tu sudah lama tidak makan, air mandinya tidak cukup-cukup. Maha Kuasa Allah..,kemaluannya pula hancur dan melecur...Astaghfirullah...! hatiku berkata: 

"Apakah yang Engkau mahu kami tahu dan lihat kebenaran azab-Mu itu Sungguh Janji-Mu itu Pasti Benar....takutnya ya Allah". Maha Sucinya Engkau...alhamdulillah ada seorang ustazah mulutnya tidak henti-henti membaca surah Al ikhlas dan menyebut (laa ilaaha illaalah) terus menjuruskan air di kepala makcik tu. syukur alhamdulillah...tiba-tiba najisnya serta merta berhenti....

Subhanallah...! Muhasabah wahai diriku...dapat melihat pengajaran besar seperti itu.
Aku pun menyelidik kenapa sampai begitu jadinya? Dosa apakah itu? Wana'uzubillah...
  • Mempunyai pendamping (saka) 
  • Memakai susuk di kemaluan 
  • Mengamal ilmu pemanis wajah-hatinya sentiasa marah pada suaminya (tidak ikhlas) 
  • suka menonton televisyen (membuang waktu) 
  • tidak menutup aurat
  • tidak membaca Al quran 
  • tidak peduli dan menyuruh anak-anaknya solat 
  • suka meminta-minta duit anak-anak, melaga-lagakan anak menantu sehingga bercerai 
  • suka mengumpat perihal suami dan jiran tetangga.-suka melayan dan menyembang dengan lelaki lain 

MAHA KUASA ALLAH 
ALLAH MAHA MELIHAT 
ALLAH MAHA MENDENGAR 
ALLAH MAHA MENGETAHUI

Teringat peristiwa wanita ke neraka pada malam Mikraj Sayidina Ali Karamallahuwajhah berkata:“Aku dengan Fatimah pergi menghadap Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam. 

Kami dapati Baginda sedang menangis, lalu kami bertanya kepadanya, apakah yang menyebabkan ayahanda menangis, ya Rasulullah?”
Fatimah pun bertanya kepada ayahandanya:

“Ayahanda yang dikasihi, beritakanlah kepada anakanda, apakah kesalahan yang dilakukan oleh perempuan?”

Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam menjawab:

“Fatimah, adapun perempuan tergantung rambutnya itu adalah perempuan yang tidak menutup rambut daripada bukan muhrimnya. 

Perempuan tergantung lidahnya ialah perempuan yang menggunakan lidahnya untuk memaki dan menyakiti hati suaminya".

Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud:

“Perempuan menyakit hati suami dengan lidahnya pada hari kiamat nanti Allah jadikan lidahnya sepanjang 70 hasta kemudian diikat di belakang tengkoknya".
“Perempuan menggunakan lidah untuk menyakiti hati suaminya ia akan dilaknat dan kemurkaan Allah.”

“Perempuan diikat kedua kakinya dan tangannya ke atas ubun-ubunnya, disuakan ular dan kala kepadanya kerana ia boleh sembahyang tetapi tidak mengerjakannya dan tidak mandi janabah.

“Perempuan mengkufurkan suaminya dan mengkufurkan ihsannya, Jika engkau membuat baik kepadanya seberapa banyak pun dia belum berpuas hati dan cukup.” (Hadis riwayat Bukhari)
“Perempuan tidak mahu mandi daripada suci haid dan nifas ialah perempuan yang memakan badannya sendiri, juga kerana ia berhias untuk lelaki bukan suaminya dan suka mengumpat orang.

Aku berdiri di atas syurga, kebanyakan yang masuk ke dalamnya adalah golongan miskin dan orang kaya tertahan di luar pintu syurga kerana dihisab. Selain daripada itu ahli neraka diperintahkan masuk ke dalam neraka, dan aku berdiri di atas pintu neraka, aku lihat kebanyakan yang masuk ke dalam neraka adalah perempuan.”
Pengajaran dan hikmah cerita benar ini 

"Sesungguhnya Janji Allah Pasti"
Berkata Syaikh Ibnu ‘Athaillah, Sabda Rasulullah SAW berkata:
“Janganlah sekali-kali kamu berasa ragu atas janji Allah yang telah dijanjikan-Nya, sedangkan waktunya sudah pasti (akan datang), tetapi ia belum datang, agar keraguan kamu itu tidak akan mengotori basirah (pandangan batin) dan tidak memadamkan cahaya nuranimu.”

Mohonlah TAUBAT sebelum terima azabNya di Dunia. Kisah perbuatan begini sudah menjadi kebiasaan pada zaman ini tidak kira perempuan atau lelaki, kerana manusia inginkan kehidupan dunia, tidak takut dan sudah lali, lalai, leka. Gelap hati daripada melihat kebenaran Allah SWT.


Allah berfirman:
“Dan apabila bertanya hamba-hamba-Ku kepada engkau tentang Aku, maka (katakanlah), ‘sesungguhnya Aku adalah Maha Dekat. Aku memperkenankan permohonan orang yang berdoa jika dia berdoa kepada-Ku. Maka hendaklah mereka memperkenankan (segala perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, mudah-mudahan mereka sentiasa dalam kebenaran.” (Surah al-Baqarah: 186)



Setiap yang baik, simpanlah sebagai pengajaran dan ilmu daripada Allah Ta'ala. Jika ada keburukan daripadanya pula jangan disimpan sebagai bahan buruk-sangka. Ingatkan hati jangan mengira siapa penyampainya tetapi renung-renungkanlah dengan mata hati manfaat di sebalik apa yang cuba disampaikannya.

Wallahu-a'lam-bissowab.

Sunday, August 10, 2014

Mahu Semahunya

Seandainya bisa...,
ku punggahkan setiap bahasa di dalam jiwa,
justeru terlalu mahu ku susun,
di kamar-kamar indah bagaikan syurga.
Penjuru-penjuru luka itu,
mahu saja ku benam jauh,
jauh ke dasar yang tak terjumpa.
Mahu saja ku lupus gerah genting di dada.
Mahu aku semahunya,
mendukuni gemalai jiwa,
jernih sinar seiras permata,
suci dari gelambiran dosa.

Becah lecakku sebagai hamba,
pastikan melantur jua.
Tersungkur berlumpurkan nista,
hilang daya, tinggal redha... .
Ilahi Robbi


(Raz.R)
10.08.2014 @ singgahsana zohor
~"Gemersih pena berdandan gelora"~

Sunday, August 3, 2014

Cemburunya Hatiku


Melihatmu...
Mencintai tanpa belahan bagi,
Cemburunya hatiku.

Kesetiaanmu...
Tidak memungkiri,
Ah, cemburunya hatiku.

Ketaatanmu...
Kukuh laksana bentengan besi, 
Aduhai, cemburunya hatiku.

Sucinya wajahmu...
Mencium bumi berteleku sujudmu 


Sungguh aku cemburu!

Allahu, aku cemburu,
Cintanya kepada-Mu, 
Mengatasi cintaku...



~Raz.R~
03.08.2014
at : 7:25PM
:-p , ingat cemburu kat sapa kan? Hehehe...



Cinta di payungan Cinta.

بسم الله الر حمن الر حيم
 اسلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Subhanallah, Alhamdulillah, La ila ha illallah, Allahuakhbar!

Lama benar Raz tidak menjengah laman ini. Sudah dua bulan pun. Semoga sesiapa sahaja yang setia, yang rajin, yang terbuka hati membaca tulisan-tulisan Raz, sekerdil hamba-Nya ini mendapat barakah, hidayah, taufik dan perlindungan Allah Ta'ala. Ameen, Ya Rahman.Terima kasih ya, kerana sudi menghargai Raz. Allah sahaja yang dapat membalasnya.

Ramadhan telah berlalu dan Aidilfitri pun makin sayup-sayup pergi. Penat-letih, suka-suka duka yang kita lalui dalam menjalankan ibadah tersebut semoga dapatlah dikumpulkan sedikit sumbangan untuk diri sebagai bekal di bawa ke sana nanti.

Apalah kisah yang nak Raz tulis hari ini ya? Semakin hari semakin larut dalam kehidupan yang kekadang 'Entah apa-apa', kata orang.  He-He-He.., apa-apa pun, moga tidak terlewat untuk Raz mengucapkan, 'Selamat Hari Raya. Maaf, Zahir Batin' kepada semua. Masih ada lagi kuih raya kah? Tolong makankan untuk Raz sama ya. Senyum.

Hurmm.., baru-baru ni, Raz ada berbual-bual kosong dengan sahabat Raz. Kami sedih melihatkan ramai teman-teman melalui hidup yang tidak putus-putus dengan ujian. Keluhan demi keluhan. Nada hambar penuh titis-titis kekecewaan. Ada yang sudah berputus-asa. 

Demikianlah hidup ini dijadikan sebagai medan ujian, wahai kita!Untuk mendapatkan hidup yang selesa sepanjang usia, mustahillah rasanya. Telah Allah janjikan bahawa kita semua akan wajib menempuh pelbagai ujian juga. Berat atau ringan, tergantung kepada iman kita. Keperluan kita adalah memastikan diri kita sentiasa 'Move On' juga, selagi daya dengan memperbanyakkan ingatan dan tumpuan setiap perbuatan, hati, akal dan lidah kepada Allah. 

Teringat satu ulasan yang Raz baca bahawa kita masih belum mencintai Allah sepenuhnya kerana kita tidak sudah-sudah mengejar apa yang kita rasakan keperluan untuk kita di dunia. Betulkan? Kita kejar kasih-sayang suami, isteri, anak-anak, teman-teman, kekasih dan sebagainya. Semua itu, tidak bersalahan, Insha-Allah, selama mana kita hidup, kerana hubungan sesama manusia yakni silaturrahim, amatlah dituntut Ilahi. Namun, pastikan segala apa yang kita buat itu bertepatan dengan syarak yakni tidak bersalahan dengan Agama ya..

Ia adalah juga jambatan yang menghubungkan tempat kita di akhirat kelak. Baik kita kepada manusia, baiklah Allah pandang kita. Buruk yang kita lakukan terhadap manusia lain maka buruklah pandangan Allah kepada kita. Pandangan Allah jatuh kepada tindakkan, akhlak dan bagaimana hati kita berdepan dengan seluruh ciptaan-Nya. Samada tanah, pokok, haiwan, langit, udara dan segala-galanya dalam alam semesta ini adalah diamanahkan kepada kita untuk berbaik-baik sesamanya. Sebab itu Allah dah cakap, Dia ciptakan segalanya untuk manusia ini tidak pernah untuk hal yang sia-sia. Cuma, kita saja tidak mahu ambil tahu dan mempersia-siakan banyak perkara dalam hidup kita. Kita adalah 'Khalif' yang sebaik kejadian dan Allah jadikan bumi ini anugerah kepada khalif-Nya. Masha-Allah! Allahu-Robbi.

Nah! Sesudah itu Allah akan kumpulkan pandangan-Nya kepada kita. DIA sudah tentu akan membentangkan asbab dan muasabab yang menyebabkan DIA berpandangan PENUH CINTA kepada kita. Lalu, dia akan hitung-hitungkan keikhlasan kita memperhambakan diri melakukan segala hal yang baik terhadap semesta ini kerana-Nya. Subhanallah! Begitulah jalan yang sewajarnya.

Bukanlah pandangan Allah yang kita mahukan, yang sering disebut semberono, "Yang penting Allah Maha Tahu aku siapa!". Ya, benar. Allah sudah tentu tahu siapa kita kerana Dia-lah yang menciptakan kita. Allah sebenarnya mahu lihat 'situasi' apakah yang menyebabkan kita dicintai-Nya. Tidak cukup dengan zikir dan tasbih atau ibadah yang terkurung seperti di dalam gua sahaja. Allah mahu lihat, "Si polan itu telah mengasihi saudaranya, telah menolong saudaranya, telah bersama-sama saudaranya, telah bersikap baik dengan saudaranya kerana-Ku, telah mengajarkan Agama-Ku kepada saudaranya, lalu Aku cinta kepadanya kerana itu!"

Cinta di payungan cinta-Nya!Setiap sudut yang Allah beri kepada kita adalah di bawah naungan cinta-Nya. Untuk menulis dan mengolah semua ini, agak mudah bagi Raz, tetapi Raz sendiri akui, untuk melaksanakan tuntutan-tuntutan apa yang Raz tulis ini, payah tetapi boleh, Insha-Allah. 

Hati kenit Raz tergetus cemburu apabila melihat jema'ah-jema'ah cinta yang berkumpul kerana Allah pada hari raya khususnya. Betapa hebatnya mereka, berjabat mesra, berpelukkan, saling memaafkan sesama meraka. Itulah secebis dari cinta yang Allah telah payungkan kepada manusia! Ilahi Robbi, jadikan aku juga sedemikian di kalangan orang-orang yang Engkau cinta, Ya Allah! :'(

Tak dapat Raz sambung tulisan ini terus menerus, maaf. Hati Raz tersangkut dengan air mata sebak yang tidak terbayang ertinya... berhenti dulu ya! Moga dikasihi Allah semuanya. Ameen.

Raz.R
03.08.2014