Raz ingin menemani laman ini dengan seringkas nota bersama kasih Raz yang penuh di jiwa membahasakan rasa dan pengalaman untuk ingatan diri juga pembaca yang ingin turut memahami. Senyum. Semoga tulisan Raz diiringi kasih-sayang dan keberkatan dari Ilahi yang PALING Menyayangi. Ameen Ya Robbal Alamin. Subhanallah wabihamdih; Subhanallahiladziem.. Maafkanlah Raz seandainya apa yang dikongsi mungkin tidak menepati atau tersalah erti. Astaghfirullahaladziem.
Suatu hari, Raz ada berbual dengan seorang sahabat. Katanya, dia tidak suka bercakap banyak. Biarlah jika dia dianggap sombong atau bodoh asalkan lidahnya tidak bertikam kata yang menjejaskan perhubungan atau berbicara yang tidak baik. Alhamdulillah, syukur. Raz hormati sikap sedemikian. Alangkah bagusnya jika ramai diantara kita (termasuk Raz, yang tidak pernah maksum ini) memiliki niat hati yang sebegitu. Apatah lagi bagi kita yang mengakui diri kita ini ummat Rasulullah SAW.
Sejurus dari perbualan Raz tersebut, Raz temui pula sebuah kalimat daripada seorang ulamak tersohor yang Raz baca berbunyi :
"Wahai hamba! Apabila engkau berkata-kata, maka berkata-katalah engkau dengan niat yang baik, benar dan jujur. Sebaliknya jika engkau hendak diam, maka diamlah engkau dengan niat yang baik, benar dan jujur juga. Setiap orang yang tidak mendahulukan NIAT SEBELUM BERAMAL, maka TIADALAH AMAL baginya. Adapun engkau, jika engkau berkata-kata atau diam, maka engkau selalu berada di dalam dosa, kerana engkau tidak berniat dengan benar sebelum melakukannya."
( Sheikh Abdul Qadir Al-Jailani)
Terkesima hati Raz!
Sungguh benar!
Kita perlu ingat bahawa sekalipun kita berdiam, diam kita itu biarlah selari dengan niat yang jernih di dalam hati. Diam yang benar (As-siddiq). Diam yang tidak membawa dendam di hati. Apalah ertinya bila berdiam tetapi hati di dalam berniat untuk menyakiti atau menghukum orang lain atas sebab-sebab yang telah 'tersakiti'. Berdiam, namun hati dipenuhi hasad, khianat atau membuatkan orang lain menderita apalah ertinya kerana ia juga hanya membuahkan kemurkaan Allah.
Apatah lagi bila kita berkata-kata, yang ternyata bila ia dapat menghiriskan dan mendustakan sesuatu situasi. Sudah tentunya ia melambangkan hati yang buruk sekali. Na'uzubillahiminzalik! Betapa kita mengatakan kita takut kepada Allah, padahal kita tidak takut kepada-Nya lalu tidak malu mendustakan Allah malah diri sendiri juga. Aduhai... sama-samalah kita muhasabahkan diri kita.
Jadikan niat kita sebagai permulaan bagi membetulkan hati, lidah dan perbuatan. Mudah-mudahan kita dapat mengasah ketajaman peribadi agar bercahaya menjadi khalif dan hamba yang mengikuti sunnah dan kalam Allah. Selarikan lidah dan hati saat kita berdiam atau berkata-kata dengan niat yang baik-baik sahaja. Berkatalah kita kebenaran supaya hidup kita ini dapat disusuli dengan kebenaran sehingga Allah meredhai kita. Adalah lebih baik berkata benar daripada mendiamkan sesuatu yang buruk dan merosakkan kehidupan kita dan kemungkinan hidup orang lain juga, atau berdiam menyembunyikan kebaikan sehingga hidup kita dan orang lain tidak menerima kebaikan Allah. Berdiamlah kita dengan doa yang baik-baik hanya jika kita tidak berdaya membetulkan sesuatu nista setelah kita berusaha.
Wallahu'alam.
Salam kasih dari Raz kerana Ilahi. Ameen.