Salam kasih Kerana Allah
Saturday, July 2, 2011
Dialog Luka Wanita Lagi.
Su menyedut minumannya perlahan. Matanya memandang jauh pada pulau hijau di hadapan. Cahaya matanya memberitahu, bukan pulau itu yang dilihatnya. Rasa hati Raz tergerak tahu bahawa dia sedang melihat sesuatu yang lebih jauh. Jauh yang tidak terduga sesiapa, kecuali dirinya dan hatinya.
Raz memulakan sembang biasa. Bertanya khabar tentang keluarga. Dia cuma mengangguk-angguk sahaja. Semuanya di-iyakan dengan selamba. Tahulah Raz, bukan itu yang mahu dibualkan. Dia mahu Raz mendengar rasa di dalam jiwanya lagi.
"Awatnya Su?.. Masih terkenang "Orang tu" lagi ka?"
Dia terkejut. Matanya terus dijelingkan ke arah Raz. Wajahnya berubah tawar dan berselikan riak sakit. Raz memohon maaf padanya. Setelah itu, dia sedikit selesa. Rentaknya seperti mahu meneruskan bicara.
"Tak tahulah kak Raz.. Su sendiri tak faham. Kata putus telah dibuat. Hati dah tak larat nak hadapi semua kesedihan yang Su lalui seorang diri. Tapi Su...., Su masih rasa seperti sesuatu yang tidak kena. Su masih ingat segalanya tentang dia, kak!"
"Hemmmm... tak apalah Su. Nak buat lagu mana. Tempat jatuh lagikan dikenang. Inikan tempat hati jatuh. Kan??"
Raz tersenyum. Dia juga tersenyum. Dalam senyumnya Raz lihat wajah yang penuh tekanan. Susut badan Su juga dah mula nampak lebih ringan dari dahulu ketika Raz menemuinya. Pasti, dia tetap membawa dirinya melayan kegundahan dan rasa derita.
"Dia dok call hang lagi ka, Su?"
Raz sengaja mahu dia menyambung cerita berat agar ringan apa yang tersimpan di dalam jiwa sahabat Raz itu. Raz kasihankan dia. Dia banyak berubah. Lebih diam dan tidak ceria. Su menggelengkan kepalanya lemah. Pasti hatinya teramat sayu.
"Tak kak Raz.. mungkin dia tengah bahagia dengan hidupnya sekarang. Mungkin dia telah memiliki apa yang sangat diinginkan dulu. Tapi Su sakit, kak. Dia langsung tidak mempedulikan Su. Ya lah! Memang Su ingin dia bahagia.. tapi.. patutkah dia buat Su menderita macam ni, kak? Zalim sangat rasanya sikap tu. Su rasa tidak berharga. Setelah Su korbankan segalanya. Su di layan sebegini rupa, kak.."
Raz pandang matanya. Ada sesuatu yang telah meragut sinar dari matanya. Air yang bergenang. Hati yang meruntun pilu.
"Ishh.. bukan ka hang cakap, hang nak jauhkan diri dari hidupnya?.. Awat pikiag macam tu? Biarkanlah.. yang berlalu, takyah dok ingat lagi dah. Kalau dah hang nak dia bahagia.., kak rasa, elok hang lepas dia dengan seikhlasnya. Biag la dia dengan hidupnya. Jangan pulak hang dok moyok macam ni. Tak baik tu.. Depa dok bahagia, hang dok macam ayam berak kapog sorang-sorang.. apa cerita tu?"
Dia tunduk mengangguk perlahan. Seperti mengakui yang dia harus pasrah pada takdir yang telah dipilih Allah untuknya. Namun, Raz faham, untuk menerima sebuah takdir yang bertentangan dari sebuah impian yang telah dicita-citakan sekian lama, bukan semudah kata. Dia ketakutan untuk menerima kehidupan yang akan mengubah segalanya.
"Su.. Su cuma tak mampu menerima orang lain dalam hidup Su, kak. Su takut. Su rasa tidak percaya lagi. Kemungkinan-kemungkinan penipuan, rasa terluka dan dilukai itu akan berulang lagi. Malas dan letih untuk melalui semua tu lagi, kak".
Raz faham. Sangat faham. Hati wanita ini persis sebuah kristal yang nampak teguh namun rapuh. Sekali hancur, masakan bercantum semula menjadi seperti biasa. Raz sekadar menasihatinya supaya yakin bahawa, tidak semua insan itu sama sifatnya. Tidak semua orang suka melukakan hati orang lain. Tapi, di dalam hati Raz ini..,
"Aku pastikah?, sedang aku sendiri pernah melalui perit luka pelbagai manusia?"
Astaghfirullahalazim..
Dari Allah kita datang, lalu berteguhlah hati bahawa kepada Allah jualah kita serahkan segalanya.
Pagi yang tenang..
wahai hati yang malang..
teruslah tenang..
Allah akan makbulkan segala doamu..
InsyaAllah.
02 julai 2011
~Raz.R~