Salam kasih Kerana Allah
Tuesday, August 16, 2011
Untuk Apa Memilih Sihir?
Salam penuh kasih dengan doa semoga Allah gemerlapkan kehidupan kita dengan cinta dan perlindungan-Nya. Amin...
Assalamualaikum w.b.t
Sebuah senyuman yang lemah tapi manis semanisnya Raz berikan sambil menulis di ruangan yang tidak seberapa ini. Singgah lagi meluahkan rasa.
Hari ini, kesihatan Raz tidak sebugar biasa. Tidaklah keterlaluan sakitnya, hanya dicetus letih dan tidak selesa. Alhamdulillah, masih dipinjamkan nafas ini dan masih belum terhenti.
Raz yakin, kemelesetan kesihatan Raz ini adalah dari kealpaan Raz sendiri. Kesilapan sendiri. Selebihnya adalah ujian dari Allah SWT semampu yang Raz boleh terima. Sakit itu juga sebahagian daripada ibadah insan, InsyaAllah. Mudah-mudahan sakit itu dapat membersihkan dosa-dosa kita. Amin..
Biasanya jika Raz sakit, orang yang paling 'sakit' melihat Raz sakit adalah keluarga Raz. MasyaAllah, sehabis bimbang mereka luangkan untuk Raz. Bak kata pepatah 'cubit peha kiri, peha kanan terasa." Tetapi pada Raz pepatah itu tidak sesuai digunakan untuk mereka. Kita tukar pepatah baru, "Tercubit dilengan, satu badan terasa." Ha.. yang ini lebih sesuai. Sebabnya, kadang-kadang Raz rasa, sakit Raz ini tidaklah seberat mana. Tetapi, yang merasa lebih berat adalah keluarga Raz. Kerana Raz seorang yang sakit di rumah, habis semua dalam keluarga menjadi sakit. Alahai...
Kerisauan mereka membuatkan Raz terpaksa terus berusaha untuk tidak mahu sakit. Sebenarnya Raz tidaklah risau dengan terjejasnya kesihatan Raz. Raz lebih risaukan mereka ini. Adakalanya, Raz terpaksa berdiam ketika sakit, kerana tidak mahu yang lain turut sakit. Malangnya, siapalah Raz untuk menyekat kehendak Ilahi. Namun, Raz amat-amat bersyukur kepada-Nya melahirkan Raz di dalam keluarga ini.Keluarga yang kecil sederhana tetapi bahagia. Alhamdulillah...
Itulah kasih sayang Allah. Allah menyalurkan kasih sayang itu pada Raz melalui kehadiran mereka. Subhanallah! Maha Hebat Allah. Cukuplah, apa yang dicukupkan oleh-Nya.
Keadaan makin kelam kelabut apabila kesihatan Raz tiba-tiba dikaitkan dengan perlakuan sihir. Nauzubillahimnzalik.. Mohon dijauhi daripada sebarang penganiyaan manusia atau makhluk-makhluk Allah yang lain. Amin..
Walaupun, Raz tidaklah menjangkakan ini semua. Namun bila ia selalu disebut-sebut, ia sedikit sebanyak mencuit kebimbangan Raz. Tertanya-tanya juga, apa perlunya sihir itu dilemparkan kepada Raz? Mahu apakah mereka dari Raz yang tidak punya apa-apa ini?
Benar, kewujudan sihir itu telah ada semenjak zaman jahiliah lagi. Malah Rasulullah SAW pernah disihir musuh baginda. Inikan pula kita manusia biasa.
Harapan Raz jangkaan tentang sihir itu tidaklah benar. Jikapun ada tempiasnya, mohon Allah SWT berikan hidayah dan petunjuk kepada mereka yang ingin berpelakuan begitu agar tergerak untuk berada di jalan yang baik dan benar. Untuk apa sihir menyihir digunakan terhadap sesama kita? Bukankah itu amalan yang membawa kita kepada menyekutukan Allah? Berdosa besar. Malahan kita akan menjadi penderhaka Allah sebagaimana jin dan syaitan. Kenapa perlu mengikut jalan yang kufur?
Andaipun ada kebencian atau hasrat yang tidak tercapai, bersemukalah dengan keterangan yang jujur. Lalu berharaplah kepada Allah Taala. Sesungguhnya Allah itu mampu mengabulkan segala hasrat hamba-Nya yang bersungguh. Tidak perlulah bersungguh melalui sihir. Semua itu hanya akan mengundang kemurkaan Allah dan kemudaratan diri sendiri di masa yang akan datang. Berguru pada kejahatan maka kejahatanlah yang akan dikembalikan kepada kita. Sesungguhnya walau sejuta kejahatan yang diusahakan, kebaikan tetap akan menang samada di dunia mahupun di akhirat.
Kita diciptakan Allah di dunia ini bukan untuk bersengketa sesama kita. Kita diperintahkan menjadi khalifah-Nya yang sama-sama menjaga bumi ciptaan-Nya disamping menyempurnakan akhlak kita sebagai makhluk yang paling istimewa. Perlukah kita meniru dan menurut gaya makhluk lain yang tidak istimewa tersebut?
"Tepuklah hati, tanyalah iman".
Walau iman itu kurang, namun jauh disudutnya, ia masih ada di situ, di nurani kita semenjak kita dilahirkan bersih sebagai insan.
Wallua'lam.
Raz.R
16.08.2011
Moga kita semua dilindungi Allah Ta'ala dari kedurjanaan musuh-musuh-Nya. Amin..
"Kami jadikan bagi tiap-tiap nabi itu musuh, iaitu syaitan-syaitan daripada jenis manusia dan daripada jenis jenis jin, sebahagian mereka membisikkan kepada sebahagian yang lain perkataan yang indah-indah untuk menipu manusia."
[Al-An'am :112]