Salam kasih Kerana Allah

Salam kasih Kerana Allah
Assalamualaikum wbt - Sekadar Berkongsi Ilham dan Pengalaman

Sunday, July 3, 2011

Jemaah Kasih




Bissmillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum w.b.t.
Ya Allah.. Jika Engkau meluruskan kami dengan hidayah-Mu, mohon belas untuk Engkau menetapkan kami terus di situ dengan ketaqwaan yang mendalam dan kuat terhadap-Mu. Amin, Ya Robbal Alamin.


Masih terngiang-ngiang sebuah sembang malam yang menceriakan. Seorang sahabat telah mengajarkan Raz sesuatu yang membekalkan ilmu. Alhamdulillah, semuanya tertunjuk dari pesona hikmah Allah SWT. Raz menghargai apa yang diucapkannya dengan doa, semoga hidupnya dilindungi dan dibahagiakan di dunia ini, juga di akhirat nanti.

Untuk pedoman Raz dan untuk perkongsian semua. InsyaAllah, yang baik kita kongsi bersama.

Katanya, dalam hidup ini Rasulullah SAW menyuruh kita berjemaah bukan hanya di dalam solat semata. Jemaah adalah simbolik dari ikatan besar pautan insan. Jemaah adalah salah satu landas dari keindahan kasih sayang. Kasih sayang dari Tuhan kepada insan bersambung insan dan terus kepada alam.

Bila kita berjemaah, maknanya kita bermasyarakat malah kita bersaudara dan kita mengenali sesama kita. Perkenalan selalunya mencetuskan kasih, meluaskan hubungan silaturrahim. Kasih yang berantaian akan disukai oleh Allah dan Rasul-Nya.

Dalam kekeluargaan juga, kita amat perlu mempraktikkan jemaah sesama keluarga. Bagaimana caranya? Dengan solat bersama, bercerita bersama, makan bersama (bersuapan bersama) dan mungkin beriadah bersama. Apabila kita membiasakan diri, membahagikan masa untuk kita berjemaah bersama, sudah pasti kasih sayang akan menjadi mekar dan erat. InsyaAllah.

MasyaAllah. Keindahan Islam sudah lama terteguh tapi tidak sempurna tegaknya. Lewat ini, berapa banyak keluarga yang telah menjadikan jemaah sebagai asas dan landas kasih di dalam kehidupan mereka? Jelasnya, kita sekarang terlalu kalut dan sebok dengan hal masing-masing terutama kerjaya hingga terpencil dari ruang jemaah keluarga kita sendiri. Lama-lama kita mula pentingkan diri.
Lalu, siapakah yang perlu kita persalahkan jika kehidupan kita hambar dari kasih sayang? Kadang-kadang kita cari kasih-sayang itu merata-rata tanpa melingkungi hati kita dengan memperbaiki jemaah keluarga kita sendiri. Porak-peranda pun mempengaruhi kehidupan kita dalam diam. A'uzubillahiminashaitonirrajim..

Begitu juga di dalam persahabatan walau di mana kita berada. Samada di tempat kerja atau sebagainya. Berapa ramai dari kita berjemaah, bermesyuarah di dalam persahabatan. Minit-minit sebentar kita luangkan untuk solat dan berkongsi ilmu bersama dalam jemaah persahabatan. Sekalipun kecil sejumlah dua sahabat, sesekali kita berjemaah, sedikit pun kasih tersebar, tidak ada ruginya. Jemaah kita akan membuka muafakat, meluaskan pengalaman, menyerikan kemesraan. Namun, tidak ramai yang menganggap ini kebaikan. Ramai yang merasakan ia bagai bebanan yang membuang masa. Betapa kerdilnya nurani kita, kan? Suramnya jiwa kita dari pautan jemaah kasih.
Akhirnya, siapakah yang perlu kita persalahkan andai persahabatan bercakaran tanpa persefahaman?

Raz teringin.. sangat teringin untuk melihat kita umat Islam sama-sama memperkenalkan, mengamalkan jemaah kasih sesama kita. Membuang hasad dengki lalu bersatu padu kerana Allah semata. Namun, keinginan itu hanya secarik bayangan Raz sebagai sekecil insan yang penuh kelemahan. Wallhua'lam.

Berjuang dalam jemaah lebih gagah dari bermatian-matian sendirian. Ibarat seraut lidi dan seikat lidi. Bezanya nyata sekali.

Mudah-mudahan tulisan Raz ini tidak mengguriskan mana-mana pihak. Raz hanya berkongsi rasa, di ruangan yang tidak seberapa untuk difikirkan oleh diri sendiri dan sesiapa sahaja yang masih sudi memikirkannya. Mudah-mudahan kita semua diberikan haluan yang penuh kebersihan hati. Amin.

Salam kasih seluas sayang.
Raz.R