Berdoalah
Bissmillahirrahmanirrahim...
Secara umumnya doa adalah kekuatan yang mendorong. Justeru itu, ia mesti difahami. Doa juga boleh dianggap perisai pertahanan daripada rasa kekecewaan. Sayangnya ramai diantara kita yang berdoa tapi tidak memahami yang didoakan. Doa juga dapat menyalakan semangat. Ketika kita lemah kita berdoa memohon kepada Allah supaya kita dapat bangkit kembali. Oleh itu berdoalah dan fahamilah apa yang kita doakan itu.
Ketika berdoa kita menceritakan kelemahan diri kita. Kita mengakui akan hukum sebab-musababnya. Kelebihan doa adalah hubungan terus dengan Allah tanpa ada orang tengah. Hubungan inilah merupakan hubungan secara langsung yang membolehkan kita mencurahkan apa sahaja perasaan bagi membuang segala keserabutan di dalam diri kita.
Doa yang benar-benar difahami akan merubah hidup sesorang menjadi lebih berazam, cergas dan lebih jujur. Jadi, doa bukan sekadar kata-kata tetapi interaksi yang boleh merawat diri kerana ia lebih merupakan gambaran perasaan dan jiwa.
Oleh itu, berdoalah dengan bahasa apa sekali pun yang kita fahami kerana Allah itu memahami segala bahasa.
Semoga, dengan keikhlasan serta kesungguhan yang telah kita titipkan di dalam sembahan doa-doa kita itu termakbullah segala harapan atau Allah lah yang Maha mengetahui kesesuaian apa yang diperlukan oleh hamba-Nya. Justeru, jika harapan tidak seperti yang didoakan, mengertilah bahawa Allah sedang merancang atau telah menciptakan sesuatu hal yang lebih baik daripada apa yang kita harapkan. Insya Allah. Ameen..Wallahu'alam...