Salam kasih Kerana Allah
Thursday, May 19, 2011
Berat Rasa
Wahai rasa yang berat,
tolong jangan melarat,
jadikan hatiku kuat,
agar aku terus semangat,
memupuk tabah nan hebat,
berdoa tanpa tergugat!
Untuk menahan diri menerima hakikat bahawa ada perkara yang amat penting di dalam hidup kita yang sepatutnya kita miliki tetapi tidak mampu dimiliki amatlah sakit. Ia terpaksa ditampankan dan ditegakkan dengan kesabaran yang berganda-ganda. Kekuatan jiwa diperlukan sebanyaknya.
Malahan kita perlu menyusun akal supaya ketat dengan bersangka baik terhadap kegagalan kita meraih impian tersebut. Terpaksa kita pandang segalanya sebagai suratan hidup yang telah ditentukan Ilahi, jikapun hati kita merintih dengan rasa 'mahu semahu-mahunya'. Kita tetap harus akur kepada apa yang telah Allah takdirkan kepada kita.
Kita berdoa, terus selalu berdoa tetapi kadang-kadang doa kita tidak pernah dimakbulkan. Itu lebih akan memilukan. Pelbagai jolokan syaitan akan berkumandang membuatkan kita mula marah kepada Allah. Kita mula terikut dengan rasa tidak puas hati, kenapa bukan kita yang memilikinya sedang kita amat memerlukan.Itulah ujian! Ujian bagi mereka yang sentiasa berdoa. Allah lambat memperkenankan doa kita bukan kerana DIA sengaja membuat kita kecewa, berdukacita atau menderita. Allah Maha Bijaksana mempunyai alasan yang luas menetapkan segala kemungkinan bagi hamba-Nya. Hamba yang dekat dan sentiasa berdoa kepada-Nya adalah hamba yang dikasihi-Nya. Dia amat suka memberikan takdir yang lebih molek kepada hamba-Nya yang sedemikian. Itu kerana Dia lebih tahu keperluan apakah yang hamba-Nya lebih perlu dan mana satu pula yang tidak diperlukan. InsyaAllah. Bercinta dengan Allah SWT menagih lekatan sabar, pengorbanan dan ketabahan yang menggunung bukan mendatar.
Bertahanlah wahai hati yang bergelora dengan cita-cita yang belum tersempurna. Berat rasa yang tersimpan itu pasti akan diringankan Ilahi pada waktu yang ditetapkan oleh-Nya nanti. Kita akan lebih merana andai terus memberatkan rasa kita dengan berburuk sangka kepada apa yang sedang Allah uruskan untuk kita. Carilah kebaikan yang terlindung pada setiap ujian yang Allah sediakan untuk kita.
Semakin kita menahan berat pemberian-Nya dengan usul ikhlas yang redha dan syukur, semakin dekatlah kita pada hidayah-Nya yang tidak terjangka luas keindahan pemberian-Nya. Amin..
Salam kasih dipagi Ahad untuk kita kumpulkan semangat mempercayai Allah dengan sebulat jiwa!
Seribu kali senyum Raz sampaikan dengan wanginya kasih yang mendalam. Moga kita diberkati Tuhan bermula di sini hingga ke akhirat nanti. Amin.. Wallhua'lam.
Assalamualaikum