بسم الله الر حمن الر حيم
اسلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Raz.R
03.08.2014
Subhanallah, Alhamdulillah, La ila ha illallah, Allahuakhbar! |
Lama benar Raz tidak menjengah laman ini. Sudah dua bulan pun. Semoga sesiapa sahaja yang setia, yang rajin, yang terbuka hati membaca tulisan-tulisan Raz, sekerdil hamba-Nya ini mendapat barakah, hidayah, taufik dan perlindungan Allah Ta'ala. Ameen, Ya Rahman.Terima kasih ya, kerana sudi menghargai Raz. Allah sahaja yang dapat membalasnya.
Ramadhan telah berlalu dan Aidilfitri pun makin sayup-sayup pergi. Penat-letih, suka-suka duka yang kita lalui dalam menjalankan ibadah tersebut semoga dapatlah dikumpulkan sedikit sumbangan untuk diri sebagai bekal di bawa ke sana nanti.
Apalah kisah yang nak Raz tulis hari ini ya? Semakin hari semakin larut dalam kehidupan yang kekadang 'Entah apa-apa', kata orang. He-He-He.., apa-apa pun, moga tidak terlewat untuk Raz mengucapkan, 'Selamat Hari Raya. Maaf, Zahir Batin' kepada semua. Masih ada lagi kuih raya kah? Tolong makankan untuk Raz sama ya. Senyum.
Hurmm.., baru-baru ni, Raz ada berbual-bual kosong dengan sahabat Raz. Kami sedih melihatkan ramai teman-teman melalui hidup yang tidak putus-putus dengan ujian. Keluhan demi keluhan. Nada hambar penuh titis-titis kekecewaan. Ada yang sudah berputus-asa.
Demikianlah hidup ini dijadikan sebagai medan ujian, wahai kita!Untuk mendapatkan hidup yang selesa sepanjang usia, mustahillah rasanya. Telah Allah janjikan bahawa kita semua akan wajib menempuh pelbagai ujian juga. Berat atau ringan, tergantung kepada iman kita. Keperluan kita adalah memastikan diri kita sentiasa 'Move On' juga, selagi daya dengan memperbanyakkan ingatan dan tumpuan setiap perbuatan, hati, akal dan lidah kepada Allah.
Teringat satu ulasan yang Raz baca bahawa kita masih belum mencintai Allah sepenuhnya kerana kita tidak sudah-sudah mengejar apa yang kita rasakan keperluan untuk kita di dunia. Betulkan? Kita kejar kasih-sayang suami, isteri, anak-anak, teman-teman, kekasih dan sebagainya. Semua itu, tidak bersalahan, Insha-Allah, selama mana kita hidup, kerana hubungan sesama manusia yakni silaturrahim, amatlah dituntut Ilahi. Namun, pastikan segala apa yang kita buat itu bertepatan dengan syarak yakni tidak bersalahan dengan Agama ya..
Ia adalah juga jambatan yang menghubungkan tempat kita di akhirat kelak. Baik kita kepada manusia, baiklah Allah pandang kita. Buruk yang kita lakukan terhadap manusia lain maka buruklah pandangan Allah kepada kita. Pandangan Allah jatuh kepada tindakkan, akhlak dan bagaimana hati kita berdepan dengan seluruh ciptaan-Nya. Samada tanah, pokok, haiwan, langit, udara dan segala-galanya dalam alam semesta ini adalah diamanahkan kepada kita untuk berbaik-baik sesamanya. Sebab itu Allah dah cakap, Dia ciptakan segalanya untuk manusia ini tidak pernah untuk hal yang sia-sia. Cuma, kita saja tidak mahu ambil tahu dan mempersia-siakan banyak perkara dalam hidup kita. Kita adalah 'Khalif' yang sebaik kejadian dan Allah jadikan bumi ini anugerah kepada khalif-Nya. Masha-Allah! Allahu-Robbi.
Nah! Sesudah itu Allah akan kumpulkan pandangan-Nya kepada kita. DIA sudah tentu akan membentangkan asbab dan muasabab yang menyebabkan DIA berpandangan PENUH CINTA kepada kita. Lalu, dia akan hitung-hitungkan keikhlasan kita memperhambakan diri melakukan segala hal yang baik terhadap semesta ini kerana-Nya. Subhanallah! Begitulah jalan yang sewajarnya.
Bukanlah pandangan Allah yang kita mahukan, yang sering disebut semberono, "Yang penting Allah Maha Tahu aku siapa!". Ya, benar. Allah sudah tentu tahu siapa kita kerana Dia-lah yang menciptakan kita. Allah sebenarnya mahu lihat 'situasi' apakah yang menyebabkan kita dicintai-Nya. Tidak cukup dengan zikir dan tasbih atau ibadah yang terkurung seperti di dalam gua sahaja. Allah mahu lihat, "Si polan itu telah mengasihi saudaranya, telah menolong saudaranya, telah bersama-sama saudaranya, telah bersikap baik dengan saudaranya kerana-Ku, telah mengajarkan Agama-Ku kepada saudaranya, lalu Aku cinta kepadanya kerana itu!"
Cinta di payungan cinta-Nya!Setiap sudut yang Allah beri kepada kita adalah di bawah naungan cinta-Nya. Untuk menulis dan mengolah semua ini, agak mudah bagi Raz, tetapi Raz sendiri akui, untuk melaksanakan tuntutan-tuntutan apa yang Raz tulis ini, payah tetapi boleh, Insha-Allah.
Hati kenit Raz tergetus cemburu apabila melihat jema'ah-jema'ah cinta yang berkumpul kerana Allah pada hari raya khususnya. Betapa hebatnya mereka, berjabat mesra, berpelukkan, saling memaafkan sesama meraka. Itulah secebis dari cinta yang Allah telah payungkan kepada manusia! Ilahi Robbi, jadikan aku juga sedemikian di kalangan orang-orang yang Engkau cinta, Ya Allah! :'(
Tak dapat Raz sambung tulisan ini terus menerus, maaf. Hati Raz tersangkut dengan air mata sebak yang tidak terbayang ertinya... berhenti dulu ya! Moga dikasihi Allah semuanya. Ameen.
Raz.R
03.08.2014