Salam kasih Kerana Allah

Salam kasih Kerana Allah
Assalamualaikum wbt - Sekadar Berkongsi Ilham dan Pengalaman

Saturday, April 7, 2012

Rindukah Dia Padaku?



"Aku rindu padanya, adakah dia rindu padaku?"

Raz percaya, semua orang mempunyai perasaan sebegini dan pernah bertanya soalan ini pada diri sendiri. Jangan menipu diri ya? Tak baik.. Perasaan kita adalah milik kita. Tidak perlu kita berpura-pura. Kononnya kita tidak pernah rindu sesiapa. Rindu adalah anugerah-Nya juga. Jika rindu itu tidak tertakdir oleh-Nya sebagai satu perkara yang baik, kenapa Allah SWT hadirkan ia di dalam perasaan manusia?

Allah jadikan ia salah satu naluri insan. Ia adalah fitrah. Ia adalah keperluan. Kita tidak pernah meminta rindu. Namun kita diberi. Rindu adalah pemberian Ilahi. Sentuhan bahasa hati yang murni.

Cuma, setiap apa jua pemberian Ilahi yang diberi kepada kita perlu diguna dengan cara yang tidak melampau. Bijak dan bersederhana. Sepertimana apabila kita sakit, dan kita makan berlebihan ubat, itu akan membawa mudarat. Begitulah rindu. Rindu juga perlu berada di dalam kawalan agar tidak keterlaluan.

Allah rindu hamba-Nya untuk merindui-Nya. Namun Allah tidak menyuruh hamba-Nya terperuk dan termenung tanpa melakukan usaha-usaha lain di dunia ini hanya kerana kita mahu merindukan-Nya. Allah lebih mencintai kita yang bijak menyeimbangkan segala pemberian-Nya. Tidak di dalam ketaksuban dan melalaikan. Samalah apabila kita merindui sesama kita. Rindu adalah salah satu sentuhan 'silaturrahim'. Rindu adalah salam hati dari batin.

Allah ciptakan segala-Nya bersama-sama landas-landasnya. Allah sertakan pada manusia itu hati, akal dan jiwa. Allah uji kita melalui hati, akal dan jiwa juga. Allah selalu sebut, "Bagi mereka yang mahu memikirkannya". Jadi, fikirkanlah..

Andai rindu menghiris kalbu
Usah terbawa pedih dan sakit
Tadahkan tangan, serahkan perasaan
Bukan kepada insan, namun kepada Tuhan
Berdoalah.. selitkan rindumu di situ
Allah mendengar rasa hatimu
Allah tahu kelemahanmu
Allah mengerti desah resahmu
Sampaikan kepada-Nya setiap rasa
Gendang hati akan diketuk, irama akan bersambut
InsyaAllah, dua jiwa akan bertaut
"Ya Robbana, sungguh hati ini ada rindu padanya. Ampunkan aku jika murka yang kubawa. Aku kerdil dan lemah. Kuserahkan rasa ini kepada-Mu. Izinkanlah ia disentuh dengan keredhaan dan keberkatan-Mu. Ameen Ya Robbal Alamin."

"Sabar dan solatlah!"
Inilah kunci yang mampu membuka banyak pintu.
Subhanallah
Alhamdulillah
Lailahaillallah Muhammadurrasulullah...
Allhuakhbar !

Pedapkan hati, lidah dan akal. Ingatlah kepada Allah selalu dan Allah akan membuatkan seluruh makhluk mengingatimu, merinduimu. InsyaAllah. Ameen.

Salam kasih Lillahita'ala.


"RaZzie RazZmatazz"