Salam kasih Kerana Allah

Salam kasih Kerana Allah
Assalamualaikum wbt - Sekadar Berkongsi Ilham dan Pengalaman

Wednesday, June 30, 2010

SURAUKU




Assalamulaikum wahai semua sahabat Raz yang sudi-sudi merajinkan diri membaca luahan yang tidak seberapanya ini. Terlebih dahulu Raz mohon ampun dan maaf jika ada yang tertulis di ruangan Raz akan atau mungkin memberikan kesan kecewa, terguris dan sebagainya. Sesungguhnya Raz ini hanya hamba-Nya yang kerdil, lemah dan tak bisa bertegak sedikitpun tanpa kuasa-Nya.

Maaf juga sekali lagi, kerana melengah-lengahkan ruangan yang dibuka untuk diisi dengan sesuatu tetapi tiba-tiba seolah beku. Kelemahan Raz yang ada waktu tidak mampu diperbaiki. Terbengkok dengan sendiri kerana ujian-ujian yang terasa berat mahu digalas dan membuatkan segalanya terbatas.

Ini sedikit suara dari Raz, sebuah luahan ikhlas:-

Surau..
Waktu zohor..26 June 2010.
Mungkin hari ini hari terakhir aku bersolat di surau yg sudah bertahun-tahun menjadi sahabat peneman sepi. Sahabat yang sama-sama mendengar aku bertafakkur dan merintih. Sahabat yang mendengar dan menjadi saksi ketika aku menangisi kealpaanku dan kebodohanku. Surau yang menjadi teman ketika aku mahu berseorangan. Surau itu seolah mengerti sayunya hati. Surau itu seolah tahu aku akan pergi.

Aku berbual dengan surauku, sahabatku.. "Terima kasih, wahai surauku. Kamu telah menjadi sahabatku yang paling baik selama ini. Mendengar aku dengan bisu. Mengerti setiap luahan hatiku. Kamu menjadi penemanku tika aku bersama Yang Khalik. Moga Allah membalas segalanya yang kau kongsi bersamaku."

Surau kecil itu tidak pernah letih menanti kehadiranku. Tidak pernah jemu melihat karenah dan gelagatku. Setia menyimpan segala halimunan rahsiaku yang tertulis di situ. Sedih meninggalkanmu. Pilu berjauhan denganmu. Apa pun hakikatnya, tujuan kita sama. Pada Allah SWT sahaja kita meletakkan diri di mana saja kita berdiri.

Terima kasihku pada Tuan yg telah membinakan surau itu. Kali ini Tuan itu telah mengalih milik surau itu untuk dipegang yang lain. Tidak lagi aku menjadi temanmu. Namun, InsyaAllah kamu akan sentiasa bertemankan mereka-mereka yang mengingati Allah, wahai surauku. Aku doakan, sekalipun mereka yang memegangmu bukan lagi seperjuangan denganku, kamu akan dilindungi Allah. Kamu tetap di situ menanti setiap rakanmu yang lain bersahabat denganmu. Amin.
Untukmu Tuan, terima kasih kerana mengizinkan aku beteleku di surau binaanmu sepanjang perjalananku di sini. Moga pilihan Tuan menjadi pilihan yang terbaik.

Sampai waktu, andai usia masih terhulur panjang, kita bertemu lagi jika diizinkan Allah. Kamu tetap "sahabatku istimewaku" yang paling baik. Doakan aku sentiasa mengingati dan menyangimu, hingga akhir hayatku, hingga zaman menyinggah ke akhirat, surauku.