Salam kasih Kerana Allah

Salam kasih Kerana Allah
Assalamualaikum wbt - Sekadar Berkongsi Ilham dan Pengalaman

Wednesday, May 25, 2011

Muhasabah Dari Alam




Bismillahirrahmanirrahim..
Assalamualaikum..
Moga dikasihi Allah sentiasa.
Moga setiap impan dan doa kita diperkenankan Allah SWT.
Bersyukurlah bagi kita yang Allah telah makbulkan doanya juga. Moga tidak jauh dari mengingati Allah sentiasa.

Petang tadi, pulang dari pejabat, Raz terus mengusuri jalan terus ke suatu tempat. (Gambar di atas adalah tempatnya) Cuaca cukup baik. Langit kelihatan indah. Setelah berpenat lelah, memerah benak terhadap urusan seharian, terasa mahu melihat pesona alam ciptaan Tuhan.

Cantik sungguh alam Allah. Tidak ada seinci pun ruang ciptaannya itu nampak buruk atau sakit mata memandang. Lengkap. Pohon lenggok menghijau. Laut membiru menarikan ombak yang bersahaja. Bayu dingin melarik kulit tubuh dengan mesra. Dan, langit senja yang memekarkan cahaya jingganya. Cukup menggoda jiwa! MasyaAllah!

Bertanya Raz pada diri ini, "Apa lagi mahumu? Setelah Dia mengurniakan segalanya ini untukmu, kamu masih tetap mengingini sedikit keindahan yang tidak diizinkan-Nya untukmu?"

Kitalah itu, yang tidak pernah-pernah puas dengan pemberian-Nya. Sentiasa menagih-nagih terus mengharapkan segala kehendak diri dipuaskan. Kadangkala meragut keseimbangan akal untuk waras hanya kerana satu impian kecil yang tidak dipenuhi oleh-Nya, sedang DIA telahpun menyediakan banyak kebaikan lain yang tidak kita pandang dengan jiwa yang lega dan redha. Astaghfirullahalazim.. Kekalutan sungguh jiwa manusia. Terburu nafsu dengan kehangatan yang belum tentu berterusan panasnya, sedang kehangatan Allah itu sentiasa terbuka di ruang luas dunia ini untuk kita fikir-fikirkan hingga hujung nyawa.

Ya Allah, sentuhlah kami dengan hidayah-Mu. Izinkan kami terus memahami rahsia-Mu agar tidak kami hanyut dengan rahsia diri yang belum tentu nyata. Semuanya atas garis kemungkinan semata. Mungkin yang masih belum tercipta tetapi diburu-buru bagai nak gila.

Memperkuatkan keimanan disamping serangan syaitan yang bertubi-tubi bukanlah sesuatu yang mudah. Ada hari kita berada di dalam suasana yang cukup aman, tenang dan bermaya. Manakala, ada hari pula kita akan diusik oleh kegusaran yang tidak semena-mena kekacauannya.

Sama-samalah kita muhasabahkan diri kita melalui apa yang kita lihat pada alam, pada sekeliling kita. Tidak boleh sehari, tetapi perlu dilakukan setiap hari. Usah kita sangka bahawa hari ini kita mengalami hari yang cukup baik, esok kita masih akan tetap melalui hari yang sama baik. Setiap hari yang Allah peluangkan untuk kita dengan meminjamkan nafas adalah untuk tujuan tersebut. Muhasabah dan memperbaiki diri menjadi lebih baik dari hari yang sebelumnya. InsyaAllah..

Malam makin memanggil Raz untuk beristirehat seketika dan InsyaAllah, jika Raz diizinkan bangun keesokkannya, mudah-mudahan Allah sediakan haluan yang baik dan mudah untuk Raz terokai. Amin..

Salam kasih, salam muhasabah.
Selamat malam, moga dikasihi Allah selamanya. MMuuahks..! senyum selalu.