Salam kasih Kerana Allah

Salam kasih Kerana Allah
Assalamualaikum wbt - Sekadar Berkongsi Ilham dan Pengalaman

Monday, July 4, 2011

Wahai Hati Yang Baik






Wahai hati yang baik,
Kenapa menangis sayang?
Sakit benarkah ujian yang diterimamu?
Sabarlah, bukankah ujian itu tanda kasih Tuhan-Mu?
Tahanlah, darjatmu akan dipelihara-Nya.

Wahai hati yang baik,
Kenapa mengeluh sayang?
Tepislah lekas, jangan keluh itu dibesar-besarkan
Bukankah keluhan itu tanda kita diusik syaitan?
Sabarlah lagi ya? Biar syaitan lari ketakutan
Tahanlah lagi ya? Itu tandanya tebal ketaqwaan

Wahai hati yang baik,
Kenapa ikut rasa sayang?
Kawallah cepat agar ia tidak melarat
Bukankah sekian kita terikut rasa, sekian itu kita binasa?
Sabarlah terus ya? Biar hati tidak mati, nurani terus perkasa.
Tahanlah terus ya? Emosi akan dewasa, iman akan sentosa.

Wahai hati yang baik,
Kenapa ikut nafsu sayang?
Lawanlah nafsu yang buruk, agar peribadi terpelihara
Bukankah nafsumu menjadikan kamu insan palsu?
Sabarlah sentiasa ya? Biar akhlak bersinar sempurna
Tahanlah sentiasa ya? Insan yang terbaik adalah yang terbaik dalam akhlaknya.

Wahai hati yang baik,
Teruslah mengamal perkara yang tetapnya baik
Walau di ajak ke jalan tidak baik
Bertugulah kukuh di situ, tanpa rasa pelik
Ingatlah.. yang baik akan tetap dikenang baik.

InsyaAllah.. Amin..


Salam kasih kerana Allah.
~Raz.R~
disenja yang indah.
04.07.2011