Salam kasih Kerana Allah
Thursday, March 10, 2011
Kukuhkan Lagi kesabaran
~Ya Allah! Wahai Yang Maha di dalam zat Pengasih melebihi segala yang dikasih, kasihilah diriku dan kasihilah mereka yang mengasihiku dan aku mengasihi mereka.Jauhkanlah kami dari perkara-perkara yang menjerumuskan kami untuk derhaka pada-Mu. Ampunilah dosa-dosa kami dan iringkanlah kehidupan kami kepada jalan yang lurus yang penuh hidayah-Mu. Amin~
Assalamualaikum wbt, semoga dirahmati Allah selamanya.
Matahari sedang menenggelamkan cahayanya jauh, memberikan giliran pada malam untuk menimbulkan keindahan bulan, InsyaAllah. Raz sedang melihat matahari itu menyerakkan warna senjanya. Selamat malam, matahari. Terima kasih untuk khidmatmu hari ini.
Pulang dari kerja. Badan terasa ngilu, lemah dan letih. Dalam suam-suam rasa tersebut, pilu menjamah hati. Diusik bisikan syaitan yang jahat. Sesuatu telah berlaku dan rasa amat resah dan marah. Mempertikaikan keadilan sikap manusia yang begitu mudah memandang remeh akan usaha orang lain. "Madu dijamu, tuba dibalas". Pepatah yang Raz suaikan untuk sikap manusia yang begitu. Mohon Allah lindungkan hati Raz dari terlalu dipengaruhi pergolakan rasa tersebut.
Ya! Kenapa perlu kita gelisah seorang diri dengan sikap keji orang lain? Susah payah kita sedang asyik berkira-kira tentang ketidakadilan peribadi orang yang melukai perasaan kita. Di dalam pada masa yang sama adakah orang itu sedang menginsafi kesilapan yang tidak disengajakan atau sengaja diperlakukannya? Entah-entah dia sedang bergembira melayari hidupnya dan kita sedang terkial-kial meratap sikapnya?
Mungkin dia sedang berpeleseran bersuka ria menikmati kehidupannya yang ada dan kita pula sedang menangis mengenang kesedihan rasa yang telah berlaku diantara kita dan dia.
Cukup! Berhentilah mengenang-ngenang perkara yang berlalu! Iktibarkan segera yang sekalipun seminit yang lepas bahawa kisah itu hanya kenangan dan pengalaman. Lupakanlah. Serahkan keperitan pengalaman itu kepada Allah swt. DIA lebih bijak merawatnya. Lagipun, apa yang berlalu dan berlaku tetap telah terjadi dan tidak mampu dikembalikan dan diubah lagi. Biarlah Allah sahaja yang membalas apa yang baik dan apa yang buruk. Manakala kita, teruskan hidup! Teruskan usaha! Teruskan sabar!
Selagi Allah tidak mengapa-apakan kita, InsyaAllah... tiada satu makhluk pun yang dapat mengapa-apakan kita. Lagipun.. bukankah segalanya yang berlaku dalam hidup kita itu tetap bernama UJIAN? Jadi, bersabarlah terhadap segalanya. Pulihkan hati dengan segera.
Usah lengahkan hati dengan luka yang panjang dan parah. Jika orang yang menyakiti kita itu sedang bergembira, lalu kita yang disakiti juga berhak untuk bergembira. Masa kita jangan dibuang-buang dengan mengingati keperitan. Terlalu mahal untuk kita membazirkannya.
Apa jua yang berlaku, bersabarlah. Kukuhlah pada kesabaran, InsyaAllah jalan kemenangan akan terbentang nanti. Senyum lagi. Kuat-kuatkan hati!
MMMuahks!
Raz.R