Salam kasih Kerana Allah
Friday, July 8, 2011
Dialog luka Wanita Terus Lagi..
"Dari tadi, kak tengok hang diam ja, Su? Hang OK ka?"
Raz menegur Su yang diam seribu kata. Sepertinya dia bermalasan untuk bercerita apa-apa hari ini. Tangan Raz memegang steering kereta, memandu secermat yang boleh. Agaknya dia bosan dengan cara pemanduan Raz yang sedikit berhemah.Lambat sampai, tetapi selamat diri, InsyaAllah. Raz tersenyum di dalam hati. Su masih terdiam. "Hemmm.. apakah yang sedang bermain di mindanya?" Getus hati Raz.
"Nampak gayanya, masih ada sisa-sisa yang hang dok pendam noh?" Tanya Raz berseloroh. Su tersenyum. Manis tapi,tiada rasa. Kasihan gadis itu. Apalah salahnya jika dia mahu bahagia. Kenapa dia dibiarkankan sengsara di dalam rempah setia yang tiada penghujungnya? Siapa perlu dipersalahkan?
"Kak.." Tiba-tiba Su bersuara. Raz tersenyum lega. Tidaklah terasa macam tiada sesiapa disebelah Raz.
"Nak tanya sikit boleh, kak?"
"Eh! Awat tak boleh pulak.. apadia?"
"Kak Raz tak pernah kecewa ka?"
Raz terkesima dengan soalannya. Alahai terkena batang hidung sendiri kali ini. Soalan biasa yang menjadi lumrah pada kehidupan Raz. Tiada apa-apa yang perlu dimahalkan dengan soalan sebegitu.
"Sapa kata tak pernah? Belambak kali dah lorhh.." sambil ketawa Raz menjawabnya. Su mengangkat keningnya. Mohon kepastian agaknya.
"Dalam cinta?" Tanyanya lagi.
"Uihhh...cinta ka? Macam-macam tonggeng dah kak Raz lalui dalam 'frust' nih. Yang meniarap pun ada, Su. Kuak lentang pun ada jugak!!" Raz ketawa lagi. Dia turut ketawa terkekek.
"Iya ka kak Raz??!! Dahsyat tu!"
"Hik! Hik!Hik!.. Dahsyat tak dahsyat sampai dapat penyakit lah, Su oii.."
"Dah tu.. sekarang macam mana kak lalui semua tu?"
Sebenarnya Raz sendiri sukar untuk menjawab jawapan Su. Bagaimana Raz telah melalui keperitan hidup Raz susah digambarkan dengan kata-kata biasa. Selalunya, gambaran rasa itu hanya dapat diberitahu dengan lelehan airmata untuk menggambarkan betapa sakitnya laluan yang dipijak sambil melangkah dengan penuh ketahanan mengisi hidup dengan meneruskan kehidupan yang seadanya.
"Kita bernasib baik, Su.. kerana lahir sebagai Mukmin. Mungkin itulah sebabnya kita dapat lalui semua perkara dengan sedaya-upaya kita"
Su terdiam seketika, kemudian menyambung dengan wajah yang agak kecewa.
"Betul la tu kak. Tapi.. iman kita ni tidaklah setebal mana. Macam Su ni ha.. kadang-kadang tu terfikir untuk memilih mati daripada meneruskan hidup dengan rasa siksa, kak."
"Aihh.. astaghfirullahalazim.. janganla cakap lagu tu..! Berdosa!!. Allah marah sangat kalau hamba-Nya, terima ujian dengan memohon segera dimatikan."
Dalam benak Raz, menasihati memang semudah kata. Namun, sebenarnya Raz pernah merasai apa yang dirasakan Su. Jika dulu Raz kembali kepada fitrah kita sebagai hamba-Nya, maka kali ini Raz mahu Su juga kembali untuk tidak menyesali siksaan yang dirasa di dalam kehidupannya. Raz mahu dia bersemangat semula.
"Entahlah kak.. Su, dah rasa tak kuat lagi. Kadang-kadang Su rasa, betapa tidak adilnya sikap manusia. Pentingkan apa yang mereka mahu dan rasa. Sedang kita, dibuat sesuka hati, kerana kita ini tak ada kuasa. Lemah. Senang diperbodohkan. Segalanya kerana kepentingan dan kehendak diri. Lalu kita dikorbankan tanpa rasa belas. Geram sungguh kan, kak?"
"Hemm.. Nak cari keadilan di dalam diri manusia ni, Su. Mana ada. Kalau ada pun payah nak jumpa. Dan kalau jumpa pun, adilnya belum tentu sepenuhnya."
Su membungkam diam. Raz tahu dia amat kecewa. Dia amat letih dengan perasaannya. Dia juga amat letih dengan keadaan yang menekan di sekelilingnya.
"Su.. mungkin ada kesimpulan yang Allah nak tunjukkan kepada kita dihayat yang ada. Mungkin itulah pelajaran Allah kepada kita. Dia mahu kita mengenali sifat-sifat manusia yang sebenag. Dia mahu kita bezakan sifat-Nya dengan sifat manusia yang kadang-kadang kita terlalu bergantung harap. Padahal, manusia itu.. sekuat manapun kita bergantung kepada mereka.. mereka cuma dahan-dahan yang boleh rapuh dan patah bila-bila masa sahaja, Su."
Su tunduk dan diam lagi. Doa Raz di hati, mudah-mudahan dia akan tabah menjulang hatinya sedaya mungkin untuk meneruskan kehidupan walau saujanamana besar pun keretakkan yang telah mencerobohi hatinya.
Seiring dengan menasihati diri Raz yang serba kerdil ini, agar terus kuat juga. Sekalipun tiada sesiapa yang menjadi penampan dan penyokong apa yang kita lalui di dalam hidup, kita tetap perlu meneruskan hidup.
Jika harapan kita terhadap manusia itu telah lumpuh. Usah lumpuhkan harapan yang kita gantungkan kepada Allah Ta'ala juga.
.."Dia adalah sebaik-baik Pelindung dan sebaik-baik Penolong.[Surah Al-Anfal:40]"
Salam kasih dan selamat malam.
Raz bingkiskan sulaman kata bersama senyuman yang penuh keletihan, namun InsyaAllah ikhlasnya tetap ketat! Assalamualaikum...
Raz.R
dihari yang penuh kekalutan.