Salam kasih Kerana Allah

Salam kasih Kerana Allah
Assalamualaikum wbt - Sekadar Berkongsi Ilham dan Pengalaman

Sunday, May 18, 2014

HATI AL-QUR'AN (Surah Yaasin)



بسم الله الر حمن الر حيم*
 *اسلام عليكم ورحمة الله وبركاته


Sedikit nota agar kita sama-sama mendapat manfaat darinya. Mudah-mudahan Allah redha. Ameen.


Kita selalu membaca surah Yasin, surah ke-36 dalam Al-Qur'an. Kekadang kita membaca tanpa tahu fadilatnya. Ramai yang lancar membaca surah ini dan ramai pula sengaja atau suka ia dijadikan amalan. Ramai juga yang melazimkan pembacaan sehingga menjadi hafalan. Alhamdulillah, tidak kiralah samada amalan itu pada hari apa, di waktu mana atau yang bagaimana, jangan peduli itu semua. Yang pasti, kita amalkannya kerana Allah SWT, dengan rasa khusyuk, kasih dan takut  kepada Allah. Itulah yang memadai.



Ingat, Allah melihat niat di hati. Bukan melihat apa orang akan kata tentang kita. Jadi, ‘Be humble’ di hadapan Allah. Jiwai pembacaan untuk menampung amalan-amalan kita yang pincang agar dapat di bawa berhadapan dengan Allah nanti dalam keadaan yang Allah redha. ‘That’s it!’.



Sabda kekasih Allah, Rasulullah s.a.w, daripada Hadrat ‘Ata’ bin Bai Rabah r.a,

“Telah sampai kepadaku bahawa Rasulullah bersabda bahawa sesiapa yang membaca surah Yaasin pada permulaan hari maka segala hajatnya akan ditunaikan.” (HR: Darimi)



Itulah salah satu fadhilat membaca surah Yaasin yang diberitahu baginda.

Kelebihan membacanya terdapat dalam banyak hadis, seperti, “Segala sesuatu mempunyai hati, dan hati bagi al-Qur’an adalah Yaasin. Sesiapa yang membaca surah Yaasin, Allah Ta’ala akan menulis pahala baginya seperti membaca seluruh al-Qur’an sebanyak 10 kali.



Dalam hadis yang lain pula ada menyebut bahawa Allah Ta’ala membacakan surah Taha dan surah Yaasin 1000 tahun sebelum menciptakan langit dan bumi. Bila saja para malaikat mendengarkan itu, mereka berkata, “ Bertuahlah umat yang diturunkan Al-Qur’an kepada mereka, bertuahlah hati-hati yang  yang memikul Al-Qur’an yakni yang menghafalnya dan bertuahlah lidah-lidah yang membaca Al-Qur’an.”

Malah ada riwayat hadis yang menerangkan, “Sesiapa yang membaca surah Yaasin semata-mata kerana Allah, segala dosanya yang dahulu akan diampunkan. Maka bacalah surah ini kepada orang yang telah mati.”

Menurut sebuah hadis pula, di dalam kitab taurat surah Yaasin dinamakan Mun’imah (Pemberi Nikmat) kerana surah tersebut memberi kebaikan kepada pembacanya dalam kehidupan di dunia dan akhirat iaitu menghindari penderitaan di dunia dan menjauhkan kedasyatan azab di kehidupan akhirat.



Yaasin juga dikenali sebagai Rafi’ah Khafidah iaitu yang mengangkat darjat orang yang beriman dan merendahkan darjat orang yang kafir. Ada satu riwayat yang menyebut sabda Rasulullah s.a.w, “Hatiku menghendaki supaya surah Yaasin berada di dalam setiap hati setiap umatku.”



Menurut hadis yang lain pula ada memberitahu bahawa sesiapa yang membaca surah Yaasin setiap malam dan kemudian dia mati, maka matinya adalah mati syahid.



Ada juga hadis yang lain, “Sesiapa yang membaca surah Yaasin, maka dosanya akan diampunkan. Ketika membacanya sewaktu kelaparan, maka kelaparannya akan hilang, ketika di baca sewaktu sesat jalan, maka jalannya akan dijumpai semula, ketika dibaca kerana kehilangan haiwan tunggangannya maka ia akan dijumpai semula, dan ketika ia dibaca saat bimbangkan makanan tidak cukup maka makanannya akan mencukupi. Ketika dibaca pula kepada orang yang sedang nazak, maka kesakitan ketika nazaknya dapat diringankan. Ketika dibacakan ia kepada wanita yang mengalami kesukaran bersalin, maka akan dipermudahkan kelahiran bayinya.”



Hadrat Muqri r.a berkata, “Sekiranya surah Yaasin dibaca oleh yang takutkan pemerintah atau musuh, maka ketakutannya akan hilang.”




Demikianlah banyaknya fadhilat surah Yaasin bagi yang ingin tahu. Mengamalkannya memberikan pahala, malah memberikan kebaikan-kebaikan yang setara dengan kalimatullah yang lain juga. Ia adalah dari Al-Qur’an dan apa sahaja yang datang dari helaiannya adalah mukjizat dan penawar tanda kasih Allah kepada kita semua umat Islam.



Kemahuan dan kesungguhan kitalah yang dapat meraih nikmat dan rahmah Allah tersebut. Beruntunglah kita yang sentiasa mendekati ayat-ayat Allah. Insha Allah. Ameen.

Salam kasih kerana Allah.
Raz.R