Salam kasih Kerana Allah
Friday, October 2, 2009
KENAPA HARUS MALU UNTUK BERTAUBAT?
Astagfirullahalazim… Sesungguhnya angkatan tentera nafsu begitu hebat menyerang jiwa kerdil yang sedang berusaha menjiwai ibadahnya. Bukan senang, bukan mudah untuk menangkis serangan-serangan tersebut. Sekalipun dalam syahdu air mata penyesalan, dalam sendu rayu doa memohon perlindungan-Nya, tagih pada keampunan-Nya, masih kita dikocak-kocak untuk membelok ke arah keinginan nafsu itu dan nafsu ini. Adus! Bukan senang, tidak juga mudah. Menghayati taubah dalam keadaan goyah itu, sungguh sulit tanpa rasa pasrah, bersungguh, qanaah, redha, kecil, hina, dhaif dan ketajaman usaha yang setiap minit tidak terluput dari memohon pengampunan.
Itulah kita manusia ini, bukan senang untuk melazimkan perbuatan baik dan tidak susah untuk menjemput perbuatan buruk.Ia memerlukan usaha yang amat jitu, amat kukuh.
Anda melaluinya? Saya juga pernah dan saya akui kelemahan diri melaluinya dengan kepayahan yang teramat. Penuh dugaan. Penuh cabaran. Penuh godaan. Nauzubillah!
Ya, saya sedang mempersoalkan tentang TAUBAT. Apabila kita menyesali sesuatu perbuatan dosa kita, sejauh mana kita menghayati taubat itu? Pernah tak kita lalui kes dimana hari ini kita taubat, esok pula kita sambung buat?. Tak mustahil kan? Sebab itulah, kadangkala yang bertaubat itu “malas” nak bertaubat, kerana taubatnya di dalam kondisi “Tahu buat”. Alahai.. dia bukan tidak mahu, tetapi tak mampu bertaubat. Itulah alasan kita selama ini. Benar! Magnet untuk kembali ke jalan yang benar kalau dibiarkan berterusan, makin lama, makin ia akan hilang kuasa tarikkannya. Ia bukan magnet biasa. Ia adalah magnet luar biasa yang perlu selalu dichargekan, diperhangatkan selalu dengan azam, dengan kemahuan yang bersungguh tanpa jemu dan tanpa noktah.
Bukan taubat namanya jika seorang pesakit ketagihan arak yang berhenti minum arak kerana takutkan penyakit kronik. Bukan taubat juga jika kasanova berhenti menyentuh bunga-bunga peleseran hanya kerana mengidap menyakit AIDS. Bukan taubat juga jika pengedar dadah berhenti menjalankan operasi pengedaran dadahnya kerana takutkan hukuman gantung. Berhenti menderhaka ibu bapa kerana takut tidak diwariskan harta pusaka juga bukan taubat namanya. Bukan! Bukan begitu sayang. Semua itu hanya berhenti untuk motif keduniaan.
Habis? Bagaimana ya?
Dambaan, Rindu pada Ilahi. Mahu dan terus mahu agar bersih. Hati yang nekad dan bersungguh. Jiwa yang takutkan balasan Allah. Usaha yang amat teguh dan bersungguh.
Terus melempar jauh niat, cinta dan rindu kepada pengalaman-pengalaman ulit yang lalu. Keji melihat diri yang terdahulu. Mendalami penyesalan itu dengan tusukan iman, gerakkan ibadat dan halus mulusnya doa. Bersungguh, besungguh dan bersungguh kerana kerendahan hati dan keredhaan diri kepada Allah. Itulah nafas taubat! Bukan untuk kelmarin, tidak juga untuk hari ini, tetapi setiap waktu nafas taubat itu perlu ada, seperti degup jantung yang tidak letih untuk berhenti.
Pun begitu, kiranya semua musibah, penderitaan dan kerugian dunia ini dilihat sebagai pendorong keimanan di dalam hati dan menjadikan diri kita rajin memeriksa, memperbetulkan, membuat koreksi diri, lalu terus bertaubat kerana takutkan kemurkaan Allah, InsyaAllah, kita akan tergolong dikalangan orang-orang yg Allah terima taubat-Nya. Wallahua’lam.
Memadam sifat-sifat mazmumah dalam diri, tidak mudah tetapi mudah-mudahan kita tidak malas untuk menimba kehebatan Allah dan ilmu-Nya yang Maha luas. Jangan rasa putus asa sekalipun kita sering diserang hendap oleh iblis dan syaitan laknatullah.
Ramadhan tahun ini baru saja berlalu dan Alhamdulillah bagi kita yang telah melaluinya dengan penuh rasa taubah dan mengisinya dengan ibadah suci kepada Allah SWT. Doakan kepada Allah supaya kita terus dapat menebalkan ingatan dan haluan taubat kita.
Doakan agar Allah sentiasa menutup pintu-pintu yang membawa kita ke bilik-bilik kemusnahan diri. Doakan agar Allah sentiasa membuka pintu-pintu yang menjurus ke bilik ketenangan kerana-Nya. Doakan agar niat suci taubat kita dipagari dengan keinsafan yang sebenar, yang sejati.
Allah swt itu Maha Penyayang, Maha Pengasih dan Maha Pengampun. Sesungguhnya sifat Allah itu tidak sama seperti manusia, mengejek-ngejek apabila seorang dari pesalah mahu membersihkan hidupnya dengan taubat. Allah tidak pernah menghina hamba-Nya yang mahu bertaubat. Kenapa harus malu untuk bertaubat? Tak perlu, tak perlu menyatakan kepada manusia lain apabila kita ingin bertaubat. Cukuplah menyatakannya kepada Allah. Dia tidak sekali memandang hina kepada usaha kita ke arahnya. Malah, dengan rasa cinta-Nya, dia memanggil-manggil untuk kita hamba-Nya kembali di landasan yang benar dan bijaksana.USAH BERPUTUS ASA UNTUK CINTA KEPADA ALLAH.
Mudah-mudahan kita selalu disayangi Allah. Amin.
Wallahua’lam.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
cantiknya wajah baru...posting terbaik in sya AllAH bermenafaat...tq
Post a Comment