Salam kasih Kerana Allah

Salam kasih Kerana Allah
Assalamualaikum wbt - Sekadar Berkongsi Ilham dan Pengalaman

Tuesday, May 17, 2011

Dialog luka seorang wanita.



"Awat Su tak pi jumpa dia? Terus terang apa yang Su rasa?"

Dia tersenyum hambar. Tawar. Ada sesuatu yang tidak tertelan dengan mudah. Raz tunggu jawapannya dengan sabar.

"Kak,tak tahulah Su nak terus terang macam mana lagi dengannya. Sampai saat ini, Su tak pernah tidak memperjelaskan apa yang Su rasa terhadap hubungan kami, Kak Raz. Su tidak pernah berahsia sikit pun dengan dia. Apa yang Su rasa, ingin dan impi, semuanya Su sudah habag kat dia. Tapi, Su tetap rasa derita, kak. Sakit sangat rasanya meneruskan hubungan yang macam ni. Payah nak faham dia, kak. Bila Su tanya dia faham ka apa yang Su rasa? Dia kata, dia faham. Tapi, dia tak pernah beri Su keputusan yang tepat."

Raz dapat nampak genangan air mata dalam kerdipan matanya. Berkaca. Tanda rasa kelat. Jiwa yang telah lama bertahan, namun makin hari kecundang. Raz dapat lihat kepasrahan dalam rasa tidak berdayanya. Raz lihat dia mengurut-ngurut telapak tangannya. Lidahnya terkumat-kumit. Berbisik, "Ya, Allah! Ya, Allah.". Sepertinya dia sedang menahan sebak. Mempertahankan takung air mata supaya tidak tumpah dan basah.

"Ni, maaflah Kak Raz nak tanya. Dia tu sayang kat hang betui-betui ka?. Ka, dia saja-saja dok bagi hang syiok sendiri ja. Maklumlah kan, mulut senang cakap maneh."

Tanya Raz bersahaja. Bukan niat hati Raz untuk mengguris atau mencungkil rahsia hatinya. Sekadar mahu dia luahkan apa yang berteleku di hatinya begitu lama. Biar ringan. Bunyi macam agak kejam. Tapi, itulah cara biasa Raz. Dia tertunduk.

"Beribu kali, beribu cara dia bagi tau Su yang dia benar-benar sayangkan Su, kak. Sumpahnya, janjinya dan usahanya supaya Su tidak tinggalkan dia. Hemmm..., kadang-kadang Su sangsi jugak. Tertanya jugak samada betui ka dia maksudkan apa yang dijanjikan. Tapi kan kak, Su dapat rasa nada benar bila dia nyatakan kasihnya pada Su. Su tak rasa dia berdusta."

"Dah.. habih tu, pasaipa hang cakap dia tak pedulikan hang. Tak ambik berat pasai apa yang hang rasa?.. Kak jumpa dia hari tu, dia nampak pelik ja. Dia kata lama dah, dia cuba 'contact' hang tapi, hang tak jawab..?"

Tiba-tiba dia mendongak ke langit. Airmatanya terjun jua akhirnya. Raz dapat rasa pedihnya kepedihan yang ditahan-tahan selama ini. Cepat-cepat dia menguis air itu dengan hujung jari. Menepisnya supaya terus jatuh ke bumi, tidak ke pipi.

"Kak, mungkin betui dia sayangkan Su. Tapi, dia ambil kesempatan terhadap kasih sayang Su. Dia tidak benar-benar tunjuk yang dia mahu ambil berat tentang Su. Dia biarkan su buat apa saja keputusan seorang diri. Dia tidak kisah walaupun Su menangis di hadapannya. Su rayu supaya dia fahamkan Su, apa yang dia inginkan dari Su. Su berlembut. Su pujuk sehabis kebaikan yang Su ada. Waktu Su ambil berat tentangnya, dia persalahkan cara Su. Apa yang Su usahakan, semuanya serba tak kena. Su sahaja yang salah atas segalanya. Dia mahu Su ikut semua caranya yang banyak menyakitkan hati Su. Tapi, tidak ada satu cara pun yang Su minta dia buat, diikutnya. Su beri, tapi Su tak pernah terima apa-apa pun!!! Bukan Su tak ikhlas, kak. Bukan Su nak salahkan dia. Su cuma nak dia hargai Su. Su cuma nak dia tahu, ikatan kami bukan sekadar sebelah pihak yang memberi. Sebelah lagi, lepas tangan. Seolahnya, apa yang Su beri adalah perkara remeh yang tidak wajar diungkit. Su, bukan nak ungkit, kak! Su, nak dia faham ke mana harus hubungan kami pergi."

Raz sentuh bahunya dengan tepukan lembut. Melihat dia teresak-esak, Raz hentikan sebarang soalan yang bersarang di hati Raz. Raz berhenti juga mengelirukan diri Raz sendiri. Diam, pandang dengan rasa menyayat pilu dan sayu dengan satu soalan di dalam benak...

"Hubungan kasih apakah ini yang hanya membangkitkan banyak derita?"

Nota :**Su, bukanlah watak sebenar, namun ceritanya adalah benar. Mudah-mudahan jika ada yang tidak bijak menghargai rasa kasih seorang wanita akan terus belajar memahami rahsia dialog mereka yang mungkin senasib dengan watak ini. Berdampinglah dengan wanita yang dikasihi dengan sebaik mungkin. Usah biarkan dialog luka berterusan. Betapa halusnya misteri yang tersimpan disebalik lembutnya seorang wanita.

Sekadar sebuah cerita..Wallhua'lam.

Salam kasih kerana Allah.