Salam kasih Kerana Allah
Friday, August 19, 2011
Ramadhan Kian Pergi
Salam subuh..Sehening subuh yang indah. Warna titis embun dirumput yang berkaca. Langit sedang dilingkar mega. Alangkah cantiknya!
Hidup Raz ini ringkas!
Seringkas masakan Raz di sahur pagi ini(Kangkong goreng, ikan goreng, telur dadar dan sambal ulaman). Cukuplah, apa yang telah dicukupkan oleh Allah SWT untuk Raz dan keluarga. Ringkas tetapi bahagia, Alhamdulillah.
Sebelas hari lagi Ramadhan akan meninggalkan kita pergi. Sayup sayu terasa di hati. Apa yang telah kita bekalkan sepanjang Ramadhan ini ya? Adakah tentang juadah harian kita yang pelbagai limpahnya? Atau rasa lelah yang kita layan kerana kelaparan? Kita sibok dan kalut tentang pakaian dan hiasan yang diperlukan untuk menyambut Aidilfitri nanti. Cukupkah itu semua untuk menampung kehidupan kita di akhirat nanti?
Sudah cukupkah kita memperingati diri menghargai apa yang Allah beri?
Maaf, tidaklah tujuan tulisan ini untuk menyangkal kemeriahan menyambut kehadiran Syawal. Sekadar luahan hati Raz yang sedih dengan kekurangan diri. Terlalu ringkas rasanya apa yang Raz beri pada Ilahi. Sedang Allah berikan Raz padat sekali kurniaan-Nya.
Ahh.. maaf, Raz tidak mampu teruskan lagi. Air mata ini mengalir bagai hujan pagi. Tidak tertahan dipanggil emosi. Setakat ini sajalah yang dapat dikongsi. Moga Allah mengampuni.
Salam kasih
Salam pagi.
Assalamualaikum..
Raz.R