Salam kasih Kerana Allah
Monday, July 25, 2011
Pesan-pesan Sayang
"Jika kamu tari, akulah rentaknya!"
Ada pesan yang ingin Raz sampaikan dari hati kecil Raz.
Melalui pengalaman melihat dan meneliti kesinambungan manusia dan alam, Raz dirasuk gelora perasaan yang berkobar-kobar untuk memberi sedikit pesanan. Mungkin kata-kata Raz ini tidak akan memberi kesan apa-apa kepada kehidupan tetapi Raz masih juga merasakan peranan Raz sebagai insan dikalangan insan.
Soal hati lagi.
Kali ini lebih kepada "Pertalian Kasih-sayang"
Pertama sekali, usah kita sayangi seseorang bermula dengan kasih yang berpangkalkan pura-pura. Kepuraan adalah asal daripada cabang pembohongan. Pendek kata, jangan sekali kita menipu dalam kasih-sayang. Itu akan memberikan kesan yang buruk pada perjalanan sesuatu pertalian yang kita bina. Kalau sayang, maka penuhkan ia dengan keikhlasan sayang yang sebenar.Keikhlasan yang terus kerana Allah SWT. Biarkan kata sayang yang terbit dari lidah itu muncul dari gendang yang bunyinya dari hati. InsyaAllah, kasih yang kita miliki akan menjadi kasih yang sejati.
Keduanya, bila kita menyayangi seseorang, usah longgarkan rasa kasih kita dengan pengabaian. Kata lain, "Tidak peduli" atau "Tiada Perhatian." Perkara ini selalu berlaku dikalangan kita. Adakala kita memandang remeh perasaan orang lain. Biarpun hidup kita adakalanya dijejaskan dengan kesibukkan kita mengejar harta keduniaan, tetapi kita perlu selalu terapkan di dalam hati yang istiqamah bahawa insan yang kita cintai itu juga adalah harta yang tidak ternilai yang juga perlu kita anggap sebagai keutamaan. Perhatian, bukan bermakna kita perlu berada disisi yang dikasih sentiasa. Perhatian seringkali berkait rapat dengan penjelasan, kejujuran, kemaafan dan tolak-ansur. Kita perlu bijak menjaga hati orang yang kita kasih dengan perkara-perkara ini. Diam tanpa penjelasan apa-apa kadang-kadang akan mengundang banyak bencana dalam perhubungan.Jadi, biasakanlah diri kita bersabar, berterus terang dan memberi penjelasan yang jujur atas sebarang urusan hidup kita. InsyaAllah keutuhan cinta akan menyuburkan bunga-bunga dan buahnya.
Ketiganya, ALLAH!
Perkara ini yang paling penting.
Kasih yang berlandaskan kasih sayang Allah di dalam sesuatu perhubungan akan memberikan impak yang besar pada tiap perhubungan. Majorotinya, kita yang mengasihi pasangan kita kerana Allah akan rasa kebahagiaan yang cukup indah dan berkekalan.
Kasih sayang kerana Allah akan selalu buat kita bersyukur dengan apa yang kita miliki. Kasih sayang kerana Allah akan sentiasa buat kita tidak cepat melatah dan terburu dek sengketa sangsi di jiwa. Kasih sayang kerana Allah akan membuatkan kita redha diatas apa yang kita miliki, baik berlebihan atau di dalam ketiadaan. Yakin pada kasih Allah, maka keyakinan kasih sayang kita akan tetap bertahan walau sejuta ujian yang datang mencengkam kehidupan. InsyaAllah. Amin..
Wallahua'lam.
Pesan-pesan sayang dari Raz.R tulus dari hati. MMuuuahks! Assalamualaikum. Moga dibawa oleh naungan cinta Ilahi selamanya. Amin.