Salam kasih Kerana Allah
Tuesday, May 3, 2011
Kata-kata Orang.
Pulang dari bertugas. Senja telah hilang, maghrib mengundang. Keletihan lagi.
"Opss!!Jangan komplen.. sabar..sabar, Raz"
Ya! Sabar..
Jika sabar tiada, tentu Raz telah istiharkan perang dunia. Buka pencak silat, ramai-ramai melompat. Atau, mungkin masuk gelanggang, berlawan tarik rambut. Kih!Kih!Kih!
Semuanya kerana "KATA ORANG".
Salam, sahabat semua. Salam sayang. Salam kasih. Mohon dimaafkan emosi Raz tatkala mengetik bicara di sini. Seperti termaklum, Raz adalah insan biasa yang terhias dengan bukan kecantikan tetapi banyak kepincangan diri yang sentiasa perlu dikilatkan. Saat ini, Raz sedang rasa amat bosan. Astaghfirullahalazim.. Bosan dengan kata-kata orang. Iyalah! Hidup pun dengan orang, kan? Kemana mahu lari? Bumi ini memang diciptakan oleh Ilahi untuk hamba2-Nya yang bernama ORANG. (Sedang tersenyum)
Mulut- Allah berikan mulut bukan hanya untuk makan tetapi untuk berkata-kata. Bila makan, kita perlu perhatikan apa yang kita makan. Begitulah bila berkata, kita perlu sedar apa yang kita katakan. Allah Maha Mendengar. Disediakan kita mulut untuk Dia mendengar kita memuji-muji nama-Nya, kebesaran-Nya dan kehebatan-Nya. MasyaAllah! Dialah yang TERLAYAK untuk menerima segala pujian dari kita. Subhanallah!
Mulut kita- Raz terfikir-fikir, berapa banyak kata-kata yang Raz guna untuk memuji Allah SWT selama ini. Berapa kerap Raz guna kata-kata dari mulut Raz untuk dikuasai oleh apa yang Allah mahukan.Bilanglah jumlahnya dalam seharian. Wahai hati, jawablah dengan kejujuran. Astaghfirulahalazim...Mudah-mudahan kita sering mengingati tujuan hidup kita yang sebenarnya.
"Kerana mulut, badan binasa.."
Kata-kata mempengaruhi hampir seluruh kehidupan kita. Tanpa kata-kata, kita mungkin tidak dapat menjadi orang yang mengerti dan memahami. Tanpanya juga, kita tidak kenal yang kita ini manusia. Kita mungkin akan menjadi seorang manusia yang amat terbawah, jika tidak dihadirkan dengan kata-kata. Mungkin kita akan menjadi manusia pekak atau tidak tahu apa itu kata-kata.
Maaf,berdefinisi panjang pula Raz kali ini. Kita terus kepada maksud yang sebenar yang cuba Raz kongsi bersama di sini. Pengaruh kata manusia di dalam kehidupan kita tergaul dengan pelbagai jenis dan ragam tetapi tetap menjurus kepada dua bahagian. KATA POSITIF (Nasihat,atau pujian) dan KATA NEGATIF (Kritikan atau umpatan)
Penerimaan kita terhadap kedua ragam kata ini tetap terpulang kepada bagaimana pembawaan hati dan kekuatan jiwa.
Hampir 100% dari kita amat gemar kepada kata-kata positif dan sangat sedikit juga menggemari kata-kata negatif. Raz juga mengakui yang Raz adalah dikalangan mereka yang tidak menggemari kata negatif. Namun, Raz sedang berusaha mengitar semula kata-kata negatif menjadi bahan motivasi kepada diri sendiri. InsyaAllah, semoga ingatan ini terus menerus terpahat sebagai satu amalan.
Walaubagaimanapun, kita tetap perlu mengawal kata-kata agar tidak keterlaluan dan kemelampauan. Apa saja yang kita lakukan perlu mengikut TERTIB.Sebagaimana Allah meletakkan tertib sebagai salah satu rukun ibadah. Begitulah hendaknya kita mengambil tertib sebagai rukun hidup. Tanpa tertib pincanglah sikap. Susun mengikut keadaan dan keperluan. Akal perlu mendahului tindakkan. Jika kata-kata yang bakal kita keluarkan itu tidak memenuhi keperluan, eloklah kita simpan sehingga ia benar-benar diperlukan. Contohnya kejian dan umpatan. Kata-kata itu tergolong di dalam versi melampau. Jadi, simpan sahaja kata-kata itu daripada ia terbit dan berbuah menjadi dosa.
Andai, kita adalah penerima kata-kata orang yang sarat dengan umpatan dan kejian, bertenanglah. Yakinlah bahawa Allah sedang membalikkan kata-kata nista itu sebagai hadiah yang baik. Amin. Jika hati terasa pilu, sakit dan terguris dengan kata-kata orang itu, sabarlah dan cuba abaikannya. Kita tidak akan mampu mengikut dan menurut semua kata-kata orang. Kita tidak akan berdaya memenuhi semua kehendak orang. Dan, jarang sekali segala usaha kita akan dapat memberi kepuasan kepada orang lain. Sangat jarang!
Kata-kata tetap akan menjadi hanya kata-kata jika tidak bersama usaha.
Jadi, biarkan kata-kata yang buruk itu terbit dari hati yang tidak puas dan keji. Jika kita mahu mempertikaikan, membandingkan atau mengukur-ngukur kata orang,tidak akan ada hujungnya. Tidak bernoktah. Hidup kita hanya akan dibayangi kesakitan dan keletihan yang panjang kerana terlalu mahukan kesempurnaan untuk kepuasan mengikut apa sahaja yang dikata orang. Malah kita akan terus berada di dalam ketakutan dan tidak berdaya membuat keputusan yang terbaik di dalam sesuatu perkara semata-mata ingin mengimbangi apa kata orang.
Dengar, angguk.. namun tidak semestinya segala perkara perlu dilaksanakan. Dengarlah naluri hati yang sentiasa menyuruh kepada kebaikan dan buatlah ulasan dengan akal yang waras. Yang baik, ambillah sebagai hidayah. Yang buruk, jangan jadikan ia lebih payah.
Wallhua'lam..
Kata-kata yang buruk akan jadi bisa jika kita membenarkan racunnya menyerap. Moga kita tidak membiarkan diri kita terikut dengan kata-kata orang yang tidak memberi sebarang keuntungan kepada kita. Kiranya kata-kata itu benar mengajak kita ber-uzlah demi satu pembaharuan yang baik di dalam kehidupan pula, bersyukurlah dan tertibkanlah diri melaksanakannya dengan kesungguhan ke arah kebaikan. InsyaAllah, semuanya akan menjadi baik juga. Amin.
Salam sayang penuh senyuman.. MMuahhks..
Raz.R