Salam kasih Kerana Allah
Saturday, May 14, 2011
Tulus kasih Selamanya..
A'uzubillahiminashaitonirrajim..
Bismillahirrahmanirrahim..
Assalamualaikum wbt sahabat yang masih ingatkan Raz. Terima kasih untuk kasih sayang yang tidak luak ditelan masa. Setinggi rasa sayang Raz buahkan untuk yang sudi membaca dan tidak muak dengan leteran hati kecil Raz yang tiada ghairahnya. Moga Allah sematkan seluruh cahaya ketenangan saat ini dan saat seterusnya dalam menjalani lembar-lembar hidup yang seringkali dihujani pelbagai dugaan dan cabaran. Moga kita semua tetap terus meraih kebaikan-kebaikan Allah SWT dari dunia hingga akhirat. Amin.. :-)
Dalam hidup Raz, telah Raz kenal ramai insan yang Raz nobatkan mereka ditakhta 'sahabat'. Yang rapat, sangat rapat, kurang rapat dan yang ikut suai tempat. Namun mereka semua tetap sahabat. Semestinya yang seagama akan terus bersaudara. Yang tidak, mereka tetap 'seinsan'. Harga kewujudan mereka mungkin tidak sama dari sudut bangsa, agama dan sebagainya, namun nilai sebuah persahabatan teguh tinggi dijulang hati Raz ini. Merekalah ilmu hidup Raz. Tidak disangkal, dari mereka Raz kenal sejumlah besar tentang kebaikan dan keburukan kehidupan. Dari mereka juga Raz rasa bagaimana rasa pertalian kasih yang benar mahupun yang tidak benar.
Ditambah pula arena maya multimedia yang menyemarakkan persahabatan seantero dunia. Persahabatan menjadi semakin unik. Ramai yang Raz tidak pernah kenal secara 'life', namun kehadiran mereka amat membahagiakan Raz. Malah dihujung kata-kata yang Raz terima melalui mesej maya, ada dari sahabat maya Raz ini amat ikhlas dan menghargai Raz sebagai sahabat mereka setulusnya. Besarnya Kuasa Ilahi yang Maha Pemberi. Dia Mampu memberi kita pelbagai kehebatan murni kasih sayang tanpa batasan.
Tulisan pagi ini semata-mata untuk mendedikasikan rasa terima kasih Raz kepada mereka itu. Disamping memanjatkan setinggi doa agar mereka dan kemuliaan hati mereka berterusan dikembangkan. Moga persahabatan ini diberkati Allah dengan rasa tulus kasih selamanya. Amin.
Kepada sahabat sangat rapat.
Sesungguhnya jauh di dalam hati Raz ini bersemi doa yang mendalam dengan harapan, moga keakraban berterusan kerana Tuhan. Moga kita terus menerus kukuh ketat dengan kasih sayang yang tidak retak dilambung badai kekalutan harian atau pincang dek kelemahan diri sendiri atau mungkin anasir lain yang cuba menjarakkan kerapatan tersebut. Moga kepercayaan dan keyakinan terus menebal, menghakis jauh segala kesangsian sangkaan.
Kepada sahabat rapat
Andai ada kesempurnaan yang diharap di dalam persahabatan ini, sama-samalah kita sedar bahawa persahabatan yang berpanjangan dan sangat rapat memerlukan banyak pengorbanan. Terutama di dalam kefahaman tentang persahabatan itu sendiri. Tidak mustahil suai kenal ini lama-kelamaan akan membungakan satu ikatan yang lebih erat. InsyaAllah..Sama-samalah kita himpunkan doa agar terus sejahtera ikatan kita.
Kepada sahabat biasa.
Kehadiran kalian juga turut berperanan besar dalam hidup Raz. Walau singgah, kemudian hilang, ia tetap memberikan keindahan untuk ruang longgar masa persahabatan yang dilalui. Sekurang-kurangnya Raz telah mengenali dan Raz belajar memahami. Tidak semua ikatan akan berakhir dengan persahabatan yang panjang. Anda juga telah menyempurnakan apa yang kurang lengkap pada hidup Raz selama ini. Silakan, jika ingin tetap kembali menyambung ikatan ini. Allah sentiasa membuka buana silatulrahim kita selagi hayat masih di jasad.
Kepada sahabat baru.
Datanglah, dekatlah.. Jika Allah mengizinkan perkenalan ini dibajai dengan kasih-sayang-Nya dan membuahkan sesuatu yang baik di antara kita, hulurkan tangan dengan keikhlasan. Usah malu, jangan segan. Sediakan nawaitu hati yang jujur, InsyaAllah, kita akan terus erat dengan senyum persahabatan yang amat berkat.
Terima kasih semua!
Sumbangan tulus hati yang diberi untuk persahabatan ini sungguh amat bererti.
Salam kasih kerana Allah.
Senyum seindah pagi menyemarakkan seluruh seri dengan 'extra' MMmmmmmuah!
Jaga diri, jaga peribadi, jaga iman.
Moga persahabatan bertemu kesejatian.