Salam kasih Kerana Allah

Salam kasih Kerana Allah
Assalamualaikum wbt - Sekadar Berkongsi Ilham dan Pengalaman

Wednesday, March 23, 2011

Maafkanlah Diri





"Jadilah insan yang baik, InsyaAllah kehidupan akan menjadi baik."

"Bukan mudah hendak menjadi orang yang baik. Ia adalah satu proses uzlah yang panjang dan sukar sekali dapat kita tentukan samada kita telah menjadi insan yang baik atau belum."

Assalamualaikum wbt dan selamat pagi dengan seindah kasih, semurni sayang Raz berikan kepada yang sudi membaca bingkisan Raz yang tidak ada apa-apa istimewanya. Hanya seuntai kata-kata tentang pengalaman kerdil diri seorang insan biasa yang tidak punya apa-apa.

Moga Allah merahmati hidup kita dengan petunjuk yang lurus dan kekuatan jiwa untuk tetap meluruskan tauhid dan istiqamah kita terhadap kebaikan-kebaikan yang disediakan Allah dalam zahir mahupun batin.

Hari ini Raz bercuti. Alhamdulillah sedang cuba mencari ruang terhadap diri sendiri sambil mengasah jiwa dan hati untuk mencari apa sebenarnya yang perlu Raz cari. Raz sedang cuba meringankan bebanan-bebanan yang diterima. Memahami hikmah ujian-Nya.

Ampun dan maaf Raz pinta di atas tulisan-tulisan Raz yang agak 'meronta hiba' sejak kebelakangan ini. Luahan Raz itu membuktikan bahawa Raz belum lagi insan perkasa yang dapat memperbaiki diri sepenuhnya. Seperti di awal ayat yang Raz tulis, memang kita ini bercita-cita untuk menjadi baik dan terus menjadi insan yang terbaik. Namun, semua itu memerlukan pengorbanan yang banyak dan hati yang amat-amat tega untuk melepaskan sesuatu yang kita terpaksa dilepaskan walau kita SAYANG SEPARUH NYAWA sekalipun! Wallahua'lam. Demi sebuah perubahan. Demi kebaikan masa sekarang atau masa hadapan.

Persepsi diri yang harus berada dihadapan untuk sebarang perubahan adalah KEMAAFAN yang ikhlas. Memaafkan diri sendiri atas sesuatu tragedi itu adalah aura yang amat baik untuk kita mula memaafkan yang lain. Itulah yang sedang Raz cuba lakukan. Seterusnya, kita perlu menghindar diri dari meminta balasan untuk apa sahaja kebaikan yang kita lakukan. Lepaskanlah segala harapan untuk menerima balasan daripada insan kepada mengharapkan Allah membersihkan kekotoran hati yang bertitik-titik dipermukaannya. InsyaAllah.. InsyaAllah.. InsyaAllah... semuanya akan baik nanti.

Ujian, sememangnya sedang mengajar kita untuk matang dalam mengerjakan ibadah-ibadah Allah. Ujianlah juga yang sering membawa kita tergelincir ke dalam telaga kekhilafan diri yang sarat. Ujian jugalah yang sedang membantu kita belajar memaafkan diri sendiri untuk memohon kemaafan Ilahi. Teruslah berhenti memperdayakan diri sendiri yang mendorong kita merasakan diri kita tidak boleh dimaafkan. Belajarlah memaafkan kelemahan diri dan mohonlah keampunan daripada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun dan DIA sentiasa bersedia untuk doa-doa kita.

Semoga kemaafan hari ini membuatkan kita memiliki jiwa yang mutmainnah (tenang).
Semoga kemaafan hari ini membuka gerbang luas untuk perubahan dan kecemerlangan yang seterusnya .... HANYA KERANA ALLAH.

Maafkanlah diri dan senyumlah dengan penuh kemaafan kepada sesiapa jua pun.

Salam kasih.. MMMuahks!