Salam kasih Kerana Allah
Thursday, March 24, 2011
BENCI
Sesekali apabila rasa kecewa dan marah menular di dalam dada, "Yes!Of course!" ada benci yang membara. Itu fitrah dari kecil dan dhaifnya manusia. Iman yang tidak seberapa.
Seperti selalunya, Raz mengakui yang Raz ini bukanlah semaksum manusia. Sama seperti orang lain juga. Dalam diri Raz ada pelbagai perasa - Manis, masam, pahit, kelat, masin, payau.. semua ada. Ada hari Raz manis dan dihari lain pula Raz jadi masam. Sesekali diri akan terjerumus di dalam aura tanpa kawalan juga. Batas-batas sabar yang tidak mampu dibendung. Terpelecot sedikit. Apa nak buat. Terlajak perahu, boleh diundur, terlajak marah.. dah marah dah pun.
Seingat Raz, hemm.. memang Raz pernah membenci pada beberapa orang. Bukan kerana penampilan, tetapi kerana sikap mereka. Manusia, kadang-kadang terlalu keterlaluan di dalam sesetengah perkara buruk. Hingga keadaan sekeliling menjadi haru-biru dan kacau bilau. Ketenteraman akan hilang apabila hadirnya sikap begitu dikalangan kelompok-kelompok tertentu. Perkara yang elok menjadi janggal kerana adanya sikap yang malang ini. Kebencian akan timbul apabila sikap buruk tersebut mempengaruhi orang lain supaya mengeruhkan suasana tenang. Nauzubillahiminzalik.
Namun, Raz percaya yang kebencian tersebut tidak perlu berlama-lamaan. Individu yang membuat onar dalam kehidupan orang lain itu mungkin akan berjaya pada peringkat mula. Tetapi dia akan gagal juga pada akhirnya. Masa penentu segalanya dan masa juga penentu tahap kesabaran kita. Tapi, sampai bila ya?.. Tak mengapa.. sesungguhnya Allah beserta kita yang sabar.
Biarlah..., biarlah orang lain mengkhianati kita, namun jangan kita mengkhianati orang lain. Mungkin kebencian itu akan berbalik pada diri sendiri. Kalau kita benci orang lain, tak mustahil orang lain juga akan membenci kita.
Benci perkara buruk itu baik. Itu akan mengelakkan kita dan menghindari perkara-perkara buruk tersebut. Yang perlu kita usahakan sekarang ialah berusaha untuk tidak terlalu meletakkan kebencian yang terlampau kepada sikap yang buruk. Kita sendiri tidak terlepas dari mempunyai sikap yang buruk yang mungkin tidak kita sedari. Hidayah Allah akan terkias kepada sesiapa sahaja yang dikehendaki-Nya. Dan, manusia itu boleh berubah mengikut masa dan pengajaran hidupnya. InsyaAllah.
Imbangkan rasa benci jika ia muncul. Kita yang hidup di dalam rasa benci yang melampau akan hidup dalam penderaan jiwa yang sangat menyiksa. Setiap kali mendengar nama orang yang kita benci disebut, fikiran kita akan menjadi keruh. Malah, kadang-kadang, jika ada yang memujinya, hati kita menjadi panas.
Acapkali, kebencian kita lebih jauh besar daripada penyebab kebencian tersebut. Kebencian yang panjang, hanya akan menimbulkan konflik dalaman yang membuatkan diri kita sengsara.
Surutkanlah kebencian tersebut dengan bertolak ansur pada diri dan pada orang lain dengan sabar. Doakanlah mereka yang kita benci itu agar ada ruang untuknya menerima hidayah dan petunjuk Ilahi. Mohonlah kepada Allah untuk petunjuk itu diberi kepada kita juga agar kita tidak terlalu membenci dan mudah memberi kemaafan kepada kebencian yang wajar dimaafkan.
Jom, kita mula memberi salam dan senyum kepada mereka yang kita benci kerana kita yang terbaik adalah kita yang sering memulakan perkara yang baik. InsyaAllah, segalanya akan menjadi baik dengan kebaikan Allah SWT.
Amin Ya Robbal Alamin.
MMuahks!
Love all of you.
Hate you but still love You.. Boleh, macam tu? ;-)