Salam kasih Kerana Allah

Salam kasih Kerana Allah
Assalamualaikum wbt - Sekadar Berkongsi Ilham dan Pengalaman

Saturday, June 22, 2013

Kita Tidak Sentiasa Kuat



Bissmillahirrahmanirrahim..

Hakikat..

Adakalanya kita menulis sesuatu, bermotivasi tentang kekuatan, pun sebenarnya kita tidaklah sekuat kata yang tergambar di rangkapan indah perkataan dan susunan ayat. Sebabnya kita hanya manusia biasa. Tiada kuasa. Kita hanya mengharapkan kekuatan Allah Ta'ala. Kekuatan dari Allah itu juga tidak sepenuhnya dapat menembusi dan mengekang jiwa kita dari terasa goyah dan lemah. Kita manusia yang lemah dengan janji-janji iblis yang sentiasa cuba menghalang kebaikan. Kita manusia yang sering berdosa.

Kalau tidak memupuk iman, mencari jalan menguatkan jati diri daripada ibadah, doa dan ketaqwaan, longlailah kita dihanyutkan surut dan kontangnya iman

Benar, gembira tidak selamanya menemani. Seronok dan suka tidak juga sentiasa serasi. Sedih hiba tidak datang menetap lama. Pekerti yang baik tidak selalunya lama bertahan. Jahat diri juga belum tentu selamanya bertapak. Semangat tidak selamanya bangkit. Kasih tidak selamanya segar. Benci tidak selamanya menghiris. Cinta tidak selamanya indah. Gagah kuat tidak selamanya berdiri tegak. Kitalah itu, manusia. Serba serbi tentang diri kita bercampur aduk ibarat rojak.

Tidak wajar kita meneka bahawa orang yang nampak hebat, tabah dan kuat itu tidak pernah lemah. Hati telah Allah jadikan berbolak-balik. Iman tidak menetap di graf atas dan sekata. Wajah yang manis belum tentu tidak pernah muram mencuka.

Semuanya itu hakikat (fitrah) kejadian manusia.
Cuma, kita bertuah menjadi manusia Islam kerana keyakinan, kepercayaan dan kebenaran yang di bawa oleh ajaran-Nya dari lidah dan peribadi manusia ulung Rasulullah s.a.w tentang Mega Gagah ke-Esaan Allah Subhanahuwa Ta'ala dapat membimbing jiwa kita perlahan-lahan kembali ke jalan yang UTAMA. Taqarrub kepada Allah apabila sedar betapa kita begitu lemah. Kepada DIA-lah kita kembalikan segala kelemahan tersebut. Dari-Nya jugalah dapat kita suntik kembali kekuatan berlandaskan  KEHEBATAN-NYA!

Kita tidak sentiasa kuat di jiwa raga. Namun kita tetap akan kembali kuat jua!
Rojak, nampak sahaja hitam pekat. Rasanya masin, masam, lemak manis, masin dan sedikit kelat tetapi bagi sesetengah orang, itulah yang sangat sedap.

Senyum. Moga dikasihi Allah Ta'ala sepanjang masa. Ameen.