Salam kasih Kerana Allah

Salam kasih Kerana Allah
Assalamualaikum wbt - Sekadar Berkongsi Ilham dan Pengalaman

Friday, September 21, 2012

Kuntum Bahagia

Bismillahirrahmanirrahim..
21hb September 2012. Alhamdulillah. Jumaat yang amat baik. Raz mendoakan hidup kita semua di dalam keadaan baik, penuh kerahmatan dan kasih-sayang Allah selalu. Ameen.

Raz ingin kongsikan sebuah sketsa ringkas yang bermakna kepada diri Raz malam ini. Raz harap ia akan menjadi bermakna kepada sesiapa yang tumpang membacanya. Mudah-mudahan ia membuka rasa ke arah yang mendamaikan sesiapa sahaja. Ameen Ya Robbal Alamin. Subhanallah.

Dikisahkan ada seorang suami sangat marah kepada isterinya dengan kebengisan dan memberikan amaran dengan angkuh sekali.
"Aku akan pastikan engkau hidup dalam keadaan sengsara!"
Mendengarkan kata-kata suaminya yang pedih itu, si isteri dengan sopan dan tenang  menjawab,

"Maafkan saya bang. Abang pasti tidak akan mampu membuatkan saya sengsara, sepertimana abang juga tidak ada kuasa membahagiakan saya."

Suaminya semakin berang lalu menempelaknya dengan garang sekali, " Siapa cakap? Aku pasti dapat melakukan apa sahaja yang aku mahu untuk menyiksamu."

Dengan yakin seolah ada kekuatan terselindung membantunya, dia menjawab lagi,

"Seandainya kebahagiaan itu terletak pada gaji, pasti abang berupaya memotongnya dari saya. Jika kebahagiaan itu terletak pada perhiasan dan gaun yang indah, sudah tentu abang dapat melarang saya daripada memakainya. Tapi bang, kebahagiaan itu terletak pada sesuatu yang tidak dapat abang kuasai. Tidak pada abang atau sesiapa sahaja."

Suaminya mencebik namun bernada kehairanan, "Alah! Apa yang engkau merepek ini? Aku lelaki. Sudah tentu aku berkuasa ke atasmu. Engkau tak akan bahagia! Aku boleh buat engkau tidak bahagia!"

Bersama kesabaran dan keyakinan, isterinya terus berkata,
"Maafkan saya, bang. Saya mendapatkan kebahagiaan dalam iman, dan iman itu ada di hati saya dan hati saya ini tidak dikuasai sesiapa pun melainkan Allah."

Subhanallah, dengan hati yang teguh mencintai Allah, sesungguhnya dialah bunga yang teramat indah. Kuntumnya bukan sahaja mewangi, malahan bahagia sekali.

Salam kasih kerana Allah.
Tulus senyum dari Raz.R

Dekatilah orang-orang yang bahagia dan mahu membahagiakan hatinya, nescaya engkau turut bahagia. InsyaAllah. Ameen.