Senyum Semanis Halwa Mata |
Senyum...
Semoga kesejahteraan dan kasih sayang Allah bersama kita seluruhnya. Solawat serta salam kepada baginda junjungan yang tercinta Rasulullah SAW dan umat muslimin dan muslimat semuanya. Ameen.
Jangan terkejut untuk paparan foto di atas ya? Manis-manis mereka semua, kan? Sengaja Raz ingin berkongsi kembara Raz baru-baru ini. Oh, ya! Semua yang tersenyum ayu di atas ini adalah adik-adik kesayangan Raz. Generasi baru yang bakal mewarisi baik-buruk bumi di masa hadapan. Insya Allah. Semoga mereka menjadi manusia dewasa yang mencerminkan insan beragama. Ameen.
Nilai persahabatan akan dapat berfungsi dengan baik jika menggunakan ketetapan jiwa yang bersih. |
Beberapa hari yang lalu, Raz meluangkan masa bersama adik- adik tersayang. Kenangan yang terhimpun di dalam diari kembara itu amat indah. Masih terbingkai memori tersebut di mata dan di hati. Indah sekali.
Alhamdulillah, di asrama di pusat di salah satu pusat pendidikan yang nampak biasa tetapi mengacarakan budi pekerti sebagai haluan pertama di dalam kesinambungan ilmu yang mereka tuntut. Terima kasih kepada pengasas pusat pendidikan tersebut. Semoga rahmah dan kasih sayang Allah memayungi setiap budi yang telah ditabur kepada anak-anak didik beliau. Ameen.
Kemesraan, budi bahasa, tutur bicara daripada silaturahim anak-anak muda ini menggemburkan kasih-sayang saujana birunya langit dan lautan. Unik dan menghiburkan.
Jelas, usia muda tidak selalunya menyelongkar hanya tunas hijau perasaan remaja. Ada di kalangan mereka Raz membaca kematangan yang ketara. Malahan mereka lebih hebat dari sesetengah manusia dewasa seperti Raz. Raz amat kagum.
Berdikari, bersatu, menghormati dan saling menyokong membuatkan mereka menjadi insan yang berhemah dan mempersonakan. Syabas kepada mereka semua! Doa Raz agar suatu hari kumpulan ini dapat membina kehidupan yang penuh dengan kesejatian ukhwah lalu berjaya, tidak sekadar di dunia tetapi di akhirat jua. Ameen Ya Robaal 'Alamin. Perkenankanlah Ya, Rahman...
Raz khaskan penulisan ini untuk mereka dengan pesanan semoga mereka dapat giat berusaha. Semoga mereka sentiasa bersemangat. Semoga mereka sentiasa mengerti bahawa apa yang mereka ciptakan hari ini akan memberi impak yang besar kepada masa hadapan bumi Allah SWT.
Jaga diri baik-baik ya. Ingat Allah selalu.
"Sesungguhnya keindahan hati dengan ilmu adalah cerminan peribadi yang mulia."
Salam kasih dari kakakmu.
Raz.R
Kembara Kasih Seremban Dua.