Bismillahirrahmanirrahim.
Dengan nama Allah, Raz menulis lagi. Biarlah, sekalipun tulisan Raz tiada seri, tiada erti tetapi ia adalah tulisan hati. Bukan kerana sesiapa tetapi kerana hati ingin menulis memecahkan rasa yang terbuku di dalamnya. Ehem.. Senyum. Jiwang karat maya la pulak bunyinya!
Tidaklah banyak sangat yang ingin dikatakan. Sekadar singgah mengisi sesuatu yang Raz anggap sebagai "Penghangat Jiwa.". Oleh kerana Raz selalu singgah di sini, mengulang baca apa yang Raz tulis sendiri, halaman ini Raz telah anggap sebagai diari. Hari ini kita menegur diri, esok mungkin kita leka. Dengan mengingat semula teguran tersebut sahajalah yang boleh menggerakkan kita daripada lupa siapa diri kita dan bagaimana yang harus kita ubah diri dan tetap pada pendirian tersebut. Untuk membaiki diri, kita perlu selalu menasihati diri (Muhasabah).
Pengalaman mengajar kita banyak perkara yang pelbagai asam garamnya. Alam semesta dan manusia sekeliling mengajarkan kita ilmu hidup. Sesekali, kita terjatuh untuk belajar bangun. Kita rebah untuk belajar berdiri dan berjalan. Semua itu adalah perubahan-perubahan yang mendidik kita sesuatu. Benarlah bahawa segala perubahan itu tidak pernah memburukkan. Sekalipun mungkin ia rumit untuk kita terima, sakit untuk kita redha namun hakikatnya ia adalah sesuatu yang tetap baik! MasyaAllah. Subhanallah. Segalanya adalah rahsia Allah yang akan kita nampak jika kita tidak menutup dan membutakan mata hati kita sendiri. Bukan untuk sesiapa. Segalanya untuk kebaikan diri sendiri.
Kekadang, kita menilai orang lain untuk berubah. Kita pandang dunia semakin serong dengan perkara-perkara yang tidak mahu diubah manusia. Tetapi kita silap. Perubahan yang kita perlukan itu sebenarnya tidak bermula daripada orang lain. Ia sepatutnya bermula daripada diri kita sendiri. Jika dunia meminta perubahan dan tiada siapa yang 'mahu' memulakan, maka tiada apa pun yang akan berubah!
Janganlah kita marah dan mengharapkan orang lain berubah sepertimana yang kita inginkan sedangkan kita sendiri tidak pernah berubah sepertimana yang kita inginkan. Kadang-kadang, banyak kali kita berazam membuak-buak kononnya untuk menjadi lebih baik daripada semalam, tetapi kita sendiri memungkirinya? Sinisnya diri kita. Plastiknya kita. Jadi, jika orang lain tidak berubah, janganlah kita kecewa, usahlah kita marah seperti mana kita tidak harus marah dan kecewa dengan usaha untuk mengubah diri kita sendiri. Berilah peluang pada diri sendiri perlahan-lahan dan sewajarnya jugalah kita lapangkan peluang kepada orang lain juga. Maafkan sahaja setiap kejadian yang tidak kita sangka dan dorongkan diri kita secara positif untuk berusaha berubah disamping mendoakan dengan istiqamah. Doakan orang lain juga. InsyaAllah, apa yang kita beri, akan Allah kembalikan kepada kita dengan cara-Nya. Ameen. "What you give, you will get back, rite?"
Jangan kita mendesak dan menyalahkan orang lain atas kegagalan suatu perubahan. Itu bermakna kita adalah di kalangan orang yang ego dan penting diri. Orang yang ego ini, tidak suka untuk memberi dengan tulus hati, hanya mahu menerima dan hanya mahu dirinya dilayan dan diakui benar semata.
Seandainya, kita mahu sesuatu yang baik berlaku terhadap diri kita, percayalah, kitalah yang terlebih dahulu memulakan sesuatu dengan baik. "Orang yang memulakan sebarang pemberian yang baik adalah manusia yang di hatinya penuh cinta". Untuk menerima cinta, kitalah yang mula memberikan cinta. Tidak perlu menanti orang lain memberi, barulah kita cuba memberi. Mulakan terlebih dahulu!
Kita mulakan perubahan diri kita dengan satu prinsip yang jangan sekali kita lekangkan dari hati.Berikanlah senyuman berselikan doa setiap masa dan Raz sedang melakukan perkara yang sama kepada sesiapa sahaja. InsyaAllah.Ameen.
Tulus dari hati, jangan ada benci walau sebesar biji cili.
Raz.R
Senyum.